Masyarakat perlu anjakan paradigma oleh : Dr. Mashitah Ibrahim
"Hijrah merupakan perubahan ke arah kebaikan.Namun di kalangan masyarakat kita perubahan atau anjakan paradigma masih lambat. Ini kerana sikap masyarakat kita yang kurang membuat perubahan" kata Dr. Mashitah Ibrahim.
Menurut beliau , negara kita semakin berubah dari negara yang berasaskan pertanian kepada industri dan kini kepada teknologi maklumat. Namun masyarakat masih sukar terima pembaharuan dan perubahan.
Di samping itu beliau beranggapan masyarakat kita tidak boleh menerima pendekatan dan pemikiran baru. Ia akan dianggap sesuatu yang asing. Menurut Dr. Mashitah ini kerana masyarakat kita tidak memiliki pemikiran revolusi. Salah satu sebabnya berpunca daripada cara kita mendapat kemerdekaan secara aman dan tidak secara revolusi berbanding di negara-negara lain.
"masyarakat kita mempunyai sikap cukup sekadar apa yang ada dan tidak mahu belajar sesuatu yang baru. Kita seolah-olah bersikap tidak ada apa untuk menjadi hero kampung."
"Generasi muda hari ini perlu buat perubahan secara sedikit dan berperingkat-peringkat. Kita perlu ubah diri sendiri. Ini kerana masyarakat kita hanya suka melihat perubahan orang lain tetapi tidak fikir untuk berubah diri sendiri."
"Kita buat perubahan dulu , kita akan alami kejutan tetapi jangan takut untuk dikritik dan berani untuk hadapi cabaran. Jika kita tabah melaluinya ini merupakan anjakan paradigma" ujar beliau.
Dr. Mashitah juga turut mengkritik segolongan masyarakat yang tidak boleh menerima perbezaan antara pendapat dan pandangan. Menurut beliau khalifah Umar Abd. Aziz gembira dengan ulama' yang memberi pendapat yang berbagai-bagai.
"Orang zaman dulu maju kerana meraka menerima perbezaan pendapat. Itu dianggap satu rahmat. mereka menghormati pandangan orang lain, ini kerana tidak semua pendapat itu betul. Para mujtahid jika pendapat mereka salah mereka mendapat satu pahala tetapi jika betul akan mendapat dua pahala.
"sebagai seorang islam kita perlu menghargai pendapat dan pandangan orang lain. Kita hanya hendak orang ikut kita, sikap kita kurang terbuka , kita perlu berbincang walaupon pendapat kita berbeza" ujar beliau.
|