|
TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jamaah
|
|
بسم
الله الرحمن
الرحيم ISLAM
DAN PEMBINAAN PERADABAN DI KAWASAN TIMUR LAUT OLEH: MUHAMMAD
'UTHMAN EL-MUHAMMADY Insya'
Allah
dalam apa yang berikutnya yang akan dibicarakan ialah beberapa ciri perkembangan
Islam dalam peradaban dalam erti yang luas dalam kawasan Timur Laut yang
melibatkan kawasan Kemboja, Kelantan dan Terengganu. Perhatian akan diberikan terhadap kegiatan-kegiatan yang
berupa perkembangan dalam ilmu-ilmu Islam dan pemikiran keagamaan serta
pengaruhnya dalam kehidupan. Di dalamnya akan diambil kira perkembangan Bahasa
Melayu dan penggunaannya dalam pengucapan pemikiran keagamaan dan juga
manifestasi kehidupan ketamadunan dalam bidang kebendaan selain daripada bidang
yang bukan kebendaan.
Kerajaan Campa:
Kita boleh bermula dengan kerajaan Campa. Campa, terletak
di Vietnam Tengah, di garis lintang 17 utara hingga ke Saigon, merupakan sebuah
kerajaan tertua yang pernah wujud dan disebut dalam teks Cina pada akhir abad
ke-11 Masihi. Pada permulaan abad pertama Masihi ianya sebahagian dari Dunia
Melayu; walaupun pada mulanya merupakan kebudayaan Hindu, bertukar menjadi
sebuah negeri Islam pada abad ke 16 Masihi. (1) Di bahagian akhir tulisannya tentang Kedatangan Islam ke
Campa - “The Introduction of Islam to
Campa”, Doctor Pierre-Yves (2) menyatakan bahawa yang menyakinkan ialah
bahawa pemerintah Cam memeluk Islam pada suku akhir abad ke XVII Masihi. Kemudiannya oleh kerana gangguan Vietnam, proses
pengislaman itu berlaku sebahagiannya sahaja dan bukan menyeluruh. Bagaimanapun,
sebagaimana yang biasa berlaku di Nusantara, mereka yang tinggal lagi itu
menurut sama memeluk agama itu. Kalaulah golongan pendatang Cam ke Cambodia
diambil kira maka hampir 80 peratus daripada keseluruhan penduduk Cam memeluk
agama Islam. Untuk melihat fenomena itu lebih dekat boleh diberikan
perhatian kepada hubungan negeri itu dengan negeri-negeri berhampirannya di
Dunia Melayu. Sebagaimana yang boleh diperhatikan antaranya ialah adanya kawasan
kediaman orang Campa di Melaka di akhir abad ke 15 Masihi. Demikian pula orang Cam ada kawasan kediaman mereka di
Cambodia, yang usaha-usaha siasahnya ada berkaitan dengan negeri Melayu yang
kurang sedikit penduduknya. Kolusi dua negeri itu menempatkan Sultan Ibrahim (tahun
1642) di atas singgahsana kerajaan, hubungan kerjasama mereka itu jelas tahun
1599 bila pihak yang memberontak itu bernama Po Rat, dan seorang Melayu yang
dipanggil dengan pangkatnya sahaja, iaitu laksmana, selepas memusnahkan
ekspedisi Sepanyol, membunuh raja Khmer yang muda itu, dan akhirnya berlindung
diri di Campa. Dalam negeri Siam tahun 1686-7, Orang Islam Cam membuat komplot
kolusi lagi dengan orang-orang negeri Melayu dan Makasar. Sebaliknya pula hubungan baik antara Raja Campa dan Sultan
Johor disebut dalam sumber Belanda pada tahun 1607. Dalam tahun 1594 diketahui
bahawa Raja Campa menghantar tentera bantuan untuk membantu Johor dalam
menghadapi Portugis di Melaka. Memang Orang Campa memainkan peranan mereka dalam
perniagaan laut Asia Tenggara dan terus menerus mengambil bahagian dalam
kegiatan demikian ini walaupun negeri itu sedang semakin mengalami kelemahan. Tradisi di Jawa Barat membuat kenyataan tentang seseorang
bernama Juragan (nakhoda) Kadirinyah atau Haji Dulkadir (dhu’l-Qadir), seorang
nakhoda dari Campa yang pergi menunaikan haji ke Mekah; dan dalam Sejarah
Melayu ada bab yang memberi gambaran tentang susunan upacara dalam
penghadapan raja Melaka yang baharu disusun itu, tentang orang-orang asing yang
dibenarkan dalam Balai penghadapan di raja ialah nakhoda-nakhoda Campa yang
pilihan. Hampir satu abad kemudian disebut adanya seorang nakhoda
Campa bernama Saidi Ahmad yang menolong Hang Nadim membawa Tun Teja anak
bendahara Pahang supaya Sultan mahmud Melaka boleh mengawininya. Dengan itu
beliau mendapat kurnia Tun Setia Di Raja (naskhah Winstedt) atau Shah Andeka
menteri (naskhah Shellabear), dan boleh berdiri di kaki singgahsana raja dengan
bentara. Nama beliau menunjukkan beliau seorang Muslim. Pada masa kedatangan Portugis ke Melaka ada seorang
daripada Syahbandar Melaka itu yang tugasnya ialah menjaga hal ehwal ahli
perniagaan yang datang dari Campa, dan kapal dari Campa didapati di Pahang dan
negeri Siam. Lebih kurang 40 tahun kemudiannya Fernando Mendes Pinto, pengarang Preregrinacam
memberitahu bahawa di Petani terdapat “ramai Orang Moor (orang Islam-p)
Cam dan Minangkabau”; selain itu Orang Cam kerap datang ke pelabuhan Makasar
di mana mereka bertemu dengan orang dari Pahang, Petani, Johor dan Minangkabau. Boleh dinyatakan bahawa dengan maklumat dari tradisi Melayu
