PENILAIAN tahap satu (PTS)
yang diperkenalkan bagi membuka ruang kepada murid tahun tiga melangkau
kelas ke tahun lima dianggap tidak sesuai kerana boleh memberi pelbagai
kesan negatif terhadap pelajar.
Orang ramai yang ditemui
Utusan di Kuala Lumpur baru-baru ini mendesak supaya PTS dimansuhkan bagi
mengelakkan tekanan terhadap murid-murid pada usia yang terlalu muda.
Ahmad Ariffin, 52, berkata,
PTS menjadi bebanan kepada murid-murid kerana terpaksa bekerja keras bagi
memastikan terpilih melangkau kelas dan mereka akan kecewa sekiranya mereka
gagal.
''Kita bukan hendak salahkan
ibu bapa atau guru yang memaksa anak-anak supaya belajar tapi lumrah dalam
diri manusia akan ada rasa kecewa,'' katanya.
Ujarnya, apa yang dibimbangi
ialah anak-anak yang masih mentah ini tidak dapat mengawal diri dan sesuatu
yang buruk akan berlaku.
Tambahnya, pergaulan mereka
juga akan terganggu kerana terpaksa berkawan dengan pelajar yang lebih
tua dan tahap sosialnya lebih tinggi.
Bapa kepada enam orang anak
itu berpendapat, pengajian secara tersusun mengikut tahap sebagaimana yang
sedia ada adalah lebih baik.
Sementara itu Syamullah Mohd.
Ghani, 22, yang mengulas berdasarkan pengalaman salah seorang adiknya yang
menduduki PTS mengakui adiknya itu terpaksa bekerja keras bagi mengambil
ujian tersebut.
''Sebagai seorang abang saya
turut bersimpati dengan usaha-usaha yang terpaksa dilalui oleh adik saya
dalam usianya yang masih muda,'' jelasnya.
Malah katanya, ada juga guru
di sekolah adiknya itu menasihatkan beberapa murid yang telah terpilih
agar tidak melangkau kelas kerana bimbang mereka tidak mampu bersaing dengan
pelajar yang lebih matang.
Tambahnya, tindakan guru
itu memberi gambaran awal bahawa PTS tidak sesuai dilaksanakan kerana bukan
semua murid yang mengambil ujian itu dapat menerima sukatan pelajaran yang
diajar untuk tahun lima.
Seorang pekerja syarikat
swasta, Nor Azmila Abdullah, 24, berkata, kebanyakan ibu bapa menganggap
PTS sebagai satu ujian yang menentukan masa depan anak mereka.
Sehubungan itu katanya, mereka
memaksa anak mereka belajar sehingga membebankan anak-anak.
''Jika kita lihat pelajar
yang tidak berada dalam tahun peperiksaan biasanya ada pelbagai aktiviti
di sekolah pada waktu petang.
''Ini bermakna jadual waktu
siang mereka sudah penuh dan mereka dipaksa belajar lagi oleh ibu bapa
pada waktu malam,'' terangnya.
Menurut Nor Azmila, ini menyebabkan
murid tahun tiga terutamanya tidak mempunyai masa rehat yang cukup dan
ini akan menyekat perkembangan mental mereka.
Manakala bagi Suriani Yusoff,
24, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berpendapat,
sesetengah murid mungkin cemerlang dari segi akademik tetapi mentaliti
mereka masih sebagai seorang kanak-kanak sembilan tahun.
Malah katanya, jika sistem
langkau kelas tetap ingin diteruskan adalah lebih baik jika ia dijalankan
di peringkat awal iaitu murid tadika melangkau kelas ke tahun dua kerana
sukatan pelajaran tadika dan tahun satu adalah hampir sama.
''Tahun empat adalah tahun
asas untuk tahap dua jadi tidak mungkin seseorang pelajar dapat mengusai
tahap lebih tinggi tanpa mendapat pendidikan asas yang kukuh,'' katanya.
Seorang lagi pelajar IPTA,
Jalilati Hassan, 25, meminta PTS dimansuhkan supaya ia tidak jadi kayu
pengukur atau pemisah antara pelajar yang tahap IQnya tinggi dan tahap
biasa.
Ujarnya, murid yang pintar
elok dibiarkan bersama rakan sebaya kerana mereka sedikit-sebanyak dapat
membantu murid-murid lain yang bermasalah.
''Jika semua murid dibawa
ke tahun lima maka konsep pembimbing rakan sebaya dalam pendidikan tidak
dapat diamalkan,'' katanya.
Tambahnya, murid yang melangkau
kelas terpaksa menghabiskan sukatan pelajaran dua tahun sekali gus dalam
tempoh satu tahun.
Hal ini katanya, akan memberi
banyak tekanan terhadap murid terbabit dan mereka yang tercicir akan merasa
rendah diri serta terpinggir.
Menurut Jalilati, sistem
langkau kelas berdasarkan kepada kemampuan murid yang diamalkan sebelum
wujudnya PTS adalah lebih baik kerana ia tidak meletakkan sebarang ujian
yang boleh dijadikan sebagai perbandingan secara langsung sesama mereka.
Utusan Malaysia 19/10/2000
(Khamis) |