BAB 1
PENDAHULUAN
1.0 Pengenalan
Falsafah Pendidikan Negara menjurus ke arah melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek . Insan yang sedemikian akan menjadi seorang warganegara yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan memberi sumbangan terhadap kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Sehubungan itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) telah dibentuk sebagai kesinambungan daripada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dengan menitikberatkan pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran, peningkatan daya intelek, penguasaan kemahiran belajar, pemupukan dan penerapan nilai, penguasaan dan penggunaan Bahasa Melayu serta kesepaduan pengalaman pembelajaran .
1.1 Sejarah Ringkas Perkembangan Sains Pertanian Di Sekolah
Sains Pertanian adalah mata pelajaran provokasional yang telah dimulakan di negara ini ( ketika itu Semenanjung Tanah Melayu ) apabila R.O.Winstedt mengesyorkan agar murid sekolah belajar membuat raga. Pada tahun 1920, Sir George Maxwell selaku Ketua Setiausaha Kerajaan telah menyatakan bahawa tujuan pendidikan yang disediakan untuk murid-murid (terutama kaum Melayu) ialah untuk membolehkan mereka menjadi petani dan nelayan yang lebih baik.
Tidak banyak perubahan yang berlaku berkaitan mata pelajaran Sains Pertanian walaupun terdapat dua penyata utama yang mengemukakan syor ke arah satu sistem pelajaran yang disatukan iaitu Penyata Barnes dan Penyata Fenn-Wu. Bagaimana pun dasar pelajaran kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 yang berasaskan Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960) telah membawa kepada penubuhan Sekolah Pelajaran Lanjutan pada tahun 1962. Di sekolah ini, mata pelajaran pertanian turut diajar, tetapi tidak mendapat sambutan dan dimansuhkan pada penghujung tahun 1964. Pada tahun yang sama Peperiksaan Masuk Sekolah Menengah turut dimansuhkan untuk membolehkan murid terus melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah rendah .
Mulai tahun 1965, sistem Pendidikan Aneka Jurusan dimulakan. Kurikulum di peringkat ini diperluaskan untuk memberikan peluang kepada murid mencapai kebolehan mengikut minat masing-masing dengan mengadakan mata pelajaran praktik pilihan termasuklah Sains Pertanian di samping Seni Perusahaan, Sains Rumahtangga dan Perdagangan. Kurikulum mata pelajaran Sains Pertanian yang mengikuti bentuk kandungan yang diamalkan oleh negara Komanwel seperti England dan Australia bermula pada tahun 1965 telah bertahan sehingga tahun 1988.
Pada tahun 1988, Menteri Pendidikan telah mengemukakan Reformasi Pendidikan yang dipersetujui kabinet dan telah memperkenalkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah bermula awal tahun 1989. Di dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Kemahiran Hidup Bersepadu telah diperkenalkan bagi menggantikan mata pelajaran Aneka Jurusan sebelum ini iaitu Seni Perusahaan, Sains Rumahtangga dan Sains Pertanian. Mata pelajaran ini diperkenalkan pada tahun 1989 sebagai program peralihan dan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 1992.
1.2 Kemahiran Hidup Bersepadu dan Sains Pertanian
Merujuk kepada Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 dalam Akta Pendidikan 1996, Kemahiran Hidup Bersepadu adalah mata pelajaran wajib peringkat menengah rendah. Manakala peruntukan waktu minimum seminggu bagi mata pelajaran di atas ialah empat (4) waktu ( 40 minit satu waktu ).
Kemahiran Hidup Bersepadu merupakan satu mata pelajaran provokasional untuk Tingkatan I hingga Tingkatan III . Matlamat mata pelajaran ini ialah untuk melahirkan insan yang berdikari, kenal faham teknologi , kenal faham ekonomi dan mempunyai sifat dan sikap yakin diri, kreatif, inovatif, inisiatif, produktif dan boleh berinteraksi dengan baik .
