ISLAM DARI INDIA

 

[PENGENALAN][PENYEBARAN AGAMA][PERKAHWINAN][KEGIATAN PERDAGANGAN]

[PENGUASAAN SYAHBANDAR][KEPERIBADIAN GOLONGAN DAKWAH][FAKTOR POLITIK]

 

 

6.   ISLAM  DATANG  DARI  INDIA

 

Pengkaji-pengkaji sejarah selepas tahun 1883M telah mengemukakan pendapat yang lebih konkrit dan rasional mengenai kedatangan Islam dari India.

 

Snouck Hurgronje telah mengemukakan pendapat tentang kedatangan Islam di Nusantara.  Pendapat beliau telah disokong oleh B. Harrison.  Harrisaon menyatakan bahawa masyarakat nusantara memandang ke India bagi mendapat khidmat nasihat dan bimbingan dalam hal-hal perniagaan dan kebudayaan.  Mereka menyanjung tinggi kebolehan dan pencapaian kemajuhan yang dilakukan oleh India dalam bidang-bidang tersebut.  Menerusi hubungan dua hala itu penduduk Nusantara berminat dengan Islam yang telahpun dianuti oleh pedagang-pedagang dari India.  Perhubungan ini berlaku di sekitar abad ke-13 di mana ketika itu dikatakan  agama Islam telah pun tersebar di barat dan timur India di bawah pemerintahan Dinasti Khalji (1290 – 1321M)

 

Berdasarkan buku “The Muslim World” karya Arnold menyatakan bahawa Islam di Nusantara sama dengan yang dianuti oleh masyarakat Malabar kerana mereka berpegang kepada aliran Mazhab Syafie.  Namun begitu terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa Islam mamsuk ke Nusantara  selepas tahun 1927 M setelah Gujerat menerima Islam.  Pendapat ini telah disokong  daripada sejarawan-sejarawan seperti Wertheim, De Jong dan Scrieke yang  menguatkankan lagi teori kedatangan Islam  di Nusantara dilakukan oleh pedagang-pedagang Gujerat.

 

Mengenai teori dari Gujerat, G.P.  Moquette telah membuat kajian terhadap batu nisan di Pasai yang bertarikh 1428 M dan batu nisan Maulana Malik Ibrahin di Gerisik bertarikh 1419 M.  Berdasarkan kajian yang terhadap kedua-dua batu nisan tersebut didapati kedua-duanya lebih mirip strukturnya dengan batu nisan Umar ibn Ahmad Kazaruni di Gujerat.  Justeru, beliau membuat kesimpulan bahawa kedua-dua dibawa dari Gujerat.  Hipotesis ini disokong kuat oleh R.A. Kern, W.F. Stutterheim dan J. Gonda dengan menyatakan bahawa Islam ke Nusantara adalah berasal dari Gujerat.

 

Walaupun begitu, jika dikaji secara teliti didapati teori tersebut mempunyai kelemahan yang sukar ditonjolkan sebagai fakta sejarah kerana ketika terdirinya kerajaan Pasai pada tahun 1042 M, Gujerat belum lagi menerima Islam.  Gujerat dikatakan menerima Islam semasa is berada di bawah kekuasaan Kesultanan Delhi pada tahun 1301 M.  Para sejarawan juga cuba mengaitkan tempat asal batu-batu nisan tersebut, sebagai alasan yang menunjukkan kedatangan Islam ke Nusantara berpunca dari daerah tersebut dianggap sebagai alasan yang kurang jelas dan tepat.  Ini kerana kewujudan batu nisan yang serupa di Nusantara dengan Gujerat ada kemungkinan terdapat pelbagai dari segi kemudahan dari segi urusan jual beli dan pengangkutan, bukanlah semestinya menunjukkan bahawa Islam itu datang dari Gujerat.

