|
TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jamaah
|
|
نحمده
ونصلى على
رسوله الكريم
AL-QUR’AN SEBAGAI KITABU’LLAH
OLEH MUHAMMAD
‘UTHMAN EL-MUHAMMADY
Bila berbicara al-Qur’an
sebagai Kitab Allah, kita mesti mengingati dan meyakini kedudukannya sebagai
wahyu “matluww”, wahyu yang berupa suara yang dibacakan oleh malaikat
pembawa wahyu, Jibril ‘alaihis-salam, yang membawa kalam Allah itu melalui
“penyampai” manusiawinya yang paling sempurna, Nabi Muhammad salla’Llahu
‘alaihi wa sallam. Bunyinya suci, sebagai “sacred sound”, sebab itu
bacaannya, apa lagi maknanya dan kekuatan rohaninya, terasa walaupun kepada
manusia yang buta huruf tidak tahu membaca. Sebab itu walaupun mereka yang buta
huruf ada yang menjadi kekasih Tuhan. Al-Quran yang disebutkan kalaulah
takdirnya hendak ditunjukkan secara lahiriah maka kalau diturunkan atas gunung
akan hancur luluhlah gunung itu. Khusyu’ tunduk kepada Tuhan dan kalamnya.
Tidakkah manusia yang bermata-hati mahu tunduk? Tidakkah manusia mahu
mendengarnya, memahaminya, mentadabburnya dan beramal dengannya? Al-Qur’an
yang mengajar kepada manusia pengenalan tentang Tuhannya yang Maha Tinggi dan
Maha perkasa, tetapi sekaligus Yang Maha Pengashi Penyayang? Yang Kasihan
belasNya “mendahului” MarahNya dan keadilanNya? Al-Qur’an yang mengajarkan
kepada manusia hidup dalam pengabdian kepada Tuhan dalam amalan sembahyang,
puasanya, sampai kepada kerja dan mainannya? Al-Qur’an yang mengajarkan
nilai-nilai unggul yang menyempurnakan hidup manusia dengan akhlak yang mulia
yang menjamin status manusiawinya dan menyelamatakan diri, keluarga dan
masyarakat serta umatnya? Al-Qur’an yang mengajar kepada mereka makna hidup
dengan mengikut disiplin Ilahi yang menjadikan seluruh hidup ini ada makna dan
harga menyelamatkan manusia, keluarga dann tamadunnya? Al-Qur’an yang mengajarkan
kepada manusia pelbagai amthal atau misal perbandingan yang menjadikan dia
mendapat pengajaran dengan melihat langit membiru sayu, bumi luas terhampar
bagai permaidani, bukit bukau menegak “abadi”melambangkan apa yang teguh
dalam hidup rohani, hujan dan laut yang melambangkan ilmu dan rahmat Tuhan, yang
mengajarkan sejarah para anbiya dengan kebenaran dan keadilan mereka berlawan
dengan tenaga-tenaga kejahatan yang membuktikan Kebesaran Tuhan dan kasih
Sayangnya? Mengajarkan setengah daripada apa yang berlaku itu berlaku dalam
dirinya sendiri? Al-Quran ini, yang dalam 23 tahun merubah dunia membina
generasi al-Quran yang disebut oleh Tuhan sendiri sebagai
كنتم
خير أمة اخرجت
للناس تأمرون
بالمعروف
وتنهون عن
المنكر وتوء
منون بلله “Kamu adalah umat yang terbaik
yang dikeluarkan untuk (faedah) ummat manusia, kamu menyuruh kepada kebajikan
dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah?’
(Al-Quran; Surah Ali ‘Imran: Ayat 110) Al-Qur’an mengajar kepada kita
berpegang kepada akidah yang benar dengan yakin tanpa syak dan ragu serta
melaksanakan tugas-tugas kerohanikan dalam hubungan dengan Tuhan dan manusia. Firman Allah Taala: ألم.ذلك
الكتاب.لا ريب
فيه .هدى
للمتقين.الذين
يوء منون
بالغيب
ويقيمون
الصلاة ومما
رزقناهم
ينفقون.والذين
يؤمنون بما
أنزل اليك وما
أنزل من قبلك
وبالآخرة
يوقنون. اولئك
على هدى من
ربهم وأولئك
هم المفلحون Yang bermaksud: “Alif Lam Miim. Ini Kitab (al-Qur’an) yang tidak
ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa; (yaitu) mereka beriman
kepada yang ghaib, dan yang mendirikan sembahyang, dan menafkahkan sebahagian
rezeki yang kami kurniakan kepada mereka; dan mereka yang beriman kepada Kitab
(al-Qur’an) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang diturunkan
sebelummu, serta mereka yakin tentang (adanya) akhirat; mereka itulah yang tetap
akan mendapat pertunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”. (Al-Quran; Surah Al
Baqarah; Ayat 1-5). Keimanan itu dinyatakan lagi dengan jelasnya dalam
ayat: أمن
الرسول بما
أنزل اليه من
ربه
والمؤمنون.كل
أمن بالله
وملئكته وكبه
ورسله لا نفرق
بين أحد من
رسله .وقالوا
سمعنا وأطعنا
غفرانك
ربنا واليك
المصير.
