KERTAS SOALAN LATIHAN
PENILALAN MENENGAH RENDAH

BAHASA MELAYU (SET 3)
(Kertas 1)

Masa: Satu jam tiga puluh minit

Untuk mendapat jawapan, klik di sini.

Kertas soalan ini mengandungi 60 soalan

Jawab semua soalan. Tiap-tiap soalan diikuti oleh empat pilihan jawapan yang berhuruf A, B, C dan D. Bagi tiap-tiap soalan pilih satu jawapan sahaja. Tandakan semua jawapan yang ada pada kertas jawapan objektif yang disediakan.

Fikir dengan teliti ketika memilih jawapan. Jika anda hendak menukar sesuatu jawapan, padamkan sehingga bersih tanda yang tidak dikehendaki itu dan hitamkan pilihan anda yang baru.

ARAHAN AM

Tiap-tiap soalan atau pernyataan diikuti oleh empat pilihan jawapan iaitu A, B, C dan D. Terdapat satu sahaja jawapan yang betul atau yang paling sesuai. Pilih jawapan itu. Kemudian, hitamkan ruang yang berkenaan pada kertas jawapan anda.

Soalan I hingga 7

Baca sajak di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan berikutnya

PELAUT TUA

Dengan ketabahan dan keyakinan
dikumpulkan segala resah
disulam segala warna
dijahit menjadi lipatan
dipunggah bersama muatan
peluh air laut menjadi satu
akrab dan berpanjangan.

Pengalaman itu dijalin lagi
semasa duduk di anjung rumahnya
angin keras menguji ketabahan
ombak menarikan perahunya

ia mengayuh dengan tenaga dan akal
ia mengemudi dengan sarat dan fikiran
dan ia berlindung dengan iradah Tuhan

Usia yang mengikat keberanian
setelah suku abad ia menawan ketakutan
dan bersatu dengan angin memecah gelombang
hari itu waktunya telah tiba.
ia sekadar berdiri lesu di pangkalan
melihat perahunya yang masih kukuh
dan tertambat pada sebatang tiang
olang-aling dilambung gelombang.

Penyerahan adalah tawanan yang menyeksakan
kerana ketabahan itu ada batasnya
keberanian itu ada hujungnya
perjuangan itu ada akhirnya lalu ia berseru, Oh.. Tuhan!
-aku menyerah setelah aku keliru
-yang kekal hanya Engkau Maha Pencipta.

Ahmad Sarju

1 Apakah makna yang paling sesuai untuk rangkaikata 'ombak menarikan' berdasarkan penggunaannya dalam sajak?

A ombak menggerakkan perahunya
B ombak membalikkan perahu
C ombak mengganggu tugasnya
D ombak hampir-hampir membunuhnya.

2 Berikut adalah masalah yang dihadapi oleh nelayan kecuali...

A kekurangan tenaga
B pencemaran laut
C gangguan ombak
D harapannya sentiasa tidak kesampaian

3 Nilai-nilai murni yang ada pada pelaut tua itu ialah

A bergotong-royong, bantu-membantu,berusaha bersungguh-sungguh
B perihatin terhadap kehidupan keluarga dan sering memberi bantuan
C mengharapkan kekuasaan Tuhan untuk membantu usaha-usahanya
D tabah, berkeyakinan, bijak, berani dan percaya akan kekuasaan Tuhan

4 Mengapa pelaut tua tidak ke laut lagi?

A tidak ada rakan-rakan yang ingin ke laut lagi
B mengidap penyakit yang sukar diubati
C badannya kian lemah dimakan usia .
D keadaan laut yang semakin bergelora dan merbahayakan dirinya.

5 Bagaimana pelaut tua menghadapi segala rintangan?

A bersikap bersungguh-sungguh bagi mengatasi masalah dan rintangan tersebut
B membiarkan segala rintangan berlalu begitu sahaja
C bersikap yakin dan tabah serta menggunakan kekuatan tenaga dan fikiran
D menggunakan kekuatan tenaga sahaja untuk mengatasi rintangan tersebut

6 Apakah perubahan sikap yang wujud dalam diri pelaut tua setelah dia tidak ke laut lagi?

A menyerahkan untung nasib dirinya kepada kekuasaan Tuhan
B akan cuba memperjuangkan nasib para nelayan
C kecintaan dan keyakinannya kepada kuasa Tuhan kian menebal dalam dirinya
D tidak menggalakkan anak-anaknya menjadi nelayan di masa hadapan.

