Subject:

 

 Kenapa Saya Beli Cetak Rompak

 

     Date:

          Sun, 20 May 2001 14:56:27 +0800

     From:

          "Asrul Muzaffar Mohammed" <asrulmm@time.net.my>

 

 

Assalamualaikum.

 

Mingguan Malaysia hari ini, Ahad 20 Mei 2001 ada menyiarkan beberapa berita dan artikel mengenai cetak rompak yang

dikatakan "mengancam" industri muzik kita sekarang. Walaupun saya bukanlah seseorang yang bergiat di dalam arena hiburan

(dan perisian), namun saya merasa terpanggil untuk membincangkan isu ini memandangkan filem, musik dan IT

adalah hobi-hobi utama saya.

 

Kenapa cetak rompak berleluasa? Bagi pandangan saya, terdapat beberapa faktor:

 

Apa Yang DiCetak Rompakkan?

 

Menurut definasi, cetak rompak, atau "piracy" adalah "the unauthorised use or appropriation of patented or copyrighted

material, ideas, etc" (Collins, 1991). Fenomena ini sering dikaitkan dengan "mencuri". Mencuri adalah jenayah. Jenayah

mestilah dihukum. Secara rambangnya, apa juga karya atau tajuk sesuatu bahan yang mempunyai hakcipta adalah

"terpelihara" dan tidak boleh diedar atau dicetak sewenang-wenangnya tanpa kebenaran pemilik hakcipta tersebut. Di Barat

khususnya, di mana masyarakat sudah boleh menghormati hakcipta dan patent, ianya tidak menjadi suatu masalah. Malah,

mereka lebih cenderung mendapatkan yang asli daripada tiruan, berdasarkan kualiti dan jangka hayat barangan tersebut.

Walaupun "Napster" mungkin membuktikan sebaliknya, namun ramai berpendapat bahawa Napster cuma merupakan suatu

media untuk pengguna menilai sesuatu "single" atau "album" sebelum mereka membelinya dalam bentuk "hardware" seperti

Compact Disc atau kaset.

 

Cetak Rompak dan Penapisan (Pengakuan Saya)

 

Saya adalah seorang pembeli 'setia" Video Compact Disc (VCD) cetak rompak. Walaupun saya tidak berbangga dengannya,

namun sebab utama saya memilih VCD tiruan adalah kerana ingin mendapatkan sesuatu filem secara "sepenuhnya". Mungkin

mereka yang menonton filem hanya untuk hiburan semata tidak begitu kisah dengan ini, tapi bagi pengumpul filem (saya

mempunyai hampir 600 filem dalam bentuk VHS, VCD, Laser Disc dan DVD), adalah penting untuk mendapatkan suatu salinan

penuh setiap filem.

 

Sebagai contoh, saya pernah membeli video "Braveheart" asal (berharga RM39.90). Namun adalah amat mendukacitakan

kerana salinan tersebut telah disembelih dan dipotong sehingga menjejaskan kelancaran cerita (terutama adegan peperangan).

Selain dari itu, kualiti VCD asli di Malaysia juga boleh dipertikaikan. Selain dari itu, perkataan-perkataan yang diertikan lucah

juga dipotong semahu-mahunya. Sebagai contoh, perkataan "penis" dipotong (soundtracknya dipadamkan) walaupun adegan

tersebut merupakan penerangan biologi dari seorang profesor kepada pelajarnya. Namun begitu, tak sampai 10 minit selepas

adegan tersebut, pelajar berkenaan ada menyebut "coitus interruptus", namun ianya tidak dipotong!! Apakah Lembaga Penapis

Filem merasakan rakyat Malaysia ini terlalu bodoh untuk membezakan yang baik dan buruk, atau mereka sendiri yang

sebenarnya jahil?

 

Cetak Rompak dan Kualiti

 

Bagi yang menonton melalui TV yang mempunyai sistem bunyian "mono" mungkin tidak merasa perbezaanya. Tapi bagi

penggemar alat hiburan teater rumah (home theatre entertainment) dan mempunyai sistem "Dolby Digital" atau "Pro Logic",

adalah menjadi "pantang" dan "irritation" apabila mendengar bunyi yang tidak sama dari apa yang dipaparkan di skrin (seperti

deruman kereta dari speaker kanan ke kiri, tapi di skrin memaparkan kereta yang bergerak dari kiri ke kanan!).

