Pada 8 Mac lalu, genaplah 100 hari PAS memerintah Terengganu. Berikut
adalah temubual khas dengan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Menteri
Besar Terengganu, YAB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di kediamannya
di Kampung Rusila pada 10 Mac bersamaan 4 Zulhijjah lalu, sebelum beliau
berangkat menunaikan fardhu haji ke Makkah pada hari yang sama.
Soalan: Pertama-tamanya Harakah mengucapkan tahniah kepada Tuan
Guru sebagai peneraju kerajaan Barisan Alternatif yang telah berjaya
memerintah Terengganu selama 100 hari pada 8 Mac baru-baru ini.
Sehubungan itu, bagaimanakah perasaan Tuan Guru selepas memerintah
selama 100 hari, apakah Tuan Guru merasa yakin dapat melaksanakan
hasrat dan cita-cita Tuan Guru untuk melihat sistem Islam berjalan di
Terengganu dan apakah halangan di sebalik cita-cita itu?
Tuan Guru Abdul Hadi Awang: Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah
Subhanahu Wa Taala kerana dengan taufik dan hidayah-Nya kami diberi
petunjuk untuk melakukan perkara-perkara dengan cara yang teratur satu
demi satu, bermula daripada mengadakan persediaan-persediaan awal ke
arah melaksanakan syariat Islam.
Bermula daripada penukaran pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan
menyusun kedudukan mereka dari semasa ke semasa, sehinggalah
perlantikan Exco menentukan portfolio masing-masing dan melantik
ahli-ahli jawatankuasa masing-masing berjalan dengan lancar. Dan kami
mendapat kerjasama yang sangat baik daripada pegawai-pegawai kerajaan
supaya mengambil langkah-langkah awal bagi melaksanakan manifesto
yang merupakan janji kepada rakyat.
Di peringkat rakyat, sehingga ini kita telah berjaya menyusun kepimpinan
masyarakat melalui Jawatankuasa Syura Rakyat. Pada keseluruhannya
sudah selesai, cumanya menunggu pengesahan daripada saya sendiri
sebagai ketua kerajaan negeri.
Di samping perkara-perkara awal yang boleh dilaksanakan dengan cara
yang segera untuk mendapat perkara-perkara yang positif bagi melakukan
tindakan yang selanjutnya. Perkara segera yang kami lakukan ialah,
contohnya penghapusan tol di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala
Terengganu yang dikatakan akan berlaku kerugian sebanyak RM4 juta
setahun, penghapusan cukai pintu rumah kediaman yang dikatakan berlaku
kerugian berjuta-juta ringgit.
Alhamdulillah, melalui pembetulan anak-anak syarikat perbadanan yang
ditubuhkan oleh kerajaan dan juga melalui sumber-sumber hasil yang lain,
kami telah menghasilkan alternatif yang lebih banyak daripada apa yang
kami kurangkan itu.
Ini adalah satu keberkatan yang diberi oleh Allah SWT. Dan sehingga hari
ini, saya telah mendapat maklumat balas yang yang sangat positif
daripada pegawai-pegawai kerajaan berhubung dengan menumpukan
program mengatasi masalah-masalah rakyat yang miskin dan termiskin.
Dalam mengendalikan bantuan kebajikan masyarakat dilaksanakan dengan
lancar dan diberi lebih daripada kerajaan yang lalu.
Penyusunan semula imam-imam, bilal-bilal dan jawatankuasa masjid
berjalan dengan lancar, begitu juga dalam membuat lay ot kepada
tanah-tanah di seluruh negeri Terengganu bagi menunaikan janji untuk
memberi tapak kediaman bagi setiap rakyat yang berkeluarga yang tidak
mempunyai tapak kediaman. Begitu juga untuk memberi tanah pertanian
kepada rakyat yang memerlukan tanah pertanian.
Dalam masa beberapa hari lagi, insya Allah, dalam tahun ini juga, kita akan
membuat satu pengumuman untuk membuka semula permohonan tanah
kepada rakyat yang tidak mempunyai tanah dengan suatu pentadbiran dan
cara yang benar-benar tidak diambil kesempatan oleh mereka yang tamak,
yang haloba yang sudah ada tanah tetapi mengambil peluang.
Insya Allah, kita akan buat suatu tindakan supaya rakyat yang
benar-benar berhajat kepada tanah, yang tidak ada tanah ini dipastikan
sekurang-kurangnya mereka mendapat tanah kediaman dan untuk
pertanian. Kami berusaha untuk membebaskan rakyat daripada riba
bermula daripada pegawai-pegawai kerajaan sehinggalah rakyat.
