OLEH:

RAMLAN AMINUDIN

SAMSIRAN ASTAIN

SALLEH TUGUILAN

SHARIF MOHD. FAISAL SH. MAHMUD

JEFFRY MARTINIS

 

CINA HAKKA DI SABAH

 

 

PENGENALAN

 

              Sejak zaman awal masihi lagi orang-orang Cina telah pun mempunyai hubungan dengan penduduk Asia Tenggara. Perhubungan ini lebih merupakan perhubungan bercorak diplomatik. Berhubungan dengan ini, kebanyakan Maharaja-maharaja Cina telah menghantar utusan mereka ke Asia  Tenggara serta Pulau Borneo(Sabah). Ini secara langsung telah dapat mengeratkan hubungan negara China dengan penduduk Asia Tenggara. Bermula dari dinasti Han (206 .s.m-220. m) telah pun mewujudkan hubungan dengan Pulau Borneo. Tujuan Maharaja China menghantar utusan ke Pulau Borneo ialah menjalinkan hubungan diplomatik.

        Namun demikian hubungan diplomatik tersebut telah membawa penarikan kepada penghijrahan orang Cina ke rantau ini secara beramai-ramai. Malahan sejarah tidak menunjukkan terdapat petempatan Cina secara besar-besaran di Pulau Borneo pada zaman itu. Walau bagaimanapun, pada akhir Dinasti Sung (960-1279), kekacauan yang ditimbulkan oleh orang Monggol menyebabkan penghijrahan orang Cina.

         Kehadiran orang-orang Cina pada awal masihi dapat dikesan melalui sumber-sumber arkeologi yang ditemui. Misalnya terdapat beberapa tempat perkuburan di sekitar sungai Kinabatangan, Batu Puteh, Sungai Segama dan Sungai Lakun telah menjumpai sisa tembikar dan tempayan hijau dan coklat ketika di zaman Ming dan Ching.

        Penubuhan Syarikat Berpiagam pada tahun 1881 telah menggalakkan imigrasi orang-orang Hakka ke Sabah secara beramai-ramai. Kesan daripada kemasukan orang-orang Hakka ini telah membawa kepada perkembangan politik, budaya dan sosial kaum Hakka di Sabah sehinggalah ke hari ini.

 

 

SUKU KAUM CINA HAKKA.

 

GAYA HIDUP.

 

Seperti masyarakat lain suku kaum Cina Hakka juga mengamalkan pelbagai gaya hidup yang menunjukkan mengenai identiti suku kaum mereka.Gaya hidup masyarakat Cina Hakka adalah pelbagai dan dapat di lihat dalam bidang pekerjaan dan adat budaya.

            Secara umumnya kaum ini melibatkan diri dalam pertanian dan perladangan. Ini adalah bukan merupakan sesuatu yang baru dalam kaum mereka, sebelum ,mereka datang ke Sabah lagi bidang ini adalah sumber kehidupan mereka. Jika di lihat secara keseluruhannya mereka ini mengusahakan pertanian yang melibatkan penanaman sayuran dan perladangan di samping mengusahakan penternakan khinzir. Mereka sangat berbeza dangan suku kaum Cina lain yang mengusahakan perniagaan dengan kata lain mereka ini adalah masyarakat kampung. Kedatangan mereka ke Sabah telah menyebabkan mereka terus mengusahakan kegiatan yang mereka amalkan sejak zaman nenek moyang mereka lagi, lebih-lebih lagi dengan dasar kerajaan British yang membawa mereka ke sini dengan mengusahakan bidang perladangan.

            Tetapi pada masa kini keadaan mereka telah berubah, ada di antara mereka yang menjalankan pekerjaan sebagai pegawai kerajaan, guru dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Ini adalah disebabkan kesedaran yang timbul dan taraf pendidikan yang semakin meningkat.

            Jika dilihat dari adat budaya mereka pula mereka mengutamakan lelaki, iaitu kaum lelaki mempunyai status sosial yang tinggi dalam sesebuah keluarga. Oleh itu sesorang anak akan mengikut nasab pada sebelah bapa untuk menentukan segala-galanya seperti penguasaan harta dan sebagainya. Adat ini masih diamalkan sehingga ke hari ini.