 

Selain dari itu, saya memilih cetak rompak memandangkan pengedar VCD dan filem asal di Malaysia hanya memilih untuk

mengedarkan filem-filem yang dirasakan mempunyai pulangan komersil. Saya tidak menyalahkan mereka dalam hal ini. Oleh

itu, untuk mendapatkan filem-filem seperti "Schindler's List", "Cinema Paradiso", "The Commitments" atau karya-karya Satyajit

Ray, Zhang Yimou dan Akira Kurosawa, saya terpaksa mencarinya di pasar-pasar malam atau memesannya dari luar negara

(yang mana kosnya adalah lebih mahal).

 

Jika sebelumnya, VCD sering disamakan dengan kualiti rendah beserta salinan yang dirakam terus dalam pawagam (dengan

kepala penonton kelihatan dan kecondongan skrin yang tak munasabah), namun dengan adanya salinan yang dirakam terus

dari DVD (kadangkala beserta "subtitle" dalam Bahasa Inggeris), bunyian yang baik, gambar yang terang dan format

"Widescreen", saya cuma perlu merujuk kepada Amazon.com untuk mengetahui bilakah DVD filem tersebut akan diedarkan dan

seterusnya mencari filem tersebut di tempat-tempat yang tertentu.

 

Contoh yang baik adalah video asal "Die Hard 3" yang diedarkan di Malaysia. Salinan tersebut adalah salinan yang diambil terus

dari filem yang serupa versinya dengan yang ditayangkan di pawagam tanah air, tanpa melalui proses remastering yang perlu.

Walaupun kulit video tersebut menyatakan bahawa filem tersbut adalah dalam bentuk "stereo", tapi nyata bahawa pengedar

tersebut ingin menipu pengguna secara bulat-bulat! Dari awal hinga akhir, ianya adalah dalam "mono"!! Harganya? RM39.90!!!.

Pengedar tersebut (yang masih mengedarkan video di Malaysia), bagi saya adalah sebenarnya "penyamun" dalam hal ini!!

 

Cetak Rompak dan Industri Muzik

 

Mungkin saya tidak banyak berjalan, tetapi 100% dari gerai yang menjual CD dan VCD cetak rompak yang telah saya kunjungi,

saya tidak pernah melihat CD Muzik Melayu versi cetak rompak! Bagi saya, apabila Pengarah Urusan EMI Malaysia mengaitkan

penurunan jualan album artis Malaysia dengan peningkatan cetak rompak, beliau tidak ubah seperti cuba memindahkan beban

kesalahan sendiri kepada orang lain.

 

Sukacita dimaklumkan, saya cuma membeli yang original bilamana saya ingin mendapatkan album artis-artis tertentu seperti

M. Nasir, Raihan, Zainal Abidin dan Poetic Ammo. Artis-artis ini selalunya menyedari kelebihan "sonic" menggunakan teknologi

CD berbanding kaset, dan rakaman album mereka selalunya memanfaatkan teknologi ini sepenuhnya. Contoh terbaik ialah

album "Gamal" oleh Zainal Abidin dan "Canggung Mendonan" oleh M. Nasir. Bila ada album artis lain yang agak biasa (tapi

menarik) seperti Siti Nurhaliza, Noraniza Idris dan sebagainya (atau yang hanya mempunyai satu atau dua lagu yang menarik),

saya mendapatkannya dalam bentuk kaset.

 

Walaupun menjadi trend di Barat untuk melahirkan "duplikasi" terhadap sesuatu formula muzik (seperti fenomena "boys band"

Backstreet Boys yang melahirkan N'Sync, Westlife dan sebagainya), penggunaan formula ini sepenuhnya di Malaysia

cuma meruntuhkan sesuatu genre muzik itu sendiri. Contohnya, bila genre rock mula kelihatan mendapat sambutan pada

pertengahan 80an, syarikat rakaman secara eksploitasi mengeluarkan sebanyak-banyaknya album rock, yang melahirkan terma

"kumpulan rock cendawan". Ini diikuti pula dengan pop-yeh-yeh, dangdut, hip hop dan akhir sekali (juga yang paling

menyedihkan), nasyid.

