Main Page|KPT Website | Kerajaan Terengganu| Forum |GuestBook

 

ALTERNATIF SALURAN MINDA ISLAM

Suara Kampus Edisi Terengganu

 

BILANGAN 33 TAHUN 08 APRIL / MEI 2002

 

FOKUS

I.S.A: Satu Analisis Dari Sudut Islam Dan Demokrasi

 

Oleh:  Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Bin Bari
Ihsan Dari: Internet

    

 

 

PENGENALAN

        Akhir-akhir ini Akta Keselamatan Dalam Negeri (Intemal Security Act ) 1960 menjadi tajuk perbincangan lagi. Akta yang lebih dikenali dengan akronim Inggerisnya ISA ini dianggap, tidak berperikemanusiaan drakonia, menentang demokrasi dan seumpamanya. Kerajaan yang dikatakan bergantung kepada ISA untuk terus berkuasa ini, mempertahankannya dengan pelbagai alasan. Kertas ringkas ini cuba menjelaskan akta ini dari beberapa sudut.

ISA DAN KERANGKA PERLEMBAGAAN

Kefahaman ini penting untuk kita memahami di mana kedudukan ISA dalam kerangka perlembagaan negara. Inilah yang memberikan asas kepada undang- undang itu. Meskipun begitu, dari segi prinsip, ISA bertentangan dengan perlembagaan dan konsep kedaulatan undang-undang (rule of law). ISA bertentangan dengan perlembagaan kerana ia bertentangan dengan peruntukan-peruntukan di bawah Kebebasan Asasi. Bagaimanapun pertentangan ini diharuskan oleh Perkara 149 yang memberi kuasa kepada parlimen untuk membuat undang-undang bagi mencegah subversif. Dan kuasa untuk menangani subversif ini terlalu luas sehingga ia boleh merangkumi apa sahaja keadaan yang dianggap mengancam ketenteraman awam, termasuk yang belum lagi berlaku. Dari segi kedaulatan undang-undang ISA tidak dapat diterima kerana ISA membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara. Di bawah prinsip kedaulatan undang-undang seseorang hanya boleh dihukum melalui perbicaraan di bawah undang-undang di mahkamah. Meskipun ISA mempunyai kesahan atau alasan di sisi perlembagaan keadaan tidak mungkin seperti sekarang sekiranya mahkamah-mahkamah kita, seiak ISA diluluskan pada 1960 dahulu mengambil pendekatan yang tegas dan kritikal dalam kes-kes di bawah ISA. Sebaliknya mahkamah mengambil sikap tidak mahu memeriksa dengan teliti alasan penahanan dan seumpamanya. Dalam beberapa kesempatan mahkamah malah menyelamatkan penahanan yang memperlihatkan kesilapan prosedur.

ALASAN KENAPA ISA HARUS DIMANSUHKAN

Dari segi demokrasi memang benar bahawa sistem berkenaan perlukan sebuah masyarakat yang aman dan stabil supaya ia dapat beroperasi dengan lancar. Tetapi apakah ISA ini sinonim dengan kestabilan dan ketenteraman awam? Memang negara ini, jika dibandingkan dengan negara-negara lain, agak stabil dan aman. Tetapi mestikah itu semua berpunca daripada undang-undang seperti ISA? Apakah keamanan itu tidak mungkin berpunca daripada sikap tidak suka keganasan di kalangan masyarakat Malaysia? Dengan demikian alasan yang mengatakan bahawa ISA perlu dikekalkan kerana ia dikatakan telah berjaya mengawal dan mententeramkan keadaan sebenarnya tidaklah saintifik kerana kaitan antara keamanan dan ISA itu lebih merupakan dakwaan yang kebenarannya belum dapat dipastikan. Dalam pada itu penganiayaan di bawah ISA sudah agak jelas. Ini berdasarkan kepada memori dan pengalaman tokoh-tokoh tertentu yang di bawah akta berkenaan. Melihat kepada profil mereka yang ditahan di bawah 9ISA agak jelas bahawa akta ini pada praktikalnya ditujukan kepada penentang dan pengkritik kerajaan sesuatu yang sebenarnya sah di sisi demokrasi. Dari segi Islam alasan yang sering dikemukakan untuk menyokong undang-undang seperti ISA juga lebih kurang sama dengan hujah untuk ISA di atas tadi. Yang berbeza cuma seseorang yang ditahan itu disyaki membahayakan Islam dan para penganutnya. Bagaimanapun tidak ada bukti jelas bahawa mereka yang ditahan di bawah ISA itu benar-benar mengancam keselamatan negara. Yang kita tahu mereka yang ditahan di bawah ISA - baik penggiat NGO, ahli politik pembangkang - adalah mereka yang kritikal terhadap kerajaan. Berbalik kepada kedudukan ISA di sisi Islam mungkin relevan jika dikatakan bahawa di dalam Islam, bercakap benar, khususnya mengkritik pemerintah yang zalim digolongkan sebagai perlakuan taqwa yang tinggi. Inilah antara alasan yang menyebabkan kita berasa ragu bahawa ISA boleh dijustifikasikan di sisi Islam. Apatah lagi apabila kita menyedari bahawa ada pihak yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah dengan Islam tidak ditangkap di bawah ISA.

