Main Page|KPT Website | Kerajaan Terengganu| Forum |GuestBook

 

ALTERNATIF SALURAN MINDA ISLAM

Suara Kampus Edisi Terengganu

 

BILANGAN 33 TAHUN 08 APRIL /  MEI 2002

 

PERUNDANGAN ISLAM

Isteri Memeluk Islam Suami Kafir

                                            Oleh Ustaz Zahari Ali
                                            Penasihat PMRAM dan KPT 

      

 

 

        Fatwa dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Eropah yang dipengerusikan oleh pendakwah dan ulama terkenal Prof Dr Yusoff Al Qardhowi tentang harusnya seorang wanita bukan Islam memeluk Islam terus kekal dengan suaminya yang bukan Islam telah menjadi perbahasan hangat dikalangan para alim ulama. Dr Qardhowi mengeluarkan fatwa tersebut berasaskan kepada apa yang disebut oleh Imam Ibnu Qayyim dalam kitabnya Ahkam Ahlu Zimmah sekalipun ianya bercanggah dengan pandangan kebanyakkan ulama yang menegaskan bahawa mana-mana wanita yang memeluk Islam hendaklah dipisahkan dari suaminya serta-merta.

Pada hakikatnya Dr Qardhowi ingin memberi kelonggaran kepada wanita yang tinggal di barat yang berkeinginan untuk memeluk Islam, pada waktu yang sama ingin terus bersama dengan suami, anak-anak dan rumahnya, lebih-lebih lagi undang-undang barat tidak memeliharanya atau kemungkinan mengharapkan suaminya lambat-laun akan memeluk Islam bagi membina keluaga muslim.

Dr Qardhowi menegaskan bahawa beliau selama ini juga berpegang dengan pendapat kebanyakkan ulama yang mewajibkan pemisahan suaminya serta merta atau selepas tamat iddah kerana Islam memisahkan antara keduanya dan muslimah tidak boleh kekal dalam jagaan bukan muslim. Sebagaimana tidak harus bagi muslimah mengahwini bukan Islam dari awal lagi, begitulah juga tidak harus baginya kekal dalam perkahwinan tersebut.

"Dr Abdul Azim Muti'ni menyanggahi pendapat Dr Qardhowi dan menyatakan tak kira siapa Ibnu Qayyim mahupun Umar sekiranya membuat kenyataan yang menyalahi hakikat Islam maka perlu ditolak pendapat tersebut. Sumber hukum kepada Syariat Islam ialah Al Quran dan Al Sunnah, kalau ingin berijtihad perlu kepada sandaran yang kuat bagi membolehkan ijtihad tersebut diterima".

Syeikh Qardhowi menekankan bahawa perubahan fatwa tersebut adalah merujuk kepada seseorang muslim berstatus sebagai penuntut dari lahdi hingga mahdi, tiada seorang pun yang mengetahui semua perkara, hinggakan Rasulullah saw sendiri diarah oleh Allah swt agar berdoa :“ Dan katakanlah wahai Muhammad, wahai tuhanku tambahkanlah ilmuku”.

Pandangan Ulama Dalam Kitab Ahkam Ahlu Zimmah

Kitab Ahkam Ahlu Zimmah karangan Imam Ibnu Qayyim menyebut sembilan pendapat ulama dalam masalah ini. Pendapat keenam dipilih oleh Syeikh Qardhawi yang juga menjadi pilihan Syekhul Islam Ibnu Taimiyyah.

Pendapat pertama menekankan bahawa terfasakh perkahwinan tatkala wanita tersebut memeluk Islam, di mana golongan ini menyatakan apabila Islamnya seorang wanita maka terfasakhlah perkahwinan dengan suaminya samada ia merupakan seorang wanita kitabiiyyah atau sebaliknya, samada suaminya memeluk Islam selepasnya walaupun sedetik.Suaminya tidak berhak untuk meneruskan perkahwinan tersebut kecuali kalau kedua-duanya memeluk islam pada waktu yang sama.

Pendapat kedua menyatakan bahawa perkahwinan tersebut akan terfasakh sekiranya si suami enggan memeluk Islam. Imam Abu Hanifah menegaskan bahawa mana-mana suami-isteri memeluk Islam salah seorang daripadanya,sekiranya mereka berada di Negara Islam,hendaklah diminta kepada yang belum memeluk Islam agar memeluknya, sekiranya ia memeluk Islam maka kekallah perkahwinannya. Manakala sekiranya ia enggan maka perlulah dipisahkan keduanya. Iddah bukanlah penentu dalam masalah ini.

