kembali semula

BAB 2

ULASAN KARYA 

2.1 Pengenalan

Bab ini akan mengkaji dan membincangkan konsep pengajaran dan pembelajaran khususnya kaedah pengajaran amali pertanian. Bab ini juga akan memberi tumpuan kepada aspek sikap murid, pengaruh persepsi serta kesannya dalam pembelajaran. Peranan sekolah juga disentuh untuk mengaitkannya dengan proses pengajaran. Beberapa hasil kajian terhadap perlaksanaan Kemahiran Hidup Bersepadu dan Sains Pertanian turut dibentangkan.

2.2 Konsep Pengajaran dan Pembelajaran

Pembelajaran dikenali sebagai satu perubahan tingkah laku (Cagne;1965). Pengajaran dikendalikan oleh guru dan pembelajaran dilakukan oleh murid. Jika murid telah mempelajari sesuatu, terdapat perubahan yang berlaku pada dirinya iaitu sekurang-kurangnya daripada tidak mengetahui sesuatu kepada mengetahui sesuatu . Menurut Sharifah Alwiah (1987), perubahan ini dikatakan sebagai perubahan perlakuan, perubahan pencapaian dan/atau perubahan prestasi. Oleh itu, pembelajaran murid menjadi objektif kepada pengajaran dan pembelajaran.

Untuk menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, interaksi guru dan murid adalah mustahak (Zaidatol Akmaliah : 1990). Untuk mendapatkan interaksi yang berkesan, guru hendaklah mengetahui pelbagai teknik atau gaya penyampaian yang sesuai dengan hasil pembelajaran, bahan pengajaran, kumpulan murid dan gaya pengajarannya. Nik Azis (1996) berpandangan setiap murid perlu membina ilmu pengetahuan berdasarkan pengalaman . Manakala dalam membina ilmu pengetahuan, empat aktiviti asas bersaling kait ia itu penglibatan aktif, refleksi dan renungan, pengabstrakan dan penghayatan.

Sufean (1993) menyatakan kepastian berlakunya pembelajaran tertakluk kepada dua faktor utama keberkesanan cara permudahan maklumat berlaku dan keberkesanan operasi deria serta mental individu murid semasa proses pembelajaran. Menurut Bell (1986), kepelbagaian kecekapan, kemahiran dan sikap dapat diperolehi melalui proses pembelajaran tetapi prasyarat yang diperlukan ialah pengetahuan asas yang kukuh.

Menurut Ibn Khaldun pula, kemahiran tidak memadai kecuali dengan pembiasaan dan mengalami apa yang dilihat adalah lebih lengkap dan sempurna dari sekadar mendengar (Abdullah : 1994). Manakala Binstead (1986) berpendapat, kemahiran interpersonal boleh didapati melalui tiga aspek reka bentuk iaitu:

pelbagaian elemen dalam kitaran pembelajaran perlu wujud dalam bentuk proses pembelajaran menyeluruh yang tersusun.

perlu melibatkan kaedah pembelajaran

perlukan kemudahan tertentu untuk membantu pengajaran.

Kemahiran yang ingin diperoleh murid dalam proses pembelajaran digambarkan oleh Argyris dan Schon (1976) sebagai berikut,

Skills are dimensions of ability to behave effectively

in situation of action. (p.86)

 

Untuk mencapai objektif pembelajaran ini, Taba (1962) menyarankan kurikulum efektif dengan mengambil kira keupayaan pembelajaran dan kebolehsuaian ke atas murid. Seiring dengan itu Pierce dan Lorber (1977) telah mengemukakan `Model Arahan Logik’ (The Logical Instructional Model) yang menyarankan agar guru menerangkan objektif pengajaran kepada murid terlebih dahulu dan melaksanakan penilaian awal. Di dalam keadaan tertentu, ada kemungkinan murid telah mempunyai kemahiran yang menjadi objektif pengajaran. Sekiranya murid telah sedia mahir, guru tidak perlu meneruskan amali tersebut tetapi guru perlu berpindah kepada topik yang lain. Setelah tamat pengajaran, penilaian dilakukan untuk mempastikan sama ada pengajaran boleh beralih ke objektif berikutnya. Model berkenaan boleh dirujuk kepada rajah di bawah ;

Rajah 2.1 : Model Arahan Logik .

