KUALA LUMPUR 14 Mac - Mahkamah Sesyen akan menjatuhkan hukuman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor esok selepas beliau hari ini mengaku salah terhadap pertuduhan pindaan mencederakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semasa perbicaraan bermula pagi ini, pihak pendakwa meminda pertuduhan terhadap Abdul Rahim dari Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda mengikut budi bicara mahkamah jika disabit kesalahan, kepada Seksyen 323, yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Abdul Rahim, 56, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, menukar pengakuannya kepada bersalah apabila pertuduhan itu dipinda oleh Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin.
Abdul Rahim, yang meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara pada 8 Januari tahun lepas, telah membuat pengakuan mencederakan Anwar di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Anwar semasa dalam tahanan di dalam lokap di ibu pejabat Polis Persekutuan di sini pada 20 September, 1998.
Anwar telah ditahan pada awal hari itu selepas mengetuai demonstrasi jalanan oleh para penyokongnya sebagai bantahan terhadap pemecatan beliau dari Kabinet pada 2 September tahun berkenaan.
Abdul Rahim telah memberitahu suruhanjaya itu, beliau mencederakan Anwar selepas diprovokasi oleh Anwar yang didakwa memanggil beliau "bapa anjing".
Salehuddin hari ini memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Akhtar Tahir, hukuman penjara terhadap Abdul Rahim adalah perlu bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman negara.
Beliau berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman tahanan bagi menggambarkan betapa seriusnya kesalahan itu dan bertindak sebagai pengajaran kepada orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama.
Salehuddin berkata, denda semata-mata tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh bekas Ketua Polis Negara itu.
Peguam bela Abdul Rahim, K. Sithambaram, bagaimanapun, menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana Abdul Rahim telah berkhidmat kepada negara selama 30 tahun dan akan kehilangan pencen dengan mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut.