Siri Bersama Abang Omar
Ringkasan Cerita:
AlMansor, Shaker, dan Jalal adalah pelajar Sekolah Menengah Sungai Lembu dan mereka sering menghabiskan masa dengan Abang Omar, seorang penyelidik bebas yang seringkali mengajar ketiga-tiga sahabat itu tentang perkara-perkara berkaitan sains dan teknologi. Dalam "GPS- Satu pengenalan", ketiga-tiga sahabat itu diperkenalkan dengan sistem GPS atau Global Positioning System dan cara ianya berfungsi.
Sebarang komen,e-mail kepada cikguji@hotmail.com
GPS- Satu Pengenalan
Mereka sama-sama menuruni jalan denai yang tidak rata itu. Apabila tiba di tempat di mana jalan itu bertemu dengan jalan tar, ternyata kedudukan jalan itu terlalu rendah. Jalal yang mengambil giliran untuk menuruni tebing setinggi kira-kira lima meter itu dahulu. Rakan-rakan lain – Al Mansor, Shaker dan abang Omar mengikuti kemudian. Baju mereka semuanya basah bermandi peluh.
Cuma tinggal kira-kira tiga kilometer untuk menamatkan ekspedisi mereka di Gunung Kerapit itu. Jip abang Omar sudah dua hari menunggu kepulangan mereka di kaki Gunung Kerapit.
"Semalam abang Omar kata nak sambung pasal GPS hari ini. Macam mana?" Jalal tiba-tiba bertanya.
"Apa GPS tu ?" tanya Shaker.
"Itulah kau, tidur awal sangat semalam. Ketinggalan maklumatlah engkau!" sampuk Al Mansor.
"GPS tu adalah ‘Global Positioning System’ atau Sistem Pemastian Kedudukan Global. Ia adalah satu sistem sofistikated yang dibina oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat untuk membolehkan mana-mana kapal tentera, kapal terbang atau kenderaan darat menentukan kedudukan mereka di mana-mana tempat pun di dunia." Jalal menerangkan kepada Shaker sambil tunduk mengambil satu ranting kayu. Dia melambungkan ranting kayu itu ke udara dan berkata "Ha! Dengan menggunakan satelit, kedudukan kayu tu pun boleh dipastikan dengan tepat, kau tahu?"
"Wah, canggih tu!" Shaker berkata.
"Itu terlalu sofistikated sangat, Jalal" Abang Omar tersenyum memerhatikan Jalal dengan demostrasinya. "Sebenarnya, GPS tu bukan teknologi baru, malah dibina tahun 70-an dulu. Dan, kalau nak kesan kedudukan ranting tu, engkau kenalah lekatkan alat penerimanya pada ranting tu sebelum kau lambungkan!"
"Macam mana GPS tu, abang Omar" tanya Shaker.
"GPS tu adalah satu contoh yang membuktikan bahawa akal manusia ni kalau betul-betul digunakan akan memperolehi hasil yang tak disangka-sangka." Kata abang Omar. "Kau orang tahu, semasa mula-mula dicipta dahulu, kegunaannya untuk pihak tentera sahaja. Jadi, bila orang awam nak guna, pihak tentera sengaja merendahkan ketepatan isyaratnya."
"Kenapa pulak macam tu?" Al Mansor bertanya.
"Cubalah kau fikir. Pihak tentera mahu menggunakan GPS ni untuk pastikan kedudukan peralatan dan pergerakan mereka. Sememangnya dengan ketepatan biasa, GPS mampu melakukan itu semua dengan komponen dan perisian yang sedia ada. Takkan mereka nak benarkan orang awam untuk memastikan kedudukan mereka sama tepat atau lebih tepat dari pihak tentera! Jadi, yang boleh orang awam buat dengan komponen hardware dan perisian yang sengaja direndahkan ketepatannya. Habis baik cuma dalam lingkungan 300 meter sahaja!".
"Macam mana dia orang buat begitu, abang Omar?" tanya Jalal.
"Itu takkan kau faham tanpa mengetahui macam mana teknologi GPS tu sendiri berfungsi" jawab abang Omar.
"Oh susah tu abang Omar", keluh Shaker.
