programming | html tutorial | articles

up ]

Tapak Web

Tapak web ialah sebuah kawasan untuk meletakkan laman-laman web di internet. Melalui tapak web inilah kita dapat melihat laman-laman web di dalamnya. Terdapat banyak tapak-tapak web di internet, sebagai contoh, www.tv3.com.my, www.utusan.com.my dan www.microsoft.com. Tapak-tapak web ini adalah yang berbentuk komersil dan syarikat-syarikat tersebut mengeluarkan wang untuk memiliki tapak web. Anda juga boleh memilik tapak web samada, dengan membayar kepada Tm-Net atau Jaring sebanyak beberapa puluh ringgit setahun untuk mendapat tapak web, atau, anda boleh mendapatkan secara percuma di www.oocities.org, www.tripod.com,

Apa itu tapak web sebenarnya

Tapak web ini sebenarnya ialah salah satu direktori khas di komputer pelayan (server) yang bersambung ke internet. Di dalam direktori khas ini tersimpan laman-laman web untuk tapak web tersebut.

Apa sebenarnya yang dilakukan oleh tapak web

Tapak web cuma memberi fail-fail yang diminta oleh komputer anda. Sebagai contoh, jika anda menaip www.tv3.com.my di Internet Explorer, maka komputer pelayan tv3 memberi anda fail index.html sebagai laman web utama tapak web tersebut, dan memaparkannya di Internet Explorer. Apabila anda klik sesuatu jalinan di dalam laman web utama itu, ia bermaksud anda meminta laman web lain untuk dipaparkan. Secara umumnya, bolehlah dikatakan bahawa komputer anda berfungsi untuk menerima fail yang diberikan oleh komputer pelayan tv3.

Jika anda prihatin dengan laman web, anda tentu pernah terdengar 'hacker' menceroboh laman tapak web dan meletakkan gambar-gambar yang tidak senonoh. Apa yang hacker tersebut lakukan ialah dengan menukarkan fail-fail laman web di dalam tapak web tersebut dengan fail-fail html yang mengandungi gambar-gambar yang tidak senonoh. Tetapi perkara pertama yang hacker ini perlu lakukan ialah mendapat akses kepada direktori yang menyimpan laman-laman web ini. Jika anda mahu laman web anda selamat, pastikan anda memelihara kata laluan anda dengan sebaik-baiknya.

Memuat-naikkan laman web ke tapak web

Untuk memuatnaikkan laman web anda ke tapak web, anda memerlukan perisian ftp untuk berhubung dengan komputer pelayan. Ftp bermaksud File Transfer Protokol (dalam bahasa malaysianya, protokol memindahkan fail). Contoh-contoh perisian ftp ialah seperti Ws_ftp dan Cute_ftp ataupun Microsoft FTP. Perisian-perisian ini dibekalkan secara percuma oleh syarikat-syarikat yang baik hati dan ianya boleh didapati dari tapak web www.download.com. Cara untuk memindahkan fail-fail html ini ada diceritakan di topik HTML Lanjutan.

Tapak web virtual di komputer anda

Anda juga boleh membina tapak web virtual di komputer anda dengan menggunakan perisian seperti Microsoft Personal Web Server. Dengan menggunakan perisian ini anda boleh melihat bagaimana rupabentuk laman web anda apabila dipindahkan ke tapak web peribadi anda di internet.

Walaubagaimanapun, perisian ini tidak perlu, kerana anda boleh melihat laman-laman web anda di komputer anda dengan membuka fail laman web tersebut dengan menggunakan Internet Explorer ataupun Netscape Navigator.

Mengemaskini tapak web

Untuk mengemaskini laman web, anda cuma perlu gantikan laman-laman web yang lama dengan yang baru.

 

c programming | html tutorial | articles | home
about me | links | search | guestbook | photo album