Rasuah dan politik wang


Air mata Perdana Menteri yang tidak disertai dengan semangat politik untuk menggubal undang-undang ketat dan mengambil tindakan keras terhadap politik wang dan rasuah tidak akan dapat bantu usaha menghapuskan masalah rasuah yang berleluasa di Malaysia

Menteri Kewangan di dalam ucapan belanjawannya merujuk kepada pengutukan Perdana Menteri baru-baru ini terhadap rasuah, dan mengumumkan rasuah ‘ibarat barah yang perlu dibanteras’.

Tidak ragu-ragu lagi Perdana Menteri telah memberi satu ucapan yang sungguh kuat dan mengharukan semasa berucap di Perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini, sehinggakan air mata beliau tercurah di samping mengeluarkan amaran bahawa politik wang dan rasuah akan menyebabkan keruntuhan ‘parti, bangsa dan negara’.

Dua hari sebelum itu, di mesyuarat pre-council presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Perdana Menteri telah juga memberikan satu ucapan yang menarik menentang politik wang apabila beliau berkata bahawa biarlah tidak ada pemimpin di UMNO untuk memimpin Pemuda dan Wanita UMNO dan ujudnya kekosongan di dalam pucuk kepimpinan parti, dari dipimpin oleh orang yang korup, dan beliau telah menggesa supaya perwakilan UMNO menolak secara terus calon-calon yang tidak jujur dan tidak ikhlas yang hanya berminat dengan jawatan tinggi di dalam parti sahaja.

Dengan serta merta saya telah memuji pendirian terbuka Perdana Menteri ini, mengakui bahawa saya ‘agak skeptikal’ apabila beliau mula-mula mengumumkan ‘perang’ terhadap politik wang di pilihanraya parti UMNO, terutama sekali pengumuman sedemikian tidak dilanjutkan ke lain-lain aspek dalam sistem politik kebangsaan.

Saya berkata: “Perkembangan di UMNO dalam dua hari yang lepas bagaimanapun sungguh menarik, dan menyakinkan ramai yang bersikap ragu-ragu dan mula percaya bahawa kali ini Mahathir memang berazam untuk melaksanakan apa yang diperkatakannya iaitu melancarkan perang terhadap ‘politik wang’ di dalam pilihanraya parti UMNO....”

“Bagaimanapun, kini masih terlalu awal bagi sesiapa untuk meramal samada Mahathir akan benar-benar menghapuskan politik wang di UMNO dan samada beliua akan mempunyai semangat politik yang cukup untuk memperluaskan skop perang terhadap politik wang ini ke seluruh sistem politik kebangsaan.”

Selepas ucapan yang menarik oleh Perdana Menteri menentang politik wang dan rasuah di Perhimpunan Agong UMNO ini, tersemailah harapan di hati saya bahawa Parlimen ini akan menjadi satu sesi yang akan membuka tirai baru, kerana air mata Perdana Menteri akan hanya menjadi siar-siar sekiranya beliau tidak meneruskan momentum untuk memperluaskan kempen melancarkan perang terhadap rasuah di peringkat kebangsaan.

Malah saya telah secara terbuka mencadangkan supaya dua hari ditetapkan sebagai sesi perbahasan khas sebelum pembentangan belanjawan 1997 untuk menunjukkan kepada dunia bahawa pemimpin politik Malaysia memang berazam untuk membentuk satu reputasi sedunia sebagai pemimpin yang bersih dan tidak korup.

Bagaimanapun, saya mengakui merasa sungguh kecewa, kerana Perdana Menteri tidak menunjukkan bahawa kerajaaan memiliki semangat politik untuk melancarkan perang terhadap rasuah di tempat-tempat tinggi politik. Malah dalam masa soal jawab, beliau telah berundur dari pendirian pengutukan garangnya terhadap politik wang dan rasuah yang telah diumumkannya di Perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini.

Dalam masa soal jawab, saya bertanya kepada Perdana Menteri, dengan rujukan kepada ucapannya di Perhimpunan Agong UMNO, samada beliau akan membenarkan Badan Pencegah Rasuah menyiasat Menteri-menteri yang berbelanja lebih dari jumlah pendapatan sah mereka dan samada beliau bersetuju untuk memperuntukkan dua hari khas untuk membahaskan isu politik wang dan rasuah di Parlimen.

Perdana Menteri mendakwa bahawa saya telah salah tafsir ucapannya, dan berkata bahawa beliau cuma merujuk kepada kes-kes andaian sahaja.

Adalah wajar saya memetik dari laporan the New Straits Times mengenai ucapan Perdana Menteri pada 11 Oktober 1996, di bawah tajuk “President is puzzled over source of funds for polls”, yang berbunyi:

“In a scathing attack on corruption within UMNO, party president Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed wondered aloud where the money used in the campaigning came from.

“Even though the Supreme Council had barred candidates from campaigning, it was obvious that surreptitious, behind-the-scenes lobbying was done at various levels.

“The Prime Minister said the income of ministers or office bearers with specific portfolios in the Federal or State Governments was sufficient only to allow them to live a moderate life, and this had led him to raise the issue concerning the use of money in the campaign.

“He raised this in his speech when he was arguing the impact of electing corrupt leaders would have on the party. He said: ‘If money is needed in campaigns, they would need to resort to illegal practices or by issuing licences, APs, shares and awarding tenders or contracts, etc. to their supporters.’”

Saya hanya ingin berkata bahawa sekiranya Perdana Menteri hanya menghuraikan satu senario andaian, yang langsung tidak berkaitan dengan keadaan sebenar, maka beliau tidak harus mencurahkan air mata.

Sebaliknya, sekiranya beliau memang serius apabila berkata bahawa ‘salah guna kuasa dan politik wang di UMNO kini adalah berleluasa’ - dan adalah tidak mungkin bahawa ujudnya cordon sanitare di mana salah guna kuasa dan politik wang yang berleluasa di UMNO ini dapat dielekkan dari menjangkiti ke tahap pentadbiran kerajaan - maka biarlah saya nyatakan di sini secara terang dan jelas - Air mata Perdana Menteri yang tidak disertai dengan semangat politik untuk menggubal undang-undang ketat dan mengambil tindakan keras terhadap politik wang dan rasuah, tidak akan dapat menghapuskan masalah rasuah yang berleluasa di Malaysia.

Bagaimanakah kredibiliti awam dapat dibentuk tentang keseriusan kerajaan untuk menghapuskan rasuah sementara Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan enam orang Exco negeri UMNO di Johor, Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang kehilangan kelayakan untuk bertanding dalam pilihanraya UMNO untuk jawatan Ahli Majlis Tertinggi dan Pemuda atas alasan politik wang dan tingkah laku yang tidak etika, masih terus memegang jawatan kerajaan mereka masing-masing?

Tambahan lagi, bagaimanakah kredibiliti awam dapat dipertahankan jikalau Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Shafee Yahya boleh mengesahkan selepas Perhimpunan Agong UMNO bahawa beliau telah menerima beberapa laporan dari ahli-ahli UMNO tentang perlakuan rasuah di kalangan ahli parti, dan penyiasatan telah dilakukan dengan bantuan pihak polis dan kini telah sampai ke Kamar Peguam Negara untuk diputuskan samada cukup bukti untuk menjalankan pendakwaan (Utusan Malaysia, 15/10/96), tetapi pada keesokan harinya, seorang juru cakap dari Kamar Peguam Negara, Ishak Shari, pula berkata bahawa Peguam Negera tidak menerima sebarang laporan dari BPR mengenai rasuah yang dilakukan oleh ahli-ahli UMNO.

Bukti bahawa Kerajaan tiada semangat politik untuk memerangi rasuah juga kelihatan dari jawapan yang diberikan kepada pertanyaan saya di Parlimen minggu lepas. Pada bulan Julai, apabila cuba membersihkan nama baik Badan Kehakiman dari 112 tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan salah laku terhadap 12 hakim yang dihujahkan di dalam sepucuk surat layang setebal 33-muka surat, yang seterusnya dibongkarkan sebagai perbuatan seorang hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Aidid Ayed Abdullah Aidid, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, mendedahkan bahawa BPR telah memberitahunya dalam proses menyiasat keesahan dakwaan-dakwaan dalam surat layang yang berkenaan, BPR telah mendapati meklumat dan perkara yang dikatakan perlu disiasat lebih mendalam lagi.

Peguam negara berkata bahawa beliau telah mengarahkan BPR untuk menyiasat perkara-perkara ini, yang merupakan ‘perkara berasingan yang akan disiasat oleh BPR sebagai sebahagian dari siasatan rutin yang tidak ada kene mengena dengan hal surat layang.’

Dalam mesyuarat Parlimen ini, apabila saya bertanya tentang hasil siasatan BPR ke atas perkara-perkara tambahan yang memberi kesan ke atas integriti badan kehakiman ini, saya bagaikan menghadap dinding batu di mana jawapan yang diberikan oleh Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Azmi Khalid, langsung tidak membawa sebarang makna:

“Badan Pencegah Rasuah telah menerima surat layang yang mengandungi tohmahan-tohmahan rasuah di kalangan hakim pada awal bulan Mac, 1996. Satu siasatan secara menyeluruh dan terperinci telah pun dijalankan oleh BPR. Dalam siasatan tersebut, hakim-hakim yang ditohmah terlibat dalam rasuah itu telah disoalsiasat. Selain daripada itu segala dokumen berkaitan kes termasuk penyata-penyata pengisytiharan harta mereka telah diperolehi, diteliti dan disiasat.

“Hasil siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada awal bulan Julai 1996, dan Peguam Negara mendapati bahawa tohmahan-tohmahan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas, sepertimana terkandung dalam Kenyataan Akhar pada 9 Julai, 1996”.

Jawapan sebegini langsung tidak bertanggungjawab, kerana ia telah mengelakkan sama sekali pertanyaan saya mengenai hasil siasatan BPR, bukannya mengenai dakwaan rasuah terhadap para hakim di dalam surat layang berkenaan, tetapi mengenai lain-lain perkara berkenaan dengan integriti hakim yang BPR terjumpa semasa menjalankan penyiasatan mereka.

Sekiranya Jabatan Perdana Menteri tidak bersedia untuk memberikan jawapan yang sewajarnya kepada pertanyaan saya ini, maka saya terpaksa bertanya samada perkara-perkara baru berkenaan dengan integriti hakim yang terdedah oleh Peguam Negara secara tidak sengaja pada bulan Julai lepas dan dikatakan telah mengarahkan BPR supaya menjalankan siasatan itu, kini telah ditutup dan dirahsiakan?

Dengan berdasarkan latarbelakang ‘salah guna kuasa dan politik wang yang berleluasa di UMNO’, dan seterusnya dalam pentadbiran kerajaan ini - kerana Perdana Menteri telah dengan tepat sekali menunjukkan bahawa salah guna kuasa dan politik wang di UMNO akan menjadi tidak bererti langsung sekiranya tidak dikaitkan dengan pentadbiran kerajaan - maka kita mungkin boleh faham sebab mengapa Menteri-menteri, Timbalana-timbalan Menteri dan Setiausaha-setiausaha Parlimen Kerajaan, semuanya tidak bersedia untuk mengumumkan aset dan pendapatan mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz, harus dipuji kerana keberaniannya untuk mengisytiharkan aset kepada ahli Parlimen Kota Melaka, Lim Guan Eng, untuk menunjukkan yang beliau kini memperolehi pendapatna yang kurang dari sebelum beliau menyertai Kerajaan.

Bagaimanapun, keengganan beliau membuat pengisytiharan secara umum juga telah membangkitkan persoalan mengenai kekayaan asetnya. Sekiranya aset seseorang hanya berjumlah RM500,000 ataupun RM1 juta, saya rasa ia tidak akan mengakibatkan masalah keselamatan sekiranya satu pengisytiharan umum dilakukan, tetapi sekiranya aset seseorang adalah 50 atau 100 kali lebih dari jumlah ini, maka kekhuatiran sebegini adalah biasa sahaja.

Baru-baru ini, adalah dilaporkan bahawa dalam satu pertikaian undang-undang yang melibatkan aset seorang bekas ahli Parlimen UMNO di Selangor, nilai asetnya adalah sebanyak lebih kurang RM50 juta. Ini merupakan satu lagi pembuka mata mengenai kekayaan yang dapat diperolehi oleh seorang ahli Parlimen UMNO biasa - dan tak siapa pun yang dapat menduga berapa banyakkah kekayaan yang dapat dikutip oleh ahli-ahli Parlimen UMNO yag berkedudukan lebih tinggi!

Taiwan telah mendahului Malaysia dalam segi perletakan di kategori negara kurang korup

Jumaat yang lepas, the Star telah menyiarkan satu laporan dari London di bawah tajuk “Malaysia rated among top 10 ‘clean’ nation”, dan memetik satu kajian yang dikumpul oleh the Merchant International Group (IMG), sebuah korporat dan perunding penyelidikan yang bertapak di London, yang menyatakan:

“Malaysia has been ranked among the top 10 least problematic countries as far as corruption and bureaucratic delays are concerned in a survey of 2,500 international companies doing business overseas.

“Malaysia is ranked 11th overall among the 28 countries assessed, scoring 32 points out of 100 for `country risk’ rating and 47 for ‘corruption/bureaucratic delay’...

“Singapore was ranked top among the ‘clean’ countries with the ‘least problematic’ bureaucratic delay, scoring eight out of 100, followed by Britain (14), Chile (21), the United States (22), Taiwan (28), Hong Kong (29), Israel (33), Portugal (44), Malaysia (47) and Czech Republic and Argentina (48).”

Ini merupakan sesuatu yang harus diraikan sekiranya Malaysia telah memasuki senarai 10 negara paling bersih dan kurang korup di dunia, terutama sekali selepas Transparency Internation dalam index korupsi anrtarabangsa 1996nya yang diumumkan pada bulan Jun ini telah meletakkan Malaysia di tempat 26 dalam senarai 54 negara, di mana kedudukan ini adalah lebih rendah dari kedudukan kita dalam tahun 1995, di mana Malaysia terletak di tempat 23 dari 41 negara yang dikaji - hasil kajiannya juga telah menyimpulkan bahawa Malaysia kini adalah lebih korup dari tahun-tahun 80an.

Bagaimanapun, satu kajian dan perbandingan terperinci ke atas laporan IMG serta index korupsi antarabangsa TI menunjukkan bahawa tidak ada sebab bagi kita beraya.

Ini adalah kerana Malaysia sebenarnya masih terletak pada kedudukan yang sama seperti indeks korupsi antarabangsa TI 1996, kerana 16 negara yang menduduki tempat di atas Malaysia di dalam senarai TI tidak termasuk dalam kajian IMG - negara-negara ini termasuklah New Zealand, Denmark, Sweden, Finland, Canada dan Norway, yang terletak di enam tempat teratas dalam senarai berkenaan.

Malaysia (tempat 26 di dalam indeks korupsi antarabangsa TI 1996) telah mengambilalih dan bertukar tempat dengan Czech Republic (yang terletak di tempat ke 25 dalam indeks korupsi antarabangsa TI 1996), tapi apa yang lebih siknifiken dan membimbangkan adalah, Taiwan, yang sebelum ini terletak di tempat ke 29, iaitu di belakang kedudukan Malaysia dalam indeks TI, kini telah memiliki rekod korupsi yang lebih ‘bersih’ dari Malaysia menurut kajian IMG, kerana kedudukannya adalah di tempat ke lima, berbanding dengan kedudukan Malaysia di tempat kesembilan.

Saya difahamkan bahawa cawangan TI Malaysia kini sedang dalam proses penubuhan dan saya menyeru supaya kerajaan memberikan TI Malaysia ini segala sokongan dan kerjasama yang diperlukan, bermula dengan meluluskan pendaftarannya dalam masa yang paling singkat.

Saya menyeru supaya Perdana Menteri tidak mengecewakan rakyat Malaysia yang pernah mengharapkan beliau mengambil tindakan selanjutnya memperketatkan undang-undang dan mengambil tindakan yang lebih keras untuk mengisytiharkan perang terhadap rasuah di semua peringkat masyarakat Malaysia selepas beliau mencurahakan air matanya di Perhimpunan Agong UMNO.

Jangan biarkan sejarah Malaysia mencatatkan bahawa air mata yang dicurahkan oleh Perdana Menteri di Perhimpunan Agong UMNO bukannya bertujuan untuk memerangi politik wang dan rasuah di UMNO serta negara pada keseluruhannya, tetapi hanya untuk mendapat hasil yang diingininya dari pilihanraya UMNO - ataupun dengan kata Asiaweek, “to turn a setback into a triumph”.