ALTERNATIF UNTUK ISA

Bagi sesetengah pihak, khususnya pembangkang dan mereka yang kritikal terhadap penggunaan ISA, jalan di hadapan hanyalah satu: mansuhkan ISA. Ini kerana akhir-akhir ini tangkapan di bawah undang-undang ini semakin tidak meyakinkan alasannya. Sama seperti undang-undang lain seperti Akta Mesin Cetak 1984, Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 pelaksanaan ISA lebih bersifat menentang demokrasi. Dari satu sudut tindakan kerajaan menggunakan ISA boleh dianggap sebagai menghalang rakyat menggunakan proses aman di bawah sistem demokrasi dan memprovok mereka menggunakan kekerasan. Ini kerana sesuai dengan sifat manusia, jika mereka sentiasa dihalang dan disekat dari menggunakan saluran-saluran yang sah maka mereka lambat laun akan hilang kepercayaan kepada sistem berkenaan. Dan inilah yang menjadi punca , kepada keganasan dan seumpamanya. Selain itu tanpa ISA pun sebenamya sistem kita sudah dipenuhi dengan pelbagai undang-undang yang hujahnya semakin meleset dan ketinggalan zaman. Inilah yang terjadi dengan akta-akta di atas yang pelaksanaannya lebih merupakan halangan dan sekatan buat rakyat dari menggunakan hak mereka yang sah di sisi demokrasi. Mungkin perlu disebut bahawa kebanyakan undang-undang ini berasal dari undang-undang lama yang diwujudkan oleh penjajah British sewaktu mereka masih memerintah negara ini dahulu. Dari sudut ini kerajaan sekarang, yang kononnya membenci penjajahan dan pengaruh asing, sebenarnya banyak bergantung kepada peninggalan penjajah yang usang itu. Ada yang menghujah bahawa ISA ini boleh dikekalkan dengan syarat mahkarnah diberi kuasa untuk menyemak keputusan membuat tahanan oleh kerajaan . Dari segi teori hujah ini nampak baik. Bagaimanapun dari segi pelaksanaan adalah meragukan setakat mana ia boleh menjamin supaya hak-hak mereka yang ditahan tidak dicabul dengan sewenang-wenangnya. Lagipun pengalaman selama ini tidak begitu meyakinkan: mahkamah sering enggan untuk mengambil corak tafsiran yang kritikal dan proaktif.

KESIMPULAN DAN MASA DEPAN

Agak jelas bahawa jalan di hadapan hanya satu: ISA perlu dimansuhkan. Meskipun kerajaan masih mendakwa ISA perlu hujah-hujahnya tidak meyakinkan. Tangkapan terbaru di bawah undang-undang ini benar-benar melemahkan dakwaan-dakwaan kerajaan. Sekiranya kerajaan memerlukan undang-undang seperti ISA untuk menangani pelbagai ancaman formula yang boleh menggantinya cukup mudah: luluskan undang-undang untuk menangani masalah-masalah tertentu seperti undang-undang mencegah penyeludupan, pemalsuan pasport dan seumpamanya. Masalah besar dengan ISA ialah ia mengizinkan kuasa yang terlalu luas kepada pihak.menteri atau polis untuk menahan sesiapa hanya dengan alasan mereka mengancam keselamatan negara. Berdasarkan kepada senario semasa bekas-bekas tahanan perlu menggembleng tenaga untuk mendedahkan apa yang sebenamya berlaku; pengalaman mereka di dalam tahanan. Ini penting kerana masyarakat mempunyai tanggapan bahawa tahanan ISA dilayan dengan baik oleh pihak polis sedangkan ada cerita yang sebaliknya dari sebahagian tahanan. Usaha ini sudah mencapai momentum dan perlu diteruskan untuk kebaikan generasi akan datang. Menarik untuk disebut bahawa berbanding dengan masa-masa yang lalu tentangan terhadap ISA agak lebih lantang. Pendidikan yang berterusan perlu dipertingkatkan. Masyarakat yang jahil tentang demokrasi, yang tidak sedar betapa kebebasan mempunyai nilai yang tinggi akan mengizinkan pencabulan hak merajalela di depan mata mereka. Manusia sebegini tidak akan mampu menghargai nilai-nilai itu hinggalah apabila mereka sendiri merengkok di bawah akta drakonia itu.

 

 

 

 

Artikel penuh di dalam SUTRA terbaru di pasaran...

 

 

 

 



Daftar Email
user@sutra.zzn.com
 

Nama Anda

           Kata Laluan

Sila Klik disini untuk   pendaftaran Email SUTRA 

 

  "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendahkan-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemohkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu kaum perempuan mencemoh dan merendah-rendahkan puak perempaun yang lain, (kerana) harus puak yang dicemohkan itu lebih baik dari mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan ke`aipan setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan  panggilan yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi  fasik, maka) amat buruklah sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah)  sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasik) maka merekalah orang-orang yang zalim."

Al-Hujurat:11

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

This site Powered by

Get a Free E-mail AddressGet ZZN