laman timun cine ijau

Komen Sultan Pahang - Usaha atasi perpecahan Melayu juga tanggungjawab ulama, rakyat
KUALA LUMPUR 23 Mac - Usaha untuk mengatasi masalah perpecahan di kalangan orang Melayu bukan sahaja perlu dipikul oleh raja-raja Melayu dan kerajaan tetapi juga rakyat serta alim ulama.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-185 di sini hari ini menegaskan, tanpa tanggungjawab bersama, usaha ke arah mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat dikhuatiri tidak dapat dilakukan. Sehubungan itu baginda mengajak semua pihak supaya berpegang teguh kepada kata-kata hikmah 'bersatu teguh bercerai roboh'.

Sultan Ahmad Shah bertitah, raja-raja sendiri akan menghadapi kesukaran untuk menyatukan semula rakyat jika mereka yang terbabit tidak mahu berganding bahu ke arah memupuk semula perpaduan di kalangan mereka.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung selama dua hari mulai semalam di Istana Negara menjadi tumpuan selepas pelbagai pihak menyuarakan pandangan mahukan raja-raja Melayu campur tangan segera bagi mengatasi masalah perpecahan orang Melayu. Masalah itu timbul ekoran perbezaan fahaman serta penyalahgunaan agama oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik peribadi mereka.

Antara yang menyuarakan hasrat tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin masyarakat yang bimbang dengan keadaan yang berlaku walaupun pilihan raya umum telah hampir empat bulan berlalu. Sultan Ahmad Shah yang ditemui sebelum berangkat pulang ke Pekan, Pahang di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi, di sini, menegaskan: ''Tanggungjawab (menyatukan rakyat) ini bukan tanggungjawab raja-raja dan kerajaan semata-mata tetapi rakyat semua. ''Ini yang dikatakan tanggungjawab bersama untuk tentukan kebahagiaan hidup rakyat Malaysia.''

Baginda turut meminta alim ulama, mufti dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memainkan peranan lebih aktif bagi mengeratkan semula silaturahim di kalangan umat Islam. Menurut baginda, perpaduan harus dikekalkan bukan sahaja untuk generasi hari ini tetapi untuk generasi akan datang demi memastikan kehidupan mereka terus sejahtera dan bahagia. Tegas baginda, tanpa perpaduan dikhuatiri keharmonian yang dikecapi oleh rakyat pada masa sekarang tidak akan dapat dikekalkan.

Sultan Ahmad Shah bertitah, raja-raja Melayu sememangnya mahu seluruh lapisan rakyat terutama orang Melayu meneguhkan kembali perpaduan mereka. Baginda menjelaskan, kemelut yang berlaku hari ini telah mengakibatkan hubungan antara orang Melayu terbelah, berpuak-puak sehingga menyebabkan masyarakat Islam terumbang-ambing tanpa ketetapan haluan.

Sultan Ahmad Shah menambah, baginda sendiri merasa amat sedih sekiranya benar terdapat perpecahan yang ketara melanda orang Melayu seperti yang dilaporkan oleh media sejak akhir-akhir ini. ''Perkara (perpecahan) ini tidak dapat diterima oleh saya sendiri dan saya juga percaya ia tidak boleh diterima oleh orang Melayu, '' titah baginda.

Baginda menegaskan, adalah lebih baik sekiranya rakyat khasnya di Pahang mengeratkan silaturahim sesama mereka tanpa mengira fahaman kerana setiap kemelut yang timbul tentu ada jalan penyelesaiannya. ''Tidak ada satu masalah pun yang tidak boleh kita atasi secara bersama. ''Dalam masalah ini sama ada serius atau tidak, kita kena bermusyawarah, berbincang dan berdialog. Insya-Allah kesulitan akan dapat diatasi,'' titah baginda.

Baginda memberitahu, sebagai sebuah negara yang aman dan makmur, tiada sebab untuk rakyat berpecah-belah. Bagaimanapun dalam hal ini baginda menyelar pihak-pihak tertentu yang terus suka menyebar fitnah, mencaci dan menghina orang lain sehingga menimbulkan perbalahan di kalangan rakyat, sedangkan ia jelas dilarang oleh agama Islam. ''Ini penyakit yang berleluasa sekarang. Saya sendiri berasa sedih,'' ujar baginda.

Tambah Sultan Ahmad Shah, rakyat harus sedar perpecahan tidak akan memberi apa-apa faedah kepada mereka dan kerana itu harus menghentikan segera pertelingkahan yang timbul daripada perkara yang remeh-temeh. ''Tidak mahulah kita berpecah-belah...kerana masalah kecil kita bermasam muka, tidak tegur-menegur sehingga terjadi orang muda tidak mahu mengumpamakan orang tua, anak tidak mengumpamakan bapa. Ini tidak dituntut oleh agama,'' titah baginda.

Ditanya peranan yang akan dimainkan oleh baginda bagi mengatasi masalah itu, Sultan Ahmad Shah bertitah, sebagai raja yang menaungi rakyat, baginda bersedia berjumpa dengan sesiapa sahaja dalam perkara melibatkan kepentingan rakyat itu. ''Istana saya sentiasa terbuka (membincangkan soal perpaduan rakyat) tetapi bukanlah datang nak minta yang bukan-bukan,'' titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut melahirkan rasa kesalnya terhadap tindak-tanduk segelintir khatib di negeri Pahang yang menggunakan mimbar masjid untuk menyampaikan khutbah yang boleh meretakkan hubungan sesama umat.