

Pengenalan Kepada Sajak.
Sajak ialah suatu bentuk karangan berangkap atau puisi baru atau
moden yang lebih bebas.
Puisi ini dipersembahkan dalam rentak dan baris-baris yang tidak
dihadkan.
Baitnya disusun mengikut keperluan isi. Bentuk yang bebas daripada
bentuk puisi Melayu lama disebut sebagai sajak bebas.
Sajak dapat dibahagikan kepada beberapa bentuk atau jenis mengikut
kandungan dan jumlah barisnya. Ini kerana sajak-sajak yang dihasilkan oleh penyajak adalah
mengikut kehendak penyajak itu sendiri.
Ciri-Ciri Sajak
Tema.
Tema ialah pokok persoalan yang menjadi isu utama
yang dikemukakan oleh penyajak. Tema mungkin ; gambaran masyarakat, perjalanan diri
menyajak, pernyataan cinta terhadap alam/manusia, semangat perjuangan, agama atau budaya.
Unsur Bahasa.
Bahasa merupakan media untuk menyampaikan
perasaan, pemikiran dan pengalaman jiwa. Bahasa yang digunakan dalam sajak bukan bahasa
harian, malah juga melibatkan penggunaan pelbaga unsur bahasa seperti:
- Personifikasi.
- Metafora.
- Simile.
- Perulangan.
- Hiperbola.
- Inversi.
- Perlambangan.
Unsur Bunyi.
Rima.
Imejan.
Nada.
Simbol / Lambang.
Sajak : Tingkatan 5
Keindahan Yang Hilang
I
Sayup-sayup undan tua berlagu hiba
Terbang beriringan di rembang petang
Renik-renik mengirai bulu carik
Melayan satu-satu berbaur debu
Lesu berapungan di air lalu.
Daun-daun menghijau alangkah segar
Kemilau danau disinar mentari
Kali tenang betapa lembut mengalir ke muara
Kedamaian melingkar rimba
Lalu tumpah kasih nan jernih
Erat bertaut cinta kasih.
Malam hiba dadanya ungu luka
Pungguk tersedu pilu di atas batu
Bulan tiada lagi mendandan wajah
Bintang malam pudar sinarnya.
|
II
Orang bicara bulan bintang di makmal
Pada buku, data dan komputer
Lalu bulan dan cakarawala bisa diteroka
Bisa kembara di planet dan angkasa.
Undan patah sayap gugur bulunya bertaburan
Suara siapa parau mendera di malam lara
Kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda
Kepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa? |
III
Bulan kini bukan lagi menara kasih jernih
Bintang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih. |
HURAIAN SAJAK
"KEINDAHAN YANG HILANG".
Bahagian 1:Memaparkan keaslian dan keindahan alam
semula jadi yang mula menerima perubahan daripada kesan pembangunan moden.
Rangkap 1 ; memaparkan kehidupan
burung-burung laut yang semakin pupus kerana pemcemaran laut.
Rangkap 2 ; memaparkan kesegaran
dan kehijauan tumbuhan,keheningan tasik dan ketenangan air sungai yang indah bebas
daripada pemcemaran, membei kedamaian kepada kehidupan manusia.
Rangkap 3; penyajak menyingkap
kedukaan alam sekitar,dicemari perubahan waktu dan kehidupan manusia yang semakin maju,
sinar bulan dan bintang yang tidak lagi menjadi sumber keindahan malam dan suara pungguk
tidak lagi kedengaran.
Bahagian 2:
Rangkap 1 ; Menerangkan kecanggihan teknologi
moden menerokai alam dan cakerawalanya. Kemajuan ini membolehkan manusia mengkaji kejadian
alam melalui buku dan data-data dalam komputer. Manusia telah mempu untuk menerokai
angkasa lepas dan menjejakan kaki di bulan.
Rangkap 2; Memaparkan kesan penerokaan teknologi kepada manusia.
