Muslimin muslimat
Diucapkan selamat Hari Raya Idul Adha semoga semua sihat dan aman sentosa.
Pada hari yang berbahagia ini hendaklah kita menyambut Hari Raya Idul Adha
dengan penuh kesyukuran kepada Allah serta mengingati kebesarannya dengan
melafazkan kalimah takbir dan tahmid di samping melakukan ibadat korban baki
sesiapa yang mempunyai kemudahan dan kemampuan.
Hari Raya ini dikenal dengan Hari Raya Haji kerana bersempena dengan umat
Islam pada hari ini sedang berhimpun di tanah suci Mekah untuk menunaikan
ibadat haji atau dipanggil juga Hari Raya korban kerana diperintah supaya kita
berkorban, sekaligus mengingatkan kita kembali sejarah pengorbanan yang
dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s, ketika Allah S.W.T memerintah beliau
menyembelih korban kesayangannya iaitu Nabi Ismail a.s.
Perintah ini dilakukan oleh Nabi Ibrahim dengan penuh keikhlasan dan keyakinan
serta mengatasi perasaan sayang kepada anaknya. Begitu juga anaknya Ismail
dengan rela hati menyerah dirinya untuk dikorbankan demi menjunjung perintah
Allah. Walaupun Allah menggantikan penyembelihan anaknya dengan tebusan
seekor kibas, tetapi Allah sifatkan Nabi Ibrahim itu telah mengorbankan anak
sulungnya, Nabi Ismail kerana kesungguhan dan azamnya melaksanakan perintah
Allah melalui mimpinya yang benar itu.
Seperti mana Firman Allah S.W.T dalam Surah As-Saffaat ayat 103-105 yang
bermaksud:
"Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah itu) dan Nabi
Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya, atas tompok
tanah (untuk disembelih) serta kami menyerunya: Wahai Ibrahim, "Engkau telah
menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu," demikianlah sebenarnya
kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan".
Allah menjelaskan bahawa perintah kepada Nabi Ibrahim supaya menyembelihkan
anaknya itu sebagai ujian. Seperti mana Firman Allah dalam Surah As-Saffaat
ayat 106-107 yang bermaksud:
" Sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata. Dan kami
telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar
(kibas)."
Kepatuhan yang ditunjukkan oleh Ibrahim dan anaknya Ismail a.s adalah hasil
daripada kecintaan kepada Allah S.W.T mengatasi kecintaan kepada sesuatu
yang lain. Sewajarnya kepatuhan yang telah dilaksanakan oleh kedua-dua
beranak ini menjadi ikutan dan tauladan kepada umat Islam pada hari ini dalam
melaksanakan tuntutan dan perintah Allah S.W.T. Apa yang didapati pada hari ini
terlalu banyak alasan yang sengaja dicari oleh pemimpin sekular pada hari ini
untuk tidak terlaksana hukum Allah di atas muka bumi ini.
Allahhu Akbar Allahhu Akbar Allahhu Akbar WalilLah hilhamd.
Muslimin dan muslimat yang dikasihi,
Selepas sahaja selesai mengerjakan solat 'idul Adha, umat Islam yang
berkemampuan diminta mengorbankan ternakan mereka sama ada kambing,
biri-biri, lembu, kerbau dan seumpamanya. Binatang yang hendak dikorbankan itu
mestilah cukup umur, sihat, gemuk dan tidak cacat, pada masa yang sama suara
takbir terus kedengaran untuk membesarkan keagungan Allah S.W.T.
Menyembelih binatang korban boleh dilakukan pada hari raya pertama 'Idul Adha
sehinggalah hari-hari Tasyrik selepasnya selama tiga hari di mana Rasulullah
S.A.W bersabda yang bermaksud:
" Setiap hari Tasyrik adalah penyembelihan"
Kesediaan sebilangan umat Islam untuk mengorbankan binatang ternakan mereka
pada hari ini menunjukkan sifat berkorban dan bersedia untuk berkorban masih
lagi menjadi satu pegangan hidup masyarakat Islam. Tetapi untuk apa mereka
menyembelih binatang ternakan tersebut: Apakah untuk menunjuk-nunjuk harta
dan wang ringgit yang mereka miliki atau benar-benar kerana ketaqwaan kepada
Allah S.W.T? Inilah yang menjadi persoalan.
Apa yang lebih penting dan lebih utama ialah kesediaan umat Islam berkorban
mesti berasaskan rasa taqwa kepada Allah dan melaksanakan segala suruhannya
sesuai dengan firman Allah Ta'ala dalam Surah Yunus ayat ke-58 yang
bermaksud:
"Katakanlah, dengan kurniaan Allah dan rahmatnya, hendaklah
dengan itu mereka bergembira, kurniaan Allah lebih baik daripada apa
yang mereka kumpulkan"
Allahhu Akbar Allahhu Akbar Allahhu Akbar WalilLah hilhamd.
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.
