SEJARAH SEKOLAH

        

            Sekolah Menengah Vokasional Perdagangan Johor Bahru telah dirasmikan pembukaannya pada 22 Julai 1985 oleh Y.B. Datuk Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu.

            Pembinaan sekolah ini dimulakan sejak awal tahun 1982 dan siap pada penghujung tahun 1983. Sejak awal tahun 1984, SMVP diuruskan tanpa Pengetua serta kakitangan pejabat juga tanpa bekalan air dan elektrik. Pentadbiran serta penjagaan kawasanya pada masa itu dijalankan dengan menggunakan tenaga 4 orang guru di bawah kelolaan En. Goh Sai, Penolong Kanan. Seterusnya pada 1 Mac 1984, En. Abdul Esa bin Ismail memulakan tugasnya sebagai Pengetua dan seorang kerani juga melaporkan diri pada tarikh yang sama.

            Pada 4 Mac 1984, seramai 72 orang pelajar tingkatan 5 dipindahkan dari Sekolah Menengah Vokasional, Jalan Yahya Al Datar, Johor Bahru. Turut pindah bersama mereka ialah 5 orang guru mata pelajaran perdagangan dari sekolah yang sama . Seminggu kemudian iaitu pada 11 Mac 1984, seramai 184 orang pelajar tingkatan 4 dari seluruh Malaysia mendaftarkan diri di SMVP. Dengan ini jumlah pelajar menjadi 256 orang. Oleh kerana SMVP dilengkapkan dengan kemudahan asrama, semua pelajar tinggal di asrama.

            Jumlah pelajar dan guru terus meningkat. Pada tahun 1987, terdapat 368 orang pelajar dengan 21 orang guru. Kurikulum baru juga dimulakan dengan memperkenalkan mata pelajaran Komputer, Pengurusan Pejabat dan Pengurusan Perniagaan. Mulai tahun 1988 Peperiksaan SPVM digantikan dengan SPM(V), iaitu pelajar-pelajar mengambil kertas-kertas SPM bagi bidang akademik, bersama-sama dengan kertas-kertas Perdagangan Vokasional.

            Pada 1 Januari 1997, Sekolah Menengah Vokasional (Perdagangan) telah dinaikkan taraf secara rasmi menjadi Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru. Pengambilan pelajar-pelajar baru tahun ini ke tingkatan 4 akan memperlihatkan satu perubahan jurusan kepada bidang teknikal (Perdagangan) dan Vokasional (Pengurusan Perniagaan). Sekolah ini akan terus menerima perubahan bukan sahaja dari segi nama bahkan seluruh infrastruktur sekolah akan turut berubah beberapa tahun akan datang.