Di samping itu, jika dilihat kepada penggunaan alat-alat pemakanan seperti mangkuk dan sebagainya mereka menggunakan mangkuk kecil untuk mengisi nasi dan menggunakan “chop stick”dalam proses penghidangan makanan.

 

 

BAHASA. 

 

            Masyarakat Cina Hakka mempunyai bahasa atau dialek mereka sendiri. Dialek ini digunakan dalam pertuturan harian mereka. Secara keseluruhannya, mereka tidak dapat menguasai bahasa Cina yang lain seperti Mandarin, kerana mereka telah terdidik dari awal dengan bahasa atau dialek Hakka. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya kecenderungan bergaul masyarakat ini lebih kepada sesama mereka sendiri. Tetapi keadaan ini tidak berlanjutan, setelah berlaku penghijrahan kaum ini ke Sabah, begitu juga dengan peningkatan pendidikan yang dipengaruhi oleh pelbagai budaya. Maka mereka telah mampu menguasai bahasa lain selain daripada bahasa Hakka sendiri seperti Mandarin dan Inggeris. Di Sabah, seawal kedatangan masyarakat ini bahasa yang digunakan ialah bahasa Hakka, begitu juga dengan golongan Cina yang lain seperti Kantonis, Hokkien dan Teochiu. Dengan kata lain, bahasa Hakka dijadikan sebagai “Lingua Franca”. Ini memandangkan masyarakat Hakka adalah merupakan masyarakat Cina majoriti di Sabah. Tetapi pada penghujung abad ke-20 dan seawal abad ke-21, bahasa atau dialek Hakka seakan dilupakan oleh masyarakatnya malah bahasa ini tidak diketahui oleh golongan muda kini. Masyarakat Hakka kini lebih mengutamakan bahasa Kantonis, Mandarin dan Inggeris dalam pertuturan harian mereka.

 

 

ALAT MUZIK SUKU KAUM CINA HAKKA

 

 

           

            Seperti suku-suku kaum lain di Malaysia, suku kaum Cina Hakka juga mempunyai alat muzik yang agak unik. Walau bagaimanapun, alat-alat muzik yang digunakan oleh suku kaum ini adalah agak kurang jumlahnya jika dibandingkan dengan alat-alat muzik suku kaum Cina yang lain di negara kita. Keadaan ini mungkin disebabkan alat-alat muzik kaum ini hanya digunakan jika adanya hari-hari perayaan sahaja. Selain itu, bagi segelintir golongan daripada kaum ini yang bekerja sebagai pekebun, mereka lebih gemar menyanyi sambil bekerja bagi tujuan menghiburkan hati mereka sendiri tanpa menggunakan alat-alat muzik yang spesifik. Budaya menyanyi sambil bekerja tanpa penggunaan alat-alat muzik yang spesifik inilah menyebabkan suku kaum ini dianggap unik. Walaupun begitu, masih terdapat juga beberapa alat muzik yang selalu digunakan dan dianggap popular di kalangan suku kaum ini iaitu seperti gendang, gong, seruling dan lain-lain lagi. Alat-alat muzik ini selalu digunakan iaitu semasa menyambut "Tahun Baru" bagi kaum Cina yang diadakan setiap tahun. Alat-alat muzik seperti gendang dan gong tadilah yang mengiring persembahan tarian singa "unicorn" dan "Ki Ling" iaitu dua jenis tarian singa yang amat popular di kalangan kaum Cina Hakka. Manakala bagi masyarakat tani daripada suku kaum Cina Hakka, mereka selalunya menggunakan alat-alat muzik hasil buatan tangan mereka sendiri contohnya seruling buluh. Alat-alat muzik suku kaum ini berkemungkinan besar berasal dari negara China iaitu pada masa pra-Qin (lebih kurang 2200 tahun dahulu.)[1].

 

 

PAKAIAN TRADISIONAL SUKU KAUM CINA HAKKA.