 

Tidak menjadi kesalahan sekiranya "follow-up" sesuatu "act" pertama yang berjaya seperti Raihan dilakukan dengan penuh

hormat bagi memastikan kualitinya setanding (atau lebih baik) dari pelopor genre tersebut, seperti eksperimentasi yang

dilakukan oleh Rabbani. Tapi apa yang terjadi di Malaysia adalah syarikat rakaman cuma membanjirkan pasaran dengan

album-album "follow-up" yang rendah kualitinya. Ianya jelas dilihat dengan kualiti kulit album, teknik rakaman dan video muzik

(yang selalunya lembab dan menggunakan format Beta) artis tersebut.

 

Apakah artis Malaysia sekarang sudah ketandusan ide? "Balik-bailk yang sama juga". KRU, yang merupakan antara artis yang

paling lantang memerangi cetak rompak, bagi saya hanyalah versi "muzik" untuk versi "filem" Yusuf Haslam - dari dulu hingga

sekarang, tiada pembaharuan langsung. KRU mempunyai ide bernas untuk "Tyco" tetapi tidak memanfaatkannya seperti The

Beatles memanfaatkan "Sgt Peppers" pada tahun 60an. Muzik "Tyco" adalah sama seperti "Ooh la La" atau "Awas". Sayang

sekali.

 

Cadangan

 

1) Rombak semula akta cetak rompak dan kebenaran untuk membeli/menonton/menyewa filem. Sistem klasifikasi

yang ada sekarang adalah titik tolak yang baik, namun ianya perlu diguna sebagi rujukan semata (bagi ibubapa khususnya).

Adik ipar saya yang berumur 15 tahun (ketika itu) pernah ditegah menonton filem "GI Jane" yang mempunyai klasifikasi 18SX,

namun dibenarkan menonton "Starship Troopers" yang mempunyai klasifikasi "U", walaupun hakikatnya "Starship Troopers"

adalah jauh lebih ganas (badan tercerai dua, anggota badan terpenggal) dari "GI Jane"!! Kalau perlu, tingkatkan lagi umur

minimum bagi sesebuah filem, tapi filem tersebut perlulah ditayangkan secara penuh, sesuai dengan klasifikasi filem tersebut.

Kalau tidak, jangan tayangkan filem tersebut langsung.

 

2) Tubuhkan suatu badan berkecuali yang boleh memantau kualiti sesebuah bahan hakcipta baik dari segi

kandungan atau dari segi teknologi yang digunakan. Badan tersebut boleh dianggotai oleh pakar-pakar di bidang tertentu dan

seterusnya membuat kritikan ilmiah tehadap sesuatu album atau filem untuk dinilai oleh masyarakat sebagai membuat pilihan

sebelum memiliki karya tersebut.

 

3) Pelbanyakkan variasi genre filem dan muzik di Malaysia. Dengan perkembangan teknologi yang pesat, rakyat Malaysia

sudah makin maju dan pandai memilih apa yang ingin mereka tonton dan dengar. Jangan "assume" bahawa rakyat Malaysia

hanya menggemari filem cinta atau lagu-lagu ala Siti Nurhaliza semata-mata. Ada karyawan seni yang mempersoalkan

"kebanjiran" filem dan muzik asing di Malaysia. Bagi saya mereka ini sebenarnya takut dengan bayang sendiri dan bimbang

sekiranya rakyat Malaysia memilih produk asing (yang jauh lebih berkualiti dan "ilmiah") dari produk tempatan.

