Mencintai tidak semestinya bersatu. Begitulah hakikat yang mesti kuterima kerana tidak semua yang kita mimpikan akan menjadi milik kita. Cinta bukan barang dagangan. Cinta bukan suatu paksaan. Mukriz memilih Hanim, bukan aku walaupun antara aku dan dia cukup akrab. Akrab seperti isi dengan kuku. Akrab seperti aur dengan tebing. Itulah namanya jodoh Tuhan. Manusia hanya mampu merancang tapi segala ketetapan adalah milik-NYa.
"Mukriz dah ada kekasih?"
"Dah! Cantik macam Dina juga," pengakuan spontan dari bibirnya itu
sebenarnya, menenggelamkan perahuku yang berisi penuh dengan harapan. Dia
lelaki pujaanku. Dia yang kuimpikan selama ini, bakal memberi sinar dalam
hidupku. Tidak ada lelaki lain lagi di hatiku. Cuma dia.
Bila papa mahu segera melangsungkan perkahwinan aku dengan Ridwan, setelah tamat pengajiannya, aku menolak secara lembut. Ridwan bukan orang lain. Sepupuku sendiri. Sebenarnya antara kami pernah mengukir janji untuk hidup bersama. Kedua-dua keluarga juga amat berharap begitu. Tapi aku yang mungkir. Hati yang dulu mekar dengar cinta dan kasih Ridwan berbelah dua bila hadir Mukriz di laman hati. Lembaran Ridwan yang harum dengan wangian cinta tidak galak lagi kuratah. Suara penawar rindunya menjadi racun berbisa.
Dulu aku selalu curiga pada kesetiaan Ridwan. Cemburuku berapi-api membuat dia gelisah. Lembaran biru berisi cinta seribu rindu yang hadir saban minggu, mendamaikan pantai hatiku yang resah. Bimbang kekasih hati berubah cinta. Bila Ridwan mungkir mengikut rutinnya, aku gelisah. Merajuk, membuat Ridwan serba salah. Tapi dia tidak jemu memujuk. Bila pertama kali aku membongkar tentang cintaku yang pudar terhadapnya, dia seperti tidak percaya. Mama dan papa juga tidak dapat menerima hakikat, anak gadis mereka lupa pada janji tapi cinta Ridwan dan kasih sayang mama dan papa yang tidak pernah surut memaafkan segala kesalahanku walaupun terlalu kabur punca sebenar mengapa aku berubah.
Mukriz seolah mengisi rinduku yang membara pada Ridwan yang jauh di mata. Bila Ridwan berangkat ke luar negara cintaku turut dibawa pergi. Aku tidak pernah memaksa hati untuk menyintai Mukriz tapi rasa itu hadir dalam diam-diam. Diam penuh rahsia. Mungkin hingga kini hanya aku yang merasa cintanya. Aku yang bertepuk sebelah tangan.
Aku pernah menangis bila diperkenalkan dengan Hanim. Aku tidak dapat menerima kenyataan itu. Tapi aku harus adil pada hatiku sendiri dan juga Mukri. Aku tidak mahu merampas hak yang bukan milikku. Aku tidak mungkin melukakan insan sejenisku. Aku tidak akan memaksa Mukriz menyintaiku dengan meleraikan kesetiaannya pada sang kekasih. Kalau aku punya seribu sakti tak mungkin akan kutukar hatinya menyintaiku. Biarlah cintaku terpendam. Biarlah kasih sayangku tenggelam.
"Hai masih fikirkan Ridwan?" tanya Mukriz sambil meletakkan dua buku tebal
di depanku. Lamunanku berderai oleh suara itu. Lenyap ke dalam hatinya.
"Dari mana ni,?" Dia memang selalu begini. Di mana aku berada mesti dia cuba
menjejaki.
"Cafe!"
"Cyber Cafe?"
"Cafeteria. Makan, you dah makan?"
"Dah!"
"Study apa tu?" Buku di hadapanku masih di muka surat satu walaupun sudah
dua jam aku di sini dengan tujuan untuk mengulangkaji. Aku menegakkan buku
itu untuk dia melihat sendiri nama buku itu. Kemudian kututup perlahan.
"Dah khatam?" Dia seakan menyindir. Mata kuyu merenungku. Dia memang
handsome.
"Dina, I ada satu berita baik!"
"Apa dia," tanyaku secepat kilat.
"I dan Hanim akan bertunang"
"Cepatnya. Tak tunggu habis belajar ke,?" tanyaku sedikit resah.
"Yang belajarnya I. Bukan dia. Dia bila-bila masa bersedia menjadi suri
untuk aku" Selalu Mukriz bilang padaku dia mahu memilih perempuan yang
tidak
bekerja sebagai surinya. Mungkin kerana itu Hanim terpilih. Tapi kukira,
itu
cuma alasan saja.
