GURU harus
berupaya memberi bimbingan ke arah membentuk matlamat realistik dan munasabah
di kalangan pelajar yang mempunyai ciri ‘perfectionist’ dan meletakkan
harapan terlalu tinggi terhadap diri mereka.
Menurut Samsiah Yahaya dari
Unit Kaunseling Bahagian Pendidikan Menengah, Majlis Amanah Rakyat (Mara),
ini kerana pelajar sedemikian akan sentiasa berasa tidak berpuas hati dengan
hasil kerja sendiri sedangkan pada hakikatnya ia adalah berkualiti tinggi.
Justeru, sekiranya guru tidak
peka dan gagal memberi respon yang sesuai terhadap perlakuan berkenaan,
beliau berkata, pelajar terbabit akan mengalami tekanan perasaan.
Malah jika keadaan berkenaan
berlarutan di mana pelajar terbabit kerap berasa gagal mencapai tahap kesempurnaan
seperti diharapkan, katanya, dibimbangi mereka akan mengalami kemurungan
yang amat serius.
Menurutnya, ciri intelek
dan personaliti yang merupakan kekuatan pelajar pintar, boleh menimbulkan
masalah bagi diri mereka, terutama apabila berinteraksi dengan persekitaran
serta orang lain.
Katanya, corak perlakuan
yang terhasil akibat kombinasi ciri pintar berkenaan boleh mengakibatkan
masalah seperti terlalu mengkritik diri, ‘perfectionism’, mengelak risiko,
‘multipotentiality’, serta kebebasan menyempurnakan sesuatu.
Misalnya masalah dari segi
terlalu mengkritik diri, pelajar pintar mempunyai keupayaan membayangkan
kemungkinan dan alternatif membolehkan mereka melihat imej idealistik diri.
Berikutan itu, mereka akan mengutuk diri sendiri kerana tidak mencapai
tahap imej ideal berkenaan.
Pelajar yang memiliki ciri
‘perfectionism’ berkeupayaan membayangkan tahap prestasi yang mereka berpotensi
capai menyebabkan mereka membentuk harapan terlalu tinggi terhadap diri
sendiri.
Demikian juga masalah dari
segi kebebasan menyempurnakan sesuatu di mana disebabkan pelajar berkenaan
didorong oleh ‘internal locus of control’, mereka akan berasa terhindar
jika kerja mereka distruktur atau kerap diperiksa.
Malah, beliau berkata, pelajar
terbabit juga akan berasa kecewa sekiranya diperlukan bekerja dengan pelajar
lain yang dirasakan tidak setaraf dengan mereka.
Sehubungan itu dalam konteks
program perkembangan pelajar pintar, katanya, pendekatan yang kerap diambil
untuk menangani masalah akibat keperluan sosial serta emosi tidak dapat
dipenuhi, ialah melalui pemulihan.
“Pendidik faham bahawa seorang
dewasa yang produktif mempunyai ciri seperti kestabilan dan juga kematangan
emosi, konsep kendiri positif, kemahiran berkomunikasi, strategi menghadapi
kehidupan dan keupayaan memahami serta menerima orang lain.
“Tanpa ciri berkenaan, segala
potensi yang ada pada seseorang itu tidak dapat berkembang. Oleh itu, pendidik
harus faham kepentingan asas afektif ini dalam usaha mengejar perkembangan
intelektual dan kognitif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam
kertas kerja bertajuk ‘Keperluan Sosial dan Emosi Pelajar-pelajar Pintar’
yang dibentangkan dalam Persidangan Nasional Pendidikan Bitara di Maktab
Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, baru-baru ini.
Persidangan yang berlangsung
selama empat hari sempena sambutan Hari Guru MRSM Se-Malaysia itu dihadiri
kira-kira 300 peserta dari kalangan guru di institusi pendidikan Mara.
Sebenarnya, Samsiah berkata,
keperluan asas bagi domain afektif pelajar pintar adalah sama seperti orang
lain, iaitu mereka perlu menyayangi dan disayangi serta perlu berasa diri
mereka dihargai dan diperlukan.
Menurutnya, pelajar pintar
memerlukan sokongan dan kemahiran khas untuk mengupayakan diri mereka melihat
suatu halangan itu sebagai cabaran yang positif.
Beliau berkata, pendekatan
perkembangan sebagai bimbingan adalah amat penting untuk memenuhi keperluan
sosial serta emosi khas pelajar pintar.
Antara keperluan khas mereka
ialah mengenal dan menerima kebolehan, minat serta limitasi diri dan orang
lain; mengenali dan menangani tekanan; selain membina harapan atau jangkaan
realistik terhadap diri dan orang lain.
“Program bimbingan berkenaan
akan menjadi penentu kejayaan kurikulum akademik. Pelajar pintar tidak
akan menjadi pemimpin masa depan seperti yang diharapkan sekiranya kita
tidak dapat memberi masa dan tenaga untuk membimbing mereka.
“Melalui bimbingan dan kasih
sayang, pelajar ini berpotensi besar untuk menjadi pemimpin yang berupaya
menghadapi penyelesaian masalah dengan celik akal, kreatif, adil serta
berperikemanusiaan,” katanya.
Oleh Syuhada Choo Abdullah