Kertas Cadangan Penubuhan Laman Web Khidmat Sokongan P & P Bahasa Melayu SPM


1.    PENGENALAN

    Kebanyakan golongan pendidik kini mulai menyedari kepentingan teknologi maklumat dalam pendidikan secara amnya. Walau bagaimanapun peratusan sekolah dan pendidik yang terlibat secara langsung dalam internet dan teknologi maklumat masih berada pada tahap yang amat kurang dibanggakan. Dirasakan guru-guru tidak akan terlepas dari menggunakan teknologi maklumat (IT) dalam pengajaran mereka. Untuk tujuan tersebut satu cadangan penubuhan laman web khidmat sokongan pengajaran & pembelajaran Bahasa Melayu SPM dicadangkan bagi membolehkan guru mata pelajaran membantu para pelajar yang mempunyai internet supaya dapat bergerak secara lebih efektif serta memungkinkan penerapan teknologi maklumat dalam sistem pendidikan amnya serta meningkatkan kualiti pendidik terutama aspek pengajaran dan pembelajaran.

    Laman ini akan digerakkan oleh guru bahasa yang mempunyai internet serta kesedaran teknologi maklumat dengan berlandaskan haluan yang berfokuskan kepada pendidikan serta aplikasinya di sekolah berbanding dengan kumpulan-kumpulan yang sedia ada bercorak lebih umum. Secara langsung usaha ini pastinya akan membawa kepada pertambahan laman web dalam Bahasa Melayu yang amat kurang berbanding dengan laman-laman web berbahasa Inggeris. Konsepnya, "Satu Laman Web Satu Guru" merupakan teras kepada idea asas ini. Pada peringkat awal, hanya pelajar-pelajar sekolah ini sahaja akan menerima faedahnya sebelum dibuka kepada semua pelajar di Malaysia.

 

2.    RASIONAL

Antara rasional membangunkan laman ini adalah seperti berikut :

 

    1. Kesedaran yang kian meningkat oleh golongan pendidik terhadap kepentiangan internet dalam pendidikan.
    2. Kebanyakan pendidik sering malakukan kerja yang sama setiap tahun. Oleh itu laman web dapat menjimatkan masa guru-guru dengan menempatkan kepakarannya (semua segi) di dalam laman web masing-masing bagi kegunaan pelajar setiap tahun.
    3. Kumpulan-kumpulan pengguna yang sedia ada kini bergerak secara umum yang dianggotai oleh pelbagai golongan.
    4. Situasi di sekolah dan sistem pendidikan lebih difahami oleh golongan pendidik, oleh itu adalah lebih berkesan sekiranya mereka mengerakkan proses penerapan IT dalam sistem pendidikan.

 

3.    OBJEKTIF

Objektif Laman Web Khidmat Sokongan P & P Bahasa Melayu seperti berikut :

    1. Kajian menunjukkan bahawa ramai pelajar tidak gemar bertanya kepada guru semasa di dalam kelas kerana beberapa faktor. Mereka lebih suka bertanya jika ada satu media yang dapat melindungi identiti mereka. Oleh itu, laman web ini dibangunkan bertujuan untuk mengalakkan pelajar bertanya kepada guru berkaitan dengan masalah atau perkara-perkara yang tidak mereka fahami semasa proses P & P.
    2. Menggunakan semua sumber yang ada bagi membantu pelajar meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu peringkat SPM khasnya kerana dewasa ini mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran yang terpenting peringkat SPM.
    3. Membolehkan golongan pendidik bergerak secara lebih kolektif atau mencapah bagi manfaat yang lebih bermakna kepada sistem pendidikan umumnya.
    4. Membolehkan kaum pendidik bertukar maklumat dan bahan secara lebih berkesan dalam kumpulan yang tertentu melalui siber.
    5. Membantu golongan pendidik memuatkan kepakarannya dalam laman web masing-masing agar kerja-kerja rutin dapat dimanfaatkan oleh pelajar dan seterusnya menjimatkan masa guru-guru menyediakan bahan-bahan tersebut berulang kali.
    6. Meningkatkan maklumat pendidikan dalam Bahasa Melayu khususnya bagi rujukan pelajar.
    7. Membantu mengerakkan dan mempercepatkan penerapan IT dalam sekolah dan meningkatkan kemahiran internet dan teknologi maklumat kepada seluruh warga sekolah.
    8. Menjadi 'model' rujukan kepada usaha penerapan IT di sekolah kerana golongan pendidik merupakan kumpulan yang lebih arif tentang persekitaran sekolah dan pendidikan yang mungkin sukar difahami oleh kumpulan lain.