"Lagipun aku takut dia dirampas lelaki lain," jawabnya. Aku jadi cemburu.
Tentunya selepas ini Mukriz akan cuba membataskan hubungan kami. Mukriz
perlu menjaga hati Hanim.
"Kau mesti tolong I," pintanya. Masih bergunakah aku ini.
"Apa dia?" Hatiku bergetar.
"Pilihkan I cincin pertunangan,"
"Boleh! Bila?" Memang akulah selalu yang memilih untuknya kalau dia mahu
memberikan Hanim sesuatu. Apa yang cantik di mataku pasti itulah yang
dipilihnya.
"Esok," jawabnya riang. Hatinya berbunga sedangkan hatiku kemarau seribu
musim.
"Bila you all nak melangsungkan," tanyaku lagi walaupun hatiku telah robek.
"Bila I balik dari kem nanti!"
"Kem? You masuk hutan lagi,?" soalku resah. Tentu aku akan kerinduan lagi.
"Biasalah! Akukan ambil Sains Perhutanan lainlah kau, course Sastera!" Bila
Mukriz masuk hutan untuk amalinya, dia tidak pernah lupa membawa pulang
sesuatu untukku. Daun besar, serangga yang diawet dan paling aku suka ialah
anggerik hutan.
Kuanggap pertemuan kami seperti pertemuan jodoh dari Tuhan. Pertemuan di keretapi kerana bertukar beg pakaian menjadikan kami rapat. Rapat seperti belangkas. Dia banyak membantuku. Dia sahabat di waktu susah dan senang tapi sayang dia tidak ditakdirkan menjadi milikku. Dia hanya seorang kawan yang bila-bila masa akan terlerai ikatan itu bila dia menjadi milik Hanim nanti. Air mata tiba-tiba mengalir ke pipi bila mengingatkan perpisahan yang kejam itu. Kadang-kadang aku salahkan kepada pertemuan. Jika tiada pertemuan pasti tidak akan berlaku perpisahan.
"Hari ini Ridwan kahwin," ujarku sambil membelek satu-persatu cincin yang
dikeluarkan oleh jurujual dari cermin kaca.
"Kau masih mampu tersenyum?" tanyanya kehairanan.
"Kau mahu aku menangis sedangkan kau pun tahu aku tidak cinta pada dia
lagi"
"Kau yang cari pasal. Menyintai lelaki misteri hingga curang pada kekasih
sendiri"
"Kami tak ada jodoh, Riz"
"Kalau ada jodoh pasti hari inilah you kahwin dengan Ridwan" Dia tersengih.
Aku juga. Tentu di saat ini mama dan papa sedang membilang kekesalan
terhadap aku. Terlalu banyak hati yang kulukai kerana seorang lelaki
bernama
Mukriz.
"Siapa lelaki itu, Dina?" tanyanya. Aku jadi serba salah. Terasa gementar
seluruh anggota. Sudah berkali-kali dia menyoal soalan yang sama. Tak
mungkin aku akan memberi jawapannya. Jawapan yang pasti membuat dia
serba-salah dan mengorbankan maruahku sendiri. Biarlah dia meneka dalam
kesamaran. Biarlah dia tidak ketemu jawapannya.
"Bila sampai waktunya kau akan tahu juga," aku berdalih.
"Dengan akupun kau mahu berahsia?"
"Tak semua perkara kita boleh bercerita"
"Walaupun kawan baik sendiri?"
"Kau terlalu mendesak, Riz"
"Bukan macam tu tapi kadang-kadang kau tiba-tiba bertukar menjadi terlalu
misteri pada aku! Seorang yang pelik. Mencintai lelaki yang tidak menyintai
sehingga sanggup mengorbankan hati-hati orang yang sangat berharap"
"Ah, sudah acah kali kau hukum aku begitu"
"Kau sepatutnya yang merasa terhukum, Dina! Kau lukakan hati orang tuamu
dan lukakan hati Ridwan dan keluarganya"
"Tapi hati aku sendiri bagaimana?"
"Kau syok sendiri, Dina!"
"Ya! Aku memang syok sendiri" Titikku. Tidak mahu kukenang lagi
cerita-cerita sudah. Ridwan pasrah. Mama dan papa juga menerima segalanya.
Sudahlah.
"Kau datang untuk membeli cincin ke nak mengumpat pasal aku?" aku mula
mengalih topik perbualan dengan menunjukkan sebentuk cincin yang cukup
cantik kepadanya. Tentu tambah berseri jari manis Hanim bila menyarungkan
cincin itu.
"Dina, kau perlu berterus-terang pada dia. Tak salah kalau perempuan yang
memulakan dulu," dia masih tidak mahu mengalah.
"Ah, mengarutlah!"
"Kau takut ditolak sebelum mencuba tandanya kau tak yakin pada diri
sendiri. Kau tahu, Dina?"
"Tahu apa?"
"Kau cantik!" Aku tersenyum dengan pujian itu. Ah, kecantikan bukan
segalanya.
"Kalau kau sudi aku boleh tolong kau!"
"Tak payah! Apa-apapun kau tengok cincin ni dulu" Aku mengunjuk kepadanya.
"Dina...!" Dia masih tidak berpuas hati.
"Riz! Kita ke sini bukan nak berkisah tentang cinta misteri aku tapi nak
beli cincinkan?" Aku mengulang lagi dan akhirnya dia mengalah.
Dari jauh kulihat Mukriz kelihatan sugul. Dia seperti melayan perasaannya sendiri. Kayu kecil di tangannya dikuis-kuis ke tanah. Kornea matanya terlempar jauh ke tengah tasik yang tenang. Mungkin dia sedang merindu. Terlalu seksa menanggung rindu seperti belati menusuk hati. Itulah adat orang berkasih. Aku cemburu kalau hanya Hanim di kotak hatinya. Hanya Hanim yang layak, bukan aku! Tiba-tiba aku terasa dipinggir dan tersinggir jauh tapi langkahku terus gagah menurut bayangnya.
"Jauh merindu," sergahku. Dia berpaling. Wajah yang berkerut dipaksa mengukir senyum. Dia terlalu kacak tapi bukan kerana rupa aku jatuh hati padanya tapi kerana dia adalah dia. Dia tidak pandai mengambil kesempatan. Dia terlalu mengambil berat dan pandai mengambil hati. Mungkin kerana dia seorang sahabat. Begitulah setia seorang sahabat tapi hanya aku yang mengharap lebih dari itu. Dia juga mengajar aku curang dan tidak terburu mengajar pelangi. Kehadirannya memaksakan aku menafsir semula kuntum-kuntum kasih yang merimbun di hati. Aku tidak pernah merasa rindu pada Ridwan seperti aku rindu padanya. Mungkin kasih pada Ridwan bukan cinta tapi cuma rasa sayang. Sayang seorang adik kepada abangnya.
"Aku merindu pada yang tak sudi, Dina." Lama baru dia menjawab. Wajahnya
murung. Semangatnya seperti patah.
"Apa maksud kau?"
"Perminangan aku ditolak, Dina kerana orang tuanya sudah ada calon yang
lain"
"Saudara dekat! Senang kalau sakit pening, alasan ibunya!"
"Jadi selama ini?"
"Hanim pernah membayangkan kemungkinan begini jadinya pada hubungan kami
tapi aku terlalu yakin pada rasa cinta kami akan mengubah segalanya."
Terlalu sayu suara yang terbit dari ulas lidahnya.
Aku tidak mampu berbuat apa-apa. Aku tidak pandai memujuk. Kalau dia bercerita tentang kisah Hanim, aku bersedia menjadi pendengar yang setia. Kadang-kadang aku cuba menghibur laranya. Kadang-kadang hatiku berbunga dengan harapan. Kadang-kadang tempias juga rasa cemburu bila Mukriz asyik menyebut tentang Hanim. Terasa aku tiada tempat di hatinya. Seolah ruang itu hanya untuk Hanim seorang. Apapun, semenjak hati Mukris berkelana, hubungan kami semakin akrab. Masanya banyak denganku. Mungkin aku yang pandai mengambil peluang. Menangguk di air yang keruh. Mungkin! Tapi rasanya aku tidak salah kalau menyintainya.
Akhirnya masa yang ditunggu tiba jua. Kami berjaya menghabiskan pengajian dengan jayanya. Semakin hampir dengan perpisahan semakin pilu rasa hati. Mungkin selepas ini kami akan terpisah terus. Semasa cuti semester aku sudah tidak menentu kerana merinduinya, inikan pula berpisah tanpa pertemuan begini.
"Dina, macam mana lelaki tu,?" tanyanya tiba-tiba. Tanpa salam. Tanpa
apa-apa, tanda kehadirannya. Tiba-tiba saja dia muncul. Mendekatiku dengan
keramahan sama. Dengan kemesraan yang serupa. Mungkin begitu juga
pemergiaannya nanti. Tiada apa-apa tanda di hatinya tapi di hatiku,
kehadirannya cukup berkesan.
"Lelaki mana?" soalku kehairanan.
"Yang you cakap tu"
"Tiada perubahan! Aku rasa kami tak akan bersama di dunia ini, mungkin di
akhirat" Aku cuba berjenaka dengan serangkai senyuman di bibir yang
dibuat-buat sedang, di hati tercalar seribu luka. Mungkin aku hanya seorang
perempuan. Tidak berhak untuk memulakan sebuah cinta. Sayang! Kalau aku
lelaki sepertinya sudah lama aku laungkan suara cintaku.
"Sia-sia saja kau curang pada Ridwan" Dia pula berseloroh.
"Bukan jodoh aku"
"Kau masih mahu berahsia tentang lelaki itu daripada aku?" Dia masih setia
mendesak.
"Biarlah dia menjadi sejarah dalam hidup aku"
"Sedihnya! Kebelakangan ini aku lihat kau murang aje!" Aku terdiam. Aku
tentu sepi tanpa Mukriz di sisi. Aku akan jadi seorang perindu. Mungkin
inilah balasan Tuhan kepadaku kerana melanggar hati Ridwan dulu.
"Dina, aku nak hadiahkan kau sesuatu." Air mata yang tergenang di kelopak
cuba kutahan. Aku tidak mahu dia tahu aku menangis kerana aku tidak bisa
menerangkan kepadanya erti titisan air mata yang meleleh itu.
"Apa dia? Hadiah tanda perpisahan ke?" Suaraku bergesel dengan sebak di
hati.
"Bukan! Tanda pertemuan." Dia tersenyum.
"Pertemuan kita akan berakhir, Riz!"
"Kau tak ada siapa-siapakan?"
"Apa maksud kau?"
"Kau tak menanti siapa-siapa lagikan?"
"Aku tak faham!"
"Kalau hadiahkan cincin ini, kau akan terimakan?" Kepal di tangannya
terbuka
dan di situ tergolek sebentuk cincin. Aku masih ingat cincin itu. Cincin
itu
pernah membuat aku cemburu dan menangis. Cincin itu juga lambang harapan
Mukriz yang kecundang.
"Aku mahu melamarmu dengan cincin ini," antara percaya dan tidak, ucapan
itu
membuat duniaku terhenti seketika.
"Aku tahu kau tak boleh menerima aku tanpa cinta tapi cubalah, Dina!" Aku
jadi gementar. Terkesima.
"Kau dah fikir masak-masak?" tanyaku tawar. Tiba-tiba aku jadi keliru. Aku
tidak mahu menjadi escapism.
Pilihan terakhir. Aku mahu dicintai sepenuh jiwa seperti aku menyintainya.
"Dah! Aku tidak mahu mencari lagi kalau di hadapanku telah terpancar
sekilau
permata. Akupun tahu sejauh mana kemesraan kita. Kaulah satu-satu perempuan
yang berada di sisi mengubati lukaku, menumpang rasa gembiraku," ucapnya
melarutkan rindu yang membiru di hatiku.
"Tapi aku akan undur kalau ditakdirkan lelaki itu datang membalas cintamu,"
dia tinggalkan aku sendiri dengan cincinnya.
Setelah sebulan mengikat tali pertunangan kami mengambil keputusan untuk terus diijabkabulkan setelah masing-masing berjaya menjawat jawatan tetap. Terlalu pantas masa beredar. Mukriz yang tidak sabar. Sebenarnya akupun tidak sabar. Dia takut hatiku berubah. Mukriz tidak banyak membantah bila aku berkeras untuk bekerja walaupun bertentangan dengan syaratnya dulu.
"Masih teringatkan dia? Dina menyesal menerima abang?" Dia melabuhkan
punggungnya di sisiku. Sampin yang kemas melilit pinggang dilonggarkan dan
disangkut di bahu. Kadang-kadang aku masih tidak percaya, dia kini menjadi
milikku. Impianku selama ini menjadi kenyataan. Seakan aku sedang dibuai
mimpi. Mimpi ini sangat indah.
"Abang cemburu?"
"Cemburu dan rasa bersalah kerana memaksa Dina melupakan dia," terasa
mataku
basah. Basah dek air mata gembira.
"Maafkan abang," Mukriz menyeka air mataku yang turun ke pipiku.
"Abang tak bersalah! Kini Dina milik abang. Tiada lelaki lain lagi di hati
Dina," ucapku.
"Tapi Dina menerima abang kerana terpaksa dan tanpa relakan," dia bangun
dari duduknya. Seperti menghindar dariku.
"Abang, abanglah lelaki itu. Lelaki yang Dina puja selama ini," dia pantas
merenungku seolah tidak mempercayai rahsia yang kubuka itu. Mataku dan
matanya berpandangan. Aku mengangguk menyakinkan. Matanya tersenyum.
Bibirnya tersenyum. Aku membalas malu. Bahagia kian kurangkul
-=Anonymous=-