laman timun cine ijau

Kerajaan perkenal pakaian tutup aurat

Kerajaan Pas Terengganu akan memperkenalkan peraturan yang menghendaki wanita Islam di negeri ini mengenakan tudung dan pakaian yang menutup aurat. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Bukan Islam negeri, Awang Jusoh berkata buat permulaan, peraturan itu akan hanya membabitkan kakitangan kerajaan negeri serta pekerja di premis perniagaan di negeri ini. "Kita (Kerajaan) akan mengadakan pertemuan dengan semua pengusaha dan pemilik premis perniagaan di semua daerah mulai esok untuk mendapat kerjasama mereka berhubung peraturan itu," katanya semalam. Sementara itu di peringkat jabatan kerajaan negeri pula, pihaknya akan memberikan tazkirah (kuliah) pada setiap minggu kepada mereka bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan mereka mengenakan pakaian yang menutup aurat selaras dengan dasar kerajaan Pas Terengganu. Beliau berkata pihaknya juga akan meminta pihak berkenaan supaya menyediakan tempat sembahyang dan kelas agama kepada kakitangan mereka yang beragama Islam bagi meningkatkan kesedaran agama kepada mereka. Ketika ditanya apakah peraturan itu akan turut membabitkan pelancong wanita yang datang ke negeri ini, Awang berkata ia hanya melibatkan rakyat di Terengganu.

Awang berkata kerajaan negeri akan menubuhkan Badan Induk Wanita negeri bagimenjaga kebajikan serta hal ehwal wanita di Terengganu "Penubuhan badan ini akan dibentangkan pada mesyuarat exco kerajaan negeri bulan depan untuk kelulusan," katanya. Beliau berkata badan itu akan dipengerusikan oleh Senator Sapinah Jusoh, manakala jawatankuasanya diwakili oleh ketua-ketua jabatan dari semua agensi kerajaan negeri yang menjaga kepentingan wanita.

Jawatankuasa itu juga turut disertai oleh wakil Persatuan Isteri Kakitangan Kerajaan (Puspanita) dan Persatuan Isteri Wakil Rakyat (Khairunisa) yang menggantikan Serikandi yang telah dimansuhkan. Badan itu akan merangka pelbagai aktiviti ke arah menjaga martabat wanita serta mengatur program untuk menjaga kebajikan mereka, katanya.