'Ustaz' Zainal nyanyi lagu rock Ramli Sarip
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Wakil Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom yang sinonim dengan gelaran ustaz hari ini mengejutkan para perwakilan UMNO apabila beliau mengalunkan dua rangkap lagu `Nyanyian Serambi' dendangan `papa rock' Ramli Sarip. Kebolehan Zainal Abidin menyanyikan lagu itu secara `live' ketika membahaskan ucapan dasar Presiden, membuatkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) riuh-rendah dengan hilai ketawa. Gelagat beliau bukan setakat mencuit hati para perwakilan dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) bahkan turut menarik perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak. Antara rangkap lagu itu yang dinyanyikan Zainal Abidin ialah: Andai kasturi hilang harum, mawar tak menguntum, kasih tak bersambung. Walau emas setinggi gunung, kan ku peluk rimbun ampun, rahmat maha agung'. Sambil berseloroh, Zainal Abidin berkata, penyanyi asal lagu itu mungkin tidak dapat menghayati senikata lagu berkenaan sebaik beliau. ``Andai kasturi hilang harum, mawar tak menguntum membawa maksud masa depan orang Melayu tidak bermakna jika UMNO mampu memerintah tetapi dalam keadaan orang Melayu hilang kuasa,'' katanya. Manakala rangkap seterusnya, `walau emas setinggi gunung, kan ku peluk rimbun ampun, rahmat maha agung' kata beliau, membawa makna perjuangan parti harus berlandaskan pegangan agama yang kukuh oleh setiap ahli-ahlinya.
|
Article from www.utusan.com.my
, 24 Sept 2004.
... go back ...