Orang Cina 9 kali diperdaya BN - MB
KOTA BHARU: Masyarakat Cina di negara ini seharusnya sedar mereka sudah diperdayakan sebanyak sembilan kali oleh Barisan Nasional (BN) pada setiap kali pilihan raya umum dengan melemparkan pelbagai tohmahan negatif terhadap PAS.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, masyarakat Cina terpedaya dengan tohmahan tersebut sehingga menyebabkan kerajaan BN masih kekal sehingga sekarang. Katanya, Islam tidak pernah menyisihkan masyarakat mana sekalipun kerana sudah menjadi amalan bagi Islam memelihara kedaulatan penganut agama lain.

"Sebenarnya semua bangsa di dunia ini berasal dari satu iaitu Nabi Adam dan Hawa. Semua bangsa di dunia tanpa mengira warna kulit adalah adik-beradik," katanya pada satu majlis meraikan rombongan lebih 300 masyarakat Tionghua dari Mentakab di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara asas yang membezakan di antara penduduk pelbagai kaum di dunia ialah geografi menyebabkan berlaku perbezaan pada warna kulit.

"Islam mengajar kita semua bangsa adalah adik-beradik, cuma parti lawan yang mempengaruhi orang bukan Islam supaya tidak menerima perjuangan PAS yang berasaskan agama," tambahnya.

Menurutnya, sebab itu Umno/Barisan Nasional cuba memisahkan agama dan politik dengan merenggang hubungan antara kaum-kaum di negara ini. Katanya, orang Cina ditakut-takutkan dengan pelbagai ugutan termasuk dengan menuduh PAS sebagai ekstrim atau pelampau.

Selain itu, tambahnya Islam memastikan penganutnya menghormati darah, nyawa dan harta benda semua penduduk tanpa mengira bangsa. Menteri Besar juga mahu penduduk Cina dari luar Kelantan yang datang ke sini mencari kebenaran terhadap dakwaan BN yang mengatakan PAS ekstrim.

"Tuan-tuan dan puan-puan boleh melihat sendiri di Kelantan, adakah penduduk Cina yang sudah dipotong tangan atau kaki.

"Kalau ada tuan-tuan melihat ada orang Cina yang dipotong tangan bolehlah datang memberitahu saya," katanya disambut gelak ketawa rombongan dari Mentakab.

sumber: Harakah, 1 April 2000