KUALA TERENGGANU - Kerajaan PAS Terengganu akan menubuhkan
jawatankuasa khas bagi merangka dan melaksanakan pelbagai kegiatan wanita
di negeri ini supaya ia selaras dengan dasar kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Antara Kaum negeri,
Ustaz Awang Dagang Jusoh, berkata pihaknya akan membentangkan kertas
cadangan berhubung penubuhan jawatankuasa tersebut untuk perbincangan
lanjut dalam mesyuarat Exco, tidak lama lagi. Beliau berkata, jawatankuasa
berkenaan akan dianggotai beberapa tokoh wanita tempatan yang mempunyai
latar belakang yang berkaitan dengan hal ehwal wanita dan golongan profesional.
"Pihak kami sudah mempunyai beberapa nama untuk jawatankuasa berkenaan
dan keputusan muktamad bergantung kepada keputusan Exco yang akan
dipengerusikan Menteri Besar (Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang)," katanya
ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, matlamat utama penubuhan jawatankuasa khas itu ialah untuk
memainkan peranan yang lebih berkesan dalam merangka dan melaksanakan
aktiviti wanita di Terengganu, sesuai dengan dasar kerajaan negeri.
"Jawatankuasa ini juga akan menjadi rangkaian penghubung di antara kerajaan
negeri dengan semua peringkat pertubuhan wanita di Terengganu.
"Selain itu, ia juga berfungsi sebagai penyelaras dalam menyebarkan maklumat
berhubung dasar kerajaan negeri yang berkaitan dengan hal ehwal wanita,"
tambahnya.
Ustaz Awang berkata, jawatankuasa itu juga bertanggungjawab untuk memantau
kegiatan pertubuhan wanita lain yang sedia ada di negeri ini serta mewujudkan
kerjasama dengan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti tahunan.
Jawatankuasa ini yang akan beroperasi di Pusat Keluarga, Yayasan
Pembangunan Keluarga, akan berurusan secara terus dengan pejabat
Setiausaha Kerajaan (SUK) untuk mendapatkan sumber kewangannya.