Umat Islam pada hari ini hendaklah menjadikan semangat korban dan bersedia
untuk berkorban sebagai tunjang utama kepada pengakuan tauhid terhadap Allah
S.W.T, bukannya ucapan tauhid terhadap Allah S.W.T hanyalah di bibir sahaja
yang tidak diketahui nilai sebenarnya tanpa melalui pengorbanan yang dituntut oleh
Islam ini kerana bukannya mudah untuk mencapai ketaqwaan dan keimanan
terhadap Allah S.W.T tanpa berkorban dan dibuktikan dengan pengorbanan.
Islam sangat-sangat menuntut pengorbanan dalam apa jua keadaan sekalipun,
tambahan pula umat Islam pada ketika ditimpa oleh penyakit "Hubbuddun
ya"-cintakan dunia" dan "membenci kematian" - umat Islam pada hari ini
sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita kebendaan sehingga
sanggup menjual keimanan dan kebenaran dengan wang ringgit dan harta benda.
Umat Islam pada hari ini sanggup menjatuhkan kawan sendiri dengan melakukan
fitnah demi mencapai hajat dan matlamat kebendaan bahkan mereka sanggup
membunuh demi wang ringgit kerana mereka telah pun mengambil jalan mudah
dengan amalan rasuah, menipu dan sebagainya kearah mencapai cita-citanya.
Lantaran kerana mereka begitu takut untuk menghadapi kematian walaupun
kematian itu tetap akan menemuinya walaupun di mana mereka berada. Firman
Allah S.W.T dalam Surah Al-Ankabut ayat yang ke 57 yang bermaksud:
" Tiap-tiap yang bernyawa akan merasa mati, kemudian hanyalah
kepada kami kamu dikembalikan".
Allahhu Akbar Allahhu Akbar Allahhu Akbar WalilLah hilhamd.
Muslimin dan muslimat sekalian!
ibadat haji yang dilakukan oleh umat Islam yang berada di tanah suci Mekah pada
hari ini bukan sahaja mengerjakan wukuf, tawaf dan sa'ie, tetapi juga diwajibkan
melontar tiga jamrah di mana Nabi Ibarhim a.s sendiri telah melontar di tiga-tiga
jamrah terhadap syaitan yang cuba menghalangnya daripada mengikuti perintah
Allah S.W.T. Pada tiga-tiga jamrah inilah Nabi Ibrahim dengan batu telah
melontar syaitan yang telah cuba menimbulkan keraguannya terhadap kebenaran
mimpi daripada Allah S.W.T
Apakah tindak tanduk ini hanya berada di jamrah sahaja? Aapakah syaitan hanya
menjadi musuh kepada Nabi Ibrahim sahaja? Apa yang jelas kepada kita, syaitan
samaada berupa jin atau manusia walau di mana berada, ia menjadi musuh, bukan
sahaja kepada Nabi Ibrahim, bahkan kepada semua Nabi-Nabi dan kepada
mereka yang beriman.
Bertolak daripada apa yang telah berlaku disepanjang sejarah manusia bahawa
syaitan adalah musuh mereka yang beriman dan umat Islam walaupun di mana
sahaja. Mereka juga terdedah dengan halangan-halangan yang ditimbulkan oleh
syaitan daripada kalangan manusia untuk terus menyesatkan orang-orang ynag
beriman supaya masing-masing menjejaki langkah mereka yang dimurkai oleh
Allah S.W.T.
Antara langkah-langkah syaitan adalah berusaha untuk memastikan umat manusia
lalai daripada mentaati perintah Allah dan tidak mengikuti jalan yang telah dilalui
oleh para Rasul a.s.
Allahhu Akbar Allahhu Akbar Allahhu Akbar WalilLah hilhamd.
Sidang hadirin sekalian,
Kenyataan yang ada dihadapan kita pada hari ini, umat Islam samaada di dalam
negara yang majoriti umat Islam atau sebagai kaum minoriti, mereka terus ditindas
dan dinafikan hak mereka selagi tidak terlaksana hukum-hukum dan peraturan
Allah S.W.T Sesungguhnya, tidak ada kemuliaan kepada umat Islam selagi tidak
dilaksanakan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan beragama dan bernegara
Perjuangan dan pengorbanan Rasulullah S.A.W telah terbukti dalam tahun
kesembilan hijrah apabila tanah suci Mekah telah dapat dikuasai semula oleh
baginda Rasulullah S.A.W. Sudah tentulah ia menjadi lambang kemuliaan kepada
seluruh umat Islam dan kemenangan ini tercatat dalam Al-Quran: Surah An-Nasr
ayat 1-3 yang bermaksud:
'Idul Adha sudah pasti mengingatkan kita semula kepada kejayaan perjuangan dan
pengorbanan besar Nabi Muhammad S.A.W untuk mengembalikan kemuliaan dan
keagungan Islam serta membebaskan umat ini daripada kegelapan kepada cahaya,
daripada kesesatan kepada petunjuk demi mencapai keredhaan Allah S.W.T.
Apa yang menjadi nasib malang kepada umat Islam yang berada dalam negara
yang majoriti umat Islam yang tidak melaksanakan Islam sebagai dasar dan
perlembagaan, semakin sukar untuk menentukan pilihan mereka bersama Islam.