Yang bermaksud: “Rasul telah beriman kepada (al-Qur’an) yang
telah diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman.
Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, dan
rasul-rasulNya, (mereka mengatakan) ‘Kami tidak membeza-bezakan antara
seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasulNya itu (kami menerima mereka
semuanya)’ dan mereka mengatakan: “kami dengar dan kami taat’’. Mereka
berdoa: “Ampunkanlah kami wahai Tuhan kami, dan kepada Engkaulah Tempat
Kembali”. (Al-Quran; Surah Al Baqarah: Ayat 285). Dan dalam hadith sahih, keimanan itu dihuraikan (hadith
Bukhari-Muslim - hal Iman-Islam-Ihsan) dengan menyebut iman ialah “kamu
beriman dengan Allah, Kitab-KitabNya, para malaikatNya, para rasulNya, Hari
Akhirat, dan QadarNya, yang baikNya dan yang burukNya adalah dari Allah”. Akidah ini dihuraikan oleh ‘ulama Ahlis-Sunnah
wal-jamaah yang merupakan tauhid di kalangan kita di Dunia Melayu ini. Dengan
akidah inilah kita hidup dan mendapat makna bagu sekelian amalan kita samada
amalan yang menyentuh hidup kerohanian atau kehidupan duniawi kita. Al-Qur’an mengajak kita supaya mengabdikan hidup
kita kepadaNya, bukan yang yang lain lagi; bahkan kita diciptakan, mengikut
ajaran Qur’an, untuk beribadat kepada Tuhan. Firman Allah: وما
خلت الجن
والانس الا
ليعبدون yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk
beribadat kepadaKu” (Al-Quran; Surah
Dhaariyat: Ayat 56). Dan dalam ayat yang lain pula Allah berfirman: الذى
خلق سبع سموات
ومن الأرض
مثلهن
لتعلموا أن
الله على كل كل
شئ قدير وأن
الله قد أحاط
بكل شئ علما
Yang bermaksud: “Dialah Yang menciptakan tujuh petala langit dan
bumi demikian juga supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala
sesuatu dan bahawa Allah Maha meliputi IlmuNya tentang segala sesuatu” (Al-Quran; Surah at-Talaq: Ayat 12). Maka hiduplah si mu’min mengikut ajaran
al-Qur’an mengabdikan dirinya kepada Tuhan dengan baiknya; sembahyang puasanya,
zakat dan hajinya, amalan wajib dan sunatnya, mendapat ganjaran dari Tuhannya.
Tidak ada amalan yang terkeluar dari garisan pengabdian kepada Tuhannya, dari
Nabi salla’Llahu
‘alaihi wa sallam dan para Sahabatnya, sampai
kepada para ulama, petugas masyarakat, ahli professional - bila kena aturannya -
semuanya hidup dalam pengabdian dengan baiknya. Inilah hidup dalam pengabdian.
