Menyeru supaya BPR menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat ke atas soal politik wang dan rasuah di dalam pilihanraya umum negeri Sarawak baru-baru ini

Baru-baru ini, politik wang dan rasuah telah menjadi topik utama di mana Perdana Menteri Dr. Mahathir sendiri telah memulakan pengutukan ke atasw gejala ini di dalam Ucapan Pembukaan Presiden UMNOnya, memberikan amaran bahawa politik wang di dalam UMNO akan menyebabkan keruntuhan parti, bangsa dan negara.

Di sini saya tidak berhajat untuk menyentuh politik wang dan rasuah yang berlaku di dalam UMNO, tetapi saya ingin melahirkan rasa kecewa yang sama-sama dirasai oleh rakyat seluruh negara bahawa pengutukan politik wang dan rasuah di peringkat tinggi yang terbaru ini tidak disertakan dengan hajat politik (political will) untuk mengumumkan perang di seluruh negara ke atas gejala rasuah, yang telah menjadi masalah serius sebagaimana yang digambarkan oleh perletakan Malaysia di atas indeks rasuah antarabangsa Transparency International untuk dua tahun kebelakangan ini.

Saya menyokong sepenuhnya kenyataan bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 merangkap bekas Menteri Penerangan, Datuk Rais Yatim, yang kini telah pulang ke pangkuan UMNO, yang dipetik oleh Far Eastern Economic Review baru-baru ini yang menyiarkan wawancara eksklusif dengan Perdana Menteri, dengan berkata: “The best way is to allow the Anti-Corruption Agency full freedom. Some heads must roll. You must prove to the world you mean business.”

Malang sekali, samada kerajaan Malaysia maupun BPR telah gagal meyakinkan rakyat Malaysia ataupun dunia luar bahawa mereka memang ikhlas dalam usaha memerangi rasuah, terutama sekali dalam isu memerangi politik wang dan rasuah di tempat-tempat politik yang tinggi.

Pada hakikatnya, BPR juga tidak dapat mengendalikan masalah rasuah atau salah laku di peringkat bawahan dengan berkesan atau efisien. Saya akan berikan satu contoh.

Dua bulan yang lepas, dilaporkan bahawa satu laporan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa lembaga audit Tenaga Nasional telah menyoal tentang salah guna kuasa dan salah pengurusan yang berlaku di dalam Tenaga Nasional Bhd, termasuk penyelewengan dalam pemberian kontrak pembalakan bawah air di Empangan Temenggor, Perak., yang membenarkan Affcom Timber Sdn Bhd membalak lebih kurang 8,000 hektar balak yang terlindung di bawab empangan tersebut yang bernilai kira-kira RM300 juta, sungguhpun pada masa kontrak ini ditawarkan, syarikat berkenaan masih belum didaftarkan lagi.

Seterusnya, di satu laporan akhbar tempatan pada 2 September 1996, dilaporkan bahawa BPR telah menamatkan penyiasatan ke atas tender Tenaga Nasional untuk pembalakan bawah air di Empangan Temenggor ini dan akan mencadangkan supaya kontrak berkenaan dibatalkan dan dimulakan satu proses tender yang baru.

Bagaimanapun, selepas hampir dua bulan berlalu sejak laporan berkenaan disiarkan, BPR belum lagi secara rasminya menyampaikan hasil siasatan ataupun cadangannya ini kepada Tenaga Nasional untuk membolehkan pihak pengurusan Tenaga Nasional mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas perkara ini.

Soal yang perlu ditanya di sini adalah samada BPR benar-benar serius dengan tugasnya?

Di samping itu, sekiranya BPR memang serius melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dalam memerangi rasuah dan politik wang, maka ia haruslah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat politik wang dan rasuah yang berlaku di dalam pilihanraya umum Sarawak baru-baru ini.

Selepas, pilihanraya umum Sarawak pada 8 September, di mana DAP telah mendapat kejayaan bersejarah dengan memenangi tiga kerusi dewan undangan negeri, kita telah melihat satu keadaan yang sungguh ganjil di mana para pemimpin SUPP mengutuk ‘politik wang’ - bagaikan selama dua dekad ini, mereka tidak pernah menyedaribahawa politik wang adalah merupakan penyakit di dalam politik Sarawak - malah mereka berani berkata bahawa sebab utama DAP mengalahkan Presiden dan Timbalan Menteri Besar Sarawak, Tan Sri Wong Soon Kai, adalah kerana ujudnya ‘politik wang’. Adanya orang yang mendakwa bahawa DAP telah membayar RM1,000 untuk setiap orang pengundi demi mengalahkan Wong Soon Kai.

Ini tentunya merupakan tuduhan yang paling karut di dalam sejarah politik Sarawak dan Malaysia, kerana sekiranya DAP membayar RM1,000 untuk mendapatkan setiap undi demi memastikan calon kita di Bt. Assek, Wong Ho Leng dapat mengalahkan Soon Kai, maka DAP akan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM5.85 juta untuk mendapatkan 5856 undi yang dimenangi oleh Ho Leng.

Saya berani berkata bahawa DAP merupakan parti yang paling bersih di pilihanraya umum Sarawak. Mengikut undang-undang pilihanraya, seorang calon pilihanraya dewan undangan negeri tidak dibenarkan membelanjakan lebih dari RM30,000 untuk kempen pilihanrayanya.

Saya berani berkata bahawa tidak seorang pun calon DAP yang telah membelanja melebihi had belanja pilihanraya ini, tetapi sebaliknya saya ingin tahu calon BN yang manakah yang berani mendakwa bahawa di dalam kempen pilihanrayannya, setelah mengira semua perbelanjaan langsung dan tidak langsung, keseluruhan perbelanjaannya tidak melebihi RM30,000.

Sebenarnya, adalah merupakan satu rahsia yang terbuka bahawa ada sesetengah calon BN Sarawak yang membelanjakan lebih dari RM30,000 dalam satu hari sahaja, ataupun beberapa kali ganda lebih dari RM30,000 sehari.

Malah ada calon BN yang telah membelanjakan lebih dari RM30,000 supaya mereka tidak perlu berkempen iaitu dengan memastikan bahawa pada hari pencalonan, beliau akan menang tanpa bertanding. Sebagai contohnya, saya difahamkan bahawa sebanyak RM1 juta telah dibayar kepada mereka yang berhajat untuk menjadi calon supaya tidak menghantar borang pencalonan mereka pada hari pencalonan di dalam pilihanraya umum Sarawak kali ini - dan ini mungkin merupakan sebab mengapa ada sebanyak 19 kawasan pilihanraya yang telah dimenangi tanpa ditanding pada hari pencalonan Sarawak kali ini.

Mengapakah BPR menutup matanya begitu sahaja terhadap politik wang dan rasuah yang terang-terang sebegini di dalam pilhanraya umum Sarawak ini?

22 Oktober 1996