Kad merah itu masih lagi dalam genggamannya. Puas dibelek, diteliti kad yang menyimpan seribu kenangan buat dirinya itu. Erat di genggamannya. Alunan lembut yang mampu dihasilkan oleh kad itu membawanya menyelam ke lautan cintanya yang pastinya tidak bertepi. Alisa masih lagi membelek. Hari ini genap setahun usia cintanya. Ah! Bahagianya hidup. Gembiranya hati. Indahnya dibuai cinta apalagi mendapat apa yang diimpikan dalam hidup.
"Lisa... Lisa..."
Laungan di luar pintu kamarnya menenggelamkan segala imaginasinya. Ah! Ada-ada saja orang tua ni, kacau betul! Rungutnya dalam hati. Alisa memaksa dirinya melangkah. Tilam empuk kesayangannya ditinggalkan seketika waktu.
"Ada apa makcik?"
"Hafiz call." Lantas orang gajinya berlalu terkedek-kedek ke dapur menyiapkan urusan yang belum selesai. Alisa terpaku seketika. Hafiz! Macamana harus digambarkan betapa gembiranya hati menyambut panggilan buah hati tersayang. Hafiz sayang... Berlari pantas menuju ke meja telefon...
"Hello sayang," manja Alisa memula bicara.
"... keluar... bila?"
"... no problem tapi I kena siapkan assignment dulu.."
"... tak banyak. Sikit je..."
"... ok sayang. I tunggu you malam ini.."
"... bye.. Miss you..."
Sedetik berlalu, gagang telefon telah kembali ke tempat asalnya. Seperti tadi, Alisa kembali menemui tilam empuk kesayangannya. Lantas, tubuh gebunya segera direbahkan. Hafiz... Sayang, dah lama tak jumpa. Kadang-kadang Alisa berfikir, mengapa sukar sangat untuk bertemu Hafiz? Alisa tenggelam dalam lamunannya yang tiada bertepian. Entahlah... kadang-kadang Alisa sendiri keliru dengan apa yang berlaku. Biarlah! Biarlah waktu yang menentukan segalanya. Alisa pasrah dengan apa yang berlaku sekarang. Dia telah memeterai kasih, menyimpulnya dan tidak sanggup lagi berpisah dengan insan yang cukup disayanginya itu.
Hafiz Izuddin, seorang yang baik, terlalu mesra dan pentingnya dia pandai mengambil hati kedua-dua ibu bapanya. Hafiz tu budak baik... masih terngiang-ngiang kata-kata ibunya apabila dia mempertemukan mereka berdua. Kalau mummy dan daddy dah setuju, senanglah hatinya. Daddy? Ah! Awal-awal lagi daddy tak banyak soal, katanya, Alisa yang akan berkahwin kelak bukan dirinya. Oleh itu dia akan terima siapa saja yang menjadi pilihan satu-satu anaknya itu. Kalau semua dah setuju... tanggung bereslah. Siapa lagi yang harus ditanyakan pendapat tentang Hafiz.? Ah! Mak Lijah? Orang gajinya yang tidak banyak cakap itu awal-awal lagi tidak disukainya.
Lantaklah dia... kadang-kadang timbul rasanya dalam hati ingin bertanyakan Mak Lijah mengapa perangainya begitu... suka diam. Tak macam orang gaji yang selalu Alisa lihat dalam tv. Malangnya nasib aku, dapat daddy yang sentiasa sibuk. Mummy pula yang suka melaram, orang gaji pulak yang jenis buat tak tahu tentang dirinya. Ah! Nasib...nasib...
Kadang-kadang timbul keinginannya dalam hati. Ingin bertanya pada Mak Lijah mengapa dia bersikap demikian. Teringin rasanya nak dibelai Mak Lijah seperti dalam drama Melayu yang sering ditontonnya setiap malam. Alangkah bagusnya. Tak dapat belaian mummy dan daddy pun tak apalah, asalkan orang gaji baik. Teringin rasanya nak dibelai dan dimanja. Nasib... nasib... kalau dah nasib tu nasib jugaklah. Tapi, untungnya ada Mak Lijah, dia tidak pernah minta cuti sepanjang lima tahun bekerja dengan keluarga mereka. Kata Mak Lijah suatu ketika dulu, dia anak yatim, tak ada tempat bergantung dan hidup pula sebatang kara. Bila diingat balik kesian juga tengok orang tua tu.