7 Pada pendapat anda, mengapa sajak ini ditulis?

A untuk menunjukkan simpati terhadap kehidupan nelayan
B untuk memperlihatkan kegigihan nelayan meneruskan kehidupan tua mereka
C untuk menyedarkan pihak kerajaan supaya membela nasib para nelayan
D untuk memastikan para nelayan tidak mengabaikan tanggungjawab mereka

Soalan 8 hingga 14

Baca cerpen di bawah dengan teliti. Kemudian jawab soalan berikutnya.

Sejak emak sakit lebih lima tahun, Kak Longlah yang bersusah payah. Anak-anak yang lain yang disanjungi, dijulang, dipuja itu janganlah nak membela emak, melihat emak pun jarang sekali. Mereka asyik dan puas dengan corak kehidupan yang mewah. Senang-lenang. Bebas lepas.

Emak masih ingat lagi, dulu semasa emak mula-mula jatuh sakit, Kak Long yang menelefon Abang Zek, suruh Abang Zek balik, hantar emak ke hospita1, tetapi Abang Zek tidak dapat balik Katanya kak Pah sakit hendak bersalin. Kak Long menelefon Abang Min, kata dia sibuk dengan kerjanya, tidak dapat cuti. Kakak Long menelefon Kak Odah, katanya dia tidak mampu membawa emak ke hospital. Abang Zek, Abang Min, Kak Odah ada kereta, senanglah sedikit, Akhirnya Kak Long yang mendokong emak ke tepi jalan tunggu teksi.

Air mata emak tidak mengalir lagi, namun kesedihan emak masih terasa. Emak tidak tahu kenapa anak-anak yang disanjung, yang dipuja, yang diberi perhatian, tidak dapat berbakti kepadanya. Tidak dapat memberikan kebahagiaan kepadanya. Emak tidak tahu di mana silapnya, nak dikatakan bodoh, tak ada pelajaran, tidak mungkin sama sekali. Masing-masing belajar sampai ke universiti. Nak dikatakan tidak diberi kasih sayang, sudah hampir habis kasih sayang yang emak berikan kepada anak-anaknya. Mungkin anak-anaknya marah kerana penceraian emak dengan ayah tetapi bagi mak dia tidak sanggup bermadu lantaran itu meminta diceraikan. Emak sudah tidak mampu lagi memberikan kebahagiaan kepada ayah. Sebab itu ayah ceraikan mak. Ayah mahu emak bebas mencari kebahagiaan hidup yang baru. Walaupun emak bercerai dengan ayah, tetapi kasih sayang ayah dengan anak-anak tidak pernah mak halang. Mak tidak faham, kenapakah anak-anaknya yang diberikan pelajaran secukupnya tidak mahu mengerti. Tidak dapat memikirkan dengan fikiran yang waras dan terbuka. Cuma Kak Long saja yang faham dan mengerti. Kak Long sahaja yang mahu bersimpati dengan mak.

Ada juga rahmat dan hikmatnya, Kak Long cuma kelulusan PMR. Kalau Kak Long cerdik dan bijak macam anak-anak mak yang lain, entah apalah jadinya nasib mak.

Airmata emak sudah kering. Emak tidak menangis lagi. Namun rasa sedih dan hiba masih lagi berbuku di hati emak. Perasaan kesal dan bersalah kepada Kak Long kian ganas merentap perasaan emak. Emak sedikit mengeluh. Kakak Long baru sebentar turun ke perigi menceduk air untuk keperluan emak. Kak Long hendak mandikan emak.

