Pelajar Malaysia dalam lembaga MensaLONDON, Jumaat - Seorang rakyat Malaysia, Hayley Mas Mohamad, 17, mencipta sejarah apabila menjadi ahli lembaga pengarah Kumpulan Mensa paling muda di Britain dalam tempoh 50 tahun. Hayley Mas, pelajar sebuah sekolah di Oundle, Northampton, barat laut England akan membantu mentadbir Mensa (UK) untuk tempoh tiga tahun bersama lapan pengarah lain, termasuk penyelidik sains dan pengarah syarikat. Pelajar A Level ini berjaya menduduki kerusi itu selepas mendapat undi kedua tertinggi apabila 2,500 ahli mengundi untuk memilih lima pengarah baru pertubuhan itu bulan lalu. Beliau yang mempunyai IQ 169 menewaskan 16 calon akhir lain, termasuk beberapa pengarah syarikat antarabangsa. Mensa (UK) pada masa ini mempunyai 38,000 ahli. Hayley anak bongsu dua beradik dilahirkan di England, tetapi mempunyai kerakyatan Malaysia. Bapanya, Mohamad Abdullah dilahirkan di Bachok, Kelantan dan ibunya, Carol Abdullah pula berbangsa Britain. Mohamad lulusan Kolej Melayu Kuala Kangsar menetap di Britain hampir 30 tahun adalah pengurus dana sebuah bank terkenal di England. Hayley berkata, beliau terkejut dengan pemilihan itu. "Saya tahu saya terpaksa menghadapi banyak tekanan dan cabaran," katanya. Haley yang menyertai Mensa sejak berusia sembilan tahun bercita-cita menjadi peguam. Mohamad pula berkata, beliau bangga dengan kejayaan anaknya yang turut mengharumkan nama Malaysia. Menurutnya, keluarganya akan memberikan sokongan kepada Hayley untuk memastikan beliau mendapat tempat di Universiti Cambridge.
[ Homepej | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]
|