Mata pelajaran ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu teras dan pilihan. Bahagian teras merangkumi Kemahiran Manipulatif, Perdagangan & Keusahawanan dan Kekeluargaan. Semua murid diwajibkan mengikuti bahagian ini. Manakala bahagian pilihan merangkumi komponen Kemahiran Manipulatif Tambahan , Ekonomi Rumah Tangga dan Pertanian. Untuk bahagian pilihan, murid hanya mengikuti satu komponen sahaja.
Bagi komponen pertanian , sub-topik yang dibahagikan mengikut teras dan pilihan adalah seperti berikut ;
1.2.1 Teras
Perkebunan iaitu ;
1.2.1.1 Penjagaan tumbuhan hiasan
1.2.1.2 Memasu pokok
1.2.1.3 Membiak tumbuhan
1.2.2 Pilihan
1.2.2.1 Tanaman
1.2.2.1.1 Menanam sayur-sayuran
1.2.2.1.1.1 Penyediaan Tanah
1.2.1.1.1.2 Pemilihan, penyemaian biji benih dan penjagaan biji benih
1.2.2.1.1.3 Pengubahan anak benih
1.2.2.1.1.4 Penjagaan
1.2.2.1.1.5 Pungutan hasil
1.2.2.1.1.6 Pengiraan kos dan pemasaran
1.2.2.2 Menanam Jagung
1.2.2.2.1 Penyediaan biji benih
1.2.2.2.2 Penyediaan tanah dan penanaman
1.2.2.2.3 Penjagaan
1.2.2.2.4 Pungutan hasil
1.2.2.2.5 Pengiraan kos dan pemasaran
1.2.2.3 Hortikultur hiasan
1.2.2.3.1 Menanam pokok dalam pasu
1.2.2.3.1.1 Teknik pembiakan
1.2.2.3.1.2 Pemilihan dan penyediaan pasu
1.2.2.3.1.3 Penanaman
1.2.2.3.1.4 Penjagaan
1.2.2.3.2 Projek Taman Mini
1.2.2.3.2.1 Penyediaan bekas atau kawasan
1.2.2.3.2.2 Penanaman
1.2.2.3.2.3 Penjagaan
1.2.2.2 Ternakan ( Ayam Pedaging / Burung Puyuh / Arnab )*
1.2.2.2.1 Perumahan
1.2.2.2.2 Pengurusan
1.2.2.2.3 Pengiraan Kos dan pemasaran
Di samping dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran asas praktis bidang yang dinyatakan di atas, murid juga didedahkan kepada pengetahuan asas perniagaan dan keusahawanan dalam bidang pertanian .
Proses pengajaran dan pembelajaran yang disarankan dalam Kemahiran Hidup Bersepadu adalah berdasarkan pembelajaran melalui pengalaman. Oleh itu pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian adalah disarankan seperti melalui projek, tunjuk cara, lawatan, simulasi dan sumbang saran.
Suasana pembelajaran yang diwujudkan dikehendaki memberi murid pengalaman ;
melakukan, menghasilkan atau mereka cipta sesuatu ,
menjalankan kerja-buat-sendiri yang mudah ,
bekerja dengan selamat dan bersistem ,
merancang dan mencuba idea dan seterusnya mengurus dan menilai kerja dan usaha itu dan
mengendalikan maklumat dengan bersistem dan berkesan untuk membuat keputusan yang sesuai .
Pengalaman ini akan memberi peluang kepada murid untuk membina keyakinan diri dan menggunakan pengetahuan dan kemahiran mata pelajaran ini dalam urusan kehidupan seharian. Pengetahuan dalam kandungan pelajaran disampaikan semasa sesuatu aktiviti dan kerja praktis dijalankan. Dengan cara ini , murid dapat memahami dengan jelas istilah yang digunakan tanpa perlu menghafalnya.
