Guru Adalah Pengembara Setia dan Masyarakat Adalah Tanah Berpijaknya

   
 

Hari ini adalah himpunan koma-koma bertitik
yang telah mengajar suka duka
seorang guru di tanahairnya
dari kesan cinta masyarakat
yang gigih dan harmoni
ke arah kemajuan zamannya.

Guru itu seorang manusia biasa
dilahirkan dari rahim masyarakat
yang kompleks dan unik
telah dibesarkan dengan nasi pembangunan
mempelajari bahasa kemajuan
dalam sepanjang kehidupannya
tanpa henti tanpa tepi.

Guru itu ahli masyarakat zamannya
yang menganalisa suasana dan masalah
sering ditemukan dengan pelbagai rencana
oleh pemuka-pemuka berbeza cara citarasa
untuk meminta diteliti
dan dinilai dengan timbang janji
bahawa guru adalah pengembara setia
dan masyarakat adalah tanah berpijaknya
yang sentiasa mengatur persekitaran
lalu menundukkan penghuninya.

Guru dan masyarakat
saling memberi dan menerima
pengalaman dan pendidikan
yang baharu dan lama
merubah cinta
menyusun waktu
yang memudahkan dari kepayahan
yang menganehkan dari kebiasaan.

Guru itu menjadi bertambah dewasa
didewasakan oleh rasa percaya
diluaskan oleh tanah pengembaraan
didalamkan oleh lautan bahasa
lalu tidak gentar pada manusia asing
penuh yakin tidak tertipu oleh sesiapa
dengan bicara atau idealisme.

Sesungguhnya guru dan masyarakat
adalah pembuka dan pengikat mata akal
dengan logika dan rasional
pada semua yang meminta dan menerima
ketika masih dingin pagi
atau senja malam menanti
bagai bumi dengan matahari.

   
 

S. Panit
Shah Alam
18 April 1985
 

tutup