Adat Istiadat Gayong
Ilmu Seni Silat dan Bela Diri adalah secara tradisionalnya di perturunkan di gelanggang dengan cara tertentu menurut amalan sesuatu aliran perguruan itu.
Amalannya ialah bagi mengekalkan adat istiadat dan peraturan yang di wujudkan dari berbagai rupa pantang larang dan syarat-syaratnya. Pengekalan adat istiadat yang di lakukan itu
setidak-tidaknya dapat mencerminkan keaslian cara persilatan, menjaga dan menghormati ilmu seni silat dan bela diri. Seni silat ada hubungkait dengan keselamatan diri dan rahsia setiap
peringkat-peringkatnya.Di dalam Silat Seni Gayong juga terdapat Adat Istiadat atau peraturan yang harus dipatuhi oleh setiap ahli silat.
Adat Keahlian
Adat Gelanggang Latihan
Adat Membuka dan Menutup Gelanggang
Pakaian Silat
Adat Mengadap Bertapak
Adat Keahlian
Perguruan Silat Seni Gayong mempunyai ketentuan adatnya tersendiri untuk menerima seseorang yang ingin menjadi ahli.Mereka di kehendaki melalui adat istiadat yang telah sedia ada secara berperingkat-peringkat,
iaitu Peringkat Tapak(Awal/Asas), Peringkat Seni(Tinggi), dan Peringkat Cula(Mahir).Pada setiap tahap peringkat tersebut, seseorang itu di kehendaki memberikan pengerasnya dalam bentuk barang-barang dan wang tunai.
Bahan dan barang yang di mestikan ialah seperti asam, garam, sesisir pisang emas, akar sentuk, bijian bertih, limau nipis, dan lain-lain lagi mengikut peringkatnya.Bahan-bahan yang tersebut itu mempunyai berbagai-bagai maksud serta
tujuannya tersendiri, misalnya;
1. Wang : untuk membeli keperluan perguruan dan juga di sumbangkan sebahagiannya kepada siempunya ilmu ini.
2. Asam dan garam : Sebagai perasa dan bermaksud bahawa pembelajaran ilmu ini tidaklah mudah,mereka akan melalui pahit getirnya untuk mencapai kejayaan.
3. Sekapor sireh dan sesisir pisang emas : sebagai juadah sampingan yang menandakan keikhlasan dan kesabaran hati.
4. Limau nipis : sebagai penawar kekotoran dan bermaksud kesnggupan membersihkan diri dari segala sikap buruk.
5. Akar sentuk : sebagai alat pengikis kekotoran, bermaksud kesanggupan membersihkan diri walaupun memakan masa yang lama.
6. Bunga-bungaan: sebagai pewangi dan bermaksud perwatakan yang berperibadian.
Adat Gelanggang Latihan
Perguruan Silat Seni Gayong tidak mengadakan penggunaan perasapan kemenyan atau menyemai/merenjis seperti kunyit, tepong tawar, beras kunyit dan sebagainya di kawasan gelanggang latihan yang di anggap sebagai suatu pengupacaraan perasmian atau membuka gelanggang baru ataupun pada setiap sebelum/tamat latihan silat.
Perguruan ini mempunyai beberapa syarat dan peraturan khusus semasa berada didalam gelanggang iaitu semasa berpakaian silat.Kesemua syarat ini mempunyai kaitan rapat dengan sifat, sikap dan keselamatan diri bagi pesilatnya.
1.Kebersihan : Pesilat di kehendaki bersih pada zahir dan batin.Gelanggang pula dekehendaki bersih dari sebarang najis dan kekotoran.
2.Hormat : Pesilat di kehendaki bersikap hormat menghormati kapada Guru Latih, sesama sendiri dengan berbudi pekerti, bersopan santun dan mengelakkan diri dari banyak bergurau senda.
3.Keselamatan : Pesilat dikehendaki mengikut segala arahan Guru Latih. Gelanggang pula sentiasa dijaga dengan memastikan tiada benda-benda yang boleh mencederakan anggota tubuh semasa latihan seperti kaca, duri dan sebagainya.
Adat Membuka dan Menutup Gelanggang
Telah menjadi satu kelaziman pada setiap permulaan dan penutup latihan silat samada secara berkumpulan ataupun sendirian,di mestikan melakukan tertib dan ikhlas hati memohon perlindungan daripada ALLAH S.W.T., semoga di kurnianya keselamatan semasa berlatih dan bersyukur pula di atas limpah kurnianya itu.Selalunya di ketuai oleh Guru Gelanggang dimana semua pesilat duduk berlutut
didalam 2 baris mengadap antara satu sama lain atau di dalam barisan melintang yang berderetan atau dalam bentuk bulatan.Penerangan dan isyarat akan di berikan oleh Guru Gelanggang lalu di susuli dengan bacaan ayat-ayat suci yaitu:Surahtul Al-Fatihah sekali Surahtul Ikhlas 11 kali
dan di akhiri dengan bersedekahkan pahala bacaan terutama kepada Allahyarham Dato Meor, Ibu Bapa serta yang lainnya dan berdoa di mohonkan perlindungan semasa latihan atau persembahan dan semasa menutup gelanggang bersyukur kerana terhindar dari segala bahaya.
Pakaian Silat
Silat Seni Gayong mempunyai pakaian seragam silat yang direka khas berwarna hitam dan merupakan salah satu identiti perguruan ini.Lambang warna hitam bukan sahaja bererti keperibadian Melayu
yang penuh tertib, bersopan santun dan sentiasa mementingkan kesederhanaan tetapi juga menandakan bahawa ilmu Gayong penuh dengan rahsia-rahsia ilmu Kepahlawanan lama.Pakaian hitam juga ialah satu amanat
yang di peruntukkan kepada pesilatnya sehingga hari ini oleh Penditanya (yang asal) bernama Tengku Daeng Kuning yang bergelar "Panglima Hitam" , yang telah dipesankan melalui sebuah kata berbahasa berbunyi, "Gayong Berpaut Kata Bersahut" , yang berbunyi sedemikian;
Batu Hitam tak berjodoh,
Batu Hitam tak bergaduh,
Anak-anakku hendaklah berpakaian hitam,
Untuk mendapatkan Ilmu Gayong.
Adat Mengadap Bertapak
Mengadap bertapak adalah sesuatu perbuatan istiadat yang biasa di lakukan pada;
i. Penerimaan Penabalan.
ii. Memohon izin bergelanggang.
iii. Memberi hormat pada majlis.Ia boleh dilakukan di dalam atau diluar gelanggang/majlis silat yang bertujuan sebagai suatu kesopanan penghadapan kepada seseorang yang berdarjat tinggi yang sangat di hormati didalam gelanggang/majlis dan kepada umum.
Caranya:
Langkah maju/undur diri mestilah didahului dengan gerakan kaki kanan berserta angka kiraan (3 langkah) atau (7 langkah). Di akhir langkah mestilah berhenti dengan kaki kanan juga. Bagi Peringkat Tapak, apabila maju lutut kaki kanan tegak dan lutut kaki kiri ditanam kebumi dan apabila undur sebaliknya pula. Bagi peringkat Seni pula kedua-dua lutut di tanamkan ke bumi. Selepas itu memberi hormat di hadapan.