KERTAS SOALAN LATIHAN
PENILALAN MENENGAH RENDAH

BAHASA MELAYU (SET 1)
(Kertas 1)

Masa: Satu jam tiga puluh minit

Untuk mendapat jawapan, klik di sini.

Kertas soalan ini mengandungi 60 soalan

Jawab semua soalan. Tiap-tiap soalan diikuti oleh empat pilihan jawapan yang berhuruf A, B, C dan D. Bagi tiap-tiap soalan pilih satu jawapan sahaja. Tandakan semua jawapan yang ada pada kertas jawapan objektif yang disediakan.

Fikir dengan teliti ketika memilih jawapan. Jika anda hendak menukar sesuatu jawapan, padamkan sehingga bersih tanda yang tidak dikehendaki itu dan hitamkan pilihan anda yang baru.

ARAHAN AM

Tiap-tiap soalan atau pernyataan diikuti oleh empat pilihan jawapan iaitu A, B, C dan D. Terdapat satu sahaja jawapan yang betul atau yang paling sesuai. Pilih jawapan itu. Kemudian, hitamkan ruang yang berkenaan pada kertas jawapan anda.

Soalan 1 hingga 7

Baca cerpen di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan berikutnya.

"Main; bermain-main". Kata-kata itu mula bermain-main dalam benak Pak Dollah. Setahunya, makna kata-kata itu amat luas dan dalam.

Pak Dollah tahu bahawa semua orang suka bermain-main, kerana bermain-main amat menyeronokkan. Dengan bermain-main kita dapat menghiburkan hati yang risau. Dengan bermain-main kita dapat melegakan fikiran yang kusut -masai.

Budak-budak gemar bermain-main. Orang dewasa pun gemar bermain-main. Mereka bermain-main pada waktu siang dan malam. Mereka bermain-main tanpa mengira tempat dan waktu.

Apabila budak-budak leka bermain-main, mereka mendapat luka. Apabila orang dewasa asyik bermain-main, mereka mendapat luka juga. Bermain-main akan mendatangkan mudarat! .

Sewaktu bermain-main, baik budak-budak mahupun orang dewasa mesti mencuba mempermainkan orang lain dan ada yang dipermainkan oleh orang lain.

Jadi, kata "kena main" sudah menjadi suatu sebutan yang biasa dalam kehidupan manusia sehari-hari.

Wajah beberapa orang budak bermain-main dalam ingatan Pak Dollah. Budak-budak itu semuanya membesar di depan matanya sendiri. Mula-mula Pak Dollah teringat akan Sahak. Sahak kini merengkuk di dalam penjara kerana kesalahan mengedarkan dadah. Nasibnya baik. Dia dicampakkan ke dalam penjara hanya lima tahun kerana jumlah dadah yang diedarkannya sedikit saja.

Sebelum menjadi jahat, Sahak bukan main baiknya. Dia menjadi jahat setelah bercampur dengan budak-budak liar. Pada mulanya dia menghisap dadah untuk bermain-main saja. Akhirnya dia terjebak.

Kemudian Pak Dollah teringat akan Jiman. Jiman kaki judi . Mula-mula dia bermain terup dengan kawan-kawan di belakang balai raya, lama-lama dia ketagih bermain terup. Jumlah wang yang dipertaruhkan pun semakin banyak.

Tidak puas dengan bermain terup, Jiman bermain kuda pula Sampai teruk kena tendang kuda pun Jiman tidak serik. Sekarang Jiman keluar masuk gelanggang lumba kuda seperti orang keluar masuk pejabat.

Pak Dollah teringat akan kisah lucu anak saudaranya sendiri yang bemama Ripin. Umur Ripin 17 tahun, masih mentah lagi. Ubun-ubunnya masih lembik, tetapi sudah pandai berkawan dengan perempuan. Budak perempuan yang digilainya itu muda setahun daripadanya.

M. FUAD SALIM 1987


1. Bilakah bermain-main itu biasanya dipraktikkan?

A pada waktu siang sahaja
B bila-bila masa dan di mana-mana sahaja
C tiap-tiap waktu kecuali siang dan malam
D apabila ada kelapangan

2. Terangkan maksud rangkaikata "Ubun-ubunnya masih lembik" dengan berdasarkan penggunaannya dalam petikan.

A kurang berpengalaman
B tidak dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk
C masih baru dilahirkan
D masih mentah

3. Mengapa bermain-main dianggap menyeronokkan?

A menghilangkan perasaan tidak tenteram
B kurang diminati oleh semua golongan
C fikiran akan menjadi kusut masai
D dapat memenuhkan masa lapang

4. Apakah kesan kepada mereka yang leka bermain-main?

A akan menjadi sebutan orang
B cuba mempermainkan orang lain.
C akan dipermainkan orang
D akan membuang masa yang berharga

5. Simpulan bahasa yang sesuai dengan watak Ripin....

A keras hati
B cinta monyet
C lidah biawak
D tangkai jering

6. Apakah gelaran yang sesuai diberikan kepada Pak Dollah?

A pemerhati masyarakat
B menjaga tepi kain orang
C kuman di seberang nampak, gajah di depan mata tidak kelihatan
D tidak mengambil berat kehidupan masyarakat

7. Terangkan maksud rangkaikata "kena main" dengan berdasarkan penggunaannya dalam petikan.

A menjadi alat
B menjadi baik
C menjadi mangsa
D menjadi jahat

Soalan 8 hingga 14

Baca sajak di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan berikutnya.

DI PERPUSTAKAAN

Melangkah ke ruangmu
suatu pertukaran yang kontras
dari kehangatan merata
terlalu hening di sini
gua pelita bersemadi
di puncak sepi
di sana sini
Kepala-kepala tunduk meneliti
mata dan fikir bersebati

Maju ke ruang buku
terlalu kerdil aku di sini
terapung di lautan ilmu
tercurah berzaman
dalam tak terselam
betapa pun kulayari
bahtera ilmu di sini
tak teroka
yang akan kucatat
hanya setitik dari tinda
yang akan kupetik

Hanya sebiji dari mutiara
engkau adalah pusaka moyang
gedung peradaban insan
terhimpun berzaman

Bersemadi di sini
laku adalah pelayar yang dahaga
di dada samudera tak berpantai
betapa pun keteguk darinya
dahaga tak pernah langsai.

SHAFIE ABU BAKAR

8. Apakah yang dimaksudkan oleh penyajak dengan frasa 'gua pelita bersemadi'?

A Perpustakaan merupakan tempat tinggalan para cendiakawan
B Perpustakaan bolehlah seperti gua di mana di situlah para cendiakawan disemadikan.
C Perpustakaan merupakan tempat segala pemikiran dan idea para cendikiawan diabadikan.
D Perpustakaan diibarat seperti gua yang perlu diterokai kerana khazanah ilmu yang terdapat didalamnya.

9. Apakah yang cuba digambar oleh penyajak dalam rangkap pertama?

A orang ramai menundukkan kepala bila berada di perpustakaan
B suasana yang berbeza di dalam dan di luar perpustakaan
C suasana susunan buku yang cukup teratur di perpustakaan
D orang ramai sentiasa berhati-hati apabila berada di perpustakaan .

10. Apakah perbezaan di antara keadaan di perpustakaan dengan di luar menurut penyajak?

A suhu di luar perpustakaan lebih nyaman daripada suhu di dalam yang lebih panas
B suhu di dalam perpustakaan lebih nyaman daripada suhu di luar yang lebih panas .
C orang ramai suka berbual-bual di dalam perpustakaan berbaring di luar.
D orang ramai menggunakan masa yang terluang untuk membaca di dalam perpustakaan berbanding jika berada di luar.

11. Mengapa penyajak menyatakan bahawa ia berasa kerdil apabila berada di perpustakaan?

A ruang perpustakaan terlalu besar berbanding dirinya.
B penyajak masih berada di sekolah berbanding pengunjung lain yang terdiri daripada orang-orang dewasa.
C penyajak kurang berilmu pengetahuan berbanding dengan pengunjung-pengunjung yang lainnya.
D terdapat banyak ilmu yang terhimpun di perpustakaan sehingga sukar untuk memperolehi ke semuanya.

12. Yang berikut ada kaitan dengan rangkap ketiga kecuali

A meskipun sedikit yang didapati namun cukup berharga
B perpustakaan merupakan gedung ilmu sejak turun-temurun
C di perpustakaan terdapat banyak ilmu tentang perkembangan tamadun manusia
D di perpustakaan pasti terdapat buku-buku mengenai sejarah asal keturunan mereka.

13. Apakah yang dimaksudkan oleh penyajak dengan frasa berikut 'gedung peradaban insan'.

A tempat di mana segala peradaban manusia bermula
B tempat manusia mempertingkatkan tamadun
C tempat di mana segala peradaban manusia boleh diperolehi
D tempat manusia boleh menjual belikan tamadun manusia.

14. Apakah yang mampu dilakukan oleh penyajak ketika berada di perpustakaan hari itu?

A penyajak hanya mampu memerhatikan keadaan sekeliling perpustakaan sahaja
B penyajak hanya mampu mencatat sedikit nota yang terlalu penting baginya
C penyajak hanya meminjam sebuah buku sahaja di perpustakaan.
D penyajak hanya membaca sebuah buku yang berkaitan dengan adat resam masyarakat penyajak.

Soalan 15 hingga 20

Baca surat kiriman di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang diberi berikutnya.

Ahli Jawatankuasa Kerja Kampung,
Kampung Ujong Pasir,
75050 Melaka

______________________________________________________________________________________

Yang berhormat,
Encik Gan Boon Leong
Wakil Rakyat Ujong Pasir,
Melaka.
10 JULAI 1994

Tuan

Pencemaran Alam Di Kampung Ujong Pasir

Dengan hormatnya saya bagi pihak penduduk Kampung Ujong Pasir, Melaka ingin mengemukakan beberapa masalah yang sedang kami hadapi sekarang. Pihak kami telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak yang berkenaan tetapi dukacitanya setakat ini tiada sebarang tindakan yang diambil. Dengan ini kami terpaksa membuat rayuan kepada pihak tuan agar tindakan segera dapat dilakukan untuk kebaikan bersama.

2. Masalah yang kami hadapi ialah berkaitan dengan kegiatan sebuah kilang kelapa sawit di kampung kami . Kilang ini telah didirikan berdekatan dengan sebatang sungai di hulu kampung kami. Dari kajian yang pihak kami telah jalankan, didapati kilang tersebut mengalirkan bahan-bahan buangannya ke dalam sungai di kampung ini secara berleluasa.

3. Kini, sungai itu telah dipenuhi dengan sampah-sarap,bahan-bahan kimia dan berbau busuk. Ikan-ikan banyak yang mati. Air sungai menjadi amat kotor dan tidak boleh digunakan lagi. Airnya menyebabkan kanak-kanak dan orang dewasa dihinggapi sejenis penyakit yang amat berbahaya.

4. Semua penduduk kampung yang bergantung kepada sungai itu terpaksa pergi ke tempat yang jauh bagi mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan seharian. Kawasan kami tidak mempunyai kemudahan bekalan air paip. Keadaan ini semakin rumit apabila tiba musim kemarau.

5. Mata pencarian para nelayan di kampung kami juga terjejas. Ada di antara mereka terpaksa pergi ke bandar untuk mencari pekerjaan baru sebagai buruh binaan bagi menampung hidup.

6. Oleh itu kami merayu agar tuan menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung masalah ini supaya kejadian ini tidak berulang di masa-masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

(AZIZAH AMAN)

15. Jenis surat di atas adalah berkaitan dengan

A Surat Permohonan
B Surat Aduan
C Surat Ucapan
D Surat Jemputan

16. Mengapa surat ini dihantar kepada Wakil Rakyat Ujong Pasir?

A kerana pencemaran sungai di kampung itu
B kerana wakil rakyat tidak mengambil sebarang tindakan
C kerana tiada tindakan daripada aduan sebelumnya
D kerana kehidupan penduduk kampung semakin susah

17. Masalah utama yang dibangkitkan oleh penduduk-penduduk Kampung Ujong Pasir ialah

A pencemaran alam
B pencemaran air
C ketiadaan kemudahan air paip
D aduan sebelumnya tidak dilayan

18. Di antara berikut ialah masalah-masalah yang terjadi akibat pencemaran air sungai KECUALI …..

A semua penduduk hilang mata pencarian
B ikan-ikan banyak yang mati
C penduduk terkena penyakit
D sukar mendapat bekalan air bersih

19. Apakah harapan yang diingini oleh penduduk Kampung Ujong Pasir kepada wakil rakyat mereka?

A menyediakan kemudahan air paip
B menyediakan peluang-peluang pekerjaan baru kepada penduduk kampung
C kilang getah ditutup
D mengambil langkah tegas mengelakkan pencemaran air dan kejadiannya tidak berlaku lagi

20. Perkataan terjejas sesuai diganti dengan perkataan

A terhindar
B terganggu
C terkurang
D terancam

Soalan 21 hingga 32

Lengkapkan ayat-ayat di bawah dengan memilih perkataan yang paling sesuai

21. Kita tidak akan menghadapi masalah untuk mencari buku di perpustakaan kerana ........................ buku-buku di situ sangat teratur.

A susunan
B tersusun
C disusun
D menyusun

22. Sudah ........................ saya menunggu kamu di sini.

A dua jam suku
B dua suku jam
C jam dua suku
D suku lagi dua jam

23. Perlawanan bola sepak Piala Malaysia malam tadi terpaksa ditangguhkan oleh ....................... hujan lebat.

A itu
B kerana
C sebab
D hanya

24. Teluk Anson yang ........................ nama barunya iaitu Teluk Intan merupakan bandar yang ketiga besarnya di negeri Perak Darul Ridzuan.

A beri
B diberikan
C berikan
D diberikan

25. Anggota-anggota tentera Bangsa-Bangsa Bersatu sedang ........................ latihan menembak di lapang sasar tersebut

A menjalani
B mengikuti
C menghadapi
D membiasakan

26. Penduduk kampung itu berjaya ....................... pisau dari tangan orang gila yang sedang mengamuk itu

A menyambar
B merampas
C mengambil
D merenggut

27. Pakaian seniwati itu terlalu jarang dan singkat sehingga ...................... mata para hadirin di dewan itu.

A mencolok
B merodok
C menjolok
D mencucuk

28. Kerja yang perlu kamu lakukan setiap hari ialah ................... sabut untuk membuat tali

A menyulam
B memilin
C menganyam
D menyulam

29. Seri Paduka Baginda ....................... pingat kebesaran negeri kepada tokoh sasterawan itu.

A memberi
B memberikan
C menganugerahkan
D menganugerahi

30 Saya menghadapi masalah untuk membetulkan salah satu batang kisi-kisi tingkap di rumah itu kerana sudah .......................

A bengkok
B serong
C condong
D bongkok

31 Banyak teguran membina yang telah saya berikan kepadanya ..................... sikapnya masih tidak berubah.

A namun
B justeru
C dan
D walaupun

32. "Janganlah kamu pulang dahulu, kerana isteri saya sedang ......................... air di dapur", kata Murad kepada rakannya.

A menanak
B mengukus
C menjerang
D merebus

Soalan 33 hingga39

Ayat-ayat di bawah mungkin benar dan mungkin salah. Jika terdapat kesalahan, kesalahan itu telah ditanda dengan A, B dan C. Tandakan samada A, B dan C jika ayat itu mengandungi kesalahan dan tandakan jika tiada kesalahan dalam ayat berkenaan

33. (A)Suratkhabar-suratkhabar di Malaysia dicetak dalam (B)berbagai bahasa untuk memenuhi keperluan masyarakat yang (C)berbilang kaum. (D)Tiada kesalahan.

34. Kebanyakan (A)pekerja-pekerja syarikat itu mendapat gaji (B)berdasarkan jawatan yang (C)dipegang oleh mereka. (D)Tiada kesalahan.

35. (A)Pelanggaran negara Bosnia oleh pihak Serbia telah (B)mendapat bantahan (C)di seluruh dunia (D)Tiada kesalahan.

36. Sebagai (A)anggota tentera, Azhar (B)sudah biasa (C)pahit-pahit kehidupan di dalam hutan. (D)Tiada kesalahan.

37. (A)Peserta-peserta lumba basikal itu akan (B)lalu di jalan tanah merah (C)dalam estet itu. (D)Tiada kesalahan.

38. Kerajaan akan (A)mempastikan bahawa (B)projek-projek pembangunan (C)berjalan lancar di kawasan pekan itu. (D)Tiada kesalahan.

39. (A)Pepohon-pepohon yang rendang di tepi jalan itu telah (B)ditebang oleh (C)pekerja-pekerja Majlis Bandaran. (D)Tiada kesalahan.

Soalan 40 hingga 47

Sebahagian daripada ayat-ayat yang berikut telah digariskan. Bahagian yang digariskan itu mungkin mengandungi kesalahan penggunaan bahasa dan mungkin juga tidak.

Jika anda menganggap bahawa bahasa bahagian yang bergaris itu salah dan perlu diubah, anda hendaklah menandakan A, B dan C sebagai pilihan jawapan anda. Jika tiada kesalahan, tandakan D.

40. Beg yang baru saya beli itu ada pada adik awak.

A berada pada adik awak
B ada kepada adik awak
C berada dengan adik awak
D ada pada adik awak

41. Walaupun Azizah anak seorang yang berjawatan tinggi, namun dia tetap rendahkan diri.

A tetapi dia tetap rendahkan dirinya
B namun dia tetap merendahkan diri
C namun dia tetap merendah diri
D namun dia tetap rendahkan diri.

42. Di dalam permainan bola sepak, sesiapa yang tumbuk pengadil akan dibuang padang.

A siapa yang tumbuk pengadil
B sesiapa yang menumbuk pengadil
C sesiapa yang bertumbuk pengadil
D sesiapa yang tumbuk pengadil

43. Berpuluh orang penduduk Kampung Paya Mas kehilangan rumah mereka dalam kebakaran itu.

A Berpuluh orang penduduk-penduduk Kampung Paya Mas
B Berpuluh-puluh orang penduduk Kampung Paya Mas
C Berpuluh orang-orang penduduk Kampung Paya Mas
D Berpuluh orang penduduk Kampung Paya Mas

44. Kedua belah pihak itu bersetuju untuk menandatangani perjanjian itu semata-mata untuk kemajuan bersama.

A Dua belah pihak itu
B Pihak dua belah itu
C Kedua-dua belah pihak itu
D Kedua belah pihak itu

45. Para pelajar Sekolah Menengah Sains Machang telah adakan satu majlis makan malam kebudayaan bertujuan untuk mengutip derma tabung kebajikan pelajar sekolah itu.

A telah diadakan satu majlis makan malam kebudayaan
B telah mengadakan satu majlis makan malam kebudayaan
C telah mengada satu majlis makan malam kebudayaan
D telah adakan satu majlis makan malam kebudayaan

46. Syahira menjadi kelam kabut apabila diberitahu ayahnya kemalangan.

A diberitahu ayahnya terlibat dalam kemalangan
B diberitahu ayahnya melibatkan diri dalam kemalangan
C diberitahu ayahnya terlibat kemalangan
D diberitahu ayahnya kemalangan.

47. Kemudahan asas di Kampung Ulu Ladang, Gemas akan ditambah daripada setahun ke tahun.

A dari setahun ke setahun
B daripada setahun ke setahun
C dari tahun ke setahun
D daripada setahun ke tahun.

Soalan 48 hingga 54

Pilih ayat yang mempunyai maksud yang sama atau yang hampir sama dengan ayat yang bercetak tebal.

48 Kepimpinan dinamik Pengetua sekolah itu menyebabkan keputusan peperiksaan sekolah itu semakin meningkat

A Kepimpinan Pengetua sekolah itu dinamik dan mendatangkan keuntungan besar kepadanya.
B Pengetua sekolah itu memimpin dengan dinamik dan berjaya mendapat banyak keuntungan yang besar
C Pencalonan akademik sekolah itu semakin meningkat kerana kepimpinan pengetuanya yang dinamik
D Pengetua yang mempunyai pencapaian akademik yang tinggi akan menghasilkan kepimpinan yang dinamik

49 Penguatkuasaan undang-undang belum tentu dapat menjamin kegiatan curang remaja masa kini dihapuskan.

A Penghapusan kegiatan curang remaja masa kini bukan bergantung semata-mata kepada perlaksanaan undang-undang
B Para remaja akan selamat sekiranya mengikut segala undang-undang yang telah dikuat-kuasakan
C Penguatkuasaan undang-undang dapat mengawal disiplin muda-mudi
D Remaja hanya akan berdisiplin sekiranya terdapat penguatkuasaan undang-undang ke atas mereka

50 Amri mengingatkan Hasbullah bahawa pada hari esoknya mereka akan menempuh ujian ke sekolah

A Amri berkata kepada Hasbullah, "Esok kita menempuhi ujian di sekolah"
B "Esok kami akan menempuhi ujian di sekolah", kata Amri kepada Hasbullah
C Amri berkata kepada Hasbullah," Jangan lupa esok kita akan menempuhi ujian di sekolah"
D "Esok kita menempuhi ujian di sekolah," pesan Amri kepada Hasbullah

51 Kata Ainin, "Saya harap saya berjaya dalam Perperiksaan PMR"

A Ainin berharap dia berjaya dalam Peperiksaan PMR. Ainin menerangkan.
B Ainin mengatakan bahawa dia berharap dia akan berjaya dalam Peperiksaan PMR.
C Ainin berharap dalam Peperiksaan PMR, dia berkata.
D Ainin memberitahu dia berharap dia boleh berjaya dalam Peperiksaan PMR.

52. Matlamat Kempen Kepimpinan Melalui Teladan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri itu bertujuan untuk menanam dan memupuk ciri-ciri kepimpinan yang berkesan di kalangan kakitangan kerajaan

A Perdana Menteri Melancarkan Kempen Kepimpinan Melalui Teladan untuk kepentingan kakitangan kerajaan
B Pemupukan nilai-nilai kepimpinan yang berkesan di kalangan kakitangan kerajaan merupakan fokus utama Kempen Kepimpinan Melalui Teladan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri
C Kempen Kepimpinan Melalui Teladan perlu dilancarkan oleh Perdana Menteri
D Perdana Menteri terpaksa melancarkan Kempen Kepimpinan Melalui Teladan kerana desakan daripada kakitangan kerajaan

53 Ahli-ahli rombongan yang melawat ladang teh itu telah bangun terang-terang tanah lagi untuk melihat kaedah memetik daun teh.

A Memandangkan daun teh hanya dipetik pada awal pagi, maka ahli-ahli rombongan itu terpaksa juga bangun awal
B Ahli-ahli rombongan dikehendaki bangun awal untuk melihat suasana pagi di kebun teh itu
C Kaedah memetik daun teh yang terbaik ialah di awal pagi kerana pada masa itu ahli-ahli rombongan boleh melihat cara pungutannya.
D Waktu terang-terang tanah diperlukan untuk memetik daun teh di ladang itu

54. Golongan belia yang menyertai Program Rakan Muda disarankan agar melengkapkan diri dengan ilmu bagi menghadapi cabaran zaman moden ini.

A Ilmu pengetahuan amat penting bagi muda mudi yang menyertai Program Rakan Muda.
B Bagi menghadapi cabaran zaman moden, muda mudi yang menyertai Program Rakan Muda disyorkan supaya menyediakan diri dengan ilmu pengetahuan.
C Progam Rakan Muda akan dapat melahirkan generasi muda yang sanggup menghadapi cabaran masa depan.
D Pada zaman yang penuh mencabar ini, muda-mudi perlu menyemai Program Rakan Muda.

