Laman sokongan
|
|
Laman Media
|
|
|
Laman Lain
|
|
|
|
Keadilan di Malaysia dalam bahaya
Detikdaily
Sebuah laporan bersama yang dibuat oleh empat organisasi undang-undang antara bangsa yang ternama
berhubung kebebasan kehakiman di Malaysia didapati "mempunyai asas yang kukuh." Menurut laporan itu
walaupun perlembagaan Malaysia memberi jaminan terhadap kepentingan hak "tetapi kadang-kadang hak
itu dinafikan makna dan pemakaiannya kerana dibataskan oleh perlembagaan itu sendiri." Tambahnya
lagi, "sekiranya Malaysia benar-benar ingin ditadbir secara adil berdasarkan peraturan undang-undang,
maka perlembagaan yang ada sekarang perlu diubah."
Empat kumpulan itu terdiri daripada Persatuan Peguam Antarabangsa, Persatuan Peguam Komenwelth,
Kesatuan Peguam Antara Bangsa dan Pusat bagi Kebebasan Hakim dan Peguam, Majlis Perundangan
Antara Bangsa. Mereka telah menghantar misi ke Malaysia dalam bulan April tahun lalu untuk bertemu
pegawai undang-undang, peguam dan juga pegawai kerajaan Malaysia.
Laporan yang bertajuk Justice in Jeopardy: Malaysia in 2000 (Keadilan dalam Bahaya: Malaysia dalam
tahun 2000) itu benar-benar menghentam. Ia meneliti hubungan di antara kerajaan, badan kehakiman
dan Majlis Peguam yang mewakili peguam-peguam di Malaysia dan mendapati dalam kebanyakan kes
tidak timbul soal kebebasan badan kehakiman. Akan tetapi dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan
politik dan ekonomi pihak kerajaan, masalah ketidakbebasan badan kehakiman didapati begitu serius.
Laporan itu turut mengulas mengenai perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan beberapa kes high profile yang lain. Menurut kajian mereka, kejadian-kejadian yang berlaku
lebih sedekad lalu merupakan punca kepada masalah yang wujud sekarang.
Menurut laporan itu, sebelum 1988, terdapat peruntukan yang memisahkan kuasa di antara eksekutif
dengan badan kehakiman di dalam perlembagaan Malaysia. Tetapi pada 1988, selepas berlaku beberapa
kejadian di mana keputusan hakim didapati tidak memihak kepada kerajaan, Perdana Menteri Dr. Mahathir
Mohamad telah bertindak balas dengan mengkritik badan kehakiman secara terbuka. Beberapa orang
hakim digantung tugas dan tiga orang daripadanya telah dibuang termasuk ketua hakim atau hakim
besar. Perlembagaan dipinda untuk menghapuskan "kuasa yang ada pada mahkamah," dan ini, menurut
laporan itu "menganggu konsep pemisahan kuasa dan menjejaskan keupayaan badan kehakiman untuk
melaksanakan hak-hak asasi. Terdapat kecenderungan untuk menjadikan badan kehakiman sebagai
senjata pihak pembuat undang-undang dan alat kepada eksekutif."
"Serangan terhadap badan kehakiman…membuatkan Malaysia berada dalam keadaan bermasalah dan
sehingga kini masih belum pulih," sambung laporan itu. "Tanggapan umum semakin meluas… untuk kes
yang melibatkan kepentingan kerajaan, badan kehakiman tidak bebas."
Menurut laporan itu lagi, selepas kejadian 1988 itu, "hubungan di antara Majlis Peguam dengan badan
kehakiman menjadi sangat tegang," Majlis Peguam telah meluluskan undi tidak percaya dan menolak
sebarang hubungan dengan ketua hakim negara yang baru dilantik. "Apa yang berlaku," menurut laporan
itu, "mewujudkan satu keadaan yang menyemarakkan lagi serangan dan rasa tidak percaya. Kerajaan
merasakan Majlis Peguam telah menjadi seperti parti pembangkang, oleh itu kegiatannya mesti dibatasi.
Para hakim pula merasakan bahawa ahli Majlis Peguam…semuanya nampak bersedia untuk menjatuhkan
maruah badan kehakiman dengan membuat kenyataan terbuka tanpa kebenaran kepada media."
Untuk memperbaiki hubungan ini, laporan itu mendesak peguam dan hakim "supaya saling hormat
menghormati sesama sendiri" dan menyarankan supaya mensyuarat kerap diadakan "bagi membincangkan
perkara yang mempunyai kepentingan bersama." Laporan itu juga mengatakan bahawa "tindakan
memenjarakan peguam kerana menghina mahkamah ketika menjalankan tugas profesional hendaklah
dijadikan tindakan terakhir yang patut diambil dan ia diambil hanya apabila keadaan benar-benar
mendesak."
Mengenai hubungan di antara esekutif dengan badan kehakiman, laporan itu mencadangkan supaya
ditubuhkan Majlis Perkhidmatan Kehakiman untuk mengesyorkan perlantikan hakim. Ia juga
mencadangkan supaya hakim dipilih di kalangan ahli Majlis Peguam.
Laporan 121 mukasurat itu diakhiri dengan berpuluh-puluh cadangan termasuk cadangan agar
perlembagaan diubah dan pemansuhan beberapa akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan
juga Akta Hasutan.
Paragraf yang barangkali paling menyakinkan dalam laporan itu tertulis begini "Eksekutif seharusnya
mengiktiraf kebebasan badan kehakiman, kedudukan badan kehakiman dalam perlembagaan dan memiliki
kefahaman yang betul mengenai penglibatannya. Kegagalan eksekutif yang sangat berkuasa memahami
perkara ini, merupakan faktor penting mewujudkan keadaan yang tidak memuaskan."
Perjalanan perundangan di Malaysia akan menjadi lebih baik jika ia bersedia mengkaji dengan cermat dan
melaksanakan cadangan yang dibuat oleh laporan ini walaupun bukan keseluruhannya. Selagi hal ini
belum berlaku, keadilan di Malaysia akan terus diadili di mahkamah pandangan umum masyarakat antara
bangsa.
|
|