Balik ke Menu Utama Fokus Sup KImia

Fokus Mei 2000

Adakah anda kurang makan GARAM ?

rock.gif (997 bytes) OK ! Cikgu anda sudah menghabiskan Bab GARAM dan masuk ke Bab PENGOKSIDAAN DAN PENURUNAN. Yang menjadi masalah ialah anda masih kurang faham tentang Bab GARAM ! Terlalu banyak ciri-ciri garam perlu dihafal, keterlarutannya, warnanya, ujian pengesahannya, dan lain-lain lagi.

rock.gif (997 bytes) Jangan bimbang ! Dalam Fokus Mei ini, cikgu akan memberikan tip-tip untuk membantu anda mengatasi segala masalah tentang Bab Garam.

~ Mr. Ooi ~

Berikut ialah kemahiran penting yang harus dikuasai oleh anda dalam Bab Garam :

  • Menghafalkan garam terlarut dan tidak terlarut dalam air.
  • Mengenal pasti garam karbonat dan garam nitrat melalui kesan pemanasan.
  • Megenal pasti kation -kation dengan menggunakan larutan natrium hidroksida dan air ammonia.
  • Mengenal pasti ion plumbum(II), ion ferum(II), ion ferum(III), ion klorida, ion karbonat, ion sulfat, dan ion nitrat melalui ujian pengesahan.

A. Garam terlarut dan tidak terlarut dalam air .

Jenis Garam Keterlarutan
Garam karbonat Semua tidak larut (Kecuali natrium karbonat, kalium karbonat, dan ammonium karbonat)
Garam nitrat Semua larut
Garam klorida

Larut kecuali plumbum(II) klorida, argentum klorida, dan merkuri(I) klorida.

Garam sulfat Larut kecuali plumbum(II) sulfat, barium sulfat, dan kalsium sulfat.

TIP :

  1. Mendakan putih pulmbum(II) klorida akan larut dalam air suling jika dipanaskan. Apabila sejuk mendakan putih plumbum(II) kloroda akan terbentuk semula. Mendakan kuning Plumbum(II) iodida juga menunjukkan ciri-ciri yang sama.
  2. Garam karbonat, nitrat, klorida, dan sulfat biasanya berwarna putih jika kationnya tidak berwarna.

B. Kesan haba ke atas garam karbonat dan garam nitrat.

Garam karbonat dan garam nitrat boleh dikenal pasti dengan mudah sebab garam -garam tersebut akan terurai apabila dipanaskan dengan kuat. Gas-gas yang terhasil boleh dikenali dengan ujian-ujian tertentu.

  1. Garam karbonat biasanya terurai kepada oksida logam dan gas karbon dioksida apabila dipanaskan dengan kuat.
    Perhatian : kecuali natrium karbonat dan kalium karbonat tidak terurai. Argentum karbonat pula terurai kepada logam, oksigen dan karbon dioksida)
  2. Garam nitrat biasanya terurai kepada oksida logam oksigen dan gas nitrogen dioksida apabila dipanaskan dengan kuat.
    Perhatian : kecuali natrium nitrat dan kaliu nitrat terurai kepada garam nitrit dan oksigen. Garam argentum nitrat pula terurai kepada logam, oksigen dan gas nitrogen dioksida.

TIP :

  1. Sebahagian garam karbonat atau garam nitrat boleh dikenal pasti dengan menguji gas yang terbebas dan warna oksida logam yang terbentuk.
  2. Jika gas yang terbebas mengeruhkan air kapur maka garam itu mengandungi ion karbonat.
  3. Jika gas yang terbebas berwarna perang dan bau sengit maka garam itu mengandungi ion nitrat.
  4. Oksida logam -logam tertentu mempunyai sifat-sifat yang mudah dikenali.
    Oksida logam Sifat-sifat
    Kuprum(II) oksida Warna hitam. (kuprum - warna perang)
    Zink oksida

    Panas : kuning
    Sejuk : putih

    Plumbum(II) oksida

    Panas : perang kemerahan
    Sejuk : kuning

    Misalnya, jika suatu garam dipanaskan, gas yang terbebas mengeruhkan air kapur (ada ion karbonat), bakinya berwarna kuning semasa panas dan bertukar menjadi putih apabila sejuk (ada ion zink kerana zink oksida terbentuk) . Maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa garam itu ialah zink karbonat.