Pendapat ketiga menyatakan bahawa terfasakhnya nikah apabila tamatnya iddah yang berlaku persetubuhan. Berkata Imam Malik sekiranya seorang wanita memeluk Islam,manakala suaminya tidak, sekiranya perkara tersebut berlaku sebelum persetubuhan maka perlu dipisahkan keduanya. Sekiranya berlaku setelah persetubuhan dan si suami memeluk islam dalam tempuh iddah maka kekallah nikah keduanya.sekiranya si suami tidak memeluk Islam hingga tamat iddah maka terfaskhlah nikah. Sekiranya si suami memeluk Islam, manakala si isteri tidak,Hendaklah di minta si isteri untuk memeluk Islam,sekiranya ia bersetuju maka kekal nikah tersebut tetapi sekiranya si isteri enggan terfasakhlah nikah tersebut bermula daripada waktu keengganannya, samada ianya berlaku sebelum mahupun selepas persetubuhan.

Pendapat keempat lawan kepada pendapat ketiga, dimana Ibnu Syabramah menyatakan sekiranya si isteri terlebih dahulu memeluk Islam maka terus terpisah keduanya serta-merta, tetapi sekiranya si suami yang terlebih dahulu memeluk Islam kemudian si isteri memeluknya dalam masa iddah maka ia masih menjadi isterinya, sekiranya tidak masuk, perkahwinan tersebut akan terfasakh sebaik saja tamatnya iddah.

Pendapat kelima mengambil kira iddah bagi lelaki mahupun perempuan sekiranya salah seorang dari keduannya memeluk Islam terlebih dahulu sekiranya pengIslaman tersebut berlaku sebelum jima' maka terfasakhlah nikah, sekiranya selepas jima' dan yang seorang lagi memeluk Islam dalam waktu iddah maka kekal perkahwinanya, sekiranya selesai iddah sebelum daripada pengIslaman maka terfasakhlah nikah tersebut.

Pendapat keenam merupakan pendapat yang dipegang oleh Dr Qardhowi berbunyi si isteri yang memeluk Islam tersebut boleh menunggu dan menanti sekalipun penantian tersebut memakan masa bertahun-tahun sekiranya ia membuat pilihan demikian. Berkata Hamad bin Salamah daripada Ayub Sakhtiani bahawa seorang Nasrani yang isterinya memeluk Islam telah diberi pilihan oleh Saidina Omar samada ia yakni si isteri ingin berpisah dengan suaminya atau kalau ia mahu boleh terus bersama dengan suaminya. Berkata Ibnu Qayyim yang dimaksudkan terus bersama suaminya bukan bererti duduk dibawahnya tapi maksudnya ialah ia menunggu dan menanti, tatkala suaminya memeluk Islam ia terus menjadi isterinya sekalipun sekiranya pengIslaman suami itu berlaku bertahun-tahun selepas pengIslamanya.

Pendapat ketujuh menyatakan bahawa si suami lebih berhak keatas isterinya yang memeluk Islam selama mana si istei belum keluar dari bandarnya. Berkata Hamad bin Salamah bahawa Saidina Ali bin Abi Talib berkata kepada suami isteri yang kafir yang Islam salah seorang darinya, si suami lebih memiliki keatas keduanya selama mana ia masih berada di bandarnya.

Pendapat kelapan menyatakan bahawa keduanya tetap dalam perkahwinan selama mana sultan tidak memisahkan keduanya.

Pendapat kesembilan menyatakan bahawa isteri perlu tinggal bersama dengan suaminya tetapi suami tidak dibenarkan untuk menjima'nya. Berkata Daud bin Ali apabila isteri kepada zimmi memeluk Islam tetapi ia yakni zimmi tidak, maka si isteri terus tinggal bersamanya, tetapi dilarang si suami untuk menjima'nya.

Hujah-Hujah Dr Qardhowi:

Dr Qardhowi juga menggunakan pandangan Imam Ibnu Qayyim dalam menolak sesetengah sembilan pendapat yang dibentangkan di atas, di mana Ibnu Qayyim menegaskan bahawa pendapat pertama yang berpendirian berlakunya pemisahan tatkala Islamnya isteri , pendapt ini kata Ibnu Qayyim tidak dipegang oleh mana-mana sahabat.

Ibnu Qayyim juga menegaskan bahawa perkahwinan menjadi harus tatkala isteri memeluk Islam setelah hukumnya lazim, justeru itu, harus bagi Imam mempercepatkan perpisahan, juga harus baginya mengekalkan perkahwinan tersebut hingga tamat iddah dan harus juga bagi imam memberi kelongaran kepada wanita tersebut untuk menunggu sehingga suaminya memeluk Islam sekalipun ia memakan masa yang lama. Perkahwinan mempunyai tiga keadaan, pertamanya lazim, keduanya haram dan fasakh seperti orang memeluk Islam yang berkahwin dengan perempuan yang diharamkan kahwin dari awal lagi seperti adik-beradik contohnya, ketiga keadaan harus dan wakaf, tidak dihukumkan lazim juga tidak dibatalkan sepenuhnya, dalam keadaan ini kedudukkan isteri tercerai dari satu wajah tidak wajah yang lain sebagai contohnya, tatkala Abu Al Asr bin Rabi' datang ke Madinah pada waktu gencatan senjata pada waktu itu ia seorang musyrik, isterinya Zainab binti Rasullillah bertanya kepada nabi adakah Abu Al Asr boleh menumpang dirumahnya? Lalu nabi menyatakan ia merupakan suamimu tetapi ia tidak boleh pergi kepadamu.