 

            Bagi suku kaum Cina Hakka, pakaian tradisional yang amat popular di kalangan mereka ialah "Cheongsam" iaitu sejenis pakaian tradisi yang amat terkenal bagi kaum wanita Hakka dan juga seluruh masyarakat Cina. Selain itu, "Leongmau" iaitu sejenis topi berbentuk bulat bagi kaum wanita Hakka, juga amat popular hingga ke hari ini. "Leongmau" ini selalunya digunakan semasa hari perayaan, hari perkahwinan, perasmian  kedai baru dan juga pada hari-hari biasa yang lain. 

Bagi kaum lelaki Cina Hakka, tiada pakaian yang dianggap spesifik disebabkan pakaian bagi kaum lelaki Hakka adalah serupa dengan pakaian suku-suku kaum Cina yang lain. Asal usul pakaian kaum Cina Hakka ini seperti juga dengan alat-alat muzik mereka iaitu berasal dari negara China pada masa pra-Qin.

 

 

TARIAN TRADISIONAL SUKU KAUM CINA HAKKA.

 

            Sebenarnya, selain daripada membicarakan aspek-aspek seperti alat muzik dan pakaian suku kaum Hakka, kita juga tidak boleh lari daripada membicarakan satu lagi aspek yang tidak kurang pentingnya, iaitu yang berkaitan dengan tarian masyarakat Cina Hakka.

           Bagi aspek tarian, umumnya semua mengetahui bahawa dalam konteks masyarakat cina terdapat satu tarian paling popular iaitu 'tarian Singa'. Walaupun demikian, dalam membicarakan mengenai tarian yang ada pada masyarakat Cina Hakka ini, didapati tarian singa masyarakat Cina Hakka adalah berbeza dengan tarian masyarakat Cina lain seperti kaum Hokkien dan lain-lain. Dalam hal ini, tarian masyarakat Cina Hakka yang paling mashyur dikenali sebagai 'Ki Ling' yang mana bentuk singanya adalah lebih kecil berbanding dengan tarian singa masyarakat Cina yang lain. Selain itu, tarian singa "unicorn" juga merupakan tarian yang popular bagi kaum ini iaitu singa yang dikatakan hanya mempunyai satu tanduk. Pada kebiasaannya, tarian ini akan didendangkan atau dimainkan bila saja adanya upacara-upacara khas. Sebagai contoh, ialah ketika menyambut perayaan tahun baru Cina, upacara parkahwinan, pembukaan atau perasmian sebuah kedai dan sebagainya.

 

LAGU TRADISIONAL SUKU KAUM CINA HAKKA

      

     Selain membicarakan mengenai aspek tarian, aspek yang tidak kurang pentingnya juga dan yang berkaitan aspek tarian iaitu lagu adalah perlu untuk dibincangkan bagi melengkapkan pengkajian mengenai masyarakat Cina Hakka. Dalam membicarakan mengenai aspek ini, didapati bahawa masyarakat Cina Hakka sebenarnya tidak mempunyai satu lagu yang khas bagi masyarakat mereka, tapi sebaliknya mereka mempunyai lagu yang pelbagai yang hanya dinyanyikan untuk menghiburkan hati mereka semata-mata. Lazimnya masyarakat Cina Hakka suka menyanyi semasa bekerja terutama sekali ketika berkebun. Tujuan mereka adalah untuk menghiburkan hati disamping menghilangkan penat lelah. Salah satu lagu mereka yang dinyanyikan semasa berkebun ialah 'Yee Chee Thong Gan'. Selain daripada lagu ini masyarakat Cina Hakka juga mempunyai pelbagai lagu yang lain. Antaranya lagunya yang juga popular ialah lagu yang bertemakan cinta, lagu ini sering dinyanyikan oleh mereka yang sedang dilamun cinta terutamanya golongan remaja masyarakat Cina Hakka tersebut. Salah satu lagu yang bertemakan cinta yang popular dan sering dinyayikan ialah yang bertajuk 'Fei Ching Lan'. Seterusnya dalam menyambut upacara-upacara tertentu ,terdapat juga lagu yang dinyanyikan bagi tujuan memeriahkan upacara tersebut. Contohnya ialah dalam upacara perkahwinan, yang mana masyarakat Cina mempunyai lagu yang bertujuan untuk menjemput pengantin, tajuk lagu tersebut ialah 'Chia Tsing Fan'.     