 

Thomas Arnold pula berpendapat bahawa Gujerat bukanlah tempat yang mula-mula di India bertanggungjawab bagi memperkenalkan Islam ke Nusantara.  Ini kerana kedatangan Islam di rantau ini lebih dahulu dari Gujerat.  Beliau berpendapat Islam di Nusanatara datang dari Bengal daerah Coromandel atau Malabar dari India Selatan.  Ini kerana daerah tersebut lebih dahulu menerima Islam dari Gujerat.  Bengal dikatakan telah ditakluki sejak awal abad ke-13 M lagi dan dijadikan sebagai pusat pengajian dan penyebaran agama.  Lebih-lebih lagi mazhab antara penduduk Bengal dan Malabar adalah sama mazhab dengan penduduk Nusantara, iaitu berpegang kepada Mazhab Shafie, sedangkan mazhab anutan penduduk Gujerat adalah Mazhab Hanafi.

 

Teori kedatangan Islam dari Benggala (Bengal) juga dikemukakan oleh S.Q. Fatimi yang berlandaskan huraian Tome Pires dalam bukunya Suma Oriental. Menurut beliau, Sultan Malik as-Salih yang menjadi raja pertama di negeri Pasai adalah seorang pedagang India berketurunan Benggali.  Oleh kerana Pasai merupakan negeri pertama yang memeluk Islam menurut tanggapan Fatimi, beliau mengandaikan juga bahawa Islam di abwa dari Benggala.  Sebenarnya apa yang diketahui, raja Pasai yang pertama ialah Mahmud Shah atau Meurah Ciri, bukan Malik al-Salih seperti yang dilaporkan oleh Tom Pires dan dipersetujui oleh Fatimi.  Mengenai salasilah keturunan Malik as-Salih yang dikatakan daripada keturunan Benggali tidak dapat diterima kerana tidak ada bukti yang meyakinkan.

 

Dalam permasalahan persamaan mazhab antara Bengal dengan Malabar dengan Nusantara, Harrison begitu menyokong pendapat tersebut, kerana dari struktur yang sama membuktikan bahawa Islam tidak dapat tidak adalah dibawa dari tempat berkenaan.  Sebenarnya alasan Harrison yang menekankan persamaan mazhab itu tidak dapat diterima.  Ini kerana dalam Islam tidak terdapat perbezaan yang besar antara mazhab-mazhab yang ada.  Pengikut Islam boleh bertukar kepada mana-mana mazhab jika timbul masalah-masalah dalam satu-satu mazhab ikutannya jika berasakan tidak bersesuaian.  

 

Selain itu, Harrison juga perlu memahami bahawa kawasan-kawsan di barat India juga pada peringkat permulaannya mereka juga mengikut mazhab Syafie sama seperti kawasan di sebelah selatannya termasuk Bengal sendiri.  Justeru, persamaan mazhab anatar dua daerah tidaklah boleh dijadikan sebagai alasan yang Islam itu dibawa dari daerah tersebut.

 

Sebenarnya, pendokong-pendokong teori dari India mempunyai tanggapan yang salah.  Bagi mereka kedatangan Islam ke Nusantara adalah berlaku pada abad ke-13 M.  Sesungguhnya menurut fakta sejarah, Islam dikatakan telah pun bertapak sejak abad pertama hijrah atau sejak abad ke-7 M lagi.  Walau bagaimanapun tidaklah dapat disangkal yang para pendakwah dari India juga turut memainkan peranan yang lagi aktif dalam mengislamkan panduduk-penduduk di Nusantara di samping pendakwah-pendakwah Arab dan Parsi terutama di sekitar abad ke-13 M juga abad-abad kebelakangan.  Sehubungan dengan itu terdapat juga orang-orang Islam India terutama dari Malabar yang terkenal di Nusantara sebagai panggilan Malabari yang menjalankan perniagaan dan ada yang berkahwin dengan penduduk tempatan.

 

 

Hubungan Nusantara dengan Asia Barat dikatakan berlaku sejak abad ke-7 M lagi.  Manakala sejarawan barat berpendapat kedatangannya berlaku di sekitar kurun ke-13 M.  Di Tanah Melayu kebanyakan para sejarawan tempatan mengandaikan kedatangannya di sekitar kurun ke-9 dan selewat-lewatnya pada kurun ke-12 M.  Kebanyakan sejarawan barat pula berpendapat ia berlaku di sekitar kurun ke-15 M dan bermula dari Melaka.  Namun demikian, berdasarkan kajian yang lebih menyeluruh di samping terdapat beberapa penemuan baru diyakini kedatangan Islam kea lam Melayu berlaku sejak abad ke-7 dan ke-8 M lagi.  Terdapat pelbagai teori dan bukti yang menyokong pendapat yang menyatakan bahawa Islam tersebar ke Alam Melayu adalah dari negara India.