Perkahwinan dalam tempoh tersebut tidak dihukumkan batal juga tidak menjadi lazim dan kekal dari semua wajah. Justeru itu, Saidina Umar memberi pilihan kepada wanita dalam satu keadaan, dalam keadaan yang lain memisahkan antara keduanya dan ada masanya ia menawarkan Islam kepada pasangan sekiranya tawaran itu ditolak ia akan memisahkan antara keduanya.

Sejarah juga menyaksikan bahawa Nabi saw tidak pernah memisahkan antara suami isteri yang salah seorangnya memeluk Islam terlebih dahulu.Sebagai contohnya Abu Sufian memeluk Islam pada tahun fath sebelum Nabi memasuki Makkah manakala isterinya tidak memeluk Islam hinggalah Nabi membuka Makkah, Nabi mengekalkan nikah keduanya. Telah sabit juga bagaimana Nabi mengembalikan semula anaknya Zainab kepada suaminya setelah berlalu enam tahun tatkala ia memeluk Islam.

Begitu juga apabila seorang perempuan memeluk Islam kemudian diikuti oleh suaminya, keadaan nikah macam biasa seperti yang berlaku kepada Ummu Fadhal isteri kepada Abbas. Apabila Nabi membuka Makkah sekumpulan wanita-wanita yang dibebaskan telah memeluk Islam sementara suami-suami mereka masih lagi belum memeluk Islam seperti Sofuan bin Ummayyah dan Ikrimah bin Abu Jahal pun begitu nabi saw tidak membezakan antara yang masih dalam iddah atau tamat iddahnya. Saidina Ali telah memberi fatwa bahawa isteri yg memeluk Islam dikembalikan kepada suaminya kalau si suami memeluk Islam sekalipun panjang tempuhnya.

Pandangan Mukhalif

Dr Abdul Azim Muti'ni menyanggahi pendapat Dr Qardhowi dan menyatakan tak kira siapa Ibnu Qayyim mahupun Umar sekiranya membuat kenyataan yang menyalahi hakikat Islam maka perlu ditolak pendapat tersebut. Sumber hukum kepada Syariat Islam ialah Al Quran dan Al Sunnah, kalau ingin berijtihad perlu kepada sandaran yang kuat bagi membolehkan ijtihad tersebut diterima.

Dr Abdul Azim menambah lagi bahawa fatwa tersebut adalah batil. Kami menyatakan demikian kerana kembali kepada sebab pengharaman perkahwinan muslimah dengan bukan muslim samaada ianya Yahudi atau Kristian, pada waktu yang sama Islam membenarkan perkahwinan muslim dengan wanita Yahudi atau Kristian. Sebab yang disepakati ialah anak akan mengikut ayah dalam kes keturunan dan agama, manakala mengikut ibunya dalam kes perhambaan dan kebebasan. Sekiranya ayah kepada si anak itu merdeka manakala ibunya seorang hamba maka anak tersebut juga akan menjadi hamba seperti ibunya, tetapi dari sudut agama dan keturunan anak tersebut mengikut bapanya. Lantaran itulah ulama membenarkan perkahwinan antara lelaki muslim dengan wanita Kristian kerana anak tersebut akan menjadi Muslim sebagaimana bapanya, adapun sekiranya seorang muslimah mengahwini jejaka yahudi atau kristian secara langsung anak yang dilahirkan akan menjadi Yahudi atau Kristian.

Dr Abd Sami' Jad bekas Dekan Kuliah Dakwah Al Azhar menekankan bahawa ijma' dan pendapat kebanyakan ulama perlulah diutamakan,lantaran itu apabila seorang wanita ahli kitab atau musyrikah memeluk Islam manakala suaminya tidak maka perlulah dipisahkan antara keduanya.Beliau menambah sekiranya itulah pandangan ulama terdahulu maka tiada sebab mengapa ianya..

 

 

 

 

 

Artikel penuh SUTRA 33 dipasaran.

 

 

 



Daftar Email
user@sutra.zzn.com
 

Nama Anda

          Kata Laluan

Sila Klik disini untuk pendaftaran Email SUTRA

"Dan apabila  manusia itu ditimpa kemudharatan, dia meminta (pertolongan) kepada Tuhanya dengan kembali kepadaNya; kemudian Tuhan memberikan nikmatNya kepadanya, lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah)  untuk (menghilangkannya) sebelum itu, dan dia mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalanNya. Katakanlah, bersenang-senanglah dengan kekafiran kamu itu sementara waktu; sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka." 

Az-Zumar ayat 8

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

This site powered by

Get a Free E-mail AddressGet ZZN