Kami akan laksanakan operasi bantuan, pertolongan dalam perkara yang
berkait dengan pinjaman membeli kenderaan, pinjaman komputer dan juga
pinjaman rumah kediaman. Kepada pegawai-pegawai kerajaan dan kepada
rakyat biasa yang memerlukan rumah kediaman dengan cara membebaskan
mereka daripada riba yang diharamkan oleh Islam.
Ini adalah sebahagian daripada perkara-perkara yang akan kami
laksanakan dan sehingga ini mendapat sokongan daripada seluruh pegawai
kerajaan.
Soalan : Adakah Tuan Guru melihat sambutan dan sokongan rakyat begitu
menyeluruh terhadap kerajaan Tuan Guru setelah memerintah selama 100
hari?
Hadi : Di sana ada rakyat yang faham bahawa perubahan memerlukan
masa. Ada perkara yang boleh dilaksana dengan segera, ada perkara yang
memerlukan masa, yang pendek dan masa yang panjang. Dan di sana ada
rakyat yang tidak faham, yang jahil, yang segala-galanya mahu berubah
dengan serta merta.
Mereka yang tidak faham ini akan menimbulkan berbagai-bagai masalah,
berbagai-bagai bantahan kerana mereka tidak faham. Ada juga rakyat
yang mementingkan diri, yang melakukan perkara-perkata yang menyalahi
peraturan.
Sebagai contoh, mereka yang meneroka tanah dengan tindakan sendiri,
mereka yang menjaja dan menjual di kawasan-kawasan larangan. Mereka
tidak dihalang untuk bekerja tetapi mestilah mengikut peraturan. Mereka
yang tidak faham ini menjadi cabaran dan kami menghadapi dengan sabar.
Kami yakin dan percaya apabila perkara ini dapat dilaksanakan dengan
betul, mendapat kerjasama yang baik daripada kalangan pegawai kerajaan
yang melaksanakan peraturan, mereka yang tidak faham itu akan faham
dan akan memberikan sokongan kepada kami termasuk orang-orang yang
bukan Islam.
Kita buktikan keadilan Islam dan sehingga hari ini orang-orang yang bukan
Islam menyedari bahawa pemerintahan Islam ini adalah lebih adil dan lebih
baik daripada yang lain.
Soalan : Mengenai masyarakat bukan Islam, adakah cukup penerangan
yang diberikan kepada mereka dan adakah mereka faham dan menerimanya
dengan baik terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Tuan Guru?
Hadi : Penerangan tidak cukup kerana yang datang menemui saya dan
berdialog dengan saya tidak semua dan tidak keseluruhan. Untuk memberi
faham tidak cukup dengan cakap-cakap dan hujah-hujah melalui lisan dan
tulisan, mestilah melalui perbuatan dan amalan.
Saya yakin dan percaya walaupun perkara ini memerlukan masa, akhirnya
mereka akan dapat menerima pemerintahan Islam dan memerikan sokongan
kepada kita.
Soalan : Adakah kerajaan di bawah kepemimpinan Tuan Guru ini
mengatasinya dan bagaimana hubungan di kalangan pemimpin kerajaan
dengan masyarakat bukan Islam di Terengganu sehingga kini?
Hadi: Kami mengambil langkah melantik yang pertama Pegawai
Perhubungan orang yang bukan Islam di kalangan mereka, bertaraf
pegawai secara langsung di bawah Menteri Besar yang diberi gaji dan
elaun yang setaraf dengan pegawai di bawah Menteri Besar dan pegawai
ini menjalankan tugas untuk hubungan dengan orang yang bukan Islam.
Dan kami juga melantik Jawatankuasa Syura Rakyat di kalangan orang
yang bukan Islam di kampung mereka dan mereka memilih pemimpin
mereka.
Kami juga melantik ahli-ahli majlis perbandaran, ahli-ahli majlis daerah di
kalangan orang-orang yang bukan Islam. Dan kami menerima memorandum
yang dikemukakan oleh mereka kepada kami dan saya telah meneliti dan
membaca memorandum itu.
Pada keseluruhannya, kami dapat menerima dan kami akan menunaikan
tuntutan mereka bila tiba masanya, insya Allah.