 

PENGARUH LUAR DAN CABARAN MASA KINI

 

PENGARUH LUAR

 

            Suku kaum Cina Hakka juga turut menerima pengaruh luar. Salah satu daripadanya ialah pengaruh barat keatas pekerjaan mereka. Suatu ketika dulu apabila pihak kerajaan British menghadapi kekurangan pekerja maka mereka terpaksa memberi dan menawarkan perkhidmatan para imigran khususnys orang Hakka.

            Orang-orang Hakka juga mempunyai idea barat terutamanya bagi mereka yang menerima pendidikan barat dan beragama kristian telah diberi peluang untuk bekerja dengan kerajaan kolonial atau syarikat barat. Dianggarkan terdapat 60% jawatan perkhidmatan awam ini dijawat oleh orang-orang Hakka2. Ini menunjukkan orang-orang Hakka mempunyai hubungan yang rapat dengan orang barat. Kebanyakan mereka lebih berkeupayaan bertutur dalam bahasa Inggeris dan mempunyai agama yang sama. Kebolehan ini menyebabkan orang Inggeris mempertimbangkan mereka dalam berkhidmat dalam perkhidmatan pada zaman British.

            Penglibatan kaum Hakka dalam sektor kerajaan secara tidak langsung menaikkan status kaum mereka. Sebelum ini, golongan ini dianggap dibawah orang Cina yang lain. Oleh kerana mereka adalah golongan petani, susunan status sosial mengikut hierarki ini telah beransur berubah dan mereka dikenali sebagai golongan menengah.

            Selain itu, dalam kepercayaan juga orang Hakka juga menerima pengaruh Kristian. Orang-orang Hakka mengamalkan agama Buddha dan sesetengahnya mengamalkan agama Animisme. Kemudiannya mereka menganut agama Kristian. Segelintirnya pula berhijrah ke Sabah akibat orang Cina yang bersikap anti-Kristian. Rekod di gereja Roman Katolik di Sabah menunjukkan orang-orang Cina menganut agama Kristian terdiri dari kaum Hakka secara amnya3. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan orang-orang Hakka semasa Sabah menganut agama Kristian sebagai amalan hidup mereka.

            Terdapat ramai penganut agama ini terdiri daripada golongan bawahan seperti petani dan pekebun  kecil. Mereka menghadapi kesulitan untuk memahami bahasa orang Inggeris dengan baik. Sebenarnya pihak gereja telah menyedari akan keadaan ini. Maka mereka telah mengambil langkah positif misalnya pada tahun 1889, Mr.Ost selaku ketua penyebar agama Kristian Cina telah memperkenalkan I.P.Young. Ia menggunakan bahasa Cina ditempatkan di gereja. Selain itu H.M.S Smith telah menghantar 30 buah buku kitab suci bagi memudahkan orang-orang Cina memeahami agama tersebut4. Dengan itu penyebaran agama kristian dikalangan orang Hakka dapat dijalankan secara berkesan. Orang-orang Hakka dapat memahami agama secara lebih lancar.

 

 

CABARAN-CABARAN MASA KINI.

 

            Jika di lihat dari sudut ekonomi, orang-orang Hakka telah memanafaatkan ekonomi di Sabah dengan menceburkan diri di dalam bidang pertanian. Kaum Hakka merupakan satu-satunya kaum yang menanam minat untuk bertani berbanding dengan kaum Cina lain. Keadaan ini di susuli dengan kerajaan turut bersedia menawarkan tanah kepada mereka dengan harga yang istimewa. Selain itu, kaum  ini mulai menceburi bidang lain seperti pembalakan, perniagaan, pengangkutan dan perkhidmatan kerajaan. Ini menunjukkan bahawa pemikiran orang-orang Hakka telah berubah.

            Manakala dari sudut sosial, orang-orang  Hakka telah mengalami satu perubahan dari segi sosiobudaya melalui perkahwinan campur. Perkahwinan campur ini telah berlangsung oleh orang-orang Hakka dengan masyarakat pribumi yang telah melahirkan satu generasi yang di panggil “sino-kadazan” .Kehadiran “sino-kadazan” ini telah melalui satu proses penyerapan sosio-budaya seperti orang Baba di Melaka.

