text=#ffff00 vlink=#ff0000 link=#9acd32> Pendapat Orang Biasa

Pendapat Orang Biasa
Tiada Politik Tiada NGO

Rabu
28 Januari,
1998

Cg.
yang
amat
menyintai
bangsa
dan
agamanya.

.

PELAJAR CEMERLANG: SIKAP MASYARAKAT PERLU DIUBAH

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap ibubapa mahukan anak mereka berjaya dalam pelajaran. Barangkali yang berbeza cuma tahap keprihatinan dan perhatian yang diberikan untuk mempastikan kejayaan anak masing-masing. Bagaimanapun, rata-rata para ibubapa mahukan anak mereka lulus dengan cemerlang dan indikator kecemerlangan adalah mendapat jumlah markah yang tertinggi dalam peperiksaan serta memperolehi gred "A".

Dalam peperiksaan UPSR bagi pelajar Tahun 6 sekolah rendah, pelajar yang memperolehi 4 "A" dianggap sebagai pelajar yang telah mencapai tahap kecemerlangan. Sekolah, guru-guru dan ibubapa sama-sama berjuang untuk mempastikan supaya pelajar yang menduduki peperiksaan itu lulus dengan cemerlang. Mereka melaku apa sahaja untuk mencapai hasrat yang satu ini. Jabatan pula mengadakan berbagai kursus khusus bagi guru-guru Tahun 6 agar setiap sekolah di bawah tadbiran masing-masing mencapai prestasi yang boleh dibanggakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri. Selain itu pihak jabatan juga mengadakan peperiksaan percubaan dengan soalan yang setara bagi seluruh negeri untuk melihat kemampuan sekolah-sekolah di peringkat negeri secara keseluruhan.

Sekolah mahu mempastikan prestasi sekolah sentiasa berada di tahap paling atas kerana ini merupakan kemegahan seluruh masyarakat sekolah. Semua guru digerakkan untuk membantu dalam kelas-kelas tambahan yang diadakan peringkat sekolah. Ibubapa pula bersungguh-sungguh membantu anak-anak mereka kerana calon yang mendapat 4"A" mempunyai peluang yang lebih baik untuk dipilih masuk ke sekolah berasrama penuh di seluruh negara. Jadi, usaha mempastikan mendapat 4"A" ini merupakan usaha yang menyeluruh dan boleh dikatakan sebagai "a serious business". Terlalu ramai orang yang tergila-gilakan pencapaian 4"A". Jika ini boleh diandaikan sebagai penyakit, maka ia bolehlah dianggapkan sebagai wabak.

Jabatan Pendidikan pula seolah-olah macam bertanding antara negeri-negeri. Negeri yang menghasilkan jumlah 4"A" yang paling sedikit akan merasa kurang selesa dan terpaksa menyediakan berbagai laporan dengan memberikan sebab-sebab yang boleh menyokong hujjah masing-masing dalam memperkatakan kejatuhan prestasi di peringkat negeri. Analisis tahunan dibuat setiap kali keputusan dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dan sekolah berprestasi rendah diselia atau dimonitor secara rapi dan terperinci.

Sekolah-sekolah pula sama ada secara tidak sedar atau secara sedar sentiasa berlumba-lumba serta saling atas-mengatasi antara satu sama lain.

Kelas-kelas tambahan diadakan di semua sekolah atas inisiatif pihak sekolah sendiri. Kursus-kursus motivasi juga diadakan bagi meningkatkan kemampuan pelajar menyediakan diri untuk menghadapi peperiksaan. Guru-guru sanggup pulang lewat petang demi berusaha membantu anak didik mereka. Ada pula yang mengajar di sebelah malam tanpa sebarang bayaran kerana mahukan pelajar mereka berjaya dengan cemerlang. Pendek kata tidak ada siapa di sekolah yang menganggap UPSR sebagai sesuatu yang berlalu begitu sahaja tanpa disedari.

Ibubapa yang berkemampuan menghantar anak-anak mereka untuk menghadiri kelas-kelas tusyen anjuran pihak swasta pada waktu malam dan sanggup menunggu dalam kereta sehingga selesai kelas walaupun terpaksa menanggung risiko dibaham nyamuk.

Ada yang mengatakan bahawa UPSR adalah maruah kita; maruah jabatan, maruah sekolah, maruah ibubapa dan mungkin juga maruah PPD. Manusia sanggup mati kerana maruah. Itulah martabat maruah dalam kehidupan manusia. Negeri yang terendah atau sekolah yang terendah pencapaian dalam UPSR akan merasakan maruah mereka tercabar. Oleh itu, usaha yang berterusan dibuat untuk mempastikan agar maruah ini terpelihara. Selain itu, pencapaian cemerlang dalam UPSR membawa kepuasan yang tak terhingga kepada semua pihak.

