pertandingan bahas antara sekolah menengah


PIALA BERITA HARIAN
2004

laporan dari ruangan akhbar / Cyberita

BH SABTU 13 MAC 2004

Sudah lapan tahun menjadi medan perdebatan

[ oleh Dewani Abbas ]


PENTAS menjadi medan pertempuran di antara para pelajar ini.

Senjata mereka?

Mikrofon, yang meskipun hanya sebuah alat yang keras dan dingin, namun boleh membuat mereka sama ada petah, lincah dan bergaya atau gamam, kelu dan kaku, semasa berdebat di depan khalayak ramai.

Begitulah senario yang dapat dilihat setiap kali Pertandingan Bahas Antara Sekolah Menengah Piala Berita Harian diadakan anjuran Kelab Coretan Remaja (KCR) Berita Harian.

Tanpa disedari, sudah masuk tahun kelapan pertandingan itu diadakan sejak ia mula diperkenalkan kepada sekolah-sekolah menengah pada tahun 1996.

Jika dikira semua jumlah pelajar yang terlibat dalam pertandingan tahunan ini (kecuali 1997), seramai 615 pelajar menengah tiga hingga lima telah menyertainya.

Ini berdasarkan sejumlah 16 buah sekolah yang mengambil bahagian setiap tahun dengan setiap sekolah menyertakan lima orang pembahas. Hanya pada tahun permulaan bahas sembilan buah sekolah telah disertakan dan pada tahun 1999, sebanyak 18 buah sekolah menyertainya.

Sekolah Victoria
- Juara bahas 1996 -  

Sekolah Menengah Anderson
- Juara bahas 1998 -



Institusi Raffles
- Juara Bahas 1999 -

Pada tahun ini, pertandingan ini bermula lagi pada hari ini di auditorium Masjid Sultan dengan penyertaan 16 lagi buah sekolah.

'Jika disingkap memang banyak sekali kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang kami mengadakan bahas ini. Tapi yang selalu terbayang ialah peringkat akhir bahas apabila muncul johan dan kedengaran suara riuh-rendah dan hilai tawa riang pemenang,' ungkap ahli KCR, Encik Mohammed Thamrin Kamsan, 28 tahun.

Guru sekolah rendah inilah yang pertama kali mengusulkan agar pertandingan ini diadakan semasa beliau masih lagi seorang pelajar politeknik dan anggota muda KCR.

KCR bernasib baik kerana mendapat kerjasama daripada Masjid Sultan yang menyediakan auditoriumnya untuk pertandingan tersebut setiap tahun.


Madrasah Wak Tanjong
- Juara bahas 2000/2001 -  

Institusi St Joseph
- Juara bahas 2002 -



Sekolah Tinggi Pemerintah 
Bukit Panjang
- Juara Bahas 2003 -

Namun, ada beberapa tahun (1998 dan 1999) apabila peringkat saringan bahas itu diadakan di beberapa buah sekolah menengah.

'Mengadakannya dari sebuah sekolah ke sebuah sekolah selama beberapa minggu memang memenatkan, tapi seronok sebab kita dapat rasakan suasana yang berlainan.

'Ada suatu hari tu, kami penganjur terkunci di dalam pekarangan sebuah sekolah dan tak dapat keluar kerana penjaga sekolah dah balik. Mujur ada guru sekolah yang membantu dan penjaga sekolah itu datang untuk membukakan pintu pagar sekolah itu untuk kami. Masa tu dah pun malam,' cerita Cik Nur Diana Aris, 23 tahun, kini guru sekolah menengah.

Pertandingan tersebut juga mencapai puncak 'kegemilangannya' apabila peringkat akhirnya diadakan sebanyak dua kali di Pusat Konvensyen Politeknik Temasek pada tahun 2000 dan 2002.

Tetapi selepas ekonomi merosot dan syarikat-syarikat digalakkan mengurangkan kos, peringkat akhir pertandingan itu tidak lagi diadakan di pusat konvensyen itu lagi atau dewan-dewan lain yang mengenakan bayaran yang tinggi untuk menjimatkan belanja.

 


laporan BH 19 Mac 2004 >>>

kembali ke lelaman utama >>>

 

1