 

4) Perluaskan pasaran melewati luar negara. Sekiranya karya Ravi Shankar, Kitaro, Chen Kaige, Zhang Yimou, Ang Lee

dan Majid Majidi (antaranya) boleh diterima dan mendapat pengiktirafan antarabangsa, kenapa tidak M. Nasir, Pak Ngah, Aziz

M. Osman dan U-Wei? Sekiranya pasaran dapat diperluaskan, mungkin bahang cetak rompak di persada Malaysia tidaklah akan

"terasa" sangat. Proses ini memerlukan komitmen dan pelaburan yang kuat, juga aktiviti PR dan Pemasaran yang strategik dan

intensif.

 

5) "Be Yourself", atau "don't be what you are not". Satyajit Ray, Zhang Yimou dan Majid Majidi contohnya mendapat

pengiktirafan kerana mempertengahkan karya yang bercirikan lokasi dan "perasa" (flavour) negara mereka sendiri. Lucu juga

apabila mendengar laporan baru-baru ini bahawa Malaysia sedang membuat filem aksi antarabangsa pertamanya (tajuknya

"The Golden Lotus", or something). Bagi saya, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan nak diduga. Apalah salahnya kita

mempertengahkan budaya kita sendiri dengan saduran karya seperti "Salina", "Daerah Zeni" dan sebagainya daripada

filem-filem yang hanya akan diklasifikasikan sebagai "Gred C" di persada filem antarabangsa? "Jogho" dan "Kaki Bakar" adalah

permulaan yang baik, namun filem tersebut tidak langsung ditayangkan di pawagam tempatan!!

 

6) Tingkatkan imej artis tempatan. Saya bersetuju dengan kenyataan Datuk Jins Shamsuddin dan Erra Fazira baru-baru ini

bahawa majalah hiburan berbahasa kebangsaan di Malaysia (juga rancangan TV tempatan seperti "Melodi") cuma gemar

memainkan gossip...siapa kawin Datuk mana, siapa santau siapa, siapa ditangkap berkhalwat, gambar bogel di Internet dan

sebagainya. Walaupun kebanyakan dari gosip tersebut adalah rekacipta atau gimik oleh syarikat rakaman/perfileman artis

tersebut, ianya cuma akan merendahkan lagi martabat artis tempatan. Kadangkala hairan apabila skop sesuatu artikel

mengenai sesuatu aktiviti artis adalah berbeza pendekatannya antara media berbahasa Malaysia (yang lebih mengutamakan

gossip dan tabloid) dan yang berbahasa Inggeris (pendekatan secara ilmiah). Kita memerlukan lebih banyak pengkritik seperti

Ku Seman daripada Miss Ribut di Malaysia! Bila masyarakat menghormati profesion artis, masyarakat akan menghormati apa

jua karya yang dihasilkan oleh artis tersebut (dan membeli yang asli semata).

 

7) Artis jangan lupa diri. Jangan kerana seekor lembu membawa lumpur, semuanya terpalit. Banyak sangat kisah artis yang

dipaparkan saban hari. Betul atau tidak, wallahualam. Namun artis juga perlulah menonjolkan diri sebagai public figure yang

berakhlak tinggi. Pendidikan juga jangan diabaikan. Jangan melihat kerjaya seni sebagai suatu "pelepas diri" jika mendapat

Gred 3 (atau gagal) dalam SPM. Kita perlukan lebih banyak artis yang berpendidikan dan bukannya lepasan Darjah 6.

Pendidikan akan memperluaskan minda dan hasilnya dapat jelas terlihat dalam karya artis tersebut. Juga perlulah diingat

bahawa kita orang Timur. Walaupun muzik melampaui batas geografi, namun akhlak, tata susila dan pembawaan artis juga

mestilahlah dijaga. Di Barat pun, artis yang buruk susilanya tak akan bertahan lama.

 

Mungkin tulisan ini akan menyinggung sesetengah pihak. Namun tiada pohonan maaf akan saya unjurkan. Apa yang ditulis

adalah dari hati dan fikiran saya sendiri. Mungkin ada yang kurang tepat dan mungkin ada yang terlalu tepat. Terserahlah.

 

Wassalam,

 

Asrul Muzaffar Mohammed (asrulmm@hotmail.com)

Kajang, Selangor

http://www.asrulmm.cjb.net/

(boleh siarkan emel dan nama penuh saya sekiranya perlu)