Saya ingin berkongsi pengalaman selepas membaca surat Mangsa SSB dari
Segamat, Johor bertajuk ‘Guru tidak puas hati cara nilai prestasi’ yang
disiarkan dalam ruangan ini pada 25 Mei lalu.
Tuduhan saudara ‘tidak sebulu’ dan ‘diktator’ terhadap guru besar pada
pendapat saya kurang tepat.
Sebagai seorang guru yang bertugas selama 15 tahun di salah sebuah sekolah
di Kota Bharu, Kelantan, saya dapat merumuskan sebenarnya, bukan guru besar
yang sepenuhnya bersalah.
Saudara tidak sedar ada pihak lain yang bertanggungjawab iaitu Ahli
Jawatankuasa (AJK) Panel Prestasi yang ditubuhkan di setiap Pejabat Pendidikan
Daerah (PPD) seluruh negara. Tambahan pula mungkin saudara bukan anak tempatan,
tiada seorang pegawai dari PPD tempat saudara bertugas mengenali saudara.
Kami menganggap AJK Panel yang sepenuhnya bertanggungjawab menetapkan
markah prestasi seseorang itu.
Mereka seolah-olah diberi kuasa menambah dan mengurangkan markah seseorang
guru diberikan oleh guru besar.
Bahkan difahamkan ada sekolah mencalonkan seseorang itu dengan cara
undi sulit pada peringkat sekolahnya terlebih dulu, bagi mengelakkan tidak
puas hati antara mereka.
Ada juga calon yang dibatalkan, dan keluarga atau kenalan rapat mereka
dari sesebuah sekolah itu diketengahkan.
Pada tahun ini, tiada seorang guru besar pun dibawa berbincang dalam
menetapkan kelayakan seseorang itu dari sekolahnya. Ini yang menyebabkan
ramai guru besar terkejut, guru yang tidak dicalonkan tiba-tiba menerima
pergerakan gaji secara melintang atau menegak.
Ada guru besar yang tidak puas hati, mengadu kepada PPD. Apa jawab mereka?
Secara melepaskan tangan, itu adalah keputusan dari Jabatan Pendidikan
Negeri (JPN) Kelantan.
Perasaan tidak puas hati ini dibawa ke JPN Kelantan dan jawapannya juga
menghampakan, iaitu PPD yang mencalonkan.
Dengan kerenah ini guru besar terpaksa berdepan dengan gurunya yang
mempersalahkan beliau seperti saudara alami sekarang.
Apa yang menyedihkan saya, apabila seorang buruh am dari sebuah sekolah,
terkeluar dari senarai kuota pencalonan bagi kumpulan ini. Mungkin dia
tidak pandai ‘bermain politik’. Sepatutnya, tanpa diundang, sekali-sekala
pergilah bersihkan kawasan rumah mereka yang berkenaan atau kalau kaki
pancing, sebagai hadiah, bawalah ikan besar walaupun dibeli dari pasar.
Perkara ini bukan menjadi rahsia lagi, seolah-olah tiada pihak yang
sanggup mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab
ini.
Tahun depan berita seperti ini akan berulang lagi.
Jadi akhir kata, nasihat saya kepada Mangsa SSB, jangan menuduh dan
berprasangka buruk terhadap guru besar saudara.
Satu hakikat perlu kita terima iaitu rezeki di tangan Allah. Cuma apa
yang berlaku ini adalah disebabkan kuasa berada di tangan orang yang tidak
amanah.
PEMERHATI SSB,
Kota Bharu, Kelantan.