C. Mengenal pasti kation.

Untuk mengenal pasti kation-kation , anda hanya memerlukan dua bahan uji, iaitu larutan natrium hidroksida dan air ammonia. Kation-kation yang berlainan akan memberikan warna mendakan (garam hidroksida yang terbentuk) dan keterlarutan yang berlainan dalam bahan uji yang berlebihan.

TIP :

  1. Air ammonia juga dikenali sebagai larutan ammonium hidroksida. Larutan ini juga terbentuk apabila gas ammonia dialirkan/ dilarutkan dalam air.
  2. Jika anda ternampak istilah "larutan natrium hidroksida" , "larutan ammonium hidroksida", atau "gas ammonia dialir ke dalam larutan .... " semasa anda menjawab soalan bab garam, maka bermakna soalan tersebut hendak menguji jenis kation yang hadir dalam larutan. Anda seharusnya boleh memberikan pemerhatian yang sesuai dengan jenis kation yang hadir dalam larutan itu.
  3. Kation -kation yang uji dalam SPM ialah ion bagi Ca2+, Mg2+, Zn2+, Pb2+, Al3+, Fe2+, Fe3+, dan Cu2+.
    Kation Keterlarutan
    Mg2+ Mendakan putih. Tidak larut dalam larutan natrium hidroksida dan air ammonia yang berlebihan.
    Zn2+ Mendakan putih. Larut dalam larutan natrium hidroksida dan air ammonia yang berlebihan.
    Al3+ dan Pb2+

    Mendakan putih. Larut dalam larutan natrium hidroksida yang berlebihan tetapi tidak larut dalam air ammonia yang berlebihan.

    Fe2+ Mendakan hijau kotor.Tidak larut dalam larutan natrium hidroksida dan air ammonia yang berlebihan.
    Fe3+ Mendakan perang .Tidak larut dalam larutan natrium hidroksida dan air ammonia yang berlebihan.
    Cu2+ Mendakan biru. Tidak larut dalam larutan natrium hidroksida yang berlebihan tetapi larut dalam air ammonia yang berlebihan menjadi larutan biru tua..
  4. Ion Al3+ dan ion Pb2+ boleh dibezakan dengan menambahkan larutan kalium iodida. Hanya ion Pb2+ akan membentuk mendakan kuning (PbI2). Ion Al3+ tidak memberikan sebarang perubahan.

D. Ujian pengesahan.

Beberapa ion tertentu boleh dikenal pasti melalui ujian pengesahan. Ujian pengesahan bagi sesuatu ion bermakna hanya ion tersebut sahaja memberikan keputusan yang positif. Tiada ion-ion lain yang boleh memberikan keputusan yang sama.

TIP :

  1. Anda dikehendaki menghafalkan ujian pengesahan bagi setiap ion berikut.
    Jenis Ion Ujian pengesahan
    Ion Plumbum(II) Tambahkan larutan kalium iodida, mendakan kuning terbentuk.
    Ion Ferum(II) Tambahkan larutan heksasianoferat(III), mendakan biru terbentuk.
    Ion Ferum(III)

    Tambahkan larutan heksasianoferat(II), mendakan biru terbentuk.

    Tambahkan larutan kalium tiosianat, mendakan merah darah terbentuk.

    Ion karbonat Tambahkan asid, alirkan gas terbebas ke dalam air kapur. Air kapur menjadi keruh.
    Ion klorida Tambahkan asid nitrik diikuti dengan larutan argentum nitrat. Mendakan putih(AgCl) terbentuk.
    Ion sulfat Tambahkan asid hidroklorik diikuti dengan larutan barium klorida. Mendakan putih(barium sulfat) terbentuk.
    Ion nitrat Tambahkan larutan ferum(II) sulfat dan asid sulfurik yang sama isi padu diikuti dengan asid sulfurik pekat. Satu gelang perang terbentuk(Ujian cicin perang).
  2. Dalam ujian ion klorida dan ion sulfat, asid ditambahkan untuk menghapuskan ion karbonat yang mungkin hadir. Ini disebabkan argentum karbonat dan barium karbonat juga merupakan mendakan putih seperti argentum klorida dan barium sulfat.
  3. Anda seharusnya mengetahui apa ion yang hendak diuji dan apa pemerhatian yang sepatutnya apabila terjumpa bahan-bahan uji di atas dalam soalan berkaitan dengan Bab Gram.