            Sementara dari aspek pendidikan pula orang-orang Hakka telah menerima pendidikan Barat di Sabah pada zaman British. Mereka telah tertarik dengan pendidikan ini kerana ianya tidak dikenakan yuran. Orang-orang Hakka merupakan satu-satunya orang Cina yang mempunya sikap yang lebih terbuka terhadap pendidikan Inggeris. Kebanyakan mereka yang berpendidikan Barat mendapat perhatian daripada kerajaan Kolonial. Mereka telah dijanjikan dengan pelajaran di sektor kerajaan. Walau bagaimanapun, keadaan ini berubah apabila timbulnya kesedaran pribumi untuk bersaing dengan orang-orang Hakka di dalam memegang jawatan perkhidmatan kerajaan. Ini jelas ketara semasa cadangan Malaysia yang telah memberi peluang kepada kaum pribumi membangun dan sedar akan kedudukan mereka yang jauh terkebelakang dari berbagai aspek. Dengan ini, kaum Hakka terpaksa menghadapi persaingan daripada pribumi.

            Dari segi politik pula, kaum Hakka telah melalui tiga peringkat perubahan dalam bidang politik5. Pertama ialah semasa pemerintahan Syarikat Berpiagam yang mana di anggap pasif dan terhad kepada sosio-ekonomi. Manakala pada peringkat kedua pula ialah semasa pemerintahan Jepun yang telah membangkitkan semangat anti Jepun di kalangan masyarakat termasuk Hakka sendiri sehingga menubuhkan gerakan gerila. Selepas perang dunia ke II, cadangan gagasan Malaysia telah menyedarkan orang-orang Hakka tentang perlu bagi mereka menubuhkan sebarang parti politik untuk menjaga kepentingan ekonomi mereka daripada persaingan pribumi. Melalui ketiga-tiga peringkat ini, akhirnya orang-orang Cina yang tinggal di Sabah tahun 60-an. Sehingga kini mereka masih lagi aktif dalam bidang politik.

 

           

           

 KESIMPULAN

 

                  Pada keseluruhannya, kedatangan orang-orang Hakka di Sabah telah mewujudkan atau membentuk satu susunan perubahan dari segi ekonomi, politik dan juga sosial mereka. Dari sudut ekonomi, orang-orang Hakka telah memanfaat ekonomi di Sabah dengan menceburkan diri di dalam bidang pertanian. Orang-orang Hakka merupakan satu-satunya kaum yang menaruh minat untuk bertani.

              Manakala dari sudut sosial pula, orang-orang Hakka telah mengalami satu perubahan dari segi sosio-budaya melalui perkahwinan campuran. Perkahwinan campur ini telah dilangsung oleh orang-orang Hakka dengan pribumi yang telah melahirkan satu generasi yang digelar 'Sino-Kadazan'. Hal ini telah melalui satu proses penyerapan sosio-budaya seperti orang 'Baba' di Melaka.

            Orang-orang Hakka juga telah menubuhkan persatuan yang menjaga kepentingan mereka. Persatuan tersebut dikenali sebagai Persatuan Hakka yang bertindak sebagai tempat perlindungan kepada ahli-ahlinya terutama terjadinya perbalahan antara orang-orang Hakka dengan kaum Hokkien. Selain itu, orang-orang Hakka telah menerima pendidikan Barat di Sabah pada zaman British yang mana kaum ini adalah satu-satunya kaum China yang mempunyai sikap lebih terbuka kepada pendidikan Inggeris.

           Sehubungan dengan itu, dapatlah dikatakan bahawa orang-orang Hakka telah menjadi salah satu kaum yang terdapat di Sabah yang juga memainkan peranan penting dalam aspek politik, ekonomi dan juga sosial.

 

 


 

[1] Dipetik daripada Asiawind.com, Hakka- An Important Element of Chinese (who are the Hakkas?), halaman 1.

 

2 Dr. Chong Yin @ Gloria, Bahagian Sejarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia 1993/1994. Library Sabah State Archives.

3 Ibid,. halaman 47.

4 Ibid,. halaman 48.

5 Ibid, halaman 72.