 

4.    ORGANISASI

    Laman Khidmat Sokongan P & P dimulai oleh guru Bahasa Melayu Tingkatan 5. Organisasinya seperti berikut ;

    i. Pengerusi : Pengetua

    ii. N. Pengerusi : Penolong Kanan 1

    iii. Penyelaras : Guru Bahasa Melayu Tingkatan 5.

 

5.     PELAKSANAAN

 

    1. Idea Pembangunan
    2. Pembangunan laman ini bermula daripada kelemahan-kelemahan yang ketara hasil daripada pemeriksaan kertad peperiksaan percubaan SPM yang lalu. Ramai pelajar tidak dapat menjawab dengan baik format baru SPM 2000 kerana kekurangan bahan-bahan berkaitan. Kelemahan ini amat jelas bagi Bahasa Melayu kertas 2 terutamanya soalan-soalan berkaitan kesusasteraan yang membawa implikasi penurunan markah pelajar secara keseluruhannya. Menyedari kelemahan-kelemahan tersebut, satu laman cuba dibangunkan bagi membolehkan pelajar mendapatkan bahan-bahan melalui internet kerana dewasa ini belum ada bahan-bahan format baru ini di internet. Oleh kerana bahan-bahan ini bersifat rutin (akan digunakan oleh setiap pelajar setiap tahun), maka bahan-bahan tersebut dimuatkan dalam laman ini bagi feadah pelajar amnya. Guru-guru juga boleh menggunakan bahan-bahan ini untuk tujuan P & P tanpa perlu membuatnya sekali lagi. Keadaan ini sudah tentu dapat menjimatkan masa guru-guru Bahasa Melayu kerana semua guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan bahan-bahan yang sama (sukatan pelajaran yang sama). Bahan-bahan yang dimuatkan dalam laman ini dapat dicetak untuk kegunaan semasa proses P & P.

    3. Kandungan / Bahan
    4. Kandungan laman ini merangkumi sukatan pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan 5 yang merangkumi karangan, rumusan, tatabahasa, pemahaman dan unsur kesusasteraan seperti cerpen, drama, puisi tradisional, puisi moden (sajak), prosa tradisional (teks klasik) dan novel serta soalan-soalan ujian lisan. Pembahagian kandungan yang dicadangan seperti berikut :

      i. Dari Meja Pengetua : Kata alu-aluan dari pengetua.

      ii. Kertas 1 : Karangan

      iii. Kertas 2 : Rumusan, Tatabahasa, Pemahaman dan Novel

      iv. Kertas 3 : Soalan-soalan Ujian Lisan SPM.

      v. Rangkaian Ilmu : Rangkaian laman maklumat yang lain.

      vi. Pertanyaan : Pertanyaan melalui email disediakan.

    5. Daftar Tapak
    6. Pendaftaran tapak untuk dimuatkan dalam internet telah dilaksanakan oleh web master. Pendaftaran ini telah dilakukan di www.oocities.org/smkatbm68/. Pendaftaran ini adalah percuma. Laman ini telah dimuatkan seperti Lampiran 1.

    7. Pelancaran
    8. Pelancaran laman ini dilaksanakan dengan menghebahkan maklumat berkaitan dengan kewujudan laman ini di internet. Pelancarannya disarankan dilakukan semasa perhimpunan mingguan sekolah. Tidak ketinggalan juga, guru-guru Bahasa Melayu Tingkatan 5 akan cuma menghebahkannya semasa di dalam kelas. Tarikh pelancaran disarankan pada 01 Oktober 2001.