"Aii tak susah langsung la. Kalau kau orang dah tahu asasnya, tentu semuanya senang saja." Jalal berkata "Betul tak abang Omar?".
"Semangat kau ni memang bagus la, Jalal. Memang betul, kalau dah tahu asas, semuanya akan senang" kata abang Omar sambil tersenyum. "Nanti abang terangkan satu persatu".
"Mula sekali abang nak tanya. Bayangkan diri kamu sebagai satu objek. Bagaimana cara yang paling sesuai untuk kamu untuk mengesan jarak diri kamu di permukaan bumi ni dari satu satelit nun di angkasa?" abang Omar bertanya.
"Oh saya tahu, saya tahu" Shaker berkata. "Saya boleh gunakan sonar macam yang digunakan oleh kapal selam untuk mengesan dalamnya lautan tu. Saya akan pancarkan gelombang tu ke satelit tersebut dan dengan menyukat banyak masa yang diambil oleh gelombang bunyi itu untuk sampai ke satelit itu dan berpatah balik kepada saya, saya boleh mengetahui jarak satelit itu dari diri saya dengan mudah kerana saya tahu kelajuan gelombang bunyi bergerak."
"Saya pulak abang Omar" kata Al Mansor "akan menggunakan gelombang radio yang digunakan oleh radar yang biasa kita tengok dalam filem perang tu. Seperti mana yang dibuat oleh Shaker tadi, saya akan mengira jarak satelit itu dari saya dengan mengira setakat mana kelewatan isyarat radar yang saya hantar untuk sampai balik kepada saya. Kelajuan isyarat radar tu sama dengan kelajuan cahaya, jadi jarak tentu boleh dikira dengan cepat".
"Saya setuju dengan cara Al Mansor tu, abang Omar." Sahut Jalal pula. " Sistem radar memang telahpun digunakan untuk mengesan kapal selam dan kapal udara. Saya rasa isyarat gelombang radio yang digunakan oleh radar amatlah sesuai untuk mengira jarak kita dari satelit tu.. ".
"Mmm.. betul jugak tu" Shaker pula mencelah "Saya rasa cadangan saya pulak tak logik kerana mana boleh gelombang bunyi bergerak di angkasa yang tidak berudara. Satelit tu tinggi mana, abang Omar?"
"Satelit-satelit GPS ni jaraknya kira-kira 20,000 kilometer dari paras mukabumi. Rasanya gelombang sonar tak kan sampai.. Jadi kau punya perkiraan tu memang tepat, Shaker." kata abang Omar.
"Jadi saya terpaksa bersetuju dengan cara Al Mansor tadi, guna gelombang radio radar" kata Shaker.
"Betul ke gelombang tu yang digunakan, abang Omar?"
"Kau orang punya skil untuk analisa saintifik memang bagus… betul, memang gelombang radio radar atau mikrowave yang digunakan untuk tujuan pengesanan oleh GPS. Untuk spesifik lagi, kalau tak silap frekuensinya lebih kurang 1600 MHz. Tetapi cara penggunaannya berbeza dari apa yang kau orang cadangkan" jelas abang Omar.
"Kenapa pulak abang Omar" tanya Jalal.
"Cuba kau fikirkan. Sistem GPS ni dibangunkan oleh pihak tentera. Sistem yang kau cadangkan itu akan menyebabkan alat pemancar dan penerima pada diri kau orang terpaksa menghantar isyarat-isyarat radar yang berkuasa tinggi ke angkasa lepas setiap kali kau orang nak tahu kedudukan kau orang. Kalau pihak tentera menggunakan alat pemancar dan penerima sebegitu di medan perang, bodohlah mereka kerana dengan mudah musuh akan dapat menentukan kedudukan mereka dengan cara melihat ke dalam alat pengesan isyarat radar, betul tak?" jelas abang Omar.
Ketiga-tiga sahabat tu mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju.
"Habis bagaimana mereka selesaikan masalah tu, abang Omar" tanya Al Mansor.
"Sebenarnya senang saja" kata abang Omar. "Nanti abang ceritakan bila sampai ke jip di kaki gunung Kerapit nanti."
Mereka terus menyambung perjalanan mereka yang tinggal kira-kira dua kilometer lagi.
-Bersambung-