laman timun cine ijau

Bantu bumiputera di IPT -- Abdullah mahu biasiswa dan bantuan pendidikan disediakan
PETALING JAYA 17 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini menyediakan bantuan pendidikan dan biasiswa kepada pelajar-pelajar bumiputera bagi menggalakkan mereka belajar di situ. Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau berharap pendidikan swasta tidak harus dilihat sebagai sesuatu untuk yang kaya dan yang mempunyai keistimewaan sahaja, tetapi turut meliputi semua golongan.

Menurut beliau, kerajaan telah menggariskan bahawa IPTS perlu menunjukkan kehadiran pelajar-pelajar pelbagai kaum yang terdapat di negara ini. ''Yang pentingnya biarlah perbelanjaan untuk belajar di IPTS tidak tinggi bagi sesetengah pelajar bumiputera. ''Sebab itu saya nyatakan yang penting IPTS menyediakan biasiswa atau bantuan-bantuan pelajaran untuk tujuan tersebut,'' katanya.

Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kampus baru Kolej Prime di The Summit, USJ Subang, di sini, hari ini. Pelbagai pihak terutamanya UMNO pernah membangkitkan kebimbangan mereka mengenai percambahan IPTS di negara ini yang tidak mampu dimasuki oleh pelajar bumiputera kerana kosnya yang tinggi.

Menurut Abdullah, IPTS turut digalakkan bergabung untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan lebih banyak kemudahan dalam usaha menarik lebih ramai penuntut asing. Katanya, gabungan seperti itu merupakan langkah logikal kerana ia akan membolehkan mereka mempertingkatkan kemudahan dan mengumpulkan sumber-sumber mereka kerana penubuhan kolej swasta bukan murah. ''Tetapi, kerajaan tidak berhasrat untuk mewajibkan pergabungan atau merumuskan dasar mengenai gabungan seperti dalam sektor perbankan,'' katanya

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah berkata terdapat 591 IPTS serta lapan universiti swasta dengan bilangan penuntut berjumlah 210,000 orang, jauh lebih tinggi daripada 50 buah IPTS pada 1986 semasa beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan. Katanya, kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang menawarkan budaya dan kehidupan yang berbeza dalam persekitaran antarabangsa.

Menurutnya, potensi Malaysia untuk menjadi pusat pendidikan yang menarik minda-minda terbaik rantau datang mencari kecemerlangan akademik dapat dilihat daripada 22,849 penuntut asing yang belajar di IPT tempatan, dengan 10,283 di IPTS. Beliau berkata, kerajaan komited dalam menarik lebih banyak rakan asing bekerjasama dengan IPTS dan IPTA untuk bukan sahaja meningkatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda tetapi juga pada peringkat ijazah lanjutan. ''Yang paling penting bagi Malaysia ialah keperluan segera untuk meningkatkan bilangan saintis dan jurutera yang akan menjadi tulang belakang dalam kita beralih ke ekonomi pengetahuan yang kompetitif,'' katanya.

Di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh, katanya sasaran bagi kemasukan pelajar dalam jurusan sains ditetapkan pada 60 peratus pada 1995, daripada hanya 21 peratus. ''Hari ini, kita masih belum menepati sasaran itu,'' katanya. Di samping mewujudkan minda saintifik melalui sistem sekolah Abdullah berkata, lebih banyak program ijazah yang menarik dan kursus-kursus perlu diperkenalkan dengan meluas di Malaysia. Abdullah berkata, daya saing negara akan semakin banyak datang daripada kebolehannya untuk menjalankan penyelidikan, mencipta dan membangunkan teknologi baru dan teknik-teknik saintifik. ''Jika Malaysia mahu memasuki era digital, bilangan besar saintis dan penyelidik merupakan syarat penting,'' katanya.

Beliau berkata, kejayaan Koridor Raya Multimedia sebagai perantara yang boleh membawa Malaysia ke ekonomi baru sebahagian besarnya bergantung kepada masyarakat universiti tempatan dan kebolehannya untuk mengeluarkan minda-minda dinamik dan analitikal. Turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Endon Mahmood, Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Dr. Tan Kee Kwong dan Pengasas serta Presiden Kolej Prime, Datin Kee Ming-Yuet.

sumber bahan=berita harian 17/3/2000