Di samping kemahiran dan pengetahuan, nilai murni dipupuk pada pelajar semasa mereka menjalankan aktiviti dan kerja praktik. Guru hendaklah menentukan murid mengamalkan nilai tersebut setiap masa.
Dari aspek penilaian , murid dinilai secara berterusan sama ada semasa proses pembelajaran atau selepas beberapa bahagian pelajaran. Pelbagai cara penilaian boleh dilakukan seperti pemerhatian proses dan hasil tugasan murid, bersoal jawab atau ujian bertulis. Melalui penilaian yang berterusan ini, guru akan mendapat maklumat mengenai masalah yang dihadapi oleh pelajar. Berpandukan maklumat ini, guru akan dapat menjalankan tindakan susulan untuk memperbaiki kelemahan murid dan seterusnya mempertingkatkan lagi penguasaan dan pencapaian mereka .
Agihan waktu untuk mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 bagi Tingkatan I , II dan III sebagaimana yang disyorkan di dalam sukatan pelajaran adalah seperti berikut :
Jadual 1.1 : Agihan waktu mata pelajaran Kemahiran Hidup
KOMPONEN |
TING.1 (Minggu) |
TING.2 (Minggu) |
TING.3 (Minggu) |
Jumlah Minggu |
I TERAS a. Kemahiran Manipulatif b. Perdagangan dan Keusahawanan c. Kekeluargaan II PILIHAN Pertanian |
15 10 5
10 |
15 10 5
10 |
15 10 5
10 |
45 30 15
30 |
JUMLAH |
40 |
40 |
40 |
120 |
(Sumber : Huraian Sukatan Pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu, 1992)
Disebabkan mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu melibatkan perkembangan kemahiran psikomotor, sebahagian besar masa yang diperuntukan adalah untuk membolehkan murid melakukan kerja praktik ( hands-on ).
Bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan efisien dan efektif, sekolah yang menawarkan elektif pertanian perlu menyediakan kemudahan untuk amali murid. Selain daripada bahan dan alatan, infrastruktur yang diperlukan ialah unit hortikultur, kawasan kebun sayur dan perumahan ternakan. Dengan kemudahan amali yang sempurna, peningkatan kemahiran secara menjalankan kerja-buat-sendiri oleh murid dapat dilaksanakan sebagai satu langkah melengkapkan objektif mata pelajaran ini .
Peruntukan kewangan bagi mata pelajaran ini ialah sebanyak RM 40.00 setahun bagi setiap murid. Berbanding mata pelajaran lain, geran per kapita bagi mata pelajaran ini adalah paling tinggi. Walau bagaimana pun jumlah wang ini perlu diagihkan kepada beberapa komponen lain yang terdapat di dalam Kemahiran Hidup Bersepadu iaitu Kemahiran Manipulatif, Perdagangan dan Keusahawanan dan Kekeluargaan.
1.3 Pernyataan Masalah
Dari aspek peruntukan kewangan, peraturan telah ditetapkan seperti berikut ;
Bantuan mata pelajaran Kemahiran Hidup bertujuan untuk membolehkan pihak sekolah membeli alat/bahan (habis pakai) untuk kegunaan murid-murid semasa mempelajari mata pelajaran Kemahiran Hidup. Memandangkan bantuan mata pelajaran ini adalah terhad, pengetua hendaklah membeli alat/bahan (habis pakai) yang perlu dibeli hendaklah berpandukan senarai yang telah pun diedarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan kepada semua Pengarah Pendidikan Negeri dan pengetua sekolah menengah
(Garis Panduan Perakaunan dan Kewangan Sekolah,ms.9)
Arahan tersebut menjelaskan bahawa peruntukan yang disediakan adalah semata-mata untuk bahan atau alat (habis guna) tidak termasuk prasarana amali seperti reban ternakan, unit hortikultur (ruang pembiakan tanaman, penyediaan campuran tanah dan stor) dan unit kebun sayur. Lazimnya prasarana berkenaan disediakan oleh Kementerian Pendidikan sama ada semasa pembinaan bersama keseluruhan bangunan sekolah sebagaimana perancangan awal atau sebagai projek tambahan. Bagaimana pun, kebanyakan sekolah tidak disediakan prasarana amali pertanian dan penyediaannya bergantung kepada inisiatif pengetua dan guru yang mengajar mata pelajaran berkenaan. Persoalannya, apakah yang akan berlaku kepada sekolah yang masih belum mempunyai prasarana amali ?