Pencemaran alam sekitar di laut, di bumi dan di sungai berpunca daripada pembangunan moden
yang tidak mengambil kira kepentingan menjaga keaslian alam sekitar, malapetaka yang
mengamcam nyawa seperti banjir dan jerubu daripada tindakan manusia sendiri
Bahagian 3:
Dua baris dalam rangkap ini membawa maksud bahawa
manusia hari ini tidak lagi menghargai keindahan alam semulajadi. Arus membangunan dan
teknologi moden tidak lagi melihat bulan dan bintang sebagai lambang keindahan dan
kedamaian manusia.
ULASAN :
PENGENALAN
Shamsuddin Jaafar (penyajak) telah
mengambarkan keindahan dan ketenangan alam semula jadi telah dikocakkan oleh arus
pemodenan yang dibawa oleh teknologi. Ia juga mendorong pembaca memikirkan kesan daripada
pemerkosaan teknologi terhadap alam
TEMA
Cinta kepada keamanan dan kedamaian alam
semula jadi.
NADA
Sajak ini bernada protes
penyajak terhadap alam sekitar yang terabai dan tercemar akibat daripada pembangunan yang
tidak terancang. Penyajak juga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sikap manusia yang
tidak lagi menghargai keaslian dan keindahan alam sekitar. Penyajak juga bimbang bencana
yang akan menimpa manusia akibat daripada teknologi yang dicipta oleh manusia.
BENTUK
6 rangkap bentuk bebas.
NILAI & PENGAJARAN
Tanggungjawab menjaga alam sekitar Tugas ini memerlukan sokongan semua
pihak. Kita perlu menjaga alam sekitar walaupun mengejar kemajuan kerana isi alam
mempunyai fungsi tersendiri kepada kehidupan manusia dan haiwan.
Prihatin dan kasih sayang Perasaan kasih sayang dan perihatin bukan
sahaja perlu sesama manusia tetapi juga terhadap alam dan keindahannya. Pengajarannya,
jika sifat ini wujud dalam setiap manusia mereka tidak akan memusnahkan isi alam dengan
sewenang-wenangnya.
Kecanggihan ilmu dan teknologi perlu digunakan bagi memakmurkan dunia untuk kepentingan
kehidupan manusia dan kehidupan yang lain tanpa memudaratkan persekitaran dan isi alam
ini. Kita boleh menerokai alam tetapi jangan merosakkannya kerana bancana
akan menimpa sekiranya kita leka.

Di sini aku pulang Tempat bersekolah dan dibesarkan
Lewat padang Speedy
Terus ke Durian Sebatang
Semuanya kini terasa kecil mengimbau rindu.
Dan kenangan.
|
Rangkap 1 ; menceritakan kepulangan penyajak ke kampung
kelahirannya di Durian Sebatang. Dalam perjalanan beliau melawati sekolah tempat dia
belajar dan padang Speedy tempat dia bermain. Kepulangannya mengimbau nostalgia penyajak
ketika zaman persekolahannya yang lalu |
Di sini anak belasan tahun Mulai mengenal cinta dan ilmu
Pengorbanan ayah dan emak
Keakraban teman dan pengelutan
Detik itu mengambang bagai mimpi
Sewaktu kulewati kota kecilku ini
|
Rangkap 2 ; Di kampung kelahiran dan
sekolah tempat beliau belajar itulah petani belajar serti kasih sayang dan pengorbanan ibu
bapa dan menimba ilmu daripada guru-gurunya. Penyajak juga terkenang kembali akan gurau
senda rakan sepermaianan ketika masih berada di kampung dahulu. |
Sesaat tiba di muka sekolah Telah lama kutinggalkan
Kini sudah berubah
Teras sepi
Suara guru yang memberikan markah
Pada pangkat pertama
Buat si anak desa
Dan ayahku tak berkata bangga.
|
Rangkap 3; Penyajak mengunjungi sekolah lamanya yang kini
telah berubah. Penyajak terkenang kembali suara guru yang mengajarnya sehingga berjaya
mendapat pangkat pertama yang dianggap pencapaian terbaik anak kampung pada masa itu.
