IPTS menuntut pengorbanan ibu bapa

KEMUNCULAN institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan memberi satu lagi peluang luas kepada golongan pelajar untuk terus bersaing dalam era globalisasi. Namun begitu, bilangan pelajar bumiputera yang menerima pendidikan di IPTS sekarang ini ternyata kecil iaitu sekitar 20 peratus dari puluhan ribu pelajar IPTS di Malaysia. Kenapa fenomena ini terjadi?

Antara punca kekeliruan fahaman mereka sama ada pelajar mahupun ibu bapa terhadap IPTS ialah kadar yuran yang tinggi, kemudahan yang kurang lengkap, kualiti akademik yang meragukan, peluang kerjaya yang ada, tenaga pengajar yang kurang terlatih dan berpengalaman dan berbagai lagi. Perkara ini seolah-olah begitu kuat tertanam dalam minda bumiputera sejak kehadiran IPTS dalam persada industri pendidikan negara.

Bumiputera masih lagi tidak sanggup berkorban untuk melabur dalam bidang pendidikan. Keutamaan mereka lebih tertumpu kepada peningkatan taraf ekonomi keluarga. Maka pelaburan dalam bidang pendidikan menjadi keutamaan sampingan mereka. Alasan ini kemungkinan disebabkan oleh kedudukan ekonomi bumiputera yang rendah berbanding kaum lain.

Pelajar bumiputera juga begitu menimbangkan pelbagai perkara sebelum memilih IPTS seperti beban kewangan yang mereka tanggung selepas tamat pengajian disebabkan kadar yuran yang mahal berbanding IPTA. Sebagai contoh, kos perbelanjaan pelajar sarjana muda di IPTA sekitar RM16,000 _ RM20,000 selama 3 tahun berbanding pelajar diploma IPTS yang menelan belanja sekitar RM20,000 _ RM24,000 dalam tempoh yang sama. Ini tidak mengambil kira kos hidup sepanjang pengajian mereka seperti makanan dan penginapan. Maka ini memberi kesan kepada mereka setelah tamat belajar di samping bebanan kewangan yang lain seperti membantu keluarga, pinjaman kereta atau rumah dan lain-lain lagi.

IPTS juga sering digembar-gemburkan dengan keadaan kekurangan kemudahan yang lengkap seperti dewan kuliah yang selesa, pusat sukan dan aktiviti pelajar, kemudahan makmal dan perpustakaan. Begitu juga dengan kualiti akademik yang ditawarkan dengan tidak menurut piawai yang sebenarnya. Misalnya, untuk memastikan pelajar IPTS itu berjaya, kemungkinan sukatan pelajaran yang diajar dan soalan peperiksaan yang diberikan tidak menepati tahap yang selayaknya. IPTS juga cuba mengurangkan kos dengan mengambil para pensyarah yang baru tamat pengajian mereka.

Natijahnya ramai tenaga pengajar di IPTS kurang pengalaman dan terlatih. Ini tentulah akan menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran pelajar itu sendiri. Pelajar bumiputera juga kurang yakin terhadap peluang kerjaya yang bakal mereka tempohi. Ini kerana persaingan dari graduan IPTA dan lepasan pelajar luar negara amat merisaukan mereka. Ini ditambah lagi dengan sebilangan IPTS yang mempunyai imej yang kurang baik di kalangan sektor awam mahupun swasta. Keadaan ini menyukarkan pihak majikan untuk menerima mereka sebagai pekerja. Kekeliruan pelajar dan ibu bapa ini perlu diubah demi kepentingan pelajar bumiputera itu sendiri khususnya dan negara amnya.

Pelajar bumiputera perlu sedar untuk bersaing di alaf baru ini, pendidikan sangat penting. Kelulusan asas SPM sekarang ini sudah agak ketinggalan untuk merebut peluang kerjaya disebabkan bilangan pelajar diploma semakin ramai. Untuk merealisasikan Wawasan 2020 saja, kerajaan memerlukan lebih daripada 20,000 orang jurutera dan ini berupaya diatasi melalui IPTS kerana IPTA yang ada tidak mampu menampung bilangan pelajar yang terlalu ramai.

Golongan bumiputera juga perlu menginsafi bahawa mereka agak ketinggalan dalam bidang ekonomi dan pendidikan berbanding kaum lain di negara ini. Sekiranya peluang melanjutkan pendidikan ke IPTS tidak direbut dan diambil, jurang ini akan terus wujud dan boleh memberi kesan ke atas perpaduan negara. Bilangan pelajar bumiputera di IPTS adalah kecil, manakala di IPTA adalah setara dan ini akan mewujudkan jurang golongan profesional yang besar dalam masyarakat. Akibatnya, golongan bukan bumiputera akan terus menguasai bidang ekonomi dan menjawat jawatan penting baik di sektor awam mahupun swasta.

IPTS juga wajar mengubah persepsi golongan bumiputera terhadap IPTS dengan memastikan kualiti akademik yang tinggi, kemudahan yang serba lengkap, kadar yuran yang berpatutan, kemudahan bantuan kewangan yang disediakan di samping pensyarah yang terlatih dan berpengalaman.

Oleh itu, beberapa langkah perlu diambil seperti memasyarakatkan IPTS melalui publisiti yang meluas. Ini boleh dilakukan dengan mengadakan aktiviti kerjaya, motivasi dan pembangunan minda. Publisiti melalui media seperti radio, televisyen, surat khabar, risalah dan buku-buku kerjaya perlu disebarluaskan. Di samping itu, seluruh IPTS bumiputera wajar mengadakan pameran mengenai IPTS dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, kerajaan negeri dan NGO.

Manakala daripada aspek kewangan yang merupakan bebanan utama pelajar dan ibu bapa, maka kemudahan kewangan ini perlu diberikan sepenuhnya kepada pelajar sama ada dari Mara, kerajaan negeri, Kerajaan Pusat dan sektor swasta serta Tabung Pendidikan Bumiputera. Pentingnya di sini, kemudahan yang dibekalkan ini perlu dicanangkan kepada para pelajar dan ibu bapa agar mereka mengetahui wujudnya kemudahan kewangan ini.

Di pihak ibu bapa juga, mereka harus sedar keistimewaan sebagai kaum bumiputera adalah terbatas. Kerajaan tidak mampu untuk menampung kesemua anak-anak mereka baik dari segi bantuan kewangan mahupun penyediaan tempat di IPTA. Kemudahan ini lebih terbuka kepada pelajar yang cemerlang. Maka sudah tentulah ibu bapa sewajarnya membuat persiapan awal seperti menabung di Tabung Haji, menyertai Takaful dan skim-skim insurans untuk pelaburan pendidikan anak-anak mereka di masa hadapan. Ibu bapa juga mesti menyedari bahawa dengan meneruskan pendidikan anak-anak mereka, secara tidak langsung mereka tidak terlibat dengan pelbagai gejala sosial yang semakin menular dewasa ini.

Dari itu, anjakan paradigma perlu dilakukan di kalangan pelajar dan ibu bapa bumiputera dalam menangani kewujudan IPTS di negara ini. Mahu tidak mahu, kita akan terus berhadapan dengan dunia yang penuh persaingan dan hanya mereka yang berpendidikan akan terus maju ke hadapan.