dan Sunda, atau yang disediakan oleh Fernao Mendes Pinto, yang walaupun tidak
semestinya diambil secara literal semata, memberi bukti, bersekali dengan apa
yang berikutnya, tentang adanya ahli perniagaan Muslim Cam di kalangan
bangsa-bangsa tersebut itu yang melayari lautan Asia Tenggara dan yang membentuk
kawasan-kawasan kediaman mereka di pelabuhan-pelabuhan yang mereka seinggahi itu
Dan ahli-ahli perniagaan dari berbagai bangsa itu pula datang ke pelabuhan
Campa , dari sanalah dieksportkan kayu
kelambak atau kayu baharu, gading
gajah, dan kayu hitam (“ebony”).Dalam tahun 1668 di kalangan ahli-ahli
perniagaan asing yang didapati di Manila ialah orang Melayu, Jawa, Cina, Jepun,
dan lainnya dari Maluku, Borneo, dan Timur Tengah, demikian juga yang didapati
di sana orang-orang Campa. Dalam tahun 1668 Sultan Banten menghantar sebuah daripada
kapal-kapalnya ke Campa untuk menjalankan perniagaan di sana.Dalam 1680 dua
orang duta Sultan Campa datrang ke Batavia
, dan dalam tahun 1682 raja ini
menghantar dua kapalnya untuk berniaga di Melaka.Orang Belanda mempunyai
hubungan tetap dengan Campa,
demikian juga Orang Portugis, walaupun agak berkurang berbanding dengan
Belanda.Orang Jepun juga dengan tekunnya mengadakan hubungan dengan Campa pada
akhir abad ke-16 Masihi dan pada permulaan abad ke-17 Masihi.(3) Bukti-bukti tentang adanya hubungan negeri Campa dengan
kawasan lain Asia - apa lagi Asia Tenggara - menunjukkan dua perkara. Pertamanya
itu menyanggahi kenyataan yang menyebutkan hilangnya negeri Campa dari sejarah,
selepas kejatuhan ibu negerinya Vijaya dalam tahun 1471; dan ianya masih kuat
lagi pada akhir abad ke-16 Masihi sehingga ia boleh menghantar tentera bantuan
ke negeri Johor, dan para pedagangnya terus menerus dalam abad ke-17 Masihi
mengunjungi pelabuhan-pelabuhan Asia Tenggara. Kelemahan dan kemalapannya
berjalan dengan sedikit demi sedikit, yang paling teruknya sebagaimana yang
berlaku antara tahun 1691 dan 1697 akibat serangan orang Vietnam, yang
menjadikannya satu wilayah Binh-thuan, di bawah Nguyen, dan pelabuhan Campa
terakhir termasuk ke tangan mereka. Terasing daripada kawasan lain di Asia,
ianya terundur ke kawasan pendalaman, dan masih wujud dalam alam yang
menentangnya, di bawah otoritas kerajaan yang kecil dilantik oleh Hue, dan
dikontrol oleh pentadbiran Vietnam. Bukti-bukti itu menunjukkan proses baqaimana negeri itu
menjadi negeri Islam. Mulai daripada tertubuhnya kerajaan Melaka, Orang Melayu
memainkan peranan yang mendominasi di dalamnya; mula-mula melalui kerajaan
Melaka itu sendiri, kemudian Johor, di mana kesultanan masih kekal ada selepas
kejatuhan Melaka, kemudian melalui kawasan-kawasan pendudukan Melayu yang
memainkan peranannya, terutama sekali dalam Cambodia, yang selalu ada hubungan
dengan kawasan pendudukan orang Cam yang menerima agama Islam dengan hubungan
ini. Dengan cara yang sama, Orang Melayu yang berpindah datang ke Campa
nampaknya memainkan peranan mendatangkan pengaruh ke atas Orang Campa. Jelaslah, orang Campa, sebagaimana Orang Melayu, adalah
orang Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dari segi fiqhnya kepada mazhab
Imam Syafi’i. Memang munasabah sangat orang Campa ini berpegang kepada
hubungannya dengan dunia Melayu ini, yang mereka memang merupakan sebahagian
daripadanya dari segi budaya dan agamanya. Secara ringkasnya boleh dilihat dengan nyatanya kedudukan
Campa yang strategik kerana terletak di jalan perdagangan laut antara negeri
Cina dan Nusantara; berhubungan dengan kekuatannya dikatakan ia mempunyai
angkatan tentera perkasa, khasnya tentera laut yang dikenali sebagai Orang
Riak (orang ombak) bererti dalam istilah Melayunya Orang
Laut. Negeri ini pernah mencapai kegemilangannya di abad ke-10 hingga ke-15
Masihi. Tetapi kemudiannya ia menghadapi ancaman peluasan daerah dari Diet-Viet
(Orang Vietnam) yang menjadi bebas dari kekuasaan pada abad ke-10 Masihi;
akhirnya pihak Diet-Viet ini berjaya menakluki Campa tahun 1069, 1307, 1471,
1611, 1653, dan 1659 Masihi. (4) Pada awal abad ke-19 berlaku perbalahan politik antara
Pandurangga-Campa dengan istana Hue (Vietnam). Dengan itu maka Maharaja Minh
Menh (Vietnam) membuat keputusan menghapuskan Campa dari peta Indocina dan
meng“Vietnam”kan orang-orang Campa yang mengamalkan kebudayaan Melayu dan
beragama Islam menjadikan mereka berkerakyatan, kebudayaan dan kepercayaan
Vietnam. Kejatuhan
Campa: Kejatuhan Campa di bawah Maharaja Minh Menh bermula tahun
1832; kekejaman dilakukan oleh Orang-Orang Diet-Viet terhadap Orang-Orang Campa
yang natijahnya lahirlah gerakan Islam
yang diterajui oleh Katib Sumat pada tahun 1833-1834. Tujuannya ialah untuk
mengeluarkan askar-askar Vietnam dari Campa dan membebaskan kembali negeri itu.
