bil. 42/2001.

 

Pendidik
Cikgu.PJJ
Artikel
Forum
Jalinan
RakanWeb
Perihal
Kontroversi bahasa Inggeris- bahasa Melayu
Berita Harian
Oleh: PROF. DR. HYACINTH GAUDART (Ahli Persatuan Pendidik Malaysia)
 
Di banyak pelosok dunia, bahasa dijadikan alasan untuk pertelingkahan dan ketegangan etnik. Bahasa diibaratkan budaya am dan budaya dengan individu.

Bagaimanapun, kita boleh memilih untuk memahami peranan bahasa dalam konteks yang lain. 

Bahasa ialah alat atau perantaraan komunikasi.

Kita pelajari bahasa bukan untuk tujuan mempelajari budaya yang asing, tetapi kita mempelajari bahasa untuk membolehkan kita berkomunikasi dengan mereka yang datang dari budaya yang lain. 

Dilihat dari perspektif komunikasi, bahasa kedua bukan lagi boleh dianggap sebagai pesaing bahasa ibunda. Mempelajari bahasa bermakna kita menguasai satu lagi kemahiran untuk membolehkan kita menyampaikan idea dan buah fikiran kepada seseorang yang lain. Di samping itu, kita turut mengupayakan diri kita untuk memahami fikiran dan ilmu yang disampaikan pada kita. 

Untuk sekian lama kecurigaan bahawa seseorang yang mempelajari bahasa Inggeris itu adalah pengkhianat pada bangsa dan budaya Melayu telah menghantui persepsi kita terhadap bahasa Inggeris. 

Tetapi kita harus terima bahawa bahasa Inggeris, seperti bahasa Melayu, hanyalah satu media komunikasi. Kita perlukan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan pelbagai kumpulan ethnik di Malaysia. Mereka yang bahasa ibunda mereka ialah Hokkien atau Tamil berkomunikasi menggunakan bahasa Malaysia. 

Jelas bahasa Melayu bukan digunakan semata-mata oleh orang-orang Melayu sahaja, bahkan bahasa Melayu digunakan sebagai alat komunikasi oleh semua kumpulan etnik di Malaysia. 

Bahasa Inggeris juga ialah alat komunikasi. Ia adalah alat komunikasi bersama orang-orang yang bukan warga Malaysia. 

Mempelajari bahasa Inggeris ialah seperti mempelajari sesuatu disiplin atau kemahiran. Ia memerlukan kesabaran, disiplin, ketekunan, dan yang paling penting, semangat. Memang sukar untuk kita menerima hakikat apabila kita membuat kesilapan ketika bertutur, dan amat memalukan apabila kesilapan kita digelakkan. Sememangnya mempelajari bahasa memerlukan semangat waja.

Penguasaan bahasa datang dengan kebiasaan. Lebih kerap kita menggunakan bahasa, maka lebih mahir kita menggunakannya. Sekiranya kita tidak menggunakan bahasa, maka lama kelamaan kita akan kehilangan bahasa tersebut.

Begitu juga dengan Bahasa Inggeris. Kita perlu menggunakannya seberapa banyak yang mungkin. 

Kita perlu cari peluang untuk menggunakannya. Oleh kerana peluang jarang sekali ditemui, maka kita harus berani mewujudkan peluang bagi diri kita menggunakannya.

Saya sendiri melihat bagaimana peluang ini boleh diwujudkan. Saya telah melihat bagaimana pelajar bahasa Inggeris cuba bercakap menggunakan bahasa tersebut bersama pelancong dan pengunjung ke kampung-kampung mereka. Tetapi tidak kurang juga ada yang saya lihat yang cuba melarikan diri dari peluang menggunakan bahasa Inggeris. Mempelajari bahasa memang bergantung pada pelajar. Guru bahasa hanyalah sebagai fasilitator. 

Mempelajari Bahasa Inggeris akan membuka minda kanak-kanak kepada dunia lain. 

Masa kini, Internet juga membuka luas peluang meraih ilmu pengetahuan, tetapi kebolehan pelajar untuk menerokai bidang ilmu yang luas ini hanya akan meningkat sekiranya mereka menguasai bahasa Inggeris. 

Perlu kita ingatkan diri kita bahawa pembelajaran bahasa Inggeris tidak bermakna pelajar akan hilang budaya mereka.

Kita semua mempunyai budaya dalaman dan luar. Budaya dalaman ialah budaya yang kita pelajari dan kita amalkan sejak kita mula sedar akan identiti diri kita. Budaya dalaman sesuatu yang akan kekal bersama kita dan biasanya kita tidak sedar akan kehadirannya.

Budaya luar pula ialah budaya yang kita pelajari dalam kehidupan kita. Kita kerap menukarkan budaya luar kita ketika kita bertembung pelbagai situasi dan cuba menyesuaikan diri kita.

Budaya dalaman sumber kuasa jati dalam diri kita. Kita perlu memahaminya jika kita mahu mengetahui diri kita dengan lebih halus. Tetapi kita perlu juga memahami budaya dalaman orang lain supaya kita boleh berkomunikasi. 

Penguasaan bahasa Inggeris, dan faedah yang diperoleh dari penguasaan itu ialah sebahagian dari budaya luar. 

Pada hakikatnya, tidak wujud ancaman antara budaya-budaya luar dalam masyarakat yang berlainan, dan begitu juga diandaikan antara budaya luar dan budaya dalaman dalam seseorang individu.

Sesungguhnya, konflik dan pergeseran antara budaya luar dan dalaman hanya wujud melalui persepsi mereka yang sengaja mahu mencari isu antara keduanya.

 
PeNdiDik©2000-2001.Emel:pendidikmy@yahoo.com