Dengan mengamalkan kaedah ini pengetahuan sedia ada sentiasa diberi perhatian. Kekurangan pengetahuan yang lebih asas akan menimbulkan kesukaran murid mengikuti pelajaran berkenaan dan menghasilkan kekecewaan. Manakala pelajaran yang asas akan menyebabkan kebosanan bagi murid yang telah menguasai pengetahuan atau kemahiran yang asas ( Atan Long : 1991)

 

2.3 Pembelajaran dan Pengajaran Amali

 

Mosston (1972) telah mengemukakan teori mengenai stail pengajaran yang diamalkan oleh guru dan satu kontinum mengenai teknik-teknik pengajaran

Rajah 2.2 : Kontinum keputusan oleh Mosston dalam kaedah pengajaran

Menurutnya, terdapat tiga kategori keputusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu pre-impact, impact dan post-impact. Keputusan pre-impact menekankan kepada perancangan dan persediaan mengajar . Manakala keputusan impact menekankan kepada perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran serta membuat penyesuaian berdasarkan kepada maklumbalas daripada tingkah laku murid.

Berdasarkan kontinum Mosston, proses pengajaran dan pembelajaran amali sebaik-baiknya berdasarkan stail pengajaran D , E , F dan G . Bagi stail pengajaran G , melalui aktiviti kokurikulum , pelajar boleh meningkatkan kemahiran. Sebagaimana saranan Shahril et.al (1993), sebaik-baiknya aktiviti kurikulum diikuti dengan aktiviti kokurikulum sebagai langkah pengukuhan dan menunjukkan kesinambungan di antara apa yang di dapati dalam jadual waktu persekolahan dengan luar jadual waktu persekolahan. Di peringkat ini, guru bertindak sebagai pembimbing untuk program yang lebih mencabar murid. Aktiviti yang mencabar dibuktikan boleh meningkatkan potensi murid (Gagne : 1977)

Phipps dan Osborne (1990) menyatakan lapan faktor asas pengajaran kemahiran pertanian yang baik ialah seperti berikut ;

a. Demokrasi

Guru perlu melayani murid dengan baik dan murid diberi peluang membantu dalam perancangan dan penilaian.

b. Kegunaan

Guru dan murid perlu memberi keutamaan kepada pengetahuan dan kemahiran yang boleh digunakan sekarang atau pada masa yang terdekat.

c. Kesediaan

Mengajar sesuatu kepada murid sebelum mereka bersedia untuk mempelajarinya boleh menyebabkan pengajaran kurang berkesan. Ketidaksediaan murid mungkin disebabkan perkembangan mental, minat atau sikap. Guru perlu berusaha membimbing murid supaya mereka mempunyai minat yang berterusan.

d. Belajar Melalui Perlakuan

Pengajaran perlu dijurus kepada aktiviti yang perlu dilakukan murid dan pengajaran tidak akan selesai sehingga pelajar menggunakan segala kebolehan yang telah diajarkan. Apa yang diajar dalam bilik darjah hendaklah berkaitan dengan amali. Hubungkait di antara teori dan amalan makmal (amali) boleh memperbaiki pemindahan prinsip dan kemahiran kepada situasi penggunaan.

e. Motivasi

Murid akan mempelajari sesuatu dengan lebih bersungguh-sungguh sekiranya mereka sedar tentang keperluan untuk mempelajarinya. Murid yang bermotivasi akan membolehkan pencapaian dan kepuasan belajar meningkat.

f. Struktur

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu disusun dengan baik. Ini untuk membolehkan peralihan daripada suatu tema atau aktiviti kepada tema atau aktiviti yang lain akan lebih mudah diterima dan difahami murid.

g. Maklum Balas

Kemajuan dan kualiti kerja perlu diberitahu kepada murid oleh guru sebagai asas untuk pencapaian yang berterusan. Manakala peneguhan pula melibatkan rangsangan lisan untuk menggalakkan atau tidak menggalakkan murid yang dicerap. Sama ada peneguhan positif atau negatif, kedua-duanya hendaklah digunakan secara berhati-hati.

h. Penemuan

Dengan kaedah ini, proses pengajaran dan pembelajaran menghendaki penglibatan murid secara aktif iaitu bermula dengan mengenal pasti sehingga membuat kesimpulan. Secara umumnya, murid lebih bermotivasi dan lebih berjaya sekiranya diberi peluang untuk menemukan prinsip dan penyelesaian di bawah bimbingan guru.

Pendekatan Skinner pula menyatakan, tingkah laku hanya boleh difahami apabila murid telah belajar meramal dan mengawal tingkah laku tersebut. Skinner tidak menerima penerangan tingkah laku dari segi kognitif sebab penerangan seperti ini tidak menyatakan bagaimana pembolehubah boleh dimanipulasikan supaya mengawal tingkah laku. Dalam erti kata lain, kemahiran psikomotor tidak boleh diperolehi secara teori tetapi perlu melalui amali . Di antara cara untuk membangkitkan gerak balas ialah dengan kaedah `cuba jaya’. Satu cara yang sering digunakan ialah menunggu murid melakukan gerak balas yang betul .

Tingkah laku bermotivasi biasanya diarahkan kepada sesuatu matlamat . Menurut Atkinson (1978), tingkah laku yang berorientasikan matlamat ditentukan terutamanya oleh dua faktor iaitu jangkaan bahawa sesuatu perlakuan akan menuju kepada matlamat dan nilai insentif matlamat itu . Jika murid memang berminat dan dapat melihat kepentingan pembelajaran sama ada pada masa ini atau akan datang, lazimnya mereka akan bersungguh-sungguh menghadapinya. Mengikut McClelland (1961) di antara ciri murid yang mempunyai pencapaian yang tinggi ialah suka membuat kerja yang berkaitan dengan pencapaian, lebih suka membuat sesuatu kerja yang mana individu itu bertanggungjawab bagi kejayaannya dan suka mendapat maklum balas tentang sesuatu pencapaian. Habibah (1990) pula menambah, guru berperanan memfokuskan perhatian murid kepada objektif-objektif pembelajaran yang hendak dicapai. Apabila murid menyedari tentang objektif yang hendak dicapai, perlakuan mereka akan dijuruskan kepada tujuan itu . Keinginan untuk mencapai dan untuk mengalami kejayaan adalah penting bagi menetapkan matlamat yang realistik. Guru perlu membantu murid menetapkan matlamat dan cara untuk mencapainya. Langkah yang boleh dimainkan oleh guru ialah dengan cara sentiasa memberi maklum balas tentang kejayaan yang dicapai atau kesilapan yang dilakukan.

Bagaimana pun terdapat juga situasi dimana faktor lain boleh mengganggu (distract) tumpuan murid yang menunjukkan minat dalam pembelajaran. Menurut Hamilton dan Ghatala (1994) seseorang yang tertekan disebabkan gagal mencapai matlamat dalam bidang tertentu boleh memberikan persepsi yang negatif.

2.3 Sikap Murid

Sikap bermaksud perbuatan atau pandangan yang berdasarkan pada sesuatu pendapat atau fikiran ( Kamus Dewan : 1989 ). Tetapi dimensi pengertian sikap adalah luas dan definisi sikap berubah-ubah mengikut konteks penggunaannya.

Menurut Allport ( !958) ;

An attitude is a mental and neutral state readiness, organized through experience, exerting a directive or dynamic influence upon the individual’s response all objects and situations with which is related (p.27)

Ini menggambarkan sikap sebagai satu kesediaan mental yang diatur berdasarkan pengalaman yang dilaluinya dan seterusnya mempengaruhi gerak balas individu terhadap objek dan situasi yang berkaitan.