 

 

 

 

 

6.1.        Faktor perlumbaan penyebaran agama.

 

Kepulauan Nusantara bernasur-ansur menerima perubahan akibat pengaruh yang dibawa oleh Islam di samping perkembangan pesat perdagangan dengan laur negeri.  Kemasyhuran ini telah menarik minat bangsa barat terutamanya Portugis melakukan migrasi ke rantau ini.  Dengan penghijrahan ini mempercepat serta mempergiat lagi penyebaran agama Islam ke rantau ini.  Pada hakikatnya, kedatangan Portugis ke rantau bukan sekadar untuk berdagang tetapi untuk penyebaran agama Kristian.  Dorongan semangat Perang Salib selama beberapa abad dengan orang Islam , yang akhirnya mereka berjaya menewaskan orang Islam serta meluaskan lagi serangan ke Afrika Utara.

 

Pergolakan yang berlaku dekat laut Arab dan India, menyebabkan pedagang-pedagang Islam terpaksa mencari tempat lain di timur bagi tujuan perdagangan di samping menyebarkan agama Islam sehingga ke Nusantara.  Dalam abad ke-13, Mesir dikatakan berjaya menguasai perdagangan antara timur dengan barat.  Pada tahun 1498, Vasco da Gama berjaya mendapatkan India, dengan itu mereka menyerang kapal-kapal dagangan dari Mesir.  Dengan kejayaan itu, Raja Portugis telah mengarahakan Alfonso de Albuquerque supaya menghala ke timur khususnya ke Nusantara.

 

Alfonso de Albuquerque telah menakluki Melaka, kerana Melaka pada waktu itu bukan sahaja merupakan pusat perdagangan bahkan merupakan pusat perkembangan Islam di sebelah timur.  Setelah Melaka dikuasai,  dengan serta-merta Portugis membina sebuah kota pertahanan , batu-batu kubur orang Islam dikumpul untuk dijadikan bahan binaan.  Tindakan Portugis ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penduduk Melaka terutama pedagang-pedagang tempatan dan Asia Tenggara.  Akibatnya, pedagang-pedagang Islam mula mengalih pandangan dari Melaka ke Acheh, di mana akhirnya Acheh muncul sebagai pusat perdagangan yang masyhur di samping menjadi pusat penyebaran Islam di Nusantara pada bad ke 16 dan  ke-17 Masihi. 

 

Berpunca dari pelbagai tekanan dan kesukaran perlumbaan penyebaran agama lebih kuat diusahakan.  Di Pulau Jawa nampaknya orang-orang Islam mendahului Portugis dalam penyebaran agama.  Adi Pati Demak telah meluaskan pengaruh dengan menakluki Jawa Barat, dan Bantam dijadikan pusat penyebaran agama.  Selain itu, Acheh juga bertanggungjawab menyebarkan Islam ke Sumatera, Brunei dan juga turut mengembangkan agama Islam ke Borneo dan Filipina.  Negeri-negeri lain di Semenanjung melipatgandakan penyebaran Islam melalui institusi pondok.

 

Di Pulau Meluku, orang-orang Portugis cuba menyebarkan agama Kristian, manakala anak-anak raja berusaha menyebarkan agama Islam untuk membanteras pengaruh Kristian.  Sesungguhnya peperangan yang dilancarkan di zaman kedatangan barat khususnya Portugis lebih bermootifkan peningkatan dakwah Islamiah daripada motif yang lain.