Bagaimanapun, dalam usaha menangani berbagai aktiviti untuk memperolehi kecemerlangan dalam UPSR ada pihak yang telah, tanpa sedar, terjebak dengan amalan-amalan yang bercanggah dengan kehendak dan tuntutan asal pendidikan. Tiada siapa boleh disalahkan dalam perkara ini kerana matlamat semua pihak adalah baik. Cuma, barangkali kita hanyut dan dihanyutkan oleh arus UPSR dan tuntutan-tuntutan semasa dan kelaziman yang sukar diketepikan. Kita semua sedar dan tahu bahawa dalam sistem pendidikan terkini, semua pihak tahu bahawa kita tidak seharusnya mengetepikan garis panduan yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara serta bidang kurikulum yang ditetapkan bagi semua pelajar sekolah rendah. Pengajaran dan pembelajaran terutama bagi mereka yang berada dalam Tahun 6 (UPSR) tidak semestinya berubah dari segi cara, pengkaedahan, matlamat dan sebagainya secara tiba-tiba untuk kepentingan UPSR. Ia perlu dilaksanakan seperti biasa tanpa mengetepikan mana-mana mata pelajaran dalam kurikulum. Tiada mana-mana mata pelajaran boleh dipinggirkan serta dikorbankan semata-mata kerana perlu menumpukan perhatian kepada UPSR kerana ini akan menjejaskan prestasi pendidikan itu sendiri.

Bukan itu sahaja; penghayatan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mungkin terjejas bukan sahaja dalam Tahun 6, malah dalam Tahun 1 hingga 5 juga. Jika ini berlaku keparahan akibatnya akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam sistem pendidikan negara serta kegagalan KBSR tidak boleh dihindarkan lagi. Memberikan perhatian sepenuhnya kepada peperiksaan sememangnya wajar, tetapi dalam masa yang sama mengetepikan komponan lain dalam pendidikan itu perlu difikir semula kerana ia mempunyai kaitan secara langsung dengan pembinaan insan .

Mata pelajaran Tahun 6 yang begitu banyak jumlahnya bertukar menjadi 3 mata pelajaran sahaja. Implikasi daripada kegiatan seumpama ini tidak dilihat secara serius kerana kesannya mungkin kesan jangka panjang.

Mata pelajaran yang diuji dalam UPSR cuma Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris. Oleh kerana Bahasa Melayu dijadikan dua kertas dalam bentuk Penulisan dan Pemahaman, maka, pelajar dikehendaki lulus atau cemerlang dalam empat kertas. Justeru itu, pelajar Tahun 6 dijuruskan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak untuk mencapai 4"A" dalam tiga mata pelajaran itu. Lantas, secara tidak sedar, mereka mengetepikan mata pelajaran lain yang juga terdapat dalam kurikulum. Sebilangan besar waktu dihabiskan untuk mengajar Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris. Berbagai buku tambahan atau buku kerja digunakan; disamping lembaran-lembaran kerja yang dihasilkan sendiri oleh guru-guru.

Apabila ini berlaku, mata pelajaran lain seperti Alam dan Manusia dan Pendidikan Islam dijadikan mata pelajaran pinggiran. Akibatnya, kehendak asal pendidikan terkorban, lulusan Tahun 6 tidak tahu sembahayang, tulisan jawi menjadi sesuatu yang asing dan kemampuan membaca Al-Quran menjadi terhad. Apa yang digilakan hanyalah Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris walaupun ini jelas tidak mencukupi untuk membentuk manusia. Tiada siapa mahu mengadakan kelas tambahan atau buku kerja untuk Pendidikan Agama Islam.

Kalau inilah yang dikatakan penjagaan maruah, maka yang dijaga hanyalah bahagian muka sahaja. Menjaga bahagian muka semata-mata tidak boleh menjadikan seseorang itu ratu kerana ratu dinilai dari hujung rambut hingga ke kaki. Ratu yang hanya cantik pada muka hanya ratu kampung yang tidak boleh diketengahkan. Sekiranya mahu diketengahkan rambutnya mesti juga cantik, badannya mesti menarik, kaki dan betisnya juga mesti juga mempesonakan. Itulah ratu namanya.