Stager (1937) pula berpandangan bahawa sikap dibentuk oleh objek, arah dan darjah. Objek adalah aspek kognitif daripada pengalaman individu. Arah adalah perasaan suka atau tidak suka terhadap sesuatu objek tersebut yang lahir daripada pengalaman. Manakala darjah adalah kadar aktiviti yang dilakukan dan dilahirkan situasi yang melibatkan sikap. Thurstone (1957) melihat sikap sebagai suatu perasaan sama ada positif atau negatif terhadap sesuatu objek. Manakala Katz (1966) mendefinisikan sikap sebagai sesuatu yang mempengaruhi seseorang di dalam memberi nilai terhadap simbol objek atau apa jua yang disukai atau sebaliknya. Oleh itu, sikap adalah sesuatu yang terhasil daripada perasaan, kepercayaan atau pemikiran seseorang terhadap objek psikologi. Sekiranya seseorang murid bersikap negatif terhadap suatu mata pelajaran, murid tersebut akan mencari alasan untuk mengelak daripada mengikutinya atau tidak responsif terhadap aktiviti berkaitan. Manakala perasaan positif akan memperlihatkan kepercayaan manfaat yang boleh mendorong murid berminat untuk mempelajarinya. Justeru itu, sikap murid terhadap sesuatu mata pelajaran itu penting untuk menentukan objektif pembelajaran dicapai.

Ajzen (1975) menyatakan,

..learned tendencies to perceive and act in some consistency favorable or unfavorable manner with regard to a given object or idea such as product, service or spokesperson. ( p.6 )

Ini menjelaskan bahawa sikap tidak dilahirkan tetapi diperolehi melalui pengamalan yang lepas dan berkecenderungan untuk membawa sesuatu perlakuan pada masa hadapan. Oleh itu, semakin individu suka terhadap sesuatu perkara maka keyakinan individu terhadap perkara tersebut akan bertambah.

2.4 Pengaruh dan Kesan Persepsi

Pengalaman adalah faktor utama yang mempengaruhi pembentukan kumpulan sikap pada sesuatu persepsi. Atan Long (1982) menyatakan, pengalaman yang didapati oleh seseorang dalam proses penanggapannya menghasilkan ketekalan persepsi. Ia bermaksud persepsi yang stabil mengikut apa yang diketahui dan dialami walaupun rangsangan yang baru diterima oleh panca indera adalah bertentangan.

Rogers dan Burdge (1962) telah mengemukakan satu paradigma yang mengaitkan hubungan di antara persepsi dan perlakuan seperti berikut :

Rajah 2.3 : Faktor Mempengaruhi Persepsi dan Kaitannya dengan Perlakuan

Sprinthall (1984) menyatakan bahawa sikap, motif dan persepsi guru akan mempengaruhi tindakan murid. Hal ini boleh berlaku sebaliknya dan seterusnya mempengaruhi perkembangan sikap murid-murid berkenaan. Sebagai contoh, layanan guru terhadap murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran boleh mempengaruhi persepsi murid terhadap guru dan mata pelajaran yang diajar. Murid sentiasa menyedari perbezaan layanan guru terhadap diri mereka dan rakan-rakan mereka yang lain ( Stipek : 1988). Kajian Weinstein & Middlestadt (1979) mendapati terdapat diskriminasi layanan di antara murid yang berpencapaian tinggi dengan murid yang berpencapaian rendah. Darjah pembezaan ini akan memberikan implikasi persepsi murid kepada guru. Kajian lanjut Brattesani, Weinstein dan Marshall (1984) mendapati kelas yang lemah kurang mendapat layanan dan hubungan di antara guru dan pelajar kurang erat berbanding kelas yang muridnya lebih cerdas . Ini akan mengurangkan minat murid terhadap mata pelajaran yang diikuti.

2.4 Peranan Sekolah

Menurut Morphet, Johns & Reller (1982), matlamat sesebuah organisasi tidak setakat mengadakan keadaan yang mempertingkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran tetapi mengadakan keadaan yang dapat mempertingkatkan kecekapan organisasi bagi mencapai matlamat. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Buku Panduan Pengurusan Profesional Sekolah Menengah, perlaksanaan kurikulum meliputi aktiviti-aktiviti pendidikan perlu diteliti dan dirancang oleh pengurus untuk mengelakkan kesilapan ataupun pembaziran. Menurut Wan Zahid (1993), di antara konsep pengurusan di sekolah ialah menyelenggarakan sumber-sumber yang ada dengan cara yang berkesan. Sumber-sumber yang ada di dalam organisasi ialah tenaga manusia, masa dan barangan. Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan (1993) pula menambah, pihak sekolah bertanggungjawab untuk menyediakan iklim pembelajaran yang kondusif dengan memanfaatkan sumber-sumber berkenaan.