    9. Penyeliaan
    10. Menjadi satu budaya dalam pengendalian laman web kerapkali laman tersebut tidak dikemaskini kandungannya. Perkara ini sering mendapat kritikan pihak akhbar mahupun pemimpin negara. Bagi menangani perkara ini, wab master akan cuma mengemaskini laman ini selalu kerana banyak bahan-bahan yang boleh dimuatkan dari masa ke semasa. Sifat laman ini yang hanya berfokuskan Bahasa Melayu Menangah Atas memudahkan laman ini dikemaskini selalu.

    11. Penilaian
    12. Keberkesanan laman ini akan ditentukan melalui jumlah kunjungan yang melawati laman ini serta komen-komen yang terdapat dalam buku pelawat laman ini. Berdasarkan imput tersebut, wab master akan cuma menilai dan seterusnya mengambil langkah wajar bagi memperbaiki laman ini dari masa ke semasa.

    13. Rancangan Masa Depan
      1. Rancangan masa depan laman ini adalah mewujudkan satu rangkaian internet yang menyeluruh kepada semua warga SMAT di mana laman-laman yang akan dibangunkan pada masa hadapan akan disambungkan dengan laman ini. Diharapkan setiap guru akan mempunyai laman web masing-masing agar semua pelajar boleh mendapatkan ilmu dari semua mata pelajaran. Ini bermakna pelajar boleh mendapatkan bahan-bahan tidak kira waktu selagi mempunyai internet.
      2. Seterusnya laman ini juga becadang untuk mengadakan khidmat sokongan P & P "Online" melalui khidmat ICQ atau MIRC. Perkhidmatan ini hanya akan dibuka dari masa ke semasa bergantung kepada kesesuaian web master.
      3. Pengumpulan laman-laman seumpama ini turut dilakukan bagi memperkayakan ilmu atau bahan-bahan berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Seterusnya laman-laman ini akan dimuatkan dalam "rangkaian ilmu" untuk faedah guru dan pelajar. Mengadakan sampel pengurusan pendidikan siber yang efektif serta membawa kepada kecemerlangan akademik.
      4. Mengadakan promosi internet bagi menerangkan kebaikan penggunaan internet dalam meningkatkan kemahiran guru.
      5. Mewujudkan kumpulan pakar sebagai rujukan jabatan/sekolah dalam perlaksanaan internet dalam sistem pendidikan.
      6. Pertukaran soalan atau bahan pengajaran melalui rangkaian siber dan menyediakan bahan secara bersama.

 

6.    Kos.

Kos untuk membangunkan laman ini adalah percuma. Kos sebenar ditanggung oleh web master atas dasar tugas membantu warga pelajar SMAT dan meningkat profesionalisme guru.

7.    Penutup

Adalah diharapkan pembangunan laman web "Khidmat Ssokongan P & P Bahasa Melayu SPM" ini akan dapat menjadi landasan dan rujukan kepada golongan pendidik dan pelajar yang sedia ada dalam alam siber ini. Ini bagi membolehkan mereka mendapat manfaat yang maksimum dan profesional dalam penglibatan diri mereka dengan internet. Ini akan melahirkan golongan pelajar dan pendidik internet yang menjadi model, rujukan serta memperlihatkan peningkatan profesionalisme mereka dalam penglibatan mereka dalam internet. Ia juga merupakan langkah awal kepada pengenalan konsep "satu laman web khidmat sokongan satu guru" bagi memuatkan kepakaran guru-guru dalam dunia pendidikan. Sesungguhnya masa mengajar di dalam bilik darjah adalah terbatas dan laman web merupakan satu media sedia ada yang murah untuk dimanfaatkan oleh semua guru.

 

Disediakan oleh,

 

 

(FARZELI B CHE MAT MUSTAFA)

Tarikh : 21 September 2001