Soalan : Tuan Guru nampaknya begitu yakin sistem Islam dapat
dikembalikan semula di Terengganu setelah PAS mengambil alih teraju
pemerintahan. Apa yang menyebabkan Tuan Guru benar-benar yakin dapat
melaksanakan sistem Islam di Terengganu? Bagaimana halangan dari
pelbagai sudut, umpamanya masalah minuman keras, judi dan sebagainya
yang kuasanya dipegang oleh kerajaan Pusat?
Hadi: Ya. Walaupun bidang kuasa kerajaan negeri adalah terhad dan
terbatas. Dengan bidang kuasa yang terhad dan terbatas ini, saya yakin
kita dapat membuktikan bahawa Islam adalah terbaik. Apa yang kami
harapkan ialah supaya pihak lain memberi peluang melalui adab demokrasi
berparlimen.
Kalau dunia boleh mengizinkan kepada komunis yang begitu keras dangan
diktatorshipnya, yang begitu keras dengan peraturannya memerintah di
seluruh dunia, mengapa mereka tidak boleh izin kepada Islam yang pernah
memerintah dan telah lama ditinggalkan dan dijahilkan oleh masyarakat.
Mengapa tidak boleh diberi peluang kepada Islam?
Dan saya yakin, jika diberi peluang, Islam boleh membuktikan ia adalah
terbaik dan saya yakin orang-orang bukan Islam lebih rela berada di bawah
pemerintahan Islam sebagaimana yang berlaku di masa lalu.
Cabaran yang kita hadapi bukan sahaja orang yang bukan Islam, bahkan
orang Islam sendiri yang jahil dalam perkara Islam. Ini juga menjadi
masalah kepada kami. Saya yakin dengan peluang pemerintah yang ada
ini, kalau dilaksanakan dengan betul, insya Allah, dengan pertolongan
Allah, kami akan dapat buktikan dan insya Allah memberikan masa depan
yang sangat positif kepada PAS.
Soalan : Tuan Guru pernah berkata setelah PAS diberi mandat memerintah
Terengganu, Terengganu kini memasuki era baru. Dapatkan Tuan Guru
jelaskan apa yang dimaksudkan dengan era baru itu?
Hadi: Di antara era baru ialah dalam perkara dasar. Kami jadikan Islam
agama yang memerintah. Sebarang tindakan yang diambil oleh kerajaan
mestilah berlandaskan hukum Islam, halal dan haram, baik dan buruk yang
ditetapkan oleh Islam.
Tindakan yang diambil oleh kerajaan berdasarkan Islam. Ada hubungan
dengan dosa dan pahala di mana dosa dan pahala ini bukan sahaja dalam
masalah ibadat, termasuklah juga dalam memerintah negeri. Dasar ini kami
amalkan di Terengganu dan kami salurkan kepada pegawai-pegawai
kerajaan.
Sekali seminggu, tiap-tiap hari Khamis, ada program Tazkirah kepada
pegawai-pegawai kerajaan. Seluruh pegawai kerajaan yang tinggi dan
yang rendah, sebelum mereka masuk ke pejabat, mereka berhimpun dalam
dewan dan mereka diberi ceramah, diberi ucapan secara menafsirkan al
Quran atau menghurai hadis supaya memahami Islam.
Ini perkara awal yang kami lakukan. Walaupun kerajaan dahulu
mengadakan juga tetapi mereka yang diambil mengisi program ini, mereka
ambil imam-imam dari masjid, tidak melalui ketua-ketua kerajaan. Kami
ubah, di mana yang memberi kuliah ialah saya sendiri, Exco-Exco dan
pegawai tinggi dalam bidang agama, menunjukkan serius dalam perubahan
yang kita nak lakukan. Inilah antara yang kami lakukan.
Di antaranya ialah kami jadikan harta negeri, hasil negeri satu amanah,
ianya dikendalikan dengan cara yang sebaik-baiknya dan saya
mempastikan supaya perjalanan berlaku dengan betul.
Kita telah menubuh portfolio Hisbah yang dipengerusi oleh Yang Berhormat
Tun Haji Mohd Salleh Abas di mana Hisbah ini mempunyai tanggungjawab,
untuk bukan sahaja menyelidik dan menilai, mengira tindak tanduk kerajaan
yang lalu bahkan tindak tanduk kerajaan yang ada sekarang. Mereka
menerima pengaduan daripada rakyat, daripada semua pihak dalam perkara
yang berkait dengan pemerintahan.
Tujuannya ialah untuk mempastikan perubahan secara Islam benar-benar
berlaku dan kami benar-benar berada dalam suatu era baru yang berbeza
dengan era sebelumnya.