Dari segi pengurusan kurikulum, Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan pula menyatakan,
di antara masalah yang didapati oleh JNSP di dalam perlaksanaan kurikulum di sekolah adalah :-
jawatankuasa kurikulum sekolah (JKS) dan panitia mata pelajaran (PMP) kurang berfungsi;
kurang penggunaan sumber sokongan;
kurang penekanan terhadap teras KBSM;
kurang memahami konsep,matlamat,objektif dan perlaksanaan KBSM; dan
kurang penyeliaan perlaksanaan KBSM.
( Pengurusan Profesional , ms. 55)
Mata pelajaran Kemahiran Hidup adalah termasuk dalam masalah yang dinyatakan oleh pihak Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan. Kejayaan perlaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah berkait rapat dengan kemudahan yang disediakan dan kebolehan guru melaksanakannya. Kegagalan guru memahami konsep, matlamat dan objektif Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah juga boleh menyebabkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan mengikut interpretasi masing-masing. Ini disebabkan calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) boleh menjawab soalan peperiksaan tanpa perlu melaksanakan semua amali.
Wan Mohd.Zahid (1993) pula telah memetik pandangan Goodlad (1984) yang menyatakan,
Too much emphasis is being placed on facts and low level
skills with insufficient attention to writing problem solving,
analysis and other higher order processes. Facts must be tied
to concepts. Teachers are not teaching higher order skills. The curriculum should not be a common set of topics but a
common set of concepts, principles, skills and ways of knowing
( Wawasan Pendidikan,m.s.116)
Kemahiran Hidup Bersepadu jelas mempunyai ciri mata pelajaran `masa hadapan yang diperlukan oleh semua orang. Walau bagaimana pun, perlaksanaannya memerlukan pemantauan supaya objektif mata pelajaran dapat dicapai. Masalahnya, sejak KHB dilaksanakan pada tahun 1989, sehingga kini tiada lagi sebarang kajian yang komprehensif mengenai sejauh mana objektif yang dibentuk telah dicapai.
Bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 (pertanian), sukatan pelajaran tersebut telah disediakan lebih enam tahun yang lalu dan dalam tempoh ini terdapat banyak perkembangan yang berlaku berkaitan teknik atau amalan baru dalam pertanian.
Pernyataan masalah yang dikemukakan di atas menimbulkan minat bagi pengkaji untuk melihat persoalan-persoalan seperti berikut :
1.3.1 Sejauh manakah amali pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 yang disyorkan dalam sukatan pelajaran dilaksanakan di sekolah?
1.3.2 Adakah sekolah telah menyediakan keperluan amali dengan sewajarnya?
1.3.3 Adakah penempatan murid bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 mengikut kehendak dan minat mereka?
1.3.4 Adakah amali tersebut memberikan faedah kepada murid dalam kehidupan harian?
1.3.5 Adakah terdapat perkaitan di antara pencapaian murid dengan kedapatan kemudahan amali di sekolah?
1.3.6 Adakah terdapat perkaitan di antara jantina , latar belakang keluarga dan pencapaian akademik dengan persepsi murid terhadap amali pertanian?
1.3.7 Apakah persepsi murid terhadap perlaksanaan amali pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 dari aspek berikut ;
faedahnya?
kemudahan amali yang disediakan?
kaedah pengajaran oleh guru?
