Pu-239 oleh Ken Kalfus
Cerita Pu-239 ini adalah satu cerita berbentuk "malapetaka" yang membayangkan kemungkinan kejadian pencemaran bumi oleh bahan radioaktif, atau mungkinkah ianya telahpun berlaku tanpa kita sedari?
Bahan aktinida yang dimaksudkan di sini adalah elemen yang nombor atomnya 81 - 103, iaitu actinium hingga ke lawrencium. Semua bahan aktinida adalah beradio-aktif. Pu-239 adalah satu contoh bahan aktinida.
Kerana ceritanya agak panjang, ianya dibahagikan kepada 4 bahagian.
Pu-239 Bahagian Satu
Seseorang telah melakukan satu kesilapan yang mudah. Kesilapan yang mana, menurut apa yang tertera dalam pelan Pusat Janakuasa itu, sepatutnya mustahil boleh terjadi. Satu injap ditinggalkan terbuka, paip bocor, juruteknik terperangkap dalam kolong, dan kebakaran kecil yang merosakkan beberapa buah komputer. Mula-mula, semboyan amaran yang berbunyi tidak diendahkan sesiapa; kesan dari terlalu kerap ianya kedengaran di situ sehingga sudah jadi seperti bunyian mergastua di hutan tropika. Sebaik sahaja kemalangan yang telah berlaku diketahui serius, anggota penyelamat menjumpai sebuah mesin vending yang rosak dan sedang dalam perjalanan hendak dihantar untuk diperbaiki telah menyekat laluan ke bilik pakaian anti radiasi. Selepas berjaya mengubah mesin yang berat itu, mereka pula mendapati beberapa tangki oksijen bagi pakaian anti radiasi telah tidak dapat digunakan kerana dibiarkan tidak dikemaskini. Bila mereka tiba di makmal itu, kebakaran sudahpun hampir padam sendiri, tetapi asap yang mengandungi elemen bahan-bahan aktinida telahpun memenuhi setiap ruang makmal. Timofey yang terbaring di atas lantai dan merenung ke bumbung kolong yang dibuat dari tin beberapa sentimeter dari mukanya telahpun menghidu asap itu selama sejam empat puluh minit. Sepanjang masa selama pendedahan berlaku, dia cuba membayangkan yang apa yang disedutnya itu adalah wang kertas seringgit yang mana sebaik sahaja sampai ke paru-parunya, akan memenuhi ruang alveolus dan tulang sum-sumnya dengan wang siling sepuluh sen, dua puluh sen dan lima puluh sen.
Timofey telahpun bekerja di situ selama 16 tahun, amanah yang telah dipikulnya yang berkaitan dengan rahsia di dalam zarah atom. Sebahagian besar dari jangkamasa itu, dia telah terlibat dengan proses fision Reaktor nuklear itu, melibatkan pengeluaran dan pengkumuhan semula partikel-partikel. Timofey memang sudah termaklum dengan kebolehan dan inovasinya, dan di dalam kepalanya terdapat bukan sahaja maklumat terperinci mengenai rekabentuk Pusat Janakuasa itu, tetapi juga maklumat terperinci tentang setiap kerja pembaikan dan pengubahsuaian. Dia tahu di mana kerja pembaikan telah berlaku dan sebaik mana. Dia tahu takat toleransi mana yang boleh diabaikan dan berapa banyak boleh diabaikan, injap mana yang cepat panas dan injap mana yang sederhana dan injap mana yang tak perlu dipedulikan. Pengurus Besar Pusat Janakuasa dan saintis-saintis lain selalu terpaksa mendengar keputusan yang dibuatnya. Dan dalam keadaan-keadaan rumit, suara tegas dari Timofey sering kedengaran semasa dia menundingkan jarinya ke atas kertas Rekabentuk Kejuruteraan semasa diskusi dan menerangkan kenapa cuma ada satu jawapan yang betul bagi soalan yang dibincangkan.
Selepas kematian Timofey, rakan sekerjanya masih boleh mengingatkan kisah perbalahannya dengan seorang saintis pelawat beberapa tahun sebelum itu. Tiada siapa yang ingat secara terperinci, melainkan saintis itu (seorang wanita) telah mencadangkan supaya sedikit pengubahsuaian dilakukan pada proses reaksi nukluear itu supaya lebih banyak bahan dari isotop tertentu yang digunakan dalam penyelidikannya boleh dihasilkan. Timofey, dengan memakai pakaian makmal yang berkedut dan sedikit comot itu, telah membangkang projek itu di hadapan setengah dozen pegawai makmal yang mengikuti syarahan saintis itu. Kata Timofey, cara yang dicadangkan saintis itu tidak akan dapat menghasil jumlah isotop yang lebih banyak, malah dengan cara itu katanya isotop yang diperlukan itu tidak akan dapat dihasilkan langsung menurut prinsip Nuklear Fizik yang asas. Muka saintis wanita itu naik merah mendengar kata-kata Timofey dan dengan meradang dia berkata " Bodoh! Aku adalah Setiausaha Bahagian Nuklear bagi Akademi Sains Negeri ini! Prinsip Nuklear Fizik asas itu aku yang punya! Awak tu cuma juruteknik!" Bagi orang yang berada di situ, tentu mereka ingat bagaimana Timofey tetap juga berkeras dengan pendapatnya, tetapi sambil dia cuba menerangkan tentang kesilapan saintis itu, suaranya semakin perlahan dan melencong dari tajuk sebenar. Saintis itu telah memintas penerangannya dengan bertanya kepada penonton "Ada soalan lain yang lebih bermutu?". Pada kesudahannya, kesahihan kedua-dua mereka tidak dapat dibuktikan kerana cadangan itu telah ditolak oleh Kementerian Pertahanan kerana masalah ekonomi.