Soalan : Mengenai hubungan parti yakni PAS yang saling bantu membantu
antara PAS dengan kerajaan dan apakah hubungan yang terjalin antara
parti dengan peringkat pegawai kerajaan yang berlaku sekarang?
Perhubungannya,
Hadi: Alhamdulillah baik, di mana parti terus menjadi pemerintah. Saya
juga di atas sifat Pesuruhjaya PAS negeri mengarahkan supaya mesyuarat
Dewan Harian PAS, pemimpin utama PAS hendaklah kerap diadakan. Di
mana mesyuarat ini bertujuan supaya kepimpinan parti mempastikan
perjalanan yang berlaku dalam kerajaan.
Kami juga akan mengaturkan program-prpgram, di antaranya ialah program
motivasi, prorram membina kefahaman dan pemikiran melalui kursus di
mana pesertanya terdiri daripada pemimpin parti, pemimpin politit dalam
kerajaan dan akan diikuti oleh pegawai-pegawai kerajaan supaya mereka
faham apa yang kita kehendaki.
Kita tak paksa mereka mengikut parti kita. Apa yang menjadi kewajipan
kepada mereka ialah melaksanakan dasar dan polisi yang diatur oleh
kerajaan. Dan ini memerlukan kefahaman yang betul dan mereka perlu
diberi kursus, bukan sahaja mereka kena kursus bahkan kami juga kena
kursus. Ini akan berjalan dari semasa ke semasa.
Soalan : Menyentuh mengenai pelancongan. Terengganu adalah antara
destinasi yang digemari oleh para pelancong termasuk pelancong asing.
Bagaimanakah kerajaan mempastikan kedatangan mereka tidak merosakkan
suasana masyarakat Islam di negeri ini?
Hadi: Pelancongan tidak haram secara mutlak. Tujuan pelancong datang
adalah untuk melihat alam semulajadi yang ada di sini dan untuk melihat
masyarakat di sini yang sebenar. Kerana kalau mereka hendak minum arak,
di negara mereka lebih banyak arak. Kalau mereka nak buat maksiat, di
negara mereka lebih bebas membuat maksiat.
Mereka datang ke sini untuk melihat suatu kelainan. Adalah menjadi
kewajipan kepada kita bukan sahaja memelihara suasana alam sekitar, kita
juga bertanggungjawab untuk memelihara akhlak, mengadakan peraturan
yang menjamin akhlak. Di mana kita boleh buat peraturan, mengarahkan
hotel-hotel, umpamanya kita tidak membenarkan jual arak kepada orang
Islam.
Adapun penjualan arak oleh orang bukan Islam kepada orang bukan Islam,
ini tidak dihalang, ini hak mereka dalam negara Islam. Apa yang tidak
dibolehkan ialah jual arak kepada orang Islam dan orang bukan Islam jual
arak menggunakan tenaga orang Islam untuk menghidangkan arak dan
sebagainya, ini tidak dibolehkan.
Insya Allah kita akan buat kawalan kepada hotel-hotel dalam perkara ini.
Dan tidak menjadi halangan di mana hotel-hotel yang tidak menjual arak
dikunjungi juga oleh orang-orang bukan Islam dan banyak orang-orang
bukan Islam sejak akhir-akhir ini tidak suka kepada arak.
Umpamanya tempat mandi, kita boleh bezakan, tempat ini untuk lelaki
sahaja, tempat ini untuk perempuan sahaja. Kita boleh buat. Ataupun kita
tentukan waktu, waktu yang tertentu untuk orang lelaki sahaja, waktu
yang tertentu untuk orang perempuan sahaja, untuk mengelakkan
daripada pergaulan bebas. Dan ini tidak menjadi halangan kepada
kedatangan pelancong asing. Mereka datang dan sehingga hari ini,
Alhamdulillah, kedatangan para pelancong dalam negeri dan luar negeri
tidak terjejas.
Soalan : Dan yang akhirnya adalah Tuan Guru yakin kerajaan Terengganu
dapat melaksanakan sepenuhnya manifesto PAS dalam pilihan raya umum
yang lalu sehingga menjelang pilihan raya umum akan datang?
Hadi: Saya yakin dapat melaksanakan sepenuhnya dalam perkara-perkara
yang diberi di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Adapun dalam perkara
yang berkait dengan kerajaan Pusat, ini berhajat kepada kesedaran
kerajaan Pusat sendiri ataupun kita dapat mengambil alih kerajaan Pusat.
Lawat laman Harakahdaily.com