From Harakahdaily http://harakahdaily.com

Kerajaan PAS amal sikap terbuka - DAP

Lebih 300 rombongan penduduk Tionghua dari Mentakab, Pahang dengan menaiki tujuh buah bas berkunjung ke Kelantan untuk meninjau dari dekat kehidupan masyarakat Cina di sini, baru-baru ini.

Rombongan itu diketuai anggota Dewan Undangan Negeri Triang, Leong Ngah Ngah berkesempatan menemui Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Exco, Haji Anuar Tan Abdullah. Mereka juga sempat berdialog dengan Haji Anuar yang dibantu Ketua Unit Hubungan Antara Kaum Kerajaan Negeri, Hu Pang Chau, ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu, Ong Thiang Kuan dan ahli Majlis Daerah Tumpat, Chia Chuan Lay.

Hadir sama pada dialog tersebut Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Mohd Fauzi Zakaria dan Pegawai Khas Menteri Besar, Haji Hashim Omar. Sepanjang sehari berada di Kelantan mereka berkesempatan melawat Pasar Cina di tengah pusat bandar, Jalan Kebun Sultan, Kampung Cina, Pantai Cahaya Bulan, Kampung Siam di Tumpat, Sekolah Persendirian Chung Hwa di Kok Lanas dan pusat membeli belah di Rantau Panjang.

Leong berkata, kerajaan PAS terbukti mengamalkan sikap terbuka terhadap penduduk pelbagai bangsa di negeri ini sehingga masyarakat dapat hidup di dalam keadaan aman dan sejahtera. Katanya, sepanjang lawatan ke Kelantan, beliau dan rombongannya dapat melihat sendiri kehidupan masyarakat Cina yang tidak ada amalan diskriminasi sebagaimana didakwa pihak lawan.

"Kita dapat melihat sendiri penduduk Cina dapat hidup dalam keadaan aman damai tanpa sebarang masalah di bawah pentadbiran PAS sejak 1990 sehingga sekarang," katanya. Menurutnya, sebelum ini banyak tomohan negetif yang dilemparkan pihak lawan terutamanya Barisan Nasional (BN) dengan mendakwa PAS mengamalkan sikap diskriminasi kepada penduduk bukan Islam.

Katanya, dakwaan itu hari ini terbukti tidak berasas sama sekali dan masyarakat Cina terutamanya dari luar Kelantan sudah mendapat gambaran sebenar mengenai kerajaan PAS di negeri ini. Sementara itu, Haji Anuar Tan menjelaskan ramai penduduk Tionghua dari luar Kelantan berminat untuk mengetahui kehidupan rakan-rakan mereka di negeri ini, setelah mendapat gambaran negetif melalui media pro kerajaan.

"Mereka datang ke sini dengan tambang sendiri, bayar tempat penginapan dan semua ditanggungjawab sendiri. Namun mereka cukup berminat untuk melihat dari dekat perkembangan yang berlaku bagi menjelaskan kembali kepada keluarga dan rakan-rakan di negeri mereka," katanya. Menurutnya, rombongan masyarakat Cina seringkali bertandang ke Kelantan sejak perayaan Tahun Baru, Febuari lalu, sehingga sekarang.