Katib Sumat (Ar. Khatib) yang lahir di Campa berhijrah ke Kelantan dan
tinggal di sana beberapa tahun untuk mendalami hukum-hukum agama.(3). Walaupun
tidak ada sumber Orang Melayu yang menyebut kegiatan Katib Sumat, ada manuskrip
Cam yang menunjukkan bahawa orang alim ini bersepakat dengan pihak-pihak
tertentu di Kelantan untuk mendapat sokongan pihak berkuasa di Kelantan termasuk
kemungkinannya sokongan Sultan sendiri. Bila mendapat khabar negerinya diduduki
oleh Orang-Orang Vietnam tahun 1832 beliau kembali ke Kemboja bersama-sama
askar-askar Melayu yang tidak dinyatakan bilangannya; bersama-sama dengan
Orang-Orang Islam Campa yang bermastautin di Kemboja mereka menuju ke Campa yang
ditindas dengan zalimnya itu; di sana mereka disambut dengan hangatnya kerana
Orang Campa menganggap Katib Sumat sebagai seorang ketua yang berwibawa yang
mempunyai hikmat-hikmat dan ilmu-ilmu tertentu
yang menyebabkan jejak langkahnya tidak dapat dikesani.(5). Maka atas permintaan Orang Campa diadakan gerakan dan
dirahsiakan kehadiran Katib Sumat sehingga arahan diberikan oleh beliau. Salah
seorang dari ahli gerakan sulit itu, bekas pegawai kerajaan, bernama Po Kabaik
Thuac, kerana takut penyiksaan pihak berkuasa, melaporkan kehadiran katib Sumat
itu kepada pemerintah. Maka pihak berkuasa Vietnam cuba mendapatkan maklumat
tentang gerakan Katib Sumat itu, tetapi gagal didapati maklumat tentangnya. Walaupun Katib Sumat mula-mulanya hendak kembali ke
Kelantan semula kerana kecewa dengan pengkhianatan ahlinya tadi, beliau dipujuk
untuk terus kekal memimpin mereka dalam gerakan, dengan itu ditukar nama gerakan
itu kepada Pergerakan Pembebasan Islam Campa. Para penyokong gerakan itu
dihimpunkan di Gunung Dong Nai yang dijadikan sebagai pusat gerakan dan
pejabatnya. Kata Po Dharma, walaupun dokumennya menyatakan bahawa Katib Sumat
mahu membebaskan Campa dari Vietnam, keadaan siasah menunjukkan bahawa beliau
mahu mengislamkan penduduk Indocina, terutamanya penduduk di Kemboja dan Campa;
ringkasnya beliau mahu memperkenalkan jihad fi sabilillah di Indocina. Untuk menghadapi gerakan yang dipandang berbahaya ini maka
Maharaja Minh Menh mengadakan gerakan menakut-nakutkan penduduk Campa dan
mencari jalan untuk memecah-belahkan ahli gerakan itu. Kerana mematuhi akan
Maharaja Minh menh, askar-askar Vietnam membunuh beramai-ramai wanita-wanita dan
kanak-kanak Cam dan kampung-kampung mereka dibakar. Kerajaan berusaha untuk
melahirkan rasa curiga di kalangan para pemimpin gerakan itu supaya mereka
menjadi berpecah belah. Bekas raja Pandurangga-Campa yang telah dikalahkan oleh
Minh Menh meninggalkan gerakan Islam itu kerana pujukan Minh Menh dengan
janji-janji yang menarik dengan pangkat dan kesenangan serta nama yang harum,
tetapi itu tidak menjejaskan gerakan itu. Pada Po Dharma, gerakan jihad itu “meninggalkan kesan
sejarah yang amat penting di Indochina. Ia merupakan pertama kali seorang
pembesar Campa, menggunakan konsep Islam dalam politik perjuangan untuk
menentang polisi Minh Menh yang berusaha menghancurkan Islam, kepercayaan dan
tradisi Campa, dan juga mengasimilasikan kebudayaan Orang Campa”. (7) Kemudian
bila Minh Menh menggunakan senjata senapang dan meriam buatan Eropah dalam
menghadapi gerakan itu, yang tidak mempunyai senjata yang mampu bertahan
menghadapi mereka, maka gerakan itu mengalami kekalahan. Bantuan ketenteraan dari pihak pimpinan negeri Kelantan
kepada gerakan Islam Katib Sumat masa pemerintahan Maharaja Minh Menh ke atas
Campa adalah satu naratif yang menarik dalam sejarah hubungan Campa dengan Dunia
Melayu, tetapi nampaknya tidak ada terdapat catitan Melayu tentang peristiwa ini.
Po Dharma memberi beberapa pengamatan yang menarik sebagai faktor-faktor yang
perlu diambil kira dalam hubungan antara Campa dan negeri Melayu Kelantan ini.
Beliau menyatakan seperti berikut: Setiap
orang mengetahui bahawa negeri Campa terletak dari segi geografinya di
Semenanjung Indochina, tetapi negeri ini berkebudayaan Melayu. Penduduknya
bertutur dalam kumpulan bahasa Austronesia, agak mirip dengan bahasa Melayu.
Mereka beragama Islam (beraliran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah - p), beradat resam dan
mewarisi tradisi yang sama yang diamalkan di Nusantara, dan mempunyai khazanah
kesusasteraan yang sama seperti: Hikayat Dewa Mandu (Akayet Dewa Mano)
dan Hikayat Inderaputera (Akayet Intra Putra), maka ternyatalah Campa
adalah sebuah negeri rumpun Melayu. Dalam
soal sokongan bantuan ketenteraan dari Kerajaan Kelantan ia menunjukkan betapa
eratnya Campa dan dunia Melayu memelihara ikatan persahabatan yang istimewa di
antara ke dua-dua negeri itu. Hubungan ini bukannya baru bermula di abad ke-XIX
Masihi, tetapi semenjak zaman purba kala lagi. Pada abad ke-VII Masihi, dalam
sumber Campa sudah menyebut tentang serangan Jawa (Jawa dalam istilah Campa
bererti orang-orang dari Nusantara berbahasa Melayu, bukannya orang Jawa
sekarang – p) di Pantai Campa. Pada abad berikutnya, hubungan di antara ke
dua-dua negeri ini menjadi baik, kerana Campa membuat hubungan persahabatan
dengan empayar-empayar Sriwijaya dan Majapahit dan akhir sekali dengan empayar
Melaka. Hubungan tersebut dapat dilihat pada beberapa peristiwa seperti lawatan
pembesar Campa ke Sriwijaya pada akhir abad ke-IX Masihi, kehadhiran kedutaan
Sriwijaya di Campa pada abad ke-X Masihi, perkahwinan Raja Campa dengan puteri
Jawa di akhir abad ke-XIII Masihi, dan perkahwinan adik perempuan Raja Campa
dengan Raja Majapahit di abad ke-XV Masihi. Berikutan
dengan kemunculan Melaka di permulaan abad ke-XV Masihi, satu perubahan besar
telah berlaku dalam politik dan perdagangan Campa dengan Nusantara. Campa lebih
menumpu perhatiannya kepada perhubungan dengan empayar Melaka. Di masa itu
Melaka menjadi pusat perdagangan antarabangsa di mana terdapatnya banyak
kapal-kapal perdagangan Campa datang untuk berdagang. Melaka juga pernah menjadi
tempat perlindungan kepada pelarian dari kalangan pembesar Campa, setelah
kejatuhan ibu kota Vijaya (Campa) pada tahun 1471 Masihi ditangan Dai Viet
(Vietnam). Pada akhir abad ke-XV Masihi dan permulaan abad ke-XVI Masihi
pembesar-pembesar Campa telah memperolehi banyak keistimewaan dari Sultan Melaka.
Kerana menurut sumber Melayu, pada akhir abad ke-XV Masihi (1594) Raja Campa
mengirimkan bala tenteranya kepada Sultan Johor untuk menentang Portugis. Pada
abad ke-XVII Masihi Campa menerima pendakwah-pendakwah Melayu dari Semenanjung
Tanah Melayu untuk menyebarkan agama Islam. (8) Hubungan Campa yang erat dengan dunia Melayu ini boleh
didapati dalam beberapa perkara seperti, kalau di Kelantan terkenal beberapa
tempat seperti Pengkalan Cepa (sekarang lapang terbang di Kelantan), Kampung
Cepa yang tidak jauh dari Kota Bharu, Kelantan, dan Keris Cepa yang terkenal di
Kelantan. Masjid Kampung Laut - yang sekarang terletak di Nilam Puri selepas
dipindahkan dari Kampung Laut tempat asalnya, untuk diselamatkan, dibinakan oleh
Orang-Orang Campa dalam persinggahan mereka dalam perjalanan menuju ke Jawa. Ini
ada disebutkan oleh Drs Abdul Rahman al-Amadi (9). Jasa para muballigh dari Semenanjung, khasnya dari Kelantan
yang memainkan peranan mereka dengan baiknya di kalangan mereka itu dihuraikan
dengan panjang oleh Abdullah bin Mohamed (nakula) dalam makalahnya “Keturunan
Melayu di Kemboja dan Vietnam - Hubungannya dengan Semenanjung dengan Tumpuan
Khas Kepada Negeri Kelantan” (10). Ini boleh dibicarakan dalam hubungan dengan
perkembangan pengetahuan dan ketamadunan di Kelantan. Insya’ Allah. Negeri Kelantan (11) Tanpa pergi kepada asal usul negeri Kelantan dan yang
bertalian dengannya dari segi sejarah, memadailah kalau dikatakan bahawa
Kelantan merupakan sebuah negeri yang banyak memainkan peranannya dalam
perkembangan Islam dan budaya ilmunya serta juga perkembangan kehidupan mengikut
tuntutan agama Islam. Sampai sekarang negeri Kelantan dengan rakyatnya yang
penuh iltizam dengan agama jelas diambil kira sampai dalam kalangan mereka yang
melihat dari segi kepentingan siasah cara sekarangpun faktor ini diambil kira
untuk menjayakan rancangan-rancangan yang hendak direalisasikan dengan berkesan. Dalam bukunya Detik2
Sejarah Kelantan, pengarangnya membicarakan beberapa aspek kehidupan yang
selain daripada peristiwa-peristiwa siasah berkenaan dengan hubungan dengan
Siam, British dan perkembangan-perkembengan yang sepertinya. Disentuh oleh
beliau umpamanya bagaimana Majlis Ugama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan
ditubuhkan dengan inspirasi daripada seorang ulama terkenal iaitu To’ Kenali,
pada tahun 1915, dengan tujuan: ‘Untuk menjayakan’ Ugama itu ialah tiap-tiap perkara yang bergantung dengan Ugama Islam yang mendatangkan muslihat kepada sekelian anak2 negeri kita, dan menambahkan kebajikan Kelantan, dan kita kehendaki dengan ‘Istiadat Melayu’ itu ialah yang melengkapi atas ‘adat dan adab Melayu elok yang sayugiya dipelihara akan dia mengikut peredaran masa. Apakala kamu sekelian mengerti akan tujuan yang tersebut itu, hendaklah tiap2 seorang daripada kamu berfikir pada tiap-tiap perkara yang bergantung dengan majlis ini kerana manfaat kepada yang ramai dan mendatangkan muslihat bagi negeri … (hlm 124). Antara perkembangan yang berlaku ialah pembukaan sekolah
Arab pada tahun 1917 oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang diberi nama Madrasah
Muhammadiyyatul-‘Arabiyyah bertempat di bangunan Majlis Ugama Islam.
Kemudiannya menjadi Maahad Muhammadi di Kelantan, yang berada di Merbau itu,
kemudiannya ada cawangan-cawangannya seperti di Jalan Pengkalan Cepa. Sekolah
ini memberi pelajaran dalam agama, Bahasa Arab, Melayu dan Inggeris. Ianya
melahirkan pegawai-pegawai kerajaan, pengarang-pengarang yang bertanggungjawab. Dalam hubungan dengan wawasan pendidikan yang dibawa oleh
To’ Kenali terdapat kenyataan yang menarik (13): Di
Kelantan, suasananya agak berbeza (daripada apa yang berlaku di Pulau Pinang dan
lainnya dengan pengaruh Muhammad Abduh dan yang sepertinya - p) kerana ia
merupakan seat of learning dalam
bidang pendidikan Islam. Semasa kepulangan Tok Kenali dari Mekah (1910) sudah
terdapat beberapa pusat pengajian agama (pondok) yang diasaskan oleh ulama-ulama
terkenal seperti Haji Abdul Samad bin Muhammad Salleh (Tuan Tabal), Haji Wan
Ahmad bin Haji Wan Abdullah (Tok Padang Jelapang), dan juga Haji Abdul Rahman
bin ‘Uthman (Tok Selehor Palekbang) .Di Masjid Besar Muhammadi juga terdapat
pengajian pondok yang dikendalikan oleh beberapa ulama terkenal di Kota Bharu.
Namun semua institusi pondok tersebut menumpukan perhatian dalam bidang agama
sahaja seperti Tafsir, Hadith, Feqah, Tasauf dan ilmu bahasa (Nahu /Saraf/Balaghah). Walaupun Tok Kenali banyak terpengaruh dengan konsep islah
yang diperjuangkan oleh Muhammad Abduh, namun di peringkat awal beliau sendiri
turut mempraktikkan sistem lama iaitu dengan membuka pondok dan mengajar
mata-mata pelajaran nahu, tauhid, tasauf dan tafsir, seperti pondok-pondok lain
juga. Akan tetapi selepas beliau berpindah ke Kota Bharu, (1915) pandangannya
telah berubah, terutama setelah beliau diberi kepercayaan oleh Menteri Besar
Kelantan, Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan Haji Nik Mahmud untuk
merancang penubuhan Sekolah Ma’ahad al-Muhammadi dan merangka kurikulum yang
sesuai dengan institusi yang agak moden itu. Di sinilah Tok Kenali mengislahkan sistem pendidikan agama
dengan memasukkan beberapa subjek baru seperi: Sejarah, Geografi, Bahasa
inggeris, mantik (Logik), Adab (sastera), Jalan Perdagangan dan Ilmu Pidatu.
Sementara subjek-subjek yang biasa diajar di institusi pondok seperti feqah,
usuluddin (tawhid), faraidh, dan ilmu-ilmu bahasa Arab tetap menjadi subjek
utama sekolah tersebut. Dalam memberi komen tentang kebijaksanaan Tok Kenali dalam
mengislah pendidikan ini penulis tersebut membuat kenyataan seperti berikut (14)
Sebenarnya apa yang menarik dalam membicarakan pendekatan
pembaharuan yang dilaksanakan oleh Tok Kenali ini ialah: beliau tidak mengambil
sikap yang radikal dan terburu-buru dalam mengislahkan pemikiran umat Islam di
Kelantan, seperti yang dilakukan oleh tokoh-tokoh islah yang lain. Sebaliknya
beliau cuba menyampaikan ideanya dengan cara yang sederhana dan penuh hikmah.
Dari segi tindakan jelas apa yang dilakukan oleh Tok Kenali itu jauh lebih
lembut daripada cara yang diambil oleh Muhammad Abduh. Oleh sebab itu Tok Kenali
tidak mempunyai musuh walaupun mempunyai perbezaan idea dengan ulama-ulama yang
lain di Kelantan. Dalam hubungan dengan tokoh Tok Kenali sebagai ahli agama
yang sederhana hidupnya tetapi yang disertakan dengan tujuan perjuangan yang
besar penulis ini membuat kenyataan yang menarik bagi orang yang mahu berfikir
tentang pembangunan di Kelantan: Sebagai seorang reformis, Tok Kenali mempunyai wawasan perjuangan yang amat unik dan futuristik sifatnya. Beliau dapat melihat secara jelas permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam khususnya dan anak-anak Melayu yang terlibat dalam sistem pendidikan tradisional pada masa itu. Permasalahan ini mula wujud bilamana penjajah British memperkenalkan sistem pendidikan sekular yang berorientasikan pasaran kerja…. Menyedari hakikat inilah maka Tok Kenali sanggup turun
padang bagi mengislahkan sistem pendidikan agama dengan mengemukakan alternatif
penubuhan institusi pembelajaran moden yang menggunakan kurikulum bersepadu
iaitu cantuman di antara pelajaran agama dan akademik. Ini bermakna dari segi
persekolahannya ia bermodelkan Barat, tetapi dari segi pengisiannya ia
berorientasikan Islam. Eksperimen pertama yang dilakukan oleh Tok Kenali dengan
penubuhan Ma’ahad al-Muhammadi itu telah memberi kesan yang positif dan
berjaya mengurangkan jurang perbezaan di antara golongan yang berpendidikan
Barat dan berpendidikan agama. Ini terbukti setelah ramainya pelajar lepasan
Ma’ahad al-Muhammadi berjaya menyambung pelajaran mereka ke peringkat tinggi
dalam berbagai jurusan. Tentang Tok Kenali menggabungkan sifat zuhudnya dengan
semangat perjuangan yang tepat dan kental penulis ini menyatakan: (15) Maka untuk menyaingi bangsa yang maju maka Tok Kenali menyarankan orang Melayu mengubah sikap malas dan lalai kepada rasa tanggungjawab untuk memartabatkan bangsa sendiri. Ini mesti dilakukan dengan penumpuan kepada penggelidahan ilmu pengetahuan secara menyeluruh di samping mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri dan mempunyai objektif yang jelas dalam semua hal. …Tok Kenali cuba menampilkan beberapa contoh tentang kejayaan yang dicapai oleh bangsa asing terutama Eropah dengan tujuan untukmenimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam supaya tampil ke hadapan bagi membela maruah bangsa dengan cara mengubah sikap dan persepsi yang tidak sesuai dengan perkembangan semasa. Namun demikian, segala perubahan itu mestilah berlaku secara seimbang di antara kepentingan dunia dan akhirat. Sementara kepada golongan yang mengenepikan kepentingan dunia dengan hanya menumpukan kepada kerja-kerja keakhiratan sahaja Tok Kenali menjelaskan bahawa tindakan sedemikiian adalah tidak tepat, kerana harta kekayaan juga adalah penting untuk memenuhi keperluan manusia. Demikian juga dengan golongan yang hanya menumpukan kerja-kerja keduniaan sahaja, mereka dianggap sebagai golongan yang rugi kerana ilmu, harta dan amal perlu seimbang. Sungguhpun dari segi pandangannya Tok Kenali kelihatan
begitu progresif, tetapi dalam menjalani hidup harian beliau tetap mengamalkan
tradisi orang-orang sufi yang hidup secara sederhana tanpa menunjukkan sebarang
sifat riya’ dan takabur. Di sinilah terletaknya kekuatan jiwa Tok Kenali
kerana beliau berjaya membuktikan kezuhudannya sebagai seorang ulama tanpa
terpengaruh dengan pangkat serta kedudukannya yang tinggi dalam masyarakat.
Faktor ini selalunya menjadi dilema kepada sesetengah ulama kerana kesukaran
menyelaraskan bikinan dengan cakapan. Dan akibat daripada perwatakan sufi yang
dihayati oleh Tok Kenali ini menyebabkan sebahagian daripada peminat-peminat
islah atau pembaharuan menjadi bingung kerana wujud percanggahan antara idea dan
perwatakan Tok Kenali. Dalam hubungan dengan pendidikan Inggeris di Kelantan, yang
diperlukan untuk melatih pegawai-pegawai yang menggunakan Bahasa itu dalam
pentadbiran negeri Kelantan, maka akhirnya kerajaan negeri Kelantan membuat
keputusan untuk membuka Sekolah Inggeris, Ismail English School, tahun 1931,
tetapi oleh kerana keperluan dana yang terlalu besar, ianya dibatalkan pada
waktu itu. Akhirnya pada tahun 1936 baharulah dibuka Sekolah Inggeris itu -
Ismail English School - dengan mula-mulanya menggunakan bangunan di Padang
Garong, Kota Bharu. Selepas itu baharulah diadakan bangunannya yang tersendiri.
Walaupun dicuba oleh pihak cerdik pandai untuk membuka jenis pendidikan yang
setinggi-tingginya, bukan terhad untuk mendidik para pegawai tadbir sahaja,
usaha waktu itu menjadi terhad sahaja, sesuai dengan kehendak British. (10A).
Dengan itu maka diadakanlah Sekolah Ismail itu peringkat rendah, menengah dan
menengah atas dengan menggnakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Dengan
itu bermulalah pendidikan Inggeris di Kelantan. Bahagian tertingginya dinamakan
kemudiannya sebagai Maktab Sultan ismail. Kemudiannya diadakan tingkatan enam
sebagaimana yang ada sekarang dengan mata-mata pelajarannya. Berhubungan dengan persuratan Islam, pada tahun 1918
lahirlah majalah “Pengasuh” diterbitkan oleh Majlis Ugama islam dan Adat
Istiadat Kelantan. Ketua pengarangnya ialah To’ Kenali dengan pilihan Majlis
sendiri. Majalah itu mengandungi bahan-bahan tulisan menyentuh perkara-perkara
berkenaan dengan agama, pendidikan, dan juga pengetahuan umum. Pada tahun 1922 ditubuhkan Masjid Muhammadi yang menjadi
pusat ibadat dan pendidikan di Kelantan. Berhubungan dengan perkembangan bahasa Melayu, maka di
Kelantan ditubuhkan Dewan Bahasa Melayu pada tahunh 1933 yang diadakan demi
untuk memaju, mengembang dan meninggikan bahasa ibunda. Pemimpin Dewan itu ialah Tengku Mahmud Mahyuddin sebagai
Yang DiPertuanya, (beliau Ketua Pegawai Pelajaran Kelantan tahun 1934-1941), dan
setiausahanya ialah Sa’ad Shukri b. Hj Muda. (16). Dalam bidang pelajaran disebut bagaimana Kelantan
menghantar Nik Ahmad Kamil Hj Nik Mahmud untuk mempelajari undang-undang di
England pada tahun 1926 dan pada tahun 1931 dihantarkan pula dua orang putera
Kelantan iaitu Tengku Indera Putera dan Tengku Abdullah bin Tengku Hassan untuk
melanjutkan pelajaran dalam ilmu undang-undang. Berkenaan dengan bidang persuratan dalam buku Detik2
Sejarah Kelantan didapati maklumat-maklumat yang boleh dimanfaatkan.
Antaranya disebutkan (17) bahawa selain daripada cerita-cerita sejarah tempatan
dan cerita-cerita kebangsaan oleh penulis-penulis yang bertugas di dalam dan di
luar istana, ada karya-karya yang banyak dihasilkan oleh pengarang-pengarang
agama dan pengarang-pengarang dalam bidang umum, termasuk juga mereka yang
mengarang cerita-cerita rakyat yang menjadi hiburan kepada orang ramai. Selain
itu ada diterbitkan majalah-majalah di Kelantan. Pada tahun 1923 diterbitkan majalah Al-Hikmat (Pengetahuan) yang dewan redaksinya diketuai oleh En.Ahmad
Isma’il yang bergelar Dato’ Lela Negara, yang banyak menulis dan menerima
nasihat daripada To’ Kenali; majalah ini diterbitkan tiga kali sebulan. Kegiatan dalam persuratan ini semakin bertambah dengan
terbitnya majalah Terot pada tahun
1927, di Pasir Putih oleh New Club. Kemudian pada tahun 1929 lahir pula akhbar Putera
terbit dua kali sebulan oleh Putera Kelab. Ketua pengarangnya ialah Abd
Kadir Adabi Muhammad dengan penolongnya Sa’ad Shukri bin Hj Muda. Pada bulan
April 1930 lahir pula majalah Kencana usaha
oleh Siti Maryam Sa’adi yang memuat bahan-bahan sejarah tempatan. Sayang ianya
terhenti selepas beberapa keluaran. Tahun 1933 dengan kematian To’ Kenali, ketua pengarang
kehormat Pengasuh dan anggota ahli
majlis Ugama yang kanan suasana menjadi muram. Dengan kewafatannya juga bermakna
hilangnya seorang wartawan. Selain itu pada tahun 1939 meninggallah Dato’
Laksamana iaitu Tuan Hj Muhammad bin Haji Mohd Said, yangt cergas dalam
persuratan semenjak 1921 lagi. Beberapa karangannya diterbitkan oleh Majlis
Ugama Islam Kelantan. Berkenaan dengan pendidikan pondok di negeri Kelantan,
ianya merupakan sebahagian yang paling menarik dan mendalam kesannya dalam
kehidupan Islam di kawasan ini. (18) Dalam tulisannya dalam Warisan
Kelantan X, 1-25 Sdr Ismail Che Daud ada menyenaraikan ulama Kelantan yang
terkenal dalam menjalankan pendidikan podok seramai 285 orang semuanya mulai
dengan mereka yang bergiat dari tahun 1870an yang beliau sebutkan sebagai tahap
I dalam menjayakan sekolah pondok ini dengan menyebut pusat-pusatnya berada di
Kota Bharu, jajahannya, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tumpat, Machang, Pasir Putih,
Tanah Merah. Antara mereka yang disebutkan yang lahir dari sistem ini
ialah Dato’ Lela Negara iaitu penterjemah, pengarang dan penerbit yang
terkenal itu, tokoh pentadbiran ahli agama, dan pengarang terkenal Dato’
Laksmana iaitu Hj Muhammad bin Hj Muhammad Said Khatib, Kota Bharu, iaitu beliau
ini, murid kepada Dato’ Muhammad Ghazali bin Muhammad Ariffin Singapura, dan
Syaikh Ahmad al-Fatani Makkah,
Syaikh Nik Mat Kecik Makkah, dan lainnya; penterjemah, pengarang, sejarawan ahli
siasah dan guru pondok, iaitu Hj Abdullah Abbas Nasution Tanjung Pauh, Jitra,
Kedah, murid To’ Kenali, Hj Ahmad Maher Mufti Kelantan, dan Hj Abdullah Tahir
Bunut Payung, Kota Bharu, dan lainnya. Termasuk ke dalamnya tokoh seperti Syaikh
Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi, berasal dari Perak, murid kepada To’
Kenali dan lainnya. Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan Malaysia. Antaranya termasuk
tokoh terkenal Syaikh ‘Uthman Jalalul-Din Sering yang berpindah ke Penanti,
Bukit Mertajam, Pulau Pinang murid To’ Kenali dan lainnya. Antara tokoh-tokoh yang diberikan latar belakang pendidikan
mereka yang menunjukkan hubungan yang rapat antara Kelantan, Petani, Terengganu
dan Mekah, ialah seperti berikut. (19). Hj Abdul Malik bin Hasan (men. 1934) Sungai Pinang, mengaji
di kampungnya di Sungai Pinang, Kelantan, kemudian pergi memondok ke Petani,
kemudian pergi ke Mekah, akhirnya pulang ke Kelantan. Pondoknya di Sungai Pinang
berjaya melahirkan tokoh-tokoh seperti Hj Ibrahim To’ Raja dari Penambang,
Kota Bharu, Hj Yusuf Pulau Ubi, Hj Muhammad Akoib Kelar dan Hj Ali Pulau Pisang. Tok Jerulong, atau Hj Muhammad Said bin Muhammad (men.
1939) di Salor, Kelantan. Selepas mengaji di Kelantan terus mengaji di Mekah
selama suku abad, bila pulang membuka pondoknya di kampung. Salah seorang
muridnya yang terkenal ialah Lebai Deraman bin Muhammad yang masyhor di Pasir
Mas, Kelantan. Tok Selehor atau Hj Abdul Rahman bin Hj Uthman, (men. 1935)
terkenal sebagai peminat silat, selepas belajar di Petani pergi ke Mekah,
kemudian pulang membuka pondok di kampungnya. Terkenal sebagai penghurai kitab Hikam.
Antara muridnya yang terkenal ialah Pa’ Su Wel Kampung Dangar, Pasir Mas, Hj
Wan Abdul Latif Jerteh, antaranya Hj Abdul Rahman Tasawwuf Wakaf Bharu. Tok Jelapang, atau Hj Wan Ahmad bin Hj Wan Abdul Halim
(men. 1935) mula-mula belajar di Petani, kemudian terus belajar di Mekah,
kemudian kembali ke Kelantan membuka pondok di Palekbang. Kemudian pindah ke
Padang Jelapang Pasir Mas. Antara murid kanannya ialah Tuan Guru Hj Abdullah
Lubuk Tapah, Hj Abdullah Lai, Hj Abdul Ghani Kubang Bemban, Hj Hasan Lemal, Hj
Abdullah Kampng Laut, semuanya di Pasir Mas, melainkan yang terakhir. Kemudian
pergi menetap di Sungai Golok dan meninggal di sana. Tok Seridik, atau Hj Saman bin Awang Senik (men. 1935)
pengasas pondok Kuala Nipah, Bachok; dalam 1890an merantau ke Petani, menumpang
perahu pedagang berulang alik antara Terengganu dengan Petani. Tahun 1894 baru
memondok di Seridik, kemudian berpindah ke pondok Hj Abdul Latif garak, akhirnya
berjaya menjadi orang alim. Akhirnya pergi ke Mekah. Kemudian pulang ke Kelantan
di penghujung Perang Dunia I dan membuka pondok di Nipah, Bachok. Antara
muridnya ialah Hj Abdul Muttalib Bukit Abal, Hj Daud Limbat, Hj Yaakub Nipah, Hj
Yaakub Kampung Cengal. Haji Idris bin Senik (men. lebih kurang tahun 1946) Kampung
Tok Burong Bachok. Belajar di Petani.kembali ke Kelantan dan mengajar di
beberapa tempat di Pasir Putih. Antara muridnya ialah Hj Abdullah bin Awang
Senik, Cerang Hangus, dan Hj Awang bin Jusoh Kuin Pasir. Hj Isa bin Derasa @ Lebai Hamad (men. sekitar tahun 1949
atau atau awal 1950), Kampung Belukar, Salor. Selepas belajar di Kelantan pergi
ke Petani, selepas belajar di Petani terus ke Mekah hingga tamat dipelajarinya
lima qiraat dari yang tujuh itu. Akhirnya menetap di Kampung Belukar, Salor di
jajahan Kota Bharu. Dalam hubungan dengan para pendidik atau mursyid yang
mendidik para guru dalam tahap III (1910-1930 an) disebut oleh penulis mereka
yang berjasa di Makkah itu dengan kenyataannya: Kebanyakan mereka yang tersenarai dalam Tahap Ketiga (guru-guru pondok antara 1910 - 1930an) boleh disifatkan sebagai golongan ulama bertuah kerana berpeluang berguru dengan guru-guru ternama di Kota Ilmu Makkah. Kota Makkah pada dekad-dekad 1890an dan 1900an sememangnya menjadi pusat penyebaran ilmu pengetahuan, menampilkan tokoh-tokoh jempoilan seperti Syaikh Abdul Kadir bin Abdul Rahman al-Fatani, Syaikh Muhammad bin Syaikh Ismail Daud al-Fatani (Syaikh Nik Mat Kecik), Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani (Tok Guru Wan Ahmad), Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau, Syaikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Syaikh ‘Uthman bin ‘Abdul Wahhab Sarawak, Syaikh Muhammad ‘Ali binh ‘Abdul Rahman al-Kelantani, (Tok Wan ‘Ali Kutan), Tuan ‘Abdul Muttalib bin Tuan Faqih ‘Abdullah Kota, Syaikh Sa’id bin Muhammad al-Yamani, Syaikh Mustafa al-‘Afifi, Syaikh ‘Abdul Karim al-Daghastani, Syaikh ‘Abdul Karim al-Bantani, Syaikh Nawawi Banten, Syaikh Muhammad Sa’id Babsail, Syaikh Surur, Syaikh Saruji, Syaikh ‘Abdullah Senggora, Syaikh Zainuddin Sumbawa, Syaikh Muhammad bin Yusuf Khayyat, Syaikh Hasbullah, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Sayyid ‘Abdullah as-Zawawi, Sayyid Abu Bakr bin Sayyid Muhammad Syata, Sayyid Muhammad Amin bin Sayyid Ahmad, dan lain-lain guru lagi. (20) Hubungan pendidikan Islam di Kelantan dengan Orang Cam
sangat erat sehingga boleh dikatakan mereka itu mendapat pendidikan Islam sangat
banyak di Kelantan ini. Antaranya terdapat kenyataan bagaimana seorang putera
raja Campa yang kemudiannya menjadi Raja Po Rome (1627-1651) pernah datang ke
Kelantan untuk mempelajari agama, kemudian beliau berkahwin dengan seorang
puteri Kelantan. (21) Dan pada abad ke-19 pula, sebagaimana yang diterangkan di
atas ada orang yang terkenal dalam sejarah Cam bernama Katib Sumat yang
dilahirkan di Kemboja kemudian datang ke Kelantan untuk mendalami hukum-hukum
agama, dan kemudian kembali ke negerinya untuk mengatur gerakan Islam di sana
pada tahun 1833-1834 untuk menentang Raja Minh Menh. Selain daripada beliau itu
ramai orang-orang Melayu-Cam yang datang ke Malaysia, khususnya ke Kelantan
untuk mempelajari agama dan berdagang. Di kalangan orang Cam Islam ini, mereka yang berada di
Kemboja lebih maju pengetahuannya dalam Islam jka dibandingkan dengan orang Bani
atau Orang Cam Islam di Vietnam. Antara peribadi yang mendatangkan kesan dalam
pendidikan di sana ialah seorang yang bernama Imam Musa. Bila Imam Musa ini
tamat pelajarannya di Kota Bharu Kelantan, beliau kembali ke kampungnya di Phum
Ampil, Krauch Chmar, dalam wilayah Kompong Cam pada tahun 1948/1949. Dengan itu
timbullah apa yang dipanggil di sana Aliran Kaum Muda. Kewujudan kaum muda ini menimbulkan perpecahan dan
permusuhan di kalangan umat Islam Kemboja sehingga beberapa tuduhan terhadap
Imam Musa menyebabkan beliau dibawa ke mahkamah Kementerian Kepercayaan
(Ministry of Cults) dan juga ke mahkamah lain. Beliau pernah dihukum penjara dan
dibuang negeri. Apabila berlaku peperangan saudara di Kemboja pada tahun
1970 kedua belah pihak telah kembali ke pangkuan yang sama dan mereka berusaha
untuk menghadapi bahaya Komunis dalam mempertahankan agama Islam. Bagaimanapun
golongan Khmer Rouge berjaya menumbangkan pemerintahan Lon Nol pada tahun 1975.
Mulai masa itu ramailah orang-orang Melayu-Cam yang datang ke Malaysia,
khususnya ke Kelantan. Dalam kalangan mereka yang dihantar ke Kelantan untuk
mengaji agama itu ialah Encik Idris bin Makmor yang dikenali dengan nama Pak Yeh.
Sekarang beliau menjadi warganegara Malaysia dan berniaga di Kota Bharu,
Kelantan. Ada seorang lagi pemuda Cam yang datang ke Kelantan tahun 1957 untuk
tujuan mendapat pendidikan. Beliau kembali ke Kemboja bila tamat pelajarannya,
kemudian datang kembali ke Kelantan untuk menetap di sana. Muhammad Zain bin Musa dalam karangannya “Masyarakat
Melayu-Cam dan Kelantan Dilihat dari Sudut Agama” (22) membuat kenyataan: Ulama-ulama Melayu dari Kelantan tidak hanya melihat pemuda-pemuda Cam ini datang mempelajari Islam dan kemudiannya kembali ke Kampung mereka untuk mengajar, tetapi sama-sama mengambil tindakan yang wajar untuk pergi ke Kemboja dan menjadi muballigh-muballigh di sana. Antara mereka ialah Laksmana Abdul Hamid, Laksmana Haji Omar, kedua-duanya telah pergi ke Kemboja pada penghujung abad ke-XVII Masihi; Tok Guru Syaikh Ismail bin Syeikh Hussin, Tok Guru Haji Wan Salleh bin Haji Omar, Tok Guru Haji Wan Ngah bin Wan Mat Yunus, Tok Guru Haji Syeikh Ismail bin Muhammad Zain dan lain-lain lagi pada pertengahan ke dua abad ke-XIX Masihi; Tok Gurun Haji Said bin Haji Isa, Tok Guru Haji Ahmad bin Haji Abdul Manaf, Tok Guru Haji Wan Hassan bin Wan Muhammad, Tok Guru Nik Daud bin Nik Mat dan lain-lain pada pertengahan abad ke-XX Masihi. Muballigh wanita dari Kelantan juga turut terlibat. Antaranya ialah Che Fatimah binti