Cara penyelesaian masalah ummah: Al-Quran, hadis perlu dijadikan rujukan
SANGGANG: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Haji Nik Abd Aziz Nik Mat berkata penyelesaian mengenai masalah umat Islam di negara ini mestilah berpandukan al-Quran dan Sunnah.

"Kiranya raja Melayu diminta oleh Umno untuk menyelesaikan sengketa ini, Umno mestilah menerima hakikat bahawa sebarang penyelesaian hendaklah berasaskan rujukan utama itu," katanya dalam satu wawancara dengan Harakah, di sini.

Menurutnya, PAS sudah lama mahu bermuzakarah dengan Umno untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan selama ini, malangnya, kata beliau, Umno sentiasa menolak dan berdalih, menunjukkan mereka enggan menyelesaikan sengketa ini berasaskan al-Quran dan hadis.

Kini, kata Tuan Guru, Umno mendesak pula raja Melayu untuk campurtangan menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh Umno sendiri. "Ini kerja orang terdesak, bila dia menghadapi kekusutan, dia cari pihak lain untuk menyelesaikan masalah, malah saya lihat seolah-olah mereka minta tolong Raja Melayu untuk menghadapi PAS," kata Tuan Guru. Ini, katanya, langkah yang tidak baik.

Beliau mengingatkan Umno supaya jangan mengelak untuk bermuzakarah dengan PAS dalam menyelesai masalah ummah di negara ini dan penyelesaian itu mesti berasaskan al-Quran dan hadis. Bagi pihak PAS, katanya, ia tidak akan dapat menerima penyelesaian kecuali berasaskan al-Quran dan hadis.

"Mengapa Umno sangat takut untuk merujuk kepada al-Quran dan hadis untuk menyelesaikan masalah orang Melayu?" tanya Tuan Guru.

Ini, katanya, menunjukkan perjuangan Umno tidak menepati al-Quran dan Sunnah. Kalau tidak, katanya, masakan pemimpin Umno enggan menerima pendekatan al-Quran dan Sunnah dalam menyelesaikan masalah yang timbul.

Menurut Tuan Guru lagi, Umno sepatutnya tidak meminta pertolongan Raja Melayu untuk menyelesaikan masalah yang dicetuskan oleh Umno sendiri. "Masalah ini timbul disebabkan tindak-tanduk Umno sendiri yang mengamalkan fahaman sekular. Inilah punca segala masalah yang timbul," katanya.

Beliau mengingatkan Umno bahawa tanpa merujuk kepada al-Quran dan Sunnah penyelesaian tidak akan dicapai.

sumber: Harakah, 1 April 2000
Daripada A.SHUKOR HARUN