Hubungan Timofey dengan rakan-rakan sekerjanya memang memuaskan, walaupun tidaklah terlalu rapat. Dia selalunya akan bersama rakan-rakan yang lain semasa makan tengah hari di kantin Janakuasa yang bersiling rendah dan tidak bertingkap itu. Kantin itu selalu dipenuhi dengan suara-suara protes. Timofey memanglah tidak boleh dikategorikan sebagai pekerja yang banyak memprotes di kalangan juruteknik-juruteknik lain, dan ini memang menjadi satu fakta yang menjadi isu selepas ini. Semua pekerja sering membuat lawak dengan gaya ironi tentang ciri-ciri keselamatan Janakuasa dan penurunan nilai pendapatan mereka disebabkan inflasi. Komen-komen sebegini hampir-hampir hilang jenakanya bila tiga bulan sebelum itu bila pihak pengurusan telah menghantar memo-memo jaminan dan janji yang gaji pekerja akan dibayar. Tiada pekerja telah mendapat gaji mereka semenjak hari itu.
Setiap hari pukul 4 petang Timofey akan meninggalkan kekalutan dan kegawatan di tempat kerjanya dengan Zhiguli tua yang dibelinya supaya dia dapat tiba di rumah setengah jam lebih awal dari kereta tram. Di sebalik ketidakmungkinan yang disebabkan oleh personaliti dan kariernya, dia telah melangsungkan perkahwinan pada umurnya akhir 40an dengan seorang jurutera elektrik yang bekerja di unit yang berlainan dari unitnya. Kini, dengan daya tumpuan yang serupa dengan yang selalu dilakukannya di tempat kerjanya, Timofey selalu duduk di meja dapur mendengar Tolya, anak lelakinya yang berumur lapan tahun memberikan arahan kepada askar-askar permainannya. Seperti anak lelakinya itu, Marina Dmitrievna isterinya juga mengalami penyakit pernafasan yang serius; yang menyebabkannya terpaksa meninggalkan kerjanya; persaraan awal yang telah memungkinkan pertambahan kemontokan dan warna kemerah-merahan pada pipinya.
Mereka tinggal di tingkat lapan rumah pangsa yang menjadi mangsa cuaca, dengan tangga yang tidak terurus dan laluan yang tidak berlampu. Dalam kawasan yang begitu menyedihkan itu terdapat sebuah apartmen dua bilik yang dipenuhi aroma roti dan daging yang baru dibakar. Apartmen mereka terletak bertentangan dengan kawasan hutan birch yang saujana mata memandang dan dipenuhi dengan bekas laluan ski yang digunakan dalam musim panas. Hutan itu juga menjadi rumah bagi rusa, arnab, malah serigala liar.
Rakan-rakan sekerjanya ada yang memikirkan tentang Marina Dmitrievna dan anak lelakinya ketika Timofey ditarik keluar dari kolong tempat dia terperangkap. Timofey masih sedarkan diri, tetapi nampak terkejut, matanya tidak dapat difokus dan wajahnya lesu. Dikelilingi oleh bayangan-bayangan manusia dalam pakaian anti-radiasi, Timofey seolah-olah baru melihat unit penyelamat itu untuk kali yang pertama; malah benda-benda lain juga, tembok yang retak, wayar elektrik yang bersimpang siur, cermin penutup jangka penunjuk yang tercalar dan kelabu, injap, peralatan yang rosak , komputer yang rosak, paip bocor yang telah dicabut keluar dan paip bocor yang ditampal dengan pita juga diperhatikannya seperti baru pertama kali. Dia terhoyong-hayang berlalu dari makmal itu, mandi, muntah dua kali, menanggalkan dan membuang pakaiannya dan diperiksa secara ringkas oleh seorang doktor, yang mengambil bacaan nadi dan suhu badannya. Tidak ada sesiapa pun yang berani bertentang mata dengannya. Timofey dihantar balik ke rumahnya serta merta. Rakan-rakan sekerjanya terperanjat apabila dia kembali pada keesokkan harinya sambil mengatakan kemalangan itu tidak seberapa dan dia perlu kembali untuk menyelesaikan beberapa urusan sebelum menjalani "cuti rehat" yang diberikan kepadanya disebabkan kemalangannya itu. Tetapi senyumannya pudar seperti bulan di malam pertengahan musim panas dan kedua belah tangannya menggeletar. Lagipun, rakan-rakannya kebanyakkannya begitu sibuk sehingga tidak ada masa hendak berbual lama dengannya. Mereka terpaksa menguruskan urusan pembersihan loji kerana semua urusan biasa loji itu telah dihentikan sehingga pembersihan selesai.
Satu petang seminggu selepas kejadian yang tidak diketahui sesiapa melainkan pekerja di kawasan loji dan kakitangan di dalam Kementerian tertentu, Timofey kelihatan sedang duduk di sebuah meja di sebuah bar dalam sebuah hotel mewah era Breshnev di sebuah jalan utama bandaraya Moscow. Dia memakai sebuah jaket buatan tempatan berwarna coklat dan jaket itu kelihatan seolah-olah tersidai di badannya yang kurus itu untuk dikeringkan. Umur Timofey baru lima puluh tahun tetapi kerana tubuhnya kurus dan melengkung ditambah pula dengan wajahnya yang berselirat dengan pembuluh darah yang nampak kehijauan dari luar, dia kelihatan lima belas tahun lebih tua. Kulitnya telah menjadi kelabu, seperti warna konkrit basah. Cuma kesan erythema radiasi yang kelihatan di kulit sekeliling mata dan hidungnya yang nampak kekuning-kuningan. Rambutnya telah berwarna keputihan sekarang. Walaubagaimanapun, di bawah keningnya yang semakin beruban itu, mata birunya nampak bersinar-sinar.