Penyajak juga terkenang bagaimana ayahnya tidak menunjukkan sebarang perasaan bangga di
atas kejayaannya |
Di sinilah anak desa Mengenal dunia
Di kota kecilnya
Padang Speedy
Dan Durian Sebatang
Meski berubah pandangan
Mengimbau rindu dan kenangan, Sayang.
|
Rangkap 4; Penyajak sedar bahawa kehidupannya bermula di
kota kecil, Durian Sebatang. Sekarang penyajak tidak lagi tinggal di kampung kelahirannya
yang telah banyak perubahan tetapi dia tetap mengingati kampung halamannya walau di
manapun beliau berada sekarang |
ULASAN:
Baha Zain telah memapar nostalgia 'tempat
bersekolah dan dibesarkan' dan tempat 'mulai menganal cinta ilmu' beliau semasa zaman
remaja di kampung halamannya.
TEMA
Sajak ini bertemakan cinta kepada kampung
halaman yang telah lama ditinggalkan. Ia berkait rapat dengan pengalaman
peribadi penyajak yang menyatakan perasaan rindunya kepada kenangan hidup zaman remaja dan
persekolahan di kampung.
NADA
Sajak ini bernada romantis di
mana keseluruhan sajak ini menggambarkan perasaan rindu dan tenang apabila berada semula
di kampung halaman tempat kelahirannya.
BENTUK
4 rangkap sajak bebas.
NILAI DAN PENGAJARAN
Mengenang budi dan jasa
Nilai yang digambarkan - jasa dan pengorbanan ayah, ibu dan
gurunya. Setiap pengorbanan dan budi yang diterima perlu dikenang,dihargai dan diingati.
Mencintai kampung halaman
Penyajak sangat mengasihi kampung kelahirannya, walaupun telah
menetap di kota. Hal ini menjadikan pengajaran kepada kita supaya tidak lupa asal usul
diri walau di manapun kita berada.
Kasih sayang
Bersifat universel dan boleh mengasihi tanah air sendiri. Sifat ini
perlu dipupuk dan disemai dalam jiwa setiap individu supaya sayang kepada tanah airnya.
Ilmu mengangkat martabat diri
Penyajak
merupakan seorang pelajar yang berjaya di kampungnya. Kejayaan ini tidak menjadikan
ayahnya bangga kerana kebijaksanaan bukan untuk dibangga-banggakan. Ketinggian ilmu harus
seiringan dengan moral yang baik supaya kita menjadi insan yang sejahtera.

Semua hadir pada tempatnya
semua berlalu
pada waktunya. |
Rangkap ini merupakan
penafsiran penyajak tentang sejarah. Sejarah akan terukir pada bila-bila masa dan tidak
mengira tempat. Sejarah akan terus tercatat selagi dunia dan manusia masih wujud. |
Diktator dijatuhkan,
penipu diketemukan dengan tipuannya,
dan kau yang mengaku benar
juga akan tenggelam,
batu pada sungai merah,
yang menempatkan segalanya. |
Penyajak menyatakan sejarah banyak mencatat peristiwa
kejatuhan pemerintah yang zalim,jahat dan menipu mendapat balasan daripada apa yang
dilakukannya sendiri. Siapa yang mengaku berkuasa dan angkuh akhirnya akan musnah. Banyak
pemimpin negara yang dijatuhkan oleh rakyatnya sendiri apabila api kemarahan terhadap
kezaliman yang berlaku membuak dalam dada rakyat yang tertindas. Ini kerana rakyat yang
mengangkat mertabat seseorang pemimpin. |
Walaupun akan surut juga
air peristiwa,
tapi detik ini maha penting,
saat-saat ini menjadi ruang
untuk makna dan pilihan. |
Walaupun sejarah terus berlalu dan silih berganti tetapi
bagi penyajak catatan sejarah hari ini amat penting kerana pemilihan seseorang pemimpin
hari ini akan memberi kesan kepada sejarah yang akan berlaku pada masa hadapan. |
Walaupun aku kerdil,
pada ukuran keutamaan,
namun untuk ruang dan masa ini,
untuk hidup ini
kugerakkan pernyataan
kewujudanku. |
Penyajak bersikap sinis terhadap golongan yang meremehkan
sejarah yang sepatutnya dijadikan iktibar dan perbandingan. Hal ini kerana sejarah
merupakan pernyataan kebenaran apa yang telah berlaku. Penyajak ingin menyakinkan pembaca
bahawa kewujudan sejarah penting bagi kehidupan manusia seterusnya. |
Dan kau diktator
pada tempat dan akal sempit,
perancang di belakang pintu,
pemisah golongan
untuk perhambaan
mesti berdepan dengan kami,
kerana sejarah itu simpang-siur,
kita ciptakannya bersama. |
Penyajak sekali lagi menyatakan bahawa kuasa-kuasa besar
yang menindas dan mengadu-domba golongan yang lemah untuk kepentingan mereka, perlu
berdepan dengan kebenaran. Sejarah membuktikan bahawa kehidupan ini sering berubah dan
berputar, yang kuat akan menjadi lemah dan yang lemah hari ini akan berkuasa pada masa
akan datang. Oleh itu, manusia merupakan pengukir sejarah. |
Muhammad Haji Salleh telah memberi definisi
sejarah dalam sajak beliau. Selain daripada itu, beliau juga menyatakan sejarah tidak
boleh disekat dan menyatakan kebenaran, sejarah tidak berbohong serta kita boleh belajar
dari sejarah.
TEMA
Sajak ini mengemukakan tema nasionalisme
yang bersifat kesejagatan. Tema ini diungkap melalui persoalan yang
melibatkan kepentingan diri, bangsa, tanah air dan dunia amnya.
NADA
Sajak ini bernada protes yang
menggambarkan sikap penyajak yang tidak puas hati terhadap situasi yang berlaku di dunia
ketika ini. Penyajak menyampaikan kesalnya kepada pemimpin yang tidak belajar daripada
sejarah silam dan masih terus melakukan kuasa kuku besi.
BENTUK
Lima rangkap - berbentuk bebas.
NILAI DAN PENGAJARAN
- Menghargai sejarah
.
Catatan sejarah yang berlaku perlu dihayati kerana ia dapat memberi
kita peringatan dan pengajaran sejarah silam akan berulang jika kita tidak mengambil
ikhtibar daripada peristiwa yang telah berlaku.
- Setiap perbuatan akan menerima pembelasan
.
Pemimpin akan jatuh kerana kezaliman sendiri tercatat dalam sejarah
dunia. Mereka menipu akan terjerat dengan tipu helahnya sendiri. Perlakuan negatif begini
perlu dihindiri supaya kita tidak menerima kesan buruk daripada perbuatan sendiri.
- Hormat-mengharmati sesama manusia
.
Manusia mempunyai peranan masing-masing. Sepatutnya tidak berlaku sikap
tindas-menindas sesama manusia,jika ada rasa hormat menghormati antara satu sama lain.
- Sentiasa berhati-hati dan waspada
.
Kita perlu berhati-hati
terhadap tipu helah manusia, sejarah mencatatkan banyak kemusnahan
berlaku kerana sikap manusia yang
lalai dan terburu-buru.

Pentafsir, sebenarnya
telah lama kucari suaramu yang sarat
ke mana jatuhnya gema itu ?