Dalam pendidikan pun tidak ubah seumpama membentuk ratu cantik. Setiap pelajar yang cemerlang tidak hanya cemerlang dalam Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris. Mereka juga harus cemerlang dalam sembahayang, cemerlang dalam Jawi, cemerlang mengaji, cemerlang dalam budi bahasa dan cemerlang dalam semua bidang; termasuklah menghormati orang tua serta berguna kepada dirinya, ibubapa,masyarakat,bangsa dan agama. Sekiranya semua ini diabaikan akan rosaklah masyarakat di hari muka. Akan lahirlah masyarakat yang cemerlang tahap kelulusanya tetapi kerap terdorong menggelapkan wang bank dan wang orang ramai. Akan muncul kumpulan yang menjauhkan diri dari agama dan sebagainya.

Justeru itu, kita harus berhati-hati dalam menangani isu kecemerlangan dalam UPSR agar kita tidak mudah terjebak melupakan perkara yang dilihat kurang penting; sedang ia sebenarnya tersangat penting. Kita perlu mengubah sikap kita agar wujud orang yang bukan sahaja sanggup menunggu anak dalam kereta kerana tusyen, tetapi juga menunggu anak dalam kereta kerana mengaji Quran di rumah guru Al-Quran kampung. Sekiranya selama ini kita sanggup membeli banyak buku ulangkaji dan buku kerja untuk UPSR, sudah tibalah masanya kita habiskan duit, kalau tidak lebih pun mungkin sama banyak wang untuk membeli buku ulangkaji agama dan lain-lain demi masa depan anak-anak. Dengan cara itu anak-anak kita akan membesar secara bersepadu dan seimbang. Kita gilakan 4"A" dan dalam masa yang sama kita pastikan anak-anak kita terbina sebagai insan yang soleh. Selain mempastikan anak kita mendapat "A" dalam Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris kita juga perlu mempastikan anak kita mendapat "A" dalam Bacaan Rumi, Bacaan Jawi, Tulisan Rumi, Tulisan Jawi, Fardhu 'Ain, Al-Quran, Sifir, Alam dan Manusia, Pendidikan Islam dan Nilai-nilai Murni. Bila ini yang berlaku, sebenarnya kita tidak meminggirkan UPSR; kita sebenarnya menyebabkan dan memberikan peluang yang lebih baik untuk anak-anak mendapat 4"A" . Minda mereka akan menjadi lebih terbuka dan dengan itu akan merasakan bahawa UPSR itu perkara mudah untuk ditempuhi. Amalan menakut-nakutkan anak-anak kita dengan UPSR akan memyebabkan mereka tertekan. Ini bukan sahaja akan menggagalkan mereka dalam peperiksaan, malah akan juga menggagalkan mereka dalam kehidupan.

Perkembangan potensi individu anak kita hendaklah diterokai sepenuhnya semenjak mereka masih kecil lagi. Pertumbuhan jasmani, emosi, rohani dan intelek mereka harus diseimbangkan untuk melahirkan generasi masa depan yang kenaldiri, mempunyai daya saing yang kuat dan berguna kepada dirinya sendiri dan semua. Ini akan menjadikan impian mencapai wawasan 2020 yang tersenarai sembilan cabaran itu lebih bermakna dan mudah. Akan wujudlah sebuah negara industri yang maju dengan rakyatnya yang maju mengikut acuan kita sendiri; ilmu dan kepakaran penuh di dada manakala iman yang teguh menjadi benteng daripada melakukan perkara yang mungkar. Itulah kita dan itulah negara kita dalam tahun 2020 itu nanti.

Oleh itu, di samping kita mengejar 4"A", janganlah kita lupa bahawa misi kita dalam pendidikan lebih luas. Kita perlu bersungguh-sungguh mendidik anak-anak kita secara menyeluruh dan bersepadu agar lahirlah insan-insan yang bukan sahaja menjadi kebanggaan ibubapa tetapi juga menjadi kebanggaan semua pihak. Negara kita sedang dibina di atas landasan yang amat kukuh dan insya'Allah akan muncul sebagai salah sebuah negara termaju dalam tahun 2020 nanti di mana anak-anak yang kini dalam darjah enam akan berumur 40 tahun. Janganlah kerana UPSR, kita semua hilang pertimbangan; lantas meminggirkan yang pokok. Kadangkala kita perlu berfikir secara songsang untuk mencari kebenaran atau kita perlu keluar dari kebiasaan demi mencapai kemajuan. Janganlah kita takut berubah cara dan minda dalam soal-soal yang boleh menentukan masa depan kita dan negara.