Reviu konsert bagi mangsa tsunami Aceh
Berkonsert, beramal dan berdamai ...

Oleh Hanim Mohd Salleh


SATU HATI: Ramli Sarip (gambar utama), bersama rakan-rakan (gambar kecil dari kiri) M. Nasir, Ebiet G. Ade, Dayang Nurfaezah, Hetty Sarlene dan Rosyam Nor merupakan antara sekitar 40 seniman yang menyingsing lengan untuk menjayakan konsert amal `Ribut Damai' pada Ahad lalu.

Atas nama kedamaian, para seniman sanggup mengetepikan segala perbezaan dan layanan istimewa yang biasanya dinikmati seorang bergelar bintang.

Itulah yang berlaku apabila lebih 40 seniman menyingsing lengan untuk menjayakan konsert amal, Ribut Damai.

Ebiet G. Ade, yang pernah satu masa dulu melahirkan kekecewaannya terhadap kumpulan Sweet Charity kerana merakamkan lagu Camelia 2 tanpa izinnya, menerusi konsert Ahad lalu, mencipta lembaran baru apabila berduet dengan Ramli Sarip - membawakan lagu popular tersebut.

Ebiet bahkan mengakui: "Saya percaya Ramli lebih sering membawakan lagu Camelia 2 daripada saya sendiri. Saya harus
berterima kasih kepadanya."

Bukan itu saja.

M. Nasir, yang cukup diketahui tidak gemar membawakan lagu yang bukan diciptanya sendiri, pada konsert tersebut akur membawakan lagu Teratai (yang dipopularkan Sweet Charity) sebagai memenuhi permintaan penganjur.

Begitu juga dengan artis-artis Singapura lain yang masing-masing membuktikan kemampuan mereka berdiri sama tinggi dengan artis negara jiran. Kumpulan rock, Lovehunters, menunjukkan sikap terbukanya apabila bergabung dengan artis hip hop, Triple Noize, untuk membawakan lagu Jikalau Berkasih sementara penyanyi R&B, Hazrul Nizam, berani menyahut cabaran membawa lagu rock etnik, Istilah Bercinta.

Hazrul ternyata cukup berwibawa dengan memberikan versinya yang tersendiri terhadap lagu ciptaan Ramli itu.

Malah, artis-artis popular lain yang turut menyumbangkan tenaga termasuk Dayang Nurfaezah, Sweet Charity, Kopratasa,
A. Romzi, Mohram, Thaqif, kumpulan Raihan, Farihin Abdul Fatah, Rahimah Rahim, Hetty Sarlene, Nuradee dan kanak-kanak Sri Warisan Som Said tidak menetapkan kadar yuran persembahan yang biasa diterima.

Ini semua demi membantu mencapai matlamat konsert mengumpul dana untuk projek Mercy Relief Singapura bagi pembinaan semula Panti Asuhan Muhammadiyah di Meulaboh, Aceh, yang musnah akibat bencana tsunami pada 26 Disember lalu.

Walaupun banyak kegenjotan teknikal terutama pada layar video dan ketika pertukaran setiap acara berlangsung sehingga
menjejas mood konsert selama tiga jam setengah itu, acara-acara yang dihidangkan secara berasingan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

Pelakon filem Gangster, Rosyam Nor, menyentuh hati penonton dengan deklamasi sajak Senandika (mengenai kesengsaraan
mangsa tsunami di Aceh) dalam dua nada yang berbeza - penuh syahdu untuk persembahan pertama dan agresif dalam persembahan kedua.

Persembahan duet R. Ismail dan anaknya, Iskandar, menerusi Lagu Zaman pula cukup membanggakan dan mengingatkan Singapura betapa kita perlu lebih kerap memanfaatkan bakat besar yang ada pada seniman tanah air sendiri.

Gabungan suara tiga legenda seni - Nasir, Ramli dan Ebiet - juga cukup menggoncang perasaan, apatah lagi lagu persembahan mereka, Berita Untuk Kawan (ciptaan Ebiet), begitu tepat mengupas persoalan di sebalik bencana tsunami yang mengorbankan lebih 220,000 jiwa itu.

Konsert yang berlangsung di Singapore Expo Dewan 2 anjuran RasaCipta (syarikat yang diterajui Ramli sendiri) itu hanya dapat menarik lebih 1,000 penonton, kurang separuh daripada jumlah yang di harapkan.

Begitupun, konsert berjaya menghasilkan lebih $50,000 dengan sebahagian pungutan akan disalurkan kepada Mercy Relief.

Namun, gitar Gordin milik Ramli - yang ditandatangani Nasir, Ebiet dan Rarnli sendiri - berjaya dilelong pada harga $8,888
yang dibeli oleh Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Kampong Ubi menerusi penasihatnya, Encik Mohamad Maidin
Packer Mohd.

 

Article from Berita Harian, 13 April 2005.
... go back ...