PADA pandangan Islam anak-anak
memiliki dunia yang cukup indah dan mempesonakan namun tetap sentiasa memerlukan
perhatian serta panduan untuk melindungi kehidupan dan dunia mereka agar
terhindar daripada bahaya yang mengancam sehinggalah ia tetap berada dalam
sirat al-mustakim.
Banyak hadis-hadis nabi yang
membicarakan tentang dunia anak-anak yang sarat dengan curahan cinta dan
kasih sayang. Kedua perasaan suci ini sentiasa mewarnai hati Rasulullah
s.a.w dan tidak henti-henti beliau berpesan kepada umatnya agar mereka
bersikap lembut dan penuh kasih sayang terhadap anak-anak.
Kita sering mendengar ibu
bapa mengeluh tentang anak yang nakal, degil dan tidak mendengar kata.
Sehingga terkeluar kata-kata seperti "memang dasar anak degil'' daripada
mulut ibu bapa sendiri. Mereka sebenarnya tidak sedar bahawa kedegilan
anak-anak itu adalah berpunca daripada salah asuhan mereka sendiri.
Persoalannya sekarang kepada
siapa kita harus belajar mendidik anak. Al-Quran dan hadis menawarkan pelbagai
metode sebagai panduan yang harus dilaksanakan oleh para pendidik. Rasulullah
s.a.w adalah contoh yang tepat untuk diikuti di mana segala perbuatannya
mendidik anak merupakan manifestasi daripada pesan-pesan luhur al-Quran.
Kegelisahan Rasulullah s.a.w
dalam mendidik anak dapat dilihat bagaimana kemasygulan Rasulullah s.a.w
ketika mendengar pengakuan seorang sahabat bahawa mereka tidak pernah mencium
anak-anak mereka. Walhal perbuatan itu adalah sangat penting untuk perkembangan
mental yang sihat. Sudahkah kita mencium anak-anak kita hari ini?
Dalam hubungan ini Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud:
Siapa yang tidak mengasihi
(orang lain) maka dia tidak akan dikasihi. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Kehadiran anak-anak dalam
sebuah rumah tangga sepatutnya menjadi penyejuk hati dan penenang jiwa.
Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:
..... Ya Tuhan kami, anugerahkanlah
kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati
....
Luqman Hakim, seorang yang
saleh, sangat menyedari tanggungjawab itu. Al-Quran telah menjadikannya
sebagai teladan tentang orang tua yang baik dan bijak. Tak kurang, al-Quran
merakam nasihatnya kepada anaknya. Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan
Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya. Hai
anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik,
dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar, dan bersabarlah terhadap
apa yang menimpa kamu.
Begitulah seharusnya orang
tua senantiasa mengarahkan anaknya, terus-menerus. Ia mesti mengamati segala
perkembangan anaknya dan mengingatkannya di mana perlu. Sebuah komunikasi
yang baik seharusnya berlangsung antara orang tua dan anaknya Ñ
dan itu selayaknya dilangsungkan dengan rasa kasih sayang. Kata-kata Luqman
yang dimulai dengan panggilan "wahai anakku'' menyiratkan kemesraan hubungan
dan kedekatan hati. Solat sebagai bekal dan nilai-nilai amar makruf nahi
mungkar semakin relevan kini buat anak-anak kerana sisi kemanusiaan semakin
terhakis dan mereka bakal menghadapi situasi berbeza di dunia yang kian
cepat berubah.
Begitu besarnya amanat dan
nilai yang terdapat dalam diri seorang anak sehingga ia boleh menjadi penghalang
orang tuanya daripada seksaan api neraka. Kisah Aisyah isteri Rasulullah
s.a.w yang pernah didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak
perempuannya. Ummul Mukminin ini mengisahkan Aku memberinya dua biji kurma.
Kemudian ia memberikan kurma itu kepada kedua anaknya, dan selebihnya ia
berniat untuk memakannya. Namun kedua-dua anaknya berusaha merebut sehingga
kurma itu pun jatuh daripada tangannya. Akhirnya perempuan miskin itu tidak
jadi makan satu biji kurma pun.
Saudara yang dimuliakan,
lantaran peristiwa yang mendalam pada diri Aisyah lalu ia menceritakan
kepada Rasulullah s.a.w baginda kemudian bersabda yang bermaksud:
Barangsiapa yang mendapat
ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia memperlakukan
mereka secara baik, maka anak-anaknya itu akan menjadi penghalang baginya
daripada api neraka. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
-Oleh: MOHD SHAUKI
ABD. MAJID, Penolong Pengarah Yadim.
Utusan Malaysia 20/10/2000
(Jumaat) |