Hari sudah lama tidak hujan. Air perigi sudah jauh ke bawah. Agak sukar sedikit bagi Kak Long untuk menceduk air perigi. Kak Long masih lagi menggoyang-goyang tali timba. Tiba-tiba kaki Kak Long terkeloceh. Kak Long tidak sempat berpaut di mana-mana dan jatuh. Kak Long menjerit meminta tolong . Kakak Long cuba mencapai rumput-rampai yang tumbuh dalam perigi. Gagal. Setiap rumpai yang KakLong pegang tercabut dan terputus, kini tidak ada apa-apa yang Kak Long dapat buat. Kak Long cuma berdoa kepada Tuhan sahaja. Kak Long tidak berdaya lagi untuk menimbulkan badannya. Kakak Long tenggelam. Tuhan sudah menjanjikan Kakak Long mati di dalam perigi.

Emak masih menanti Kakak Long pulang. Emak menantikan air mandinya yang akan dibawa oleh Kak Long.

8 Apakah maksud frasa Tuhan telah menjanjikan mengikut penggunaan dalam petikan?

A Tuhan telah membalas
B Tuhan telah mentakdirkan
C Tuhan telah menunaikan janjiNya
D Tuhan yang akan menentukannya.

9 Apakah alasan yang diberi oleh Abang Min apabila diminta menghantar emak mereka yang sedang sakit ke hospital?

A sibuk dengan tugas
B isterinya hendak bersalin
C tidak mampu membawa emak ke hospital
D cuti tahunan telah habis

10 Apakah kesulitan utama yang dialami oleh Kakak Long sernasa menjaga emak yang sakit?

A Tidak mendapat kerjasama daripada jiran tetangga
B Terpaksa mendokong emak ke jalan besar untuk dihantar ke hospital
C Berhenti sekolah kerana ingin menjaga emak
D Terpaksa memandikan emak sedangkan air perigi begitu jauh ke bawah.

11 Mengapakah emak berasa terlalu sedih dengan sikap anak-anaknya?

A Anak-anak tidak memberi perbelanjaan bulanan untuk mengubati sakitnya sejak lama
B Anal-anak tidak dapat memberi kebahagiaan kepadanya meskipun telah dibesarkan dengan sempurna
C Anak-anaknya lebih mementingkan keluarga sendiri daripada dirinya
D Anak-anaklah yang menyebabkan emak terpaksa bercerai dengan ayah

12 Bagaimana perasaan emak terhadap Kak Long?

A rasa bangga kerana Kak Long sanggup mengorbankan masa depannya untuk menjaga dirinya yang sakit
B rasa penyesalan kerana Kak Long yang tidak diberi perhatian menjadi anak yang bertanggungjawab
C rasa kecewa kerana Kak Long tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran
D rasa hiba kerana meskipun Kak Long anak tirinya, tetapi Kakak Long tetap menjaganya dengan baik.

13 Apakah rahmat dan hikmat Kak Long hanya berkelulusan PMR?

A kelulusan rendah membolehkan kita menjaga orang tua dengan sepenuh masa
B salah seorang ahli keluarga perlu berhenti sekolah untuk menguruskan rumahtangga sepenuh masa
C kita tidak boleh memandang rendah mereka yang gagal dalam pendidikan kerana mempunyai budi pekerti yang baik
D mereka yang berpendidikan rendah dapat menguruskan keluarga dengan baik berbanding dengan mereka yang berpendidikan tinggi .

14 Peribahasa yang sesuai untuk ditujukan kepada Abang Zek, Abang Min dan Kak Odah tentang sikap mereka terhadap emak yang sedang sakit?

A ulat tidak mengenal daun
B si kudung mendapat cincin
C telur di hujung tanduk
D enau di dalam hutan, masing-masing melepaskan pucuknya

Soalan 15 hingga 20

Baca petikan karangan di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan berikutnya.

Setelah mencatatkan kejatuhan sebanyak 1.2 peratus dalam tahun 1990, pengeluaran koko terus merosot daripada 247 000 tan metrik pada tahun l990 kepada 238 000 tan metrik pada tahun 1991. Kemerosotan ini disebabkan harga koko dunia yang kurang stabil serta penukaran kawasan penanaman koko kepada kawasan penanaman buah-buahan. Kegiatan tanaman buah-buahan telah meningkatkan keluarannya daripada 701 500 tan rnetrik kepada 803 900 tan metrik pada tahun 1991.