1.4 Objektif Kajian
Kajian ini adalah untuk mengetahui sejauh mana perlaksanaan amali pertanian mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu di sekolah melalui persepsi murid.
Secara khusus objektif kajian adalah seperti berikut;
1.4.1 Menerangkan persepsi murid terhadap perlaksanaan amali pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 dari segi kepentingannya, kemudahan yang disediakan dan kaedah pengajaran yang dijalankan.
1.4.2 Mengenal pasti perbezaan di antara sikap murid terhadap mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 dengan jantina, latar belakang keluarga dan pencapaian akademik.
1.4.3 Mengenal pasti setakat mana amali pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 dilaksanakan di sekolah mengikut pengalaman murid.
1.4.4 Mengenal pasti sama ada terdapat perbezaan di antara murid lelaki atau perempuan dari segi pencapaian akademik bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3.
1.5 Kepentingan Kajian
Pendidikan merupakan agen utama yang dapat membentuk individu yang peka dan cekap memainkan peranannya dalam proses pembangunan diri sendiri dan masyarakat ( Sufean : 1993 ). Dalam menghadapi masalah seperti kegawatan ekonomi, belia boleh memainkan peranan penting sekiranya mereka telah dipersiapkan di peringkat awal. Turiman dan Azimi (1994) menyatakan bahawa pendidikan adalah salah satu unsur falsafah pembangunan belia. Unsur pendidikan menonjolkan kepentingan masyarakat berilmu sebagai asas perubahan ke arah pembangunan intelektualisme dan sosioekonomi. Dengan kemahiran pertanian, belia boleh membantu mengurangkan beban import bahan makanan yang diperlukan oleh rakyat negara ini. Dengan pendidikan yang berkesan, bermula di peringkat menengah rendah, minat dan kemahiran boleh dipupuk di peringkat awal.
Sehubungan itu, kajian terhadap perlaksanaan amali yang sedia ada perlu dijalankan untuk mengenal pasti persepsi murid mengenainya. Keberkesanan pendidikan, berkait rapat dengan kualiti. Manakala kepentingan persepsi murid adalah merujuk kepada konsep pengurusan berkualiti menyeluruh dan menurut Hertzke dan Olson (1993),
In TQM, quality usually is defined by customer demands (p.41)
Di sekolah, murid dianggap sebagai pelanggan utama yang perlu dipenuhi kehendaknya. Oleh itu, maklum balas dari murid adalah di antara unsur penting yang perlu diberi perhatian untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan proses pengajaran di sekolah.
Hasil kajian ini boleh digunakan oleh Pusat Perkembangan kurikulum ( Kementerian Pendidikan Malaysia ) , Unit Teknikal (Jabatan Pendidikan Negeri ) dan sekolah-sekolah menengah yang menawarkan Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 untuk merangka aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan kehendak semasa dan boleh dilaksanakan dengan berkesan .
1.6 Hipotesis
Terdapat lapan hipotesis yang diuji, iaitu ;
HA 1 : Terdapat perbezaan sikap terhadap amali pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu di antara murid lelaki dengan murid perempuan.
` HA 2 : Terdapat perbezaan sikap terhadap amali pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu di antara murid daripada keluarga yang berlatar belakang pertanian dengan murid daripada keluarga yang tidak berlatar belakang pertanian.
HA 3 : Terdapat perbezaan sikap terhadap amali pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu di antara murid yang mengambil mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 yang ditetapkan oleh pihak sekolah dengan murid yang mengambil mata pelajaran ini mengikut kehendak sendiri.
HA 4 : Terdapat perbezaan pencapaian akademik khusus bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu di antara murid lelaki dengan murid perempuan.
HA 5 : Terdapat perbezaan persepsi mengenai faedah amali pertanian mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu di antara murid lelaki dengan murid perempuan.