Soalan 55 hingga 60

Pilih ayat yang betul. Tentukan bahawa anda telah memilih pilihan jawapan yang paling sesuai.

55.

  1. Penghulu itu memimpin anak buahnya berjaga malam mengawal kampung.
  2. Guru-guru biasanya memberi perhatian yang lebih kepada pelajar-pelajar yang lembam
  3. Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Tun Mamat telah anjurkan majlis makan malam sempena meraikan pasukan bola tampar sekolah yang menjuarai kejohanan kali ini.
  4. Para penonton tolak-tolak untuk merebut tempat duduk yang baik di dalam panggung itu.
A I dan II sahaja
B III dan IV sahaja
C I, II dan III sahaja
D II, III dan IV sahaja

56.

  1. Salah satu daripada tatacara yang menarik perhatian orang ramai pada malam itu ialah pertunjukkan kereta berhias.
  2. Pesakit itu terpaksa menjalankan pembedahan setelah didapati penyakitnya bertambah teruk.
  3. Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong berkenan menyampaikan warkah perlantikan kepada Duta Besar Malaysia ke India.
  4. Setengah orang tidak menggemari sikapnya itu.

A I sahaja
B I dan III sahaja
C II dan IV sahaja
D I, II dan III sahaja

57.

  1. Tokoh kanak-kanak peringkat kebangsaan itu telah dikurniakan sebuah replika dan sijil penghargaan.
  2. Kita digalakkan agar mengamalkan sikap suka membaca kerana menerusi pembacaan kita akan menambah berbagai-bagai ilmu pengetahuan.
  3. Yanti menerima sejambak bunga dan sehelai selendang untuk harijadinya.
  4. Rakyat asing yang masuk ke negara ini tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa kehendaki mendaftarkan diri di pejabat imigresen yang berhampiran.
A I dan III sahaja
B II dan IV sahaja
C I, II dan III sahdaa
D I, II, III dan IV sahaja

58.

  1. Nurul Huda memperolehi keputusan peperiksaan yang amat cemerlang sekali berkat usahanya yang tidak mengenal jemu.
  2. Walaupun kerajaan telah memansuhkan cukai impot ke atas lebih 2,000 barang justeru para peniaga masih belum menurunkan harga barang berkenaan.
  3. Jangan membuat keputusan terburu-buru sebelum mengetahuan keadaan yang sebenarnya.
  4. Barang-barang dataran pameran itu sungguh cantik tetapi harganya mahal-mahal belaka namun masih ramai yang mampu membelinya.

A I dan II sahaja
B II dan III sahaja
C III dan IV sahaja
D I, II dan III sahaja

59

  1. Bagi menghadapi cabaran zaman moden, muda-mudi disyorkan supaya menyediakan diri dengan ilmu dan kemahiran yang terkini.
  2. Adalah diharapkan agar penemuan dengan Pegawai Daerah pada petang ini dapat menyelesaikan masalah kami dengan pemaju perumahan itu.
  3. Saya telah mengingatkan pelajar itu beberapa kali tentang kecuaiannya tetapi peringatan saya itu tidak diendahkan.
  4. Kesemua pelajar-pelajar di dalam kelas itu membaca buku pada masa lapang.

A I dan III sahaja
B III dan IV sahaja
C I, II dan III sahaja
D II, III dan IV sahaja

60.

  1. Saya akan ke rumah Amri bila mempunyai masa lapang.
  2. Pada akhir ceramah, pembentang kertas kerja telah memohon maaf atas ketelanjuran kata yang mungkin telah menyinggung perasaan hadirin.
  3. Untuk mengatasi masalah hakisan pantai yang semakin meruncing, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menjalankan projek menambak kawasan tersebut
  4. Lagu dan puisi mempunyai kesan positif dalam membantu kanak-kanak menguasai kemahiran berbahasa melalui kaedah yang sesuai dengan perkembangan mereka.

A I dan II sahaja
B II dan III sahaja
C III dan IV sahaja
D II, III dan IV sahaja