Pengeluaran nanas dari sektor ladang dan kebun kecil pada tahun 1991 telah merosot berbanding dengan tahun sebelumnya, iaitu daripada 168 200 tan metrik pada tahun 1990 kepada 152 000 tan metrik pada tahun 1991. Begitu juga halnya dengan kejatuhan pengeluaran getah. Pengeluaran getah terus merosot daripada 1.29 juta tan metrik pada tahun 1990 kepada 1.19 juta tan metrik pada tahun 1991. Kejatuhan ini disebabkan oleh kejatuhan harga getah asli di samping kekurangan kawasan tanaman getah yang boleh ditoreh, penukaran kawasan tanaman getah kepada kawasan petempatan dan kekurangan tenaga buruh.

Keluaran hasil pembalakan tidak banyak berubah daripada 40.1 juta meter padu pada tahun 1990 kepada 14.7 juta meter padu pada tahun 1991. Pertambahan sedikit ini selaras dengan dasar kerajaan yang terus berusaha untuk memelihara surnber perhutanan dan kayu kayan negara. Dasar ini juga menyebabkan pengeluaran kayu gergaji Malaysia juga berkurangan daripada 9.7 juta meter padu pada tahun 1990 kepada 9.9 juta meter padu pada tahun 1991.

Dalam bidang perikanan pula, pengurusan sumber perikanan yang baik serta galakkan kerajaan ke atas penerokaan ikan laut dalam telah menambahkan jumlah tangkapan daripada 951 300 tan metrik pada 1990 kepada 956 000 tan metrik pada tahun 1991. Pengeluaran tembakau terus merosot kerana kekurangan galakan daripada pihak kerajaan. Lebih-lebih lagi apabila duti ke atas rokok telah dinaikkan ini menyebabkan pengeluarannya merosot daripada 109 500 tan metrik pada tahun 1990 kepada 96 600 tan metrik pada tahun 1991.

Dalam bidang penternakan, nilai pengeluaran ternakan selepas peringkat ladang meningkat daripada RM2,792 juta pada tahun 1990 kepada RM2,971 juta pada tahun 1991. Ini disebabkan oleh penggunaan baka kacukan yang bermutu serta sistem penjagaan haiwan secara moden. Meskipun negara telah mengeluarkan 65 peratus daripada keperluan beras negara namun sebanyak 343 300 tan metrik terpaksa diimport pada tahun 1990 kepada 356 000 tan metrik pada tahun 1991. Beras-beras ini kebanyakannya diimport dari Thailand, Pakistan, Vietnam dan India.

15 Apakah maksud yang sesuai untuk rangkaikata kurang stabil berdasarkan penggunaan di dalam petikan?

A kurang berkemampuan
B tidak tetap
C tidak berubah
D sering berubah

16 Mengapa pengeluaran getah terus merosot daripada 1.29 juta tan metrik pada tahun 1990 kepada 1.9 juta tan metrik pada tahun 1991?

A penukaran kawasan tanaman getah kepada kawasan petempatan
B kawasan getah yang boleh ditoreh teletak bertaburan
C peningkatan kualiti pengeluaran bararagan saingan getah
D kekurangan permintaan seluruh dunia ke atas barangan keluaran getah.

17 Pada pendapat anda mengapa pihak kerajaan menaikkan duti ke atas tembakau dan rokok?

A untuk kerajaan memberi bantuan kepada sektor-sektor lain.
B menghapuskan amalan merokok di kalangan anggota masyarakat
C membantu meringankan beban penanam tembakau
D mengurangkan penagihan rokok di kalangan orang ramai

18 Mengapa pihak kerajaan perlu memelihara alam sekitar dan sumber kayu kayan negara?

A untuk membolehkan hasil-hasil hutan dijadikan sebagai kayu bergergaji
B untuk memastikan tempat kediaman masyarakat orang asli tidak terganggu
C untuk mengelakkan negara daripada terus dikritik oleh masyarakat antarabangsa
D untuk menyelamatkan hasil kekayaan negara daripada pupus

19 Mengapa Malaysia masih perlu mengimport beras dari luar negara sedangkan negara telah meningkatkan pengeluarannya daripada 343 300 tan metrik kepada 356 000 tan metrik pada tahun 1991.

A untuk menampung kekurangan beras bagi pasaran tempatan
B beras keluaran luar negara lebih bermutu
C negara tidak mampu mengeluarkan beras walaupun sehingga 65% daripada permintaan
D kawasan sawah sudah dibangunkan untuk pembangunan tempatan.

20 Apakah tajuk yang sesuai untuk petikan rencana di atas?

A Sumber-sumber pendapatan utama ekonomi Malaysia antara tahun 1990 dan 1991
B Pengeluaran pelbagai kegiatan pertanian di Malaysia antara tahun 1990 dan 1991
C Jenis eksport pelbagai kegiatan pertanian di Malaysia antara tahun 1990 dan 1991
D Jumlah pengeluaran kegiatan ekonomi utama di Malaysia antara tahun l990 dan l991.

Soalan 2l hingga 32

Lengkapkan ayat-ayat di bawah dengan memilih perkataan yang paling sesuai.

21 Selepas peristiwa kemalangan yang dahsyat itu, dia berasakan seperti baru ________ semula.

A hidup
B selesa
C bangkit
D lega

22 Rosita masih terkenang peristiwa _________ ketika berkhidmat dalam angkatan tentera dahulu.

A pahit maung
B suka duka
C titik tolak
D hidup mati

23 "Lebih baik awak __________ daripada bermasam muka begitu,"gurau Salina kepada Eda.

A senyum
B gembira
C suka
D ketawa

24 Pak Ali ___________ dilanggar oleh sebuah lori balak sewaktu dia menyeberangi jalan raya itu

A betul-betul
B dekat-dekat
C nyaris-nyaris
D setidak-tidak

25 Muka ayah ____________ kerana terlalu marah sedangkan muka adik ___________ kerana terlalu takut.

A merah-merah ------ jerit-lesi
B Merah-kuning ------ lesu-lesi
C merah-menyala ------ pucat-lesi
D merah-padam ------ pucat-lesi

26 Penglihatannya ____________ kerana pening kepala apabila terlalu banyak membaca dalam suasana cahaya yang samar-samar.

A berjabir-jabir
B terkatung-katung
C terkulat-kulat
D berkunang-kunang

27 Dia itu seperti ____________ kerana suka memakai baju kawannya.

A ulap-ulap
B umang-umang
C nyampang-nyampang
D memukang-mukang

28 Upacara perkahwinan tradisional dan moden secara ____________ daripada pelbagai keturunan di Malaysia dipersembahkan bagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia 1994.

A suka-suka
B main-main
C bukan-bukan
D olak-olak

29 Tujuan utama media asing memberi laporan yang kurang adil ke atas negara ialah untuk ______________ rakyat kerana mereka hendak melihat perpecahan kaum di negara ini.

A memecahkan
B memecah-mecahkan
C memecah-belahkan
D berpecah-pecah

30 Penduduk Taman Sri Cempaka, Peringgit, Melaka suka hidup bantu-membantu antara satu sama lain seperti

A cincin dengan permata
B aur dengan tebing
C embun dihujung rumput
D ikan dengan tuba

31 "Bukan saya yang ____________ menyuruh pelajar itu mandi di lombong," kata Cikgu Azmi kepada peguam itu.

A cerdik-cerdik
B suka-suka
C muka-muka
D pandai-pandai

32 Setelah mengalami kejatuhan yang teruk sepanjang tahun, pasaran saham telah ____________ kembali.

A ramai
B susut
C banyak
D merosot

Soalan 33 hingga 39

Ayat-ayat di bawah mungkin betul dan mungkin salah. Jika terdapat kesalahan, kesalahan itu telah ditanda dengan A, B dan C.

Tandakan sama ada A, B dan C jika ayat itu mengandungi kesalahan dan tandakan D jika tiada kesalahan dalam ayat berkenaan.

33 (A)Rumah di kawasan tersebut (B)cantik-cantik dan besar -besar (C)belaka. (D)Tiada kesalahan

34 (A)Para-para (B)pelajar yang ingin menyertai pertandingan melukis dikehendaki (C)mendaftarkan diri di pejabat. (D)Tiada kesalahan

35 (A)Berbagai projek akan (B)dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk (C)memajukan kawasan pelancongan AirPanas di Sagil, Johor. (D)Tiada kesalahan


36 Orang ramai (A)daripada (B)tiap golongan masyarakat perlu bekerjasama dengan pihak polis untuk (C)membasmi masalah penagihan dadah. (D)Tiada kesalahan


37 Kejayaan mahasiswa perubatan yang (A)menemukan penawar demam cacar itu (B)melayakkannya menerima Anugerah Saintis Muda pada tahun ini. (D)<(U>Tiada kesalahan


38 (A)Lain-lain perkara pun ada (B)dibincangkan secara mendalam (C)dalam mesyuarat tergempar itu. (D)Tiada kesalahan


39 Sistem (A)perhubungan moden hari ini memungkinkan kita (B)memperolehi berita yang terbaharu (C)dari merata dunia dengan lebih cepat. (D)Tiada kesalahan


Soalan 40 hingga 47

Sebahagian daripada ayat-ayat yang berikut telah digariskan. Bahagian yang digariskan itu mungkin mengandungi kesalahan penggunaan bahasa dan mungkin juga tidak. Jika anda menganggap bahawa bahasa bahagian yang bergaris itu salah dan perlu diubah, anda hendaklah menandakan A, B dan C sebagai pilihan jawapan anda. Jika tiada kesalahan, tandakan D.

40 Beberapa orang pelajar-pelajar Sekolah Menengah Tun Mamat telah mengikuti rombongan yang dianjurkan oleh Kelab Pemikiran Kreatif.

A Beberapa orang pelajar
B Beberapa pelajar-pelajar
C Beberapa orang pelajar
D Beberapa orang pelajar-pelajar

41 Guru-guru boleh menggunakan alam sekitar sebagai bahan mengajar di dalam kelas kerana ini akan melengkapkan tema -tema pendidikan.

A bahan pengajaran di dalam kelas
B bahan pengajaran kelas
C bahan ajar dalam kelas
D bahan mengajar di dalam kelas

42 Sikap wakil rakyat itu yang tidak penuhkan janjinya semasa pilihanraya lepas mendukacitakan orang ramai.

A tidak memenuhkan janjinya
B tidak memenuhij anjinya
C tidak penuhi janjinya
D tidak penuhkan janjinya

43 Kemudahan asas di kampung itu akan ditambah dari setahun ke setahun.

A daripada setahun ke setahun
B dari setahun ke tahun
C daripada tahun ke setahun
D dari setahun ke setahun

44 Semua pisang goreng-pisang goreng di atas meja itu masih panas.

A semua pisang goreng
B semua goreng pisang
C Semua goreng-goreng pisang
D Semua pisang goreng-pisang goreng

45 Mahali begitu gembira kerana telah mencapai sebuah cita-cita yang diidam-idamkannya selama ini.

A telah mencapai suatu cita-cita
B telah mencapai sebuah cita
C telah mencapai cita-cita
D telah mencapai sebuah cita-cita

46 Setengah-setengah ibu bapa selalu mengabaikan tanggungjawabnya terhadap anak-anak mereka.

A Setengah ibu bapa
B Setengah-setengah ibu bapa-ibu bapa
C Sesetengah ibu -ibu bapa
D setengah-setengah ibu bapa

47 Kapal-kapal terbang boleh mendarat dan berlepas dengan sempurna apabila lapangan Terbang Antarabangsa Sepang siap dibina pada tahun 1997.

A Kapal terbang kapal terbang boleh mendarat
B Kapal terbang-terbang boleh mendarat
C Kapal-Kapal terbang-terbang boleh mendarat
D Kapal-kapal terbang boleh mendarat

Soalan 48 hingga 54

Pilih ayat yang mempunyai maksud yang sama atau yang hampir sama dengan ayat yang bercetak tebal.