Hafiz... ah! Tentunya dia sentiasa dalam ingatan aku. Kepala otak ni tak pernah lupa dari mengingatinya. Jejaka tampan yang dikenalinya beberapa hari sebelum 'Valentine Day' tahun lalu itu benar-benar telah mencairkan hati wanitanya. Betapa malunya apabila mengingat saat indah waktu pertama kali bersua. Ini semua angkara teman sekuliahnya yang mengadakan satu majlis hari jadi. Di situlah mereka ditemukan. Akhirnya Alisa tahu itu semua adalah rancangan kawan-kawannya. Kebetulan pula Hafiz baru saja putus cinta. Walaupun mulanya dia agak marah namun kini dia sepatutnya berterima kasih kepada teman-teman sekuliah yang berusaha menemukan mereka berdua.
Kad merah lambang cinta mereka itu digenggam erat. Dibelek kad yang ditinggalkan kesepian di kamar sebentar tadi. Hafiz... dia kembali lagi ke ruang imaginasinya yang belum pasti bila kesudahannya. Ah! Terlalu banyak imaginasinya, terlalu tinggi pengharapannya pada jejaka itu. Timbul pula imaginasinya tentang ros merah yang biasanya tidak pernah Hafiz lupa setiap kali keluar dengannya. Dia tersenyum manja. Hafiz memang romantik. Hafiz memang baik... Hafiz... Hafiz... semuanya indah bagi Alisa apabila mengingati Hafiz. Ingat lagi dia saat-saat Hafiz melafazkan kata cinta. Penuh gentleman lelaki itu. Begitu tenang melafazkan keinginannya, menyatakan hasrat memiliki dirinya. Dan saat itu, tiga kuntum ros merah menjadi penyeri malam mereka. Indahnya saat itu, riangnya rasa hati, andai dapat diulanginya kembali detik-detik indah itu.
14 Februari, itulah tarikh keramat yang menyimpul rapi cinta luhur mereka. Itulah saat mereka menyimpul rapi kasih mereka, menguntai sayang dan pastinya membuah cinta yang pasti akan kekal ke akhir hayat. Alisa kembali merenung kad merah di hadapannya itu. Terlalu banyak imaginasi gadis ini, terlalu tinggi harapannya, terlalu banyak yang diangannya. Anak muda, bila dah ketemu yang sesuai di hati maka terungkaplah rasa cinta, Alisa terus mengelamun. Hari ini genaplah setahun usia cinta mereka. Alisa pasti, segala angannya, segala harapannya akan berakhir dengan kebahagiaan bukan kesedihan. Harapannya biarlah Hafiz menjadi miliknya, tiada tukar ganti dengan yang lain seumur hidupnya.
Lamunannya mati di situ, assignmentnya perlu disiapkan segera. Esok tarikh akhir menghantarnya. Sekejap sahaja dia sudah menghidupkan suis komputer peribadi miliknya. Kerja-kerja menaip dimulakan. Tidak seperti semalam, kerja-kerja menaipnya kurang lancar. Bukan apa, memandangkan kotak fikirannnya tidak lepas dari mengingati lelaki kesayangannya sampaikan kerja-kerja yang dilakukan seperti tidak kena sepanjang hari. Lagipun hari ini hari ulangtahun cintanya bersama Hafiz, kalau boleh seharian dia ingin bersama lelaki itu. Biar dia tahu betapa agungnya cinta pada insan yang bernama lelaki itu. Tapi apakan daya, Hafiz sibuk dengan pernigaannya, sampaikan teman wanita sendiri tidak mampu diberikannya ruang yang cukup untuk bersama. Hafiz... renungan manja lelaki itu menjadi igauannya.
Hampir tiga jam berlalu. Kerjanya masih ada sedikit yang belum siap. Alisa mengambil keputusan untuk berehat seketika. Sakit belakang mengadap komputer lama-lama. Dia memilih sofa yang terpaku di sudut kamarnya sebagai tempat melepaskan lelah. Fikirannya mula berkira, apa yang harus dikenakan malam ini. Apa yang sesuai... pelajar tahun akhir kursus kewartawanan di salah sebuah universiti terkemuka di ibunegara itu mula berkira-kira. Gaun? Ah! Gila... aku bukan nak kahwin. Jeans atau t-shirt... selekehnya! Skirt..? Sekali-kali aku tak rela. Lamunannya mati di situ.
5.30 petang, kerjanya hampir siap. Masih ada masa untuk berehat sejenak sebelum Hafiz datang menjemputnya. Ada masa lagi untuk mengelamun dan pastinya masih ada masa untuk tidur buat seketika waktu. Tabiat buruknya yang kuat tidur itu masih tidak mampu dihindarinya sejak dulu. Mana-mana saja dia boleh tidur. Alisa merenung kesemua baju miliknya. Satu persatu dibelek, dikeluarkan. Kebaya hijau menarik perhatiannya. Kebaya hijau lambang cinta mereka. Tersenyum dia seketika. Inilah kebaya yang disarungkannya semasa hari pertama dia bertemu Hafiz, insan yang bertakhta kukuh di jiwanya kini. Lantas, cepat dia membuat keputusan untuk menyarungkan kembali kebaya yang telah setahun tidak disentuhnya itu. Tentunya Hafiz akan gembira melihat penampilannya malam ini. Alisa tersenyum.