Di manakah tempat istirehat
setelah pengembaraan yang penat
di manakah telah kaurakamkan
pertemuan matahari, rimba dan lautan? |
Penyajak membuat
pernyataan bahawa dia telah lama mencari arah dan kebenaran dalam kehidupan tetapi masih
belum ditemui. Penyajak masih mencari-cari di manakah penghujung kehidupan setelah melalui
kehidupan yang panjang. Usia yang semakin bertambah menyebabkan penyajak hampir terlupa
peristiwa-peristiwa silam yang dilaluinya. |
Senja ini menemuiku dengan lusuh catatanmu
angin sedang cuba mengoyak-ngoyakkan lembar-lembar buku
sedang aku belum ketemu
surat yang kautuliskan padaku. |
Sewaktu usia semaikin
tua, penyajak melalui kehidupan mengikut arus takdir yang ditentukan. Pertambahan usia
memberi peringatan kepada penyajak bahawa sisa-sisa usia semakin singkat,tetapi penyajak
merasakan masih tercari-cari petunjuk yang benar daripada pencipta-Nya. |
Telah hilangkah ia atau kau tidak pernah menulisnya
ah, aku tidak bisa tidur dan melupakan
racun keresahan telah membunuh lenaku
sejak kudahagai penawar dalam lautan
nota-notamu kiranya terdampar dalam angin
yang ragu yang tidak mengenal arah
tiupannya angin tanpa sabar yang telah
melunturkan kehijauan dalam keriangan
masa kecilku. |
Penyajak menjadi keliru
dalam mencari petunjuk ilahi dan hakikat kebenaran kehidupan ini. Penyajak diburu resah
oleh sejarah silam kehidupannya yang beronak dan berliku. Setelah menemui petunjuk jalan
kebenaran, penyajak mula sedar kesilapan dan kelalaiannya yang menyimpang daripada
petunjuk ilahi. Selama ini penyajak hanyut tanpa arah mngikut arus waktu yang berlalu. Dia
berasa kerugian kerana membiarkan masa mudanya begitu sahaja tanpa berusaha mengenal
Tuhannya. |
Pentafsir, musim telah
berlalu tua kaca jendela menjadi kelabu
dan aku telah lesu
untuk menari bersama bayang-bayangmu
senja pun semakin larut
lembar-lembar menjadi semakin kuning
apakah aku harus mengebumikan buku-buku
ini di samping pusaramu yang sepi. |
Usia penyajak semakin
tua, penglihatannya semakin kabur dan tubuh menjadi semakin lemah, tetapi penyajak
berusaha untuk mendapatkan perlindungan dan keredaan Tuhan dalam kehidupannya yang semakin
singkat. Penyajak ingin meninggalkan semua kejahilan dan melupakan sejarah silamnya. Namun
begitu dia masih ragu akan penerimaan Tuhan terhadap keinsafan dirinya. |
Hentikan ejekanmu biar kupecahkan kaca ini melihat keluar.
Lalu mengenal rumpun-rumpun yang redup
adalah pengakuanmu,
Tuhanku! yang menjernihkan mataku. |
Rangkap terakhir
memperlihatkan penyajak menyatakan keyakinan untuk keluar daripada keraguan dan
kesangsiannya. Penyajak membuat tekad dan menyerah diri mencari keredaan Tuhan untuk
mencari ketenangan jiwanya. |
Zurinah Hassan membicarakan tentang
seseorang yang hilang arah setelah lama menghirup kehidupan.
TEMA
Sajak ini bertemakan keagamaan
yang diungkap dalam persoalan pencarian penyajak terhadap kebenaran dan kesucian ajaran
agama.
NADA
Sajak ini bernada melankolik hasil daripada perasaan sedih pilu dan keinsafan penyajak terhadap
perlakuan dan kelalaiannya daripada mengingati dan mengenali Tuhannya ketika usia mudanya.
Pada usia lanjut, penyajak mula mencari kebenaran yang mengakui keagungan Tuhan.
BENTUK
5 rangkap - sajak bebas.
NILAI DAN PENGAJARAN
- Keinsafan
.
Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan
kesalahan. Menginsafi segala kesalahan dan kembali kepada kebenaran adalah satu tindakan
yang mulia.
- Beriman dan bertakwa
.
Memperkukuhkan keimanan dan takwa kepada Tuhan akan menjadikan jiwa
kita tenang dan bahagia tetapi jika kita mengabaikan nilai iman dan takwa, kita akan
hanyut dalam kehidupan yang sia-sia.
- Kesabaran dan ketabahan hati
.
Dalam kehidupan kita yang panjang tentu banyak pencaroba dan dugaan
yang terpaksa ditempuh. Oleh itu, jiwa kita harus kuat, sabar dan tabah menerima takdir
yang ditentukan dan terus berusaha untuk mendapat petunjuk yang benar daripada ilahi.