Dengan itu bila si mu’min berdiri dalam sembahyang maka terkeluarlah pengakuan
dari lidah dan kalbunya: ان
صلاتى ونسكى
ومحياى و
مماتى لله رب
العالمين لا
شيك له وبذلك
أمرت وأنا من
المسلمين Yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku
dan matiku adalah bagi Allah Tuhan yang mentadbir sekelian alam”. (Merujuk kepada Al-Quran; Surah Al-An’aam: Ayat
163. Hujungnya dalam doa itu lain daripada ayat Qur’an.) Maka hiduplah si mukmin sebagai orang yang beriman
beribadat dengan ibadat yang khusus dan berkhidmat kepada keluarga dan
masyaratakat serta negara dan ummat dengan mendapat keredhaanNya. Alangkah
indahnya hidup bilamana semua amalan samada dalam gerak atau diam adalah
semuanya dalam pengabdian kepada tuhan atau dalam membantu kepada pengabdian
kepada Tuhan, sampai kepada mainanpun boleh bersifat sebagai “taqarrub” atau
berdamping dengan Tuhan bila kena
gayanya. Allahumma sallimna wal-Muslimin. Al-Qur’an mengajarkan manusia supaya berakhlak
dengan akhlak yang mulia. Kerana pentingnya akhlak yang mulia ini maka memuji
Nabi s.a.w. pun kerana akhlaknya yang agung dalam firmanNya: وانك
لعلى خلق عظيم Yang bermaksud: “Sesungguhnya akhlakmu sungguh agung” (Al-Quran; Surah Nun: Ayat 4). Dan jiwa Nabi s.a.w. yang agung itu digambarkan oleh
al-Qur’an dengan kenyataan yang benar-benar menyentuh hati kita: لقد
جاءكم رسول من
أنفسكم عزيز
عليه ما عنتتم
حريص عليكم
بالمؤمنين
رؤوف رحيم Yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul,
dari kaummu sendiri, berat amat terasa olehnya apa yang menyusahkan kamu, dan
amat sangat baginda inginkan untukmu apa yang mendatangkan kepada kamu, dan
kepada orang-orang mu’min baginda terlalu amat kasih sayangnya” (Al-Quran; Surah at-Taubah: Ayat 128). Inilah peribadi agung yang akhlaknya Allah
mengajarkan kita mengikutnya. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu
suri tauladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat)
Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan ia banyak menyebut (Nama) Allah”. (Al-Quran; Surah al-Ahzab: Ayat 21). Dan akhlak ini sedemikian pentingnya sehingga Allah
Taala menceritakannya dalam hubungan dengan hidup individu dan kemasyarakatan,
antaranya dalam Surah Luqman: Ayat 12 - 19. Dalam bercerita tentang hikmah Luqman Allah
berfirman maksudnya: “Dan sesungguhnya telah Kami kurniakan hikmat
kebijaksanaan kepada Luqman, yaitu: ‘Bersyukurlah kepada Allah, dan
barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah) maka sesungguhnya ia bersyukur untuk (faedah)
dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah
Maha Kaya lagi Maha Terpuji.’” (Ayat
12). “Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya,
di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: ‘Hai anakku, janganlah kamu
mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah kezaliman
yang terbesar.’” (Ayat 13). “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik)
kepada dua orang ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya daam keadaan lemah yang
bertambah –tambah, dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan
kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKu kembalimu.” (Ayat 14) “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan
denganKu sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentangnya, maka janganlah kamu
mengikut keduanya, dan bergaullah dengan keduanya di dunia dengan baik, dan
ikutlah jalan orang yang kembali Kepadaku, kemudian hanya kepadaKulah kembalimu,
maka Ku beritahu kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Ayat 15). (Luqman berkata:): “Hai anakku, sesungguhnya jika
ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit
atau di bumi, maka Allah akan mendatangkannya (dan memberi balasannya yang
setimpal). Sesungguhnya Allah Maha Lembut Kira BicaraNya lagi Maha mengetahui
Dengan Mendalam (Segala sesuatu).” (Ayat
16). “Hai Anakku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah (manusia)
mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar, dan
bersabarlah terhadap apa yang menimpa kami. Sesungguhnya yang demikian itu
termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Ayat 17) “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari
manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan
diri.” (Ayat 18). “Dan sederhanakanlah kamu dalam berjalan, dan
lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Ayat 19). Berbahagialah peribadi dan keluarga serta masyarakat
yang orang-orangnya beramal dengan nilai-nilai akhlak al-Qur’an yang
sedemikian sehingga sempurnalah akhlak dengan Tuhan dan dengan manusia.
Sekarang kita pergi pula kepada akhlak al-Qur’an
dari segi kemasyarakatannya: Firman Allah dalam beberapa ayat: misalnya ayat-ayat
yang bermaksud:(10) “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara,
oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu, dan bertaqwalah kepada Allah,
supaya kamu mendapat rahmat. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
mengolok-olokkan sesuatu kaum, (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan)
itu lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) itu, dan jangan pula
wanita-wanita (mengolok-olokkan pula) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi
wanita-wanita (yang diolok-olokkan) itu lebih baik dari wanita-wanita (yang
mengolok-olokkan), dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri (dengan mencela
saudara-saudara kamu, kerana itu adalah mencela diri kamu sendiri), dan
janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk.
Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sessudah iman, dan sesiapa
yang tidak bertaubat maka mereka adalah orang-orang yang zalim”. Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
dari prasangka (yang buruk), sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah
dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah
sebahagian dari kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah sesorang dari
kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentulah kamu merasa jijik
kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat
lagi Maha Penyayang. Hai umat manusia! Sesunggguhnya kami menciptakan
kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal antara satu
sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu ialah orang
yang paling bertaqwa di kalangan kamu. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui lagi Mengenali (segala sesujatu) Dengan Mendalam. Dalam hubungan dengan akhlak dengan Allah dan
manusia yang tergabung sekaligus ini kita boleh lihat kenyataannya dalam
beberapa ayat lagi dalam Al-Quran Surah Bani Isra’il (al Israa’): Ayat
23-39, yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu
jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu
bapa kamu, dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara keduanya atau
kedua-duanya sekali sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu maka jangan
sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah
kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka dengan
penuh kesayangan, dan ucapkanlah: ‘wahai Tuhanku, kasihanilah kepada mereka
berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku sewaktu kecil’.” “Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam
hatimu, jika adalah kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha
Mengampun bagi orang-orang yang bertaubat.” “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang
dekat akan haknya, kepada orang-orang miskin, dan orang yang (terlantar) dalam
perjalanan, dan janganlah kamu mengambur-hamburkan (hartamu) secara boros.” “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah
saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu adalah sangat engkar kufur kepada
Tuhannya.” “Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk
mendapatkan rahmat dari Tuhyanmu, yang memang kamu mengharapkannya, maka
katakanlah kepada mereka perkataan yang mengenangkan (hati mereka).” “Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu
pada lehermu, dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya seluasnya, kerana itu
kamu menjadi tercela dan menyesal.” “Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada
sesiapa Ia kehendaki dan menyempitkannya sesungguhnya Ia Maha Mengetahui lagi
Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana
takut kemiskinan. Kamilah Yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga
kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.” “Dan janganlah kamu menghampiri perbuatan zina,
sesungguhnnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang
buruk.” “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan
Allah (membunuhnya) melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa
dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli
warisnya tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh (balas).
Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan.” “Dan janganlah kamu mendekati harta anak-anak
yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (lebih bermanfaat) sampai ia dewasa,
dan tunaikanlah janji, sessungguhnya janji itu pasti akan ditanya tentangnya.” “Dan sempurnakanlah timbangan apabila kamu
menimbang, dan timbanglah dengan neraca yang benar, itulah yang lebih utama (bagimu)
dan lebih baik akhirnya.” “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak
mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan
hati semuanya itu akan disoal tentangnya.” “Dan jangan kamu berjalan di muka bumi dengan
sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan
sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” “Semuanya itu kejahatannya amat dibenci di sisi
Tuhanmu.” “Itulah sebahagian dari hikmah kebijaksanaan yang
diwahyukan oleh Tuhanmu kepadamu. Dan janganlah kamu mengadakan tuhan yang lain
di samping Allah, yang menyebabkan kamu dilemparkan ke dalam neraka dalam
keadaan tercela lagi dijauhkan (dari rahmat Allah).” Dan nilai-nilai moral atau akhlak yang terunggul
yang merupakan cara hidup insani yang sempurna ini tergabung lagi dalam beberapa
ayat yang menunjukkan perhubungan antara manusia dengan Tuhan, manusia dengan
dirinya sendiri dan manusia dengan manusia lainnya. Firman Allah dalam Surah al-Mu’minun:
Ayat 1 - 11) yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman;
(yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyang mereka; dan orang-orang yang
menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang sia-sia; dan orang-orang
yang menunaikan zakat; dan orang-orang yang menjaga kesucian kemaluannya;
kecuali dalam hubungan dengan isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki
(dengan sah) maka sesungguhnya mereka dalam perkara itu tidak tercela;
barangsiapa yang mencari yang selebih lagi daripada itu maka mereka itulah
orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat
(yang ditanggungkan ke atas mereka) dan janji-janji; dan orang-orang yang
memelihara sembahyangnya; mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi; (yaitu)
yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” Orang-orang yang menjaga disiplin-disiplin hidup
dari Tuhannya, mereka itulah orang-orang yang mendapat khabar gembira dalam
Quran sebagaimana yang ada dalam firman Tuhan dalam Al-Quran Surah at-Taubah;
Ayat 112 yang bermaksud: “Mereka (yakni orang-orang yang mendapat kejayaan
yang sebesarnya di sisi Allah) adalah orang-orang yang bertaubat, orang-orang
yang beribadat, orang-orang yang memuji (Allah), orang-orang yang melawat (bermusafir
kerana ilmu pengetahuan atau kerana perjuangan agama Tuhan) orang-orang yang
ruku’, orang-orang yang sujud, orang-orang yang menyuruh berbuat baik dan
mencegah kemungkaran, dan yang memelihara batas-batas hukum agama Tuhan, dan
berikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin.” Inilah seruan al-Qur’an kepada umat manusia supaya
mereka selamat dari dunia sampai ke akhirat, dan mereka diseru supaya membina
kehidupan ketamadunan yang kuat supaya tidak diganggu oleh musuh. Ini terkandung
dalam ayat yang bermaksud: “Dan kamu persiapkanlah untuk menghadapi mereka
(yang bermusuh dengan kamu dan agama kamu) kekuatan apa sahaja yang kamu mampu
mengadakannya dari kuda-kuda yang ditambat (untuk persiapan berperang) (kalau
dahulu, kalau sekarang sesuai dengan keadaan sekarang), (yang dengan persiapan
itu) kamu menyebabkan gentar musuh Allah dan musuh kamu, dan orang-orang yang
selain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya.
Apa sahaja yang kamu belanjakan (kalau sekarang dalam penyelidikan dan persiapan
untuk menguatkan ummat dari segi ketenteraan) pada jalan Allah nescaya akan
diberikan balasan yang secukupnya untuk kamu dan kamu tidak akan dianiaya.”
(Al-Quran; Surah Al Anfaal: Ayat 10). Akhirnya kita boleh ingatkan semula bahawa
al-Qur’an bermula dengan Surah al-‘Alaq: Ayat 1 - 19. Marilah kita
memperbaharui ingatan tentang surah ini dengan melihat maksudnya, ianya: “Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Mengasihani. Bacalah (Muhammad) dengan (menyebut) (atau melakukannya atas) Nama
Tuhanmu yang menjadikan; menjadikan manusia dari segumpal darah; dan bacalah dan
Tuhanmu Maha Pemurah; yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam (atau pena,
atau kalau sekarang melalui komputer, atau melalui internet, dengan dijaga
adabnya); (dengan buku-buku dan seterusnya); Dia mengajarkan kepada manusia apa
yang belum diketahuinya; ketahuilah sesungguhnya manusia benar-benar melampaui
batas; kerana dia melihat dirinya serba cukup (tidak memerlukan Tuhan dan agama
lagi); sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu tempat kembalimu; bagaimana pendapatmu
berkenaan dengan orang yang melarang; (yang melarang) seorang hamba (Tuhan)
ketika ia mengerjakan sembahyang; bagaimana pendapatmu jika orang yang dilarang
itu berada di atas kebenaran; atau dia menyuruh bertaqwa; bagaimana pendapatmu
jika orang yang melarang itu mendustakan (kebenaran) dan berpaling (dari
kebenaran)? Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat segala
perdbuatannya? Ketahuilah, sungguh jika ia tidak berhenti, (dari perbuatan itu)
nescaya kami tarik ubun-ubunnya; (yaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan (kebenaran)
lagi derhaka; maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya); kelak
akan Kami memanggil malaikat zabaniyah; sekali-kali jangan. Janganlah kamu patuh
kepadanya dan sujudlah, dan berdampinglah (dengan Tuhan). Dan Ibn Khaldun r.h. memberi huraian bahawa menulis
dalam proses menjayakan budaya ilmu itu adalah proses yang menyempurnakan
manusia. Marilah kita jadikan Qur’an sebagai “bimbingan
bagi orang-orang yang bertaqwa” dan mudah-mudahan kita mengikuti jalan
bertaqwa kepada Allah dalam semua urusan hidup kita dari soal-soal ibadat khusus
sampai kepada mu’amalah, amalan-amalan budaya ilmu dalam fardhu kifayah, dan
usaha-usaha menguatkan umat selain daripada diri sendiri, keluarga, organisasi
dan negara serta ummat. Wallahu a’lam.
|
|