Pemerintah sekular di negara Islam terus melakukan penindasan dan kezaliman
agar suara Islam dan suara keadilan semakin dapat dipadamkan.
Hak mereka untuk bersuara menuntut kebenaran terus ditindas termasuklah
menghadkan keluaran akhbar parti pembangkang dan menggunakan berbagai akta
dan kuasa demi mengekalkan dasar sekularisma untuk terus berkuasa dan
kepentingan mereka tidak akan tergugat. Suasana dan gelagat pemerintah sekular
berlaku di negara yang majoriti umat Islam dengan menolak Islam sebagai Ad-din
termasuklah negara kita yang begitu tebal dengan faham sekularisme yang sesat.
Sebenarnya mereka lupa akan peringatan Allah dalam Al-Quran, bagaimana
mereka yang zalim dan mengengkari ugama, firman Allah dalam Surah As-Sof
ayat 8-9 yang bermaksud:
" Mereka ingin memadam cahaya (agama)Allah dengan mulut mereka
dan Allah tetap menyempurnakan cahayanya meskipun orang-orang kafir
benci, Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan
agama yang benar agar Dia memenangkan di atas segala ugama sekalipun
orang-orang musyrikin benci"
Begitu juga nasib malang yang menimpa di mana umat Islam menjadi minoriti,
mereka terus dizalimi oleh golongan kuffar yang begitu benci dan dendam kepada
orang Islam disebabkan oleh keimanan mereka terhadap Allah S.W.T. Lihat apa
yang berlaku kepada umat Islam di Chehnya, di Kosova, di selatan Filipina dan di
mana sahaja, mereka itu dinafikan hak mereka untuk menyatakan Islam sebagai
cara hidup yang diredhai Allah. S.W.T.
Allahhu Akbar Allahhu Akbar Allahhu Akbar WalilLah hilhamd.
Muslimin dan muslimat yang berbahagia,
Pada Hari Raya korban ini umat Islam bukan sahaja melakukan korban sebagai
memenuhi tuntutan syariat Islam dan sunat Nabi Ibrahim a.s tetapi lebih besar
daripada itu, iaitu umat Islam diminta berkorban apa sahaja termasuk jiwa, tenaga
dan harta benda untuk mengembalikan semula kemuliaan Islam yang telah lenyap
ditelan masa selepas kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki.
Tuntutan umat Islam untuk terus berkorban dan berjihad adalah tuntutan
sepanjang zaman untuk mencapai janji Allah kepada mereka yang beriman dan
bertaqwa. Halangan daripada pemerintah sekular mesti dihapuskan demi
memberi ruang kepada pemimpin yang bersedia untuk mendaulatkan Islam
bukannya pemimpin yang berdolak dalih untuk mencari jalan supaya tidak
terlaksana hukum Islam di atas muka bumi ini.
Namun begitu, ada kalangan pemerintah dan pemimpin sekular ini yang berkorban
dan bertungkus lumus untuk mempertahankan sistem dan dasar sekular mereka
dan ada di kalangan mereka yang bersungguh-sungguh menganjurkan maksiat
dan kemungkaran dan seolah-olah mereka pun berjihad untuk memastikan Islam
terus tidak dilaksanakan. Pemerintah sekular yang jahil terus berjuang untuk
melindungi orang terlibat dengan rasuah dan pada masa yang sama menuduh
orang lain dengan fitnah yang tidak masuk akal untuk mereka terus melakukan
kezaliman demi kezaliman bagi memuaskan nafsu syaitan mereka.
Marilah kita menyedari seruan berkorban pada hari Raya 'Idul Adha ini demi
mengembalikan keagungan Islam dan kemuliaan agama ini. Kita tidak mampu lagi
dihina sepanjang masa, kita tidak mampu lagi melihat kemungkaran politik dan
kezaliman terus berlakudan kita tidak mampu lagi melihat penyalahgunaan kuasa
terus menjadi cara dan gaya bagi mereka yang berkuasa.
Marilah sama-sama kita tingkatkan semangat korban yang telah ditunjukkan oleh
Nabi Ibrahim a.s dengan banyak melakukan pengorbanan bagi mendaulatkan
hukum Allah. Setiap daripada kita akan dipersoalkan di hadapan Allah
azzawajalla di atas apa yang menimpa umat pada hari ini. Di manakah kita?
Apakah yang kita lakukan untuk melenyapkan pemimpin yang zalim yang suka
melakukan fitnah terhadap oang lain demi mengekalkan kuasa dan kekayaan
bersama kroni-kroni mereka.
Kitalah bertanggungjawab dan kitalah yang akan dipersoalkan kalau kita tidak
sanggup untuk berkorban, berjihad dan terus berjuang demi melangsungkan
perlaksanaan agama Allah S.W.T dan bersama-sama mempertahankan dasar
kerajaan Membangun Bersama Islam. Sekaligud menegak kebenaran dan mendiri
keadilan.
Firman Allah Ta'ala dalam Surah Al-Maidah ayat 8 yang bermaksud:
" Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi
orang-orang yang selalu menegakkkan kebenaran, kerana Allah menjadi
saksi dengan adilnya dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap
sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil, berlaku adillah
kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan".