laman timun cine ijau

Tindakan terhadap 2 bank bukan dendam - Abdullah MENTAKAB 18 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan kerajaan Melaka menarik keluar wangnya dari dua buah bank bukan dilakukan secara rambang atau mahu membalas dendam tetapi mempunyai asas yang kukuh. Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri itu mahu pihak pengurusan bank berkenaan mengambil tindakan tegas terhadap kakitangannya yang tidak amanah.

Timbalan Perdana Menteri yang menyokong kerajaan Melaka menamakan Bumiputra Commerce Bank Berhad (BCB) dan Bank Islam Berhad mempunyai pekerja yang menyokong pembangkang berkata: ''Oleh kerana ia mempunyai asas, kita pandang berat terhadap masalah itu dan tindakan tegas perlu diambil terhadap kakitangan berkenaan.'' Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) Kementerian Penerangan di padang Sekolah Kebangsaan Sanggang di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan negeri dan agensinya, Perbadanan Ayer Melaka (PAM) akan mengeluarkan wang simpanan tetapnya berjumlah RM45 juta dalam kedua-dua bank itu mulai April ini. Tindakan itu dilakukan kerana kerajaan Melaka telah mengenal pasti kedua-dua cawangan bank berkenaan yang mempunyai pekerja paling ramai menyokong pembangkang.

Dalam hubungan ini, Abdullah berkata, kenyataan Mohd. Ali mengenai bank berkenaan bukan tuduhan rambang sebaliknya dibuat setelah mempunyai asas dan bukti. Ketika ditanya sama ada negeri-negeri lain boleh mencontohi tindakan kerajaan Melaka itu, beliau berkata, sesuatu keputusan mengenainya tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.


--------------------------------------------------------------------------------