- Mencari ilmu agama
.
Pengetahuan agama amat
penting kepada seseorang individu kerana dengan kemantapan ilmu
agama sahaja kita akan mencapai
kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Telah kurangkumkan rebah setiaku
Pada setiap pilu dan rindu
melayang dan mengembang ke hayat gemilang.
Sejak itu tidak kukesal lagi
Goda dan duga
di gerimis senja. |
Penyajak menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negaranya
yang tercinta. Penyajak berharap negaranya akan terus berkembang maju dan sejahtera
setelah melalui perjuangan yang panjang untuk mencapai kemerdekaan daripada belanggu
penjajah. Namun begitu penyajak tidak berasa kesal atas segala pahit getir dalam
perjuangan. |
Telah kupahatkan lelah umurku
Pada setiap kerikil dan debu
datang dan menghilang
ke hujung kenang.
Sesudah itu tidak kukenal lagi
hampa dan derita
di guruh pagi. |
Penyajak telah menyerahkan jiwa dan raganya kepada perjuangan untuk
mempertahankan kedaulatan negara daripada pelbagai percerobohan yang datang silih
berganti,segala kesukaran dan kepayahan itu tetap tersimpan dalam liputan sejarah. Setelah
negara merdeka, penyajak tidak lagi mahu kecundang dalam tanggungjawab mengisi kemerdekaan
negara yang tercintanya. |
Gerimis senja guruh pagi
adalah titipan maya
bakal kukongsikan hati
mengukir tadbir di ruang gemanya. |
Rangkap ini merupakan tafsiran penyajak terhadap suka duka dan payah
getir dalam perjuangan, merupakan perkara biasa yang perlu dihadapi dengan kekuatan dan
ketabahan jiwa. Penyajak memberi pengakuan akan menyerahkan kesetiaan dan jiwa raganya
demi sama-sama membangunkan negara yang dicintainya.
|
Dharmawijaya cuba melahirkan sebuah sajak
perjuangan yang tercinta pada tahun 1981. Penyair menyatakan kesetiaannya tidak berbelah
bagi pada Malaysia dan cintanya yang tidak perlu disangsikan pada negaranya.
TEMA
Sajak ini bertemakan semangat perjuangan
yang memberikan penekanan kepada harapan tinggi penyajak terhadap negaranya.
NADA
Sajak ini bernada patriotik yang dihubungkan dengan
perasaan cinta dan kesetiaan penyajak kepada negara.
BENTUK
3 rangkap berbentuk bebas.
NILAI DAN PENGAJARAN
Kesetiaan
Nilai kesetiaan bukan terbatas kepada hubungan sesama manusia
sahaja tetapi juga merujuk kepada kesetiaan kepada negara dan tanah air. Kesetiaan
penyajak yang tidak berbelah bahagi kepada negara perlu menjadi contoh yang baik kepada
generasi muda.
Pergorbanan dan perjuangan
Membela tanah air daripada ancaman musuh merupakan sifat yang
mulia dan menjadi tanggungjawab semua warganegara.
Kerjasama dan perpaduan
Semua pihak perlu diperkukuhkan untuk membangunkan sebuah
negara yang maju berjaya.
Kecekalan dan ketabahan
Setiap perjuangan akan
berdepan dengan banyak cabaran. Oleh sebab itu, kita perlu tabah dan
cekal apabila berdepan dengan
masalah dalam perjuangan.

Pada
batang bongkok
semarak api tua ini
ia tambatkan perahu hidup
di tebing lalu-lalang
di Lumpur sungai manusia |
Memaparkan latar tempat tukang
gunting mencari nafkah iaitu di bawah sebatang pokok semarak api yang telah tua dan
condong, di sebuah kota yang sibuk. |
Dengan
sebilah gunting
sebuah cermin sompek
sebuah sisir rongak
dan bangku kaki tiga
ia ukir nafkah keluarganya |
Penyajak menjelaskan peralatan yang
digunakan oleh tukang gunting untuk menjalankan kerjanya seperti sebilah gunting, sebuah
cermin, sompek,sebuah sisir rongak dan sebuah bangku berkaki tiga. Gambaran peralatanyang
digunakan oleh tukang gunting yang begitu uzur, menjelaskan kedaifan hidup tukang gunting
yang tidak mampu untuk membna sebuah pondok yang lebih selesa untuk dijadikan tempat
mencari nafkah. |
Seperti
semarak api
begitulah bersemarak hatinya
seperti bunga semarak api
gugur di tanah
begitulah berbunga denyutnya
terkumpul di darah |
Penyajak membuat perbandingan antara
pokok semarak apidengan kegigihan dan semangat tukang gunting untuk terus berusaha membina
kehidupannya. Tetapi seperti bunga smarakapi yang berguguran,masih banyak lagi harapan dan
cita-cita tukang gunting yang tidak kesampaian. |
Sementara
pelanggan tiba
ia duduk di hadapan cermin
menyikat remajanya
dan merapikan tuanya
dengan sisir rongak |
Penyajak menggambarkan apa yang
dilakukan oleh tukang gunting pada waktu lenggang ketika tiada pelanggan. Tukang gunting
duduk bersendirian menghadap cermin tuanya. Ketika itulah ia mengenang nostalgia masa
remajanya yang telah berlalu satu demi satu. Tukang gunting berazam memperlengkap
kehidupan hari tuanya alaupun dengan sisa tenaga yang semakin kurang. |
Pada
batang bongkok ini
semarak api tua ini
ia tambatkan masa depan
empat orang anak
serta isteri setianya. |
Penyajak memaparkan betapa bermakna
dan pentingnya sebatang pokok semarak api yang telah tua itu kepada tukang gunting, kerana
di situlah tempat dia meletakkan harapan untuk mencari rezeki bagi membiayai kehidupannya
dan menyara isteri dan empat orang anaknya. |
T. Alias Taib menulis sajak yang
mengisahkan seorang tukang gunting yang mencari nafkah untuk menyara diri dan keluarganya
di tengah-tengah kehidupan kota raya yang penuh cabaran.
TEMA
Sajak ini bertemakan kehidupan dan
permasalahan yang dihadapi oleh masyakarat golongan rendah di tengah-tengah
kesibukan dan pembangunan kota-kota besar. Masalah kemiskinan masih wujud di celah-celah
kemajuan kota.
NADA
Sajak ini bernada sinis terhadap nasib seorang
tukang gunting iaitu golongan bawahan yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya
daripada mana-mana pihak untuk membantu tukang gunting memperbaiki taraf hidupnya.
BENTUK
5 rangkap - sajak bebas.
NILAI DAN PENGAJARAN
- Kegigihan dan kerajinan
.
Usaha yang berterusan perlu diamalkan oleh setiap orang. Kejayaan tidak
akan dapat dicapai tanpa sifat tekun dan rajin, umpamanya tukang gunting tetap berusaha
walaupun sudah tua.
- Kecekalan dan ketabahan.
Nilai ini digambarkan dalam diri tukang gunting. Dia tetap
cekal dan tabah menjalani kehidupan yang sukar demi mencari rezeki untuk meneruskan
hidupnya. Hal ini perlu dijadikan contoh oleh generasi muda.
- Kasih sayang dan tanggungjawab -
Nilai murni ini digambarkan secara tersirat
dalam sajak ini. Tukang gunting amat bertanggungjawab sebagai ketua keluarga dan amat
menyayangi anak-anak dan isterinya. Oleh itu, hal ini memberi pengajaran supaya
melaksanakan tanggungjawab dengan baik terutama ketua keluarga.
Nota : Sila rujuk buku teks; Kementerian Pendidikan
Malaysia & Dewan Bahasa dan Pustaka (2000). Antologi
Kerusi - Teks Kesusasteraan Melayu Sekolah Menangah Tingkatan 5, m.s 10 - 22 untuk dapatkan sajak -sajak berkaitan dengan
lebih tepat. Kemungkinan sajak-sajak tersebut mempunyai kesalahan ejaan.