HA 6 : Terdapat perbezaan persepsi mengenai faedah amali pertanian mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu di antara murid daripada keluarga yang berlatar belakangkan pertanian dan murid daripada keluarga yang tiada latar belakang pertanian.
HA 7 : Terdapat perhubungan yang signifikan di antara pencapaian akademik murid dengan kedapatan kemudahan amali di sekolah.
HA 8 : Terdapat perhubungan yang signifikan di antara sikap murid terhadap pembelajaran amali pertanian dengan saiz kelas.
1.7 Batasan Kajian
Faktor tempoh masa kajian, kos dan tenaga kerja untuk melaksanakan kajian menyebabkan terdapat beberapa batasan mengenai hasil yang diperolehi . Batasan kajian ialah seperti berikut ;
1.7.1 Kajian ini dilaksanakan untuk amali pertanian mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 sahaja. Oleh itu dapatan dan rumusan berkaitan hasil kajian ini adalah terhad untuk amali pertanian bagi mata pelajaran ini dan tidak termasuk amali komponen lain di dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu.
1.7.2 Kajian ini dilaksanakan di sekolah menengah dalam Daerah Perak Tengah. Oleh itu dapatan dan rumusan berkaitan hasil kajian ini adalah terhad untuk sekolah menengah di daerah ini sahaja .
1.7.3 Sampel yang dipilih terdiri daripada murid Tingkatan Tiga sahaja dan bagi item yang berkaitan aktiviti amali semasa Tingkatan I dan Tingkatan II, situasi mungkin telah berubah dengan kemudahan dan guru yang berlainan. Oleh itu hasil kajian ini tidak boleh mewakili murid selain daripada Tingkatan III (1998).
1.7.4 Kemungkinan terdapat unsur `bias dalam menjawab soalan yang dikemukakan. Walaupun soal selidik ini telah diuji kebolehpercayaannya, responden mungkin menjawab sebagai memenuhi kuota dan kuantiti sahaja tanpa menimbangkan kesan terhadap kepentingan penyelidikan ini. Ini kerana terdapat tanggapan bahawa kajian menggunakan borang soal selidik tidak memberikan gambaran yang komprehensif terhadap persepsi responden.
1.7.5 Item soal selidik yang dikemukakan kepada responden termasuk mengimbas kembali perkara yang dilakukannya bagi tempoh dua tahun yang lepas. Responden ada kemungkinan telah lupa dengan aktiviti yang telah dilakukan dan memberikan jawapan yang salah.
1.8 Definisi Konsep dan Operasi
1.8.1 Persepsi Murid
Menurut Crow & Crow (1963) , persepsi adalah hasil tindak balas individu kepada persekitarannya melalui kegiatan berbagai organ deria dan memberi makna atau tafsiran.
Walker dan Shea (1995) menyatakan persepsi mempengaruhi prestasi sama ada oleh guru atau pelajar. Manakala Slameto (1988) menyatakan salah pengertian disebabkan persepsi yang salah boleh menyebabkan pelajar keliru dan rasa tidak relevan dengan aktiviti yang diikuti.
Dalam konteks kajian ini persepsi adalah daya tanggapan, cerapan serta pengamatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
1.8.2 Amali Pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu
Menurut Kamus Dewan (1989), amali bermaksud yang bersifat perlaksanaan prinsip atau teori yang dipelajari atau yang berasaskan perlaksanaan sebenar sesuatu ilmu pengetahuan . Perlaksanaan amali di sekolah berbentuk kerja praktik yang memerlukan pelajar membuat sendiri kerja dengan bimbingan guru. Kerja praktik adalah sebahagian daripada aktiviti pembelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu. Amali terhad kepada topik tersenarai di dalam sukatan pelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kerja praktik ini dilakukan sama ada di dalam makmal atau di luar bilik darjah.
1.8.3 Sekolah Menengah
Sekolah menengah yang terlibat ialah sekolah bantuan penuh kerajaan yang menawarkan mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 bagi pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 .