48 Rakyat Malaysia diseru agar memberikan sumbangan rakyat-rakyat Bosnia

A Rakyat Bosnia memerlukan sumbangan daripada rakyat Malaysia
B Sumbangan daripada rakyat Malaysia sangat diharapkan oleh rakyat Bosnia
C Rakyat Malaysia digesa agar menghulurkan bantuan kepada rakyat Bosnia
D Sebagai rakyat Malaysia, kita perlulah membantu rakyat Bosnia

49 Penduduk di Kampung Ulu Ladang, Gemas menghadapi masalah untuk ke bandar kerana perkhidmatan pengangkutan yang disediakan begitu terhad.
A Penduduk Kampung Ulu Ladang, Gemas mungkin tidak menghadapi masalah untuk ke bandar jika perkhidmatan pengangkutan yang mencukupi disediakan
B Perkhidmatan pengangkutan yang tidak mencukupi menimbulkan masalah kepada penduduk di Kampung Ulu Ladang, Gemas untuk ke bandar.
C Perkhidmatan pengangkutan yang disediakan di Karmpung Ulu Ladang, Gemas menyukarkan penduduk untuk ke bandar.
D Masalah yang dihadapi oleh penduduk Kampung Ulu Ladang, Gemas ialah tiadanya perkhidmatan pengangkutan untuk ke bandar.

50 Hukuman rotan yang dikenakan kepada perogol dan dipenjarakan adalah wajar agar mereka tidak mengulang perbuatan tersebut.

A Perogol bukan sahaja perlu dipenjarakan malah perlu di rotan untuk menjauhkan mereka daripada kegiatan merogol di masa hadapan.
B Perogol yang menjalani hukuman di penjara wajar dirotan untuk menginsafkan mereka
C Salah satu cara wajar dilakukan kepada perogol yang dipenjarakan ialah merotan mereka
D Jika hukuman rotan dikenakan perogol tentu tidak berani merogol lagi.

51 Pindaan Akta Perlindungan Binatang Liar 1972 dibuat supaya binatang liar tidak kehilangan tempat tinggal serta tidak mudah diburu.

A Sebagai akibat kehilangan tempat tinggal serta menjadi mangsa pemburu, Akta Perlindungan Binatang Liar 1972 akan dipinda
B Binatang Liar yang kehilangan tempat tinggal serta yang sering diburu akan dilindungi di bawah pindaan Akta Perlindungan Binatang Liar 1972.
C Akta Perlindungan Binatang Liar 1972 akan dipinda supaya binatang mempunyai tempat tinggal yang tidak mudah diburu
D Tujuan Akta Perlindungan Binatang Liar l972 adalah untuk melindungi binatang liar daripada kehilangan tempat tinggal serta menjadi mangsa pemburu.

52 Walaupun tugas mengerudi petroleum agak rumit untuk dilaksanakan oleh pekerja yang belum berpengalaman sepertinya, namun dia dapat melakukannya yang baik.

A Baginya tugas mengerudi petroleum tidaklah terlalu rumit seperti yang dianggap oleh pekerja-pekerja lain yang tidak berpengalaman.
B Tugas yang dilakukannya tidak mungkin dapat dilakukan oleh orang lain yang kurang berpengalaman
C Bagi pekerja yang masih mentah tugas mengerudi petroleum memang agak sukar, tetapi ia masih dapat melaksanakannya dengan baik
D Dia tidak menghadapi masalah melakukan tugas mengerudi petroleum yang merumitkan itu.

53 Dengan berpandukan peta, pelancong asing itu mengembara ke beberapa kawasan pedalaman negara ini.

A Bagi pelancong asing itu, peta penting sebagai panduan untuk mengembara ke beberapa kawasan pedalaman negara ini.
B beberapa kawasan pedalaman negara ini telah dijelajahi oleh pelancong asing itu dengan menggunakan peta sebagai panduannya.
C Peta itulah yang digunakan oleh pelancong asing untuk menjelajahi kawasan pedalaman di negara ini.
D Pelancong asing itu tidak menghadapi masalah untuk pergi kawasan pedalaman negara itu kerana mempunyai peta.

54 Pelajar secara berkumpulan atau mewujudkan semangat kekitaan di samping dapat menyelesaikan pelbagai masalah.

A Bukan sahaja semangat kekitaan akan melahir tetapi juga pelbagai masalah dapat diatasi melalui pembelajaran secara berkumpulan
B Pelbagai masalah dalam proses pembelajaran berkumpulan akan mewujudkan semangat kekitaan.
C Melalui proses pembelajaran secara berkumpulan semangat kekitaan dapat mengatasi pelbagai masalah.
D Semangat kekitaan dan pelbagai masalah dapat kita selesaikan dalam proses pembelajaran secara kumpulan.