Dalam konteks pengurusan kurikulum, pengurus sekolah perlu menyediakan kemudahan, tempat dan jadual waktu persekolahan yang sesuai serta alatan dan bahan yang mencukupi menggunakan segala sumber yang diperuntukan. Oleh itu pengetua sekolah adalah bertanggungjawab penuh untuk merancang, mengurus, mengawal dan menentukan pengurusan kewangan di sekolahnya dengan cekap (Omardin : 1996). Dengan bantuan per kapita yang disalurkan, keperluan mata pelajaran seperti bahan dan peralatan disediakan oleh pihak sekolah dengan syor guru mata pelajaran atau melalui panitia berkenaan. Peranan berkesan panitia mata pelajaran pula boleh membantu pentadbir sekolah menyalurkan bantuan per kapita mengikut keutamaan keperluan selain daripada merancang dan menyelaraskan pengurusan skema dan bahan-bahan mata pelajaran masing-masing. Dalam pemantauan, budaya pencerapan dan bimbingan di sekolah dapat dijadikan amalan yang diterima secara terbuka dan diuruskan secara profesional.(Abdul Rahim,1995).

Dalam perkara penentuan waktu, sikap serta sambutan guru dan murid kepada corak penyusunan adalah amat penting kalau dikira dari aspek peningkatan pencapaian (Omardin :1996). Jadual waktu mata pelajaran perlu disesuaikan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Aktiviti luar bilik darjah yang memerlukan murid melakukan kerja praktik di ladang sebaik-baiknya di laksanakan waktu pagi atau lewat petang. Terdapat kerja-kerja amali yang disyorkan di waktu berkenaan contohnya mengubah anak pokok atau memetik hasil sayuran.

Menurut Noor Azmi (1994), kebolehan untuk menangani perubahan dan menyelesaikan masalah yang ada dan yang akan timbul adalah penting pada setiap individu yang terlibat dalam pendidikan. Sehubungan itu, sebarang perubahan yang berlaku dalam perkara berkaitan kurikulum seperti perubahan sukatan pelajaran, perkembangan teknologi, kaedah terkini untuk pengajaran dan sebagainya perlu mendapat respon yang wajar. Dengan pengupayaan yang diberikan atau yang ada pada mereka, guru-guru mata pelajaran akan mempunyai peluang dan keyakinan untuk menjalankan tugas-tugas mereka sesuai dengan keperluan murid sebagai pelanggan. Peranan pihak sekolah untuk memberi kepercayaan dan kerjasama kepada guru seperti penyediaan keperluan mata pelajaran dan penyediaan jadual waktu yang sesuai adalah penting kerana guru lebih memahami keperluan pelajar dan mata pelajarannya.

2.5 Kajian Lepas Berkaitan Kemahiran Hidup Bersepadu dan Sains Pertanian

Kajian Ramlah (1993) mendapati bagi pilihan pertanian terdapat lebih ramai murid lelaki. Dalam kajiannya dinyatakan Kemahiran Hidup Bersepadu boleh membentuk murid kepada sifat kreatif dan inovatif di samping mata pelajaran ini memberi murid pengetahuan dan kemahiran asas dalam kehidupan seharian.

Abu Bakar (1993) dalam kajiannya mengenai pencapaian murid dalam Kemahiran Hidup mendapati, minat yang tinggi akan menghasilkan pencapaian yang tinggi. Didapati juga pencapaian dan minat murid luar bandar dalam mata pelajaran ini adalah kurang berbanding murid bandar.

Manakala Jamal (1986) dalam kajiannya menyatakan bahawa kemudahan alat dan keperluan tidak mencukupi serta sukar diperolehi menyebabkan masalah untuk melaksanakan gerak kerja amali Sains Pertanian dengan berkesan.