Balik ke Menu Utama Fokus Sup KImia

Soalan esei dalam kertas peperiksaan SPM 1997 telah diselitkan dengan kemahiran berfikir.

Biar kita mengkaji beberapa contoh soalan esei dan cara menjawab soalan berkenaan.

Contoh 1 : [soalan SPM no. 4 (b)]
Bahan G ialah serbuk yang mudah terbakar dan bertakat lebur 120oC. Huraikan bagaimana anda menjalankan eksperimen untuk menentukan takat lebur bahan G. Jawapan anda hendaklah menunjukkan bagaimana takat lebur bahan G itu ditentukan.

Pengetahuan yang sedia ada :
Pelajar telah menjalankan eksperimen untuk menetukan takat lebur naftalena (80oC) dengan menggunakan air panas.

Kemahiran berfikir :
Bahan G yang diberi dalam soalan itu bertakat lebur 120oC . Ini bermakna air tidak boleh digunakan untuk memanaskan bahan G sehingga lebur kerana takat didih air hanya 100oC. Pelajar haruslah berfikir apakah bahan kukus lain yang sesuai untuk menggantikan air. Bahan yang sesuai digunakan ialah seperti minyak pelincir, minyak masak, dan minyak galian.


Contoh 2 : [soalan SPM no. 2 (b)]
(i) Dengan melukis gambar rajah susunan radas, huraikan satu eksperimen untuk menunjukkan kehadiran mangkin kuprum(II) sulfat mempengaruhi kadar tindak balas antara asid hidroklorik cair dengan zink untuk menghasilkan gas hidrogen.
(ii) Dalam eksperimen (b)(i) ion sulfat dalam kuprum(II) sulfat tidak berperanan sebagai mangkin. Dengan menggunakan bahan tindak balas dalam eksperimen (b)(i), huraikan dengan ringkas bagaimana anda membuktikan bahawa ion sulfat tidak berperanan sebagai mangkin.

Pengetahuan yang sedia ada :
Pelajar telah menjalankan eksperimen untuk menunjukkan kehadiran mangkin boleh mempengaruhi kadar tindak balas secara mengumpulkan gas yang terbebas dalam eksperimen tertentu dan membangdingkan kadar tindak balas berdasarkan graf.

Kemahiran berfikir :
Pelajar boleh menjawab bahagaian (i) berdasarkan pengetahuan yang sedia ada. Untuk menjawab bahagian (ii), pelajar haruslah berfikir bahawa  ion sulfat bukan mangkin maka ion kuprum(II) mestilah mangkin. Jika ion sulfat bukan mangkin , maka larutan garam sulfat lain tidak akan memberi kesan kepada kadar tindak balas.
Jadi, pelajar boleh mengulangi eksperimen yang dihuraikan dalam bahagian (i) dengan menggunakan larutan garam sulfat lain seperti larutan natrium sulfat, larutan kalium sulfat dan lain-lain.


Kesimpulan

Semasa menjawab soalan esei yang terselit dengan kemahiran berfikir, anda haruslah mengambil langkah-langkah berikut:

1. Baca soalan dengan teliti, gariskan atau bulatkan maklumat penting yang diberikan.

2. Berfikir dahulu sebelum anda menjawab :
    (i) Adakah pengetahuan yang sedia ada boleh digunakan untuk menjawab secara 100% ?
    (ii) Perlukah bahan kimia tertentu digantikan dengan bahan kimia lain ?
    (iii) Perlukah susunan radas diubahsuai ?
    (iv) Perlukah keadaan eksperimen seperti suhu, tekanan, atau kepekatan larutan diubah ?

Balik ke Fokus Sup Kimia