 

 

 

 

 

 

6.2.        Faktor Perkahwinan

 

Perkahwinan juga dapat memainkan peranan yang penting dalam pengembangan agama Islam.  Perkahwinan yang biasa berlaku di sebelah sini dalam period permulaan Islam ialah perkahwinan antara saudagar-saudagar Islam dengan gadis-gadis  tempatan, terutama puteri-puteri di kalangan istana dan pembesar-pembesar negeri.  Begitu juga dengan perkahwinan antara seorang raja dengan puteri-puteri raja di negeri jiran atau negeri yang ditaklukinya.  Kedua-dua struktur perkahwinan ini merupakan faktor pembantu dalam penyebaran Islam di rantau ini.

 

Apabila seseorang saudagar berkahwin dengan gadis-gadis tempatan, besar kemungkinan kaum keluarga atau kerabat sebelah pihak isterinya menaruh minat untuk mengetahui selok-belok agama Islam.  Ini ditambah lagi jika saudagar tersebut memiliki harta kekayaan.  Ini kerana seseorang itu dinilai dan disanjung tinggi menerusi kekayaan, kedudukan atau taraf seseorang.

 

Perkahwinan antara raja dengan puteri raja negeri yang lain bukan sahaja menyebabkan pembesar-pembesar mengikuti jejak langkah raja mereka bahkan langkah ini akan diikuti oleh rakyat negeri tersebut.  Ini boleh dilihat apabila perkahwinan Meurah Silu (Malik al-Salih) dengan puteri raja Perlak, telah menjadi ikutan pembesar dan rakyat Pasai bagi menganut agama Islam.

 

 

 

 

 

 

 

6.3.        Melalui kegiatan Perdagangan

 

Kegiatan perdagangan antara Arab, Parsi dan India dengan Nusantara dikatakan telah berlaku sejak beberapa kurun sebelum masihi lagi hinggalah zaman kedatangan Islam pada abad ke-7 dan ke-8 Masihi.  Sejak zaman awal lagi pedagang-pedagang Arab-Islam di samping menjalankan perniagaan, mereka juga memperkenalkan agama Islam di mana-mana sahaja pelabuhan yang mereka singgahi.  Dari sifat mulia dan keperibadian yang tinggi telah menarik minat dan mempengaruhi raja-raja  dan pembesar-pembesar negeri bagi meyakini kebenaran agama Islam yang mereka anuti.  Situasi tersebut menyebabkan mereka sentiasa di pandang tinggi dan dipercayai oleh segenap lapisan masyarakat.

 

Pada abad ke14 hingga ke-17, kegiatan perdagangan di Nusantara begitu maju dan menggalakkan.  Menurut fakta sejarah, ketika Melaka mencapai taraf perdagangan antarabangsa, telah menyebabkan beberapa orang pedagang Jawa telah memeluk agama Islam.  Pedagang-pedagang tersebut telah kembali ke Jawa bagi menyebarkan agama Islam yang dianuti mereka ke kawasan masing-masing.

 

Begitu juga peranan yang dimainkan oleh Acheh setelah kejatuhan Melaka pada tahun 1511.  Pelabuhan Acheh yang terkenal telah menjadi tumpuan pedagang-pedagang Arab, Turki, Mesir, Farsi dan India.  Dalam hubungan timbale balik itu, dakwah Islam dapat dikembangkan di merata-rata temapt di Nusantara termasuk Brunei, Kalimantan Utara dan juga Pulau Mindanao di Filipina.  Pelabuhan Tuban dan Gerisik di Jawa juga tidak ketinggalan bagi memainkan peranan yang sama.  Dengan itu, jika diteliti secara emndalam, tidaklah dapat dinafikan bahawa kegiatan perdagangan di Nusantara, merupakan antara utama bagi mengembangkan agama Islam.

 

 

 

 

 

6.4.        Faktor Penguasaan Syahbandar

 

Syahbandar merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menjalankan urusan sesebuah pelabuhan.  Selain daripada berperanan untuk memajukan pelabuhan, syahbandar juga boleh memainkan peranan sampingan bagi membantu pengembangan agama Islam.  Sejak abad ke-13, perdagangan di Nusantara dimonopoli ooleh pedagang-pedagang Islam yang terdiri dari bangsa Arab, Parsi dan India.  Sehubungan dengan itu, mereka dilantik menjadi syahbandar.

 

Tugas syahbandar bukan semata-mata untuk memungut cukai malah mereka merupakan perantara antara pedagang-pedagang dengan raja-raja.  Sebelum pedaganpedagang dibenarkan berdagang, mereka perlu meminta kebenaran raja untuk berniaga.  Kadar cukai yang harus dipungut juga perlu mendapat persetujuan raja.  Justeru, sebelum pedagang-pedagang menghadap raja untuk mendapat restu, mereka terlebih dahulu perlu menghubungi syahbandar untuk menyampaikan hadiah kepada raja serta menemuinya.

 

Ini menunjukkan bahawa syahbandar bukan  sahaja penting kepada pedagang-pedagang bahkan juga kepada raja-raja.  Dalam situasi ini, kedudukan mereka begitu penting danberpengaruh, sekali gus menunjukkan mereka merupakan penasihat raja.  Mereka boleh mempengaruhi raja untuk melipatgandakan kemajuan perdagangan dengan memberi keutamaan  dan kemudahan kepada pedagang-pedagang Islam.  Menerusi kemudahan tersebut, pendakwah dibenarkan bergerak bebas bagi menyebarkan Islam serta mendalami hokum-hakam nya.  Dengan itu, secara tidak langsung, kegiatan Portugis terutama dalam bidang perdagangan dan penyebaran agama Kristian dapat diatasi.

 

 

 

 

 

6.5.        Keperibadian Golongan Dakwah dan Ahli-ahli Sufi

 

Pendakwah-pendakwah merupakan golongan ulama yang berwibawa dalam penyebaran agama Islam.  Mereka bukan sahaja memiliki pelbagai ilmu Islam secara mendalam bahkan amat bertaqwa kepada Allah di samping mempunyai keperibadian muslim yang mulia.  Oleh itu, mereka sangat dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat, bukan sahaja oleh orang Islam bahkan dari orang-orang bukan Islam.  Keperibadian dan tindak-tanduk mereka dicontohi, kata-kata mereka merupakan kata hikmat yang sentiasa dipatuhi.  Berpunca daripada keperibadian yang mulia menyebabkan masyarakat begitu terpengaruh dengan mereka.  Mereka terdiri daripada ahli-ahli sufi atau ahli-ahli tasawuf.

 

Menerusi keperibadian dan ketokohan mereka, menjadikan golongan raja-raja, pembesar-pembesar negeri serta rakyat jelata terpengaruh dengan Islam.  Mereka diberi kedududkan yang istimewa dalam masyarakat da sesetengahnya puladiberi keutamaan dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan.  Peranan yang dimainkan oleh golongan ulama bukan sahaja menjadikan rakyat terpengaruh dengan Islam bahkan menjadikan rakyat begitu berpegang teguh dengan Islam.

 

 

 

 

 

6.6.        Faktor Politik dan Penaklukan

 

Penaklukan juga merupakan antara faktor yang penting dalam penyebaran dalam penyebaran Islam di Nusantara.  Penaklukan yang dilakukan oleh sesebuah negeri Islam ke atas negeri-negeri, bukan sahaja mnejadikan raja dan pembesar-pembesar negeri yang ditakluki terdorng untuk menganut Islam bahkan juga rakyat jelatanya.  Jika negeri yang ditakluki itu telah pun menganut Islam sebelumnya, penaklukan tersebut memberi peluang untuk meningkatkan lagi penyebaran agama suci itu.

 

Kegiatan penyebaran secara menyeluruh yang bermula dari istana dan pembesar kemudian kepada rakyat jelata merupakan satu bentuk penyebaran rasmi.  Tindakan seumpama itulah yang menjadikan Melaka sebagai negeri penakluk pertama di Tanah Melayu secara rasmi menerima Islam dan mengembangkannya ke negeri-negeri yang ditaklukinya.

 

 

 

[PENGENALAN][PENYEBARAN AGAMA][PERKAHWINAN][KEGIATAN PERDAGANGAN]

[PENGUASAAN SYAHBANDAR][KEPERIBADIAN GOLONGAN DAKWAH][FAKTOR POLITIK]