Soalan 55 hingga 60

Pilih ayat yang betul. Tentukan bahawa anda telah memilih pilihan jawapan yang paling sesuai.

55

  1. Beliau dikurniai sambutan yang begitu meriah setibanya di kampung tersebut
  2. Pihak penguasa tempatan belum pasti sama ada akan mengadakan lawatan ke Melaka dan ke Muar.
  3. Jawatankuasa itu telah meluluskan beberapa usul yang dikemukakan oleh ahli-ahlinya untuk dibincangkan dalam mesyuarat tahunan persatuan itu.
  4. Setiap orang yang mengaku taat setia terhadap negara berkewajipan mempertahankannya daripada segala ancaman musuh.

A I dan II sahaja
B III dan IV sahaja
C I, II dan III sahaja
D II, III dan IV sahaja

56

  1. Penyalahgunaan kuasa di kalangan kakitangan awam patut dihapuskan sama sekali untuk melahirkan pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah.
  2. Salah satu seni mencorak kain tradisional yang milik orang Melayu ialah seni menelepuk.
  3. Sepanjang Tahun Melawat Malaysia 1994, bandaraya Kuala Lumpur indah dengan lampu-lampu berwarna-warni.
  4. Tindakan mahkamah yang mengasas undang-undang Malaysia tentang dadah mendapat kecemerlangan yang hebat daripada beberapa buah negara asing.

A I sahaja
B I dan III sahaja
C II dan IV sahaja
D I, II dan III sahaja

57

  1. Sikap Kerajaan Malaysia dalam mempertahankan kebenaran dapat kita jadikan contoh dalam kehidupan kita sehari-hari.
  2. Pihak-pihak tertentu dipercayai mempersenjatai kumpulan pengganas itu
  3. Walaupun ada orang yang beranggapan bahawa seni silat adalah kuno, tetapi seni ini masih diamalkan.
  4. Dalam perjalanan ke sekolah, Suzi kehujanan.

A I dan III sahaja
B II dan IV sahaja
C I, II dan III sahaja
D I, II, III dan IV sahaja

58

  1. Mamat memperdua hasil jualan kuih itu dengan rakan kongsinya.
  2. Kedua-dua orang itu menyembelih dan menguliti lembu.
  3. Tranfusi darah ialah proses berpindah darah ke dalam tubuh seseorang.
  4. Pasar tani diadakan untuk memberikan peluang kepada para tani menjual hasil tanaman mereka.

A I dan II sahaja
B II dan In sahaja
C III dan IV sahaja
D I, II dan III sahaja

59

  1. Ibu membubuh secubit serbuk perasa dan seketul kunyit ke dalam masakan itu.
  2. "Wang dua setengah ringgit itu telah aku belanjakan," kata Sofiya kepada Syahira.
  3. "Oh, engkau rupanya yang meminjam bukuku," kata Eda kepada Borhan.
  4. Sarina membeli tiga gulung filem untuk mengambar gambar perkahwinan abangnya

A I dan III sahaja
B III dan IV sahaja
C I, II dan III sahaja
D II, III dan IV sahaja

60

  1. Bila longkang itu tidak dibersihkan, air parit berbau busuk, warnanya kehitam-hitaman dan mengandungi jentik-jentik serta menjadi sarang pembiakan nyamuk
  2. Muzium Negara adalah tempat menyimpan sejarah bangsa manakala Tugu Negara dibina untuk memperingati askar-askar yang telah mempertahankan tanahair.
  3. Pada minggu lepas, dia melancong ke Bangkok. Pada minggu ini, dia melancong lagi ke Bangkok
  4. Kaset cetak rompak dijual secara terang-terang, mereka yang didapati bersalah didakwa mengikut Akta Hakcipta kerana permintaan dari pelanggan amat memuaskan.

A I dan II sahaja
B II dan III sahaja
C III dan IV sahaja
D II, III dan IV sahaja