8 malam. Alisa telah lama bersiap. Kebaya hijau yang melekat di tubuh montoknya memang mampu mengghairahkan setiap insan yang memandang. Cantik! Wajahnya yang putih gebu dihiasi dengan solekan nipis menyerlahkan keayuannya. Ah! Bisa cair mata yang menyaksi. Terkedek-kedek dia berjalan. Mundar-mandir ke sana-kemari. Kadang-kadang macam ala-ala model catwalk pulak dia malam ini. Pantas dicapainya tas tangan yang berwarna sedondon dengan kebayanya.
9 malam. Satu jam telah berlalu. Namun, apatah Hafiz, bayangnya pun tak nampak. Hafiz... dia mendengus. Belum pernah lelaki itu mengingkari janjinya. Apa yang telah berlaku? Laut fikirannya mula bergelora entah ke mana. Alisa cuba menenangkan hati dan fikirannya. Mungkin jalan sesak. Takpun, mungkin Hafiz sengaja mahu mengujinya. Alisa yakin Hafiz bukan begitu. Hafiz takkan curang kepadanya. Hafiz baik. Hafiz takkan lupa janji. Hafiz takkan menipunya. Dia tahu Hafiz takkan mengecewakannya. Hafiz... Hafiz...
Telefon bimbit di genggaman direnung. Sudah entah berapa banyak kali dia mendail nombor Hafiz, mengapa Hafiz sengaja menutup telefonnya? Tidak cukup dengan itu, Alisa meninggalkan pesanan namun masih tiada sebarang panggilan dari Hafiz. Kadangkala timbul geram di hatinya. Geram diperlakukan begini. Deringan telefon bimbitnya mengejutkan suasana. Mummy! Pantas dia menjawabnya.
"Hello honey, macamana dengan Valentine Day hari ini. Are you happy?"
"Mummy..."
"Yes honey... Itulah.. mummy ajak pergi holiday hari tu tak nak..."
"Ala mummy ni..."
"Okeylah honey, mummy akan balik esok. See you.."
"Okey, bye mummy..."
"I miss you..."
Jam dinding sudah tepat menunjukkan jam 12 malam. Alisa masih enggan menanggalkan kebaya kesayangannya. Malam ini, dialah penanti yang paling setia. Terlalu lambat masa berlalu.Kebayanya kadangkala merimaskan. Panas. Dia juga seperti remaja lain sebenarnya lebih gemar mengenakan pakaian yang ringkas. Tapi untuk malam ini dia sanggup, biarlah dia berpanasan asalkan Hafiz gembira melihatnya.
Lirikan anak matanya tepat mengenai jarum jam tangannya. Sudah 12.15 malam. Sedih! 12.15 juga bermakna hari Valentine telah berakhir. Sedih! Dia terlalu sedih. Itulah ungkapan yang mampu digambarkannya saat itu. Sampai hati Hafiz lakukan sebegini terhadapnya. Sanggup biarkan dia sendiri menanti dan terus menanti. Alisa bangkit. Terkedek-kedek menuju kamarnya. Biarlah! Biarlah! Dia tidak sanggup lagi menunggu Hafiz. Baginya, menunggu Hafiz ibarat menunggu bulan yang jatuh ke riba. Dia pasrah namun tiada sekelumit pun rasa bencinya pada lelaki itu.
Langkah longlainya diatur. Baru saja dia ingin menanggalkan pakaian, telefon bimbitnya berdering. Mesti Hafiz. Sengaja dibiarkannya telefon itu menjerit lama, lambat-lambat dia mengangkatnya. "Hello," lemah suara di hujung telefon.
"Hello, Alisa. Ini makcik!"
"Makcik..."
"Ya Alisa. Ini ibu Hafiz..."
"Mana Hafiz makcik?" tanpa tersipu-sipu Alisa terus melancarkan
kebimbangannya apabila mendengar suara lemah ibu Hafiz.
"Hafiz... Hafiz..."
"Kenapa dengan Hafiz, makcik?"
"Lisa, Hafiz accident," serentak dengan itu airmata wanitanya gugur ke bumi
tanpa diminta.
"Lisa, lagi satu hal..."
"Apa makcik..kenapa?"
"Lisa, sebenarnya Hafiz... Hafiz dah meninggalkan kita semua." Setakat itu
saja yang mampu dituturkan oleh ibu Hafiz, gagang telah diletakkan tanpa
sempat Alisa bertanya lagi.
"Hafiz... Hafiz!" raungannya di tengah kamar mengejutkan Mak Lijah yang baru saja ingin melelapkan mata. Pantas Mak Lijah menuju ke arah Alisa. Dipeluknya remaja yang kesedihan itu. Alisa menangis. Menangis semahu-mahu hatinya. Hafiz... Hafiz... Hafiz... Raungan Alisa makin meninggi.
"Mak... Mak... Mak Lijah... Ha... Hafiz..." Sudah tidak mampu lagi dia menahan kesedihan yang bersarang di jiwanya. Tak mampu... sudah tidak mampu untuk dia meneruskan kata-kata yang tersekat-sekat sejak tadi. Tidak mampu lagi... tidak mampu... kesedihan mengatasi segalanya.
"Sabarlah Alisa, sabar, ingat pada Tuhan. Mengucap, ingat pada Tuhan..." nyata Mak Lijah cuba menahan sebak di dada melihat Alisa begitu. Dikuatkan dirinya memujuk Alisa. Alisa pula terus menangis dan menangis. Jiwanya sedih. Hatinya masih terpaku pada berita yang didengarnya sekejap tadi. Seolah-olah berita itu tidak mampu diterima oleh akal wanitanya.
Mak Lijah meramas lembut tangan Alisa. Pelukannya sejak tadi telah dileraikan. Dia tahu, saat-saat begitu Alisa memerlukan seseorang yang mampu menenangkan hatinya. Alisa masih lemah, malah terlalu lemah. Tanpa disedarinya, Alisa dirangkulnya kembali. Hatinya cukup tersentuh melihat Alisa menanggung derita. Tangisan Alisa masih belum reda. Begitulah sejak tadi.. meraung, menangis... meraung, menangis... tanpa henti-henti. Alisa bagaikan dirasuk, menangis tanpa henti menyebut nama Hafiz.
Malam sunyi itu hanya dipenuhi dengan tangisan Alisa. Mak Lijah sendiri sudah tidak mampu berbuat apa-apa, yang boleh dilakukannya hanyalah berserah pada Ilahi moga-moga Alisa akan segera tenang dan menerima berita dengan hati yang tabah. Sekejap tadi, Mak Lijah membantu memapah Alisa ke kamarnya. Alisa terlalu lemah untuk berjalan sendiri. Tubuhnya longlai tidak bermaya. Di saat-saat begini, Mak Lijah cuba menahan airmatanya. Sedih dia melihat Alisa. Kadangkala, timbul perasaan untuk menghubungi mummy Alisa namun apakan daya, majikannya kini sedang berada di Auckland, New Zealand bersama-sama daddy Alisa untuk bercuti selepas daddynya menyiapkan urusan business di sana.
Alisa masih menangis. Potret arwah Hafiz masih di genggamannya. Potret itu menjadi pengubat rindu Alisa pada Hafiz. Itu Mak Lijah tahu. Mak Lijah juga tahu keakraban hubungan Hafiz dan Alisa. Bahkan, ibu Hafiz pernah menyatakan hasrat untuk meminang Alisa hujung tahun ini. Bahagianya cinta mereka. Agungnya kesetiaan mereka namun ini pengakhirannya. Ini penghujung hubungan suci mereka.
Mak Lijah tahu banyak hal mengenai mereka. Mak Lijah juga tahu 14 Februari adalah tarikh yang mengikat cinta mereka. Malahan, Mak Lijah tahu tentunya mereka berdua merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada tarikh yang sama. Tentunya... tentunya itulah hasrat pasangan yang sedang hangat bercinta ini.
Seminggu telah berlalu. Hubungan Mak Lijah dengan Alisa makin akrab. Mungkin ini hikmah dari apa yang berlaku kalau sebelum itu terlalu sukar untuk Alisa bermesra dengan orang gji mereka tapi kini tidak lagi. Mak Lijah banyak memberi peransang pada Alisa. Seringkali apabila bersama, Mak Lijah akan mengusap lembut rambutnya. Alisa terasa disayangi wanita separuh umur itu.
Hari ini genap seminggu Hafiz meninggal namun kesedihan Alisa masih bersarang di lubuk hatinya. Sedih, kadangkala Alisa merasakan seperti masih tidak mampu meneruskan hidup setelah ketiadaan Hafiz. Sunyi tanah perkuburan itu, sunyi lagi hati Alisa. Digagahkan juga dirinya ditemani oleh mummy dan daddy. Diatur langkah penuh longlai, penuh kesedihan demi menemui kekasihnya yang kini telah kembali kepada penciptanya. Mengunjungi Hafiz membuatkan dirinya terasa seperti Hafiz masih di sisinya, menyemai kasih bersamanya.
Petang itu, di tanah perkuburan yang sepi itu, Alisa menghadiahkan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa buat Hafiz, moga-moga rohnya akan di tempatkan bersama-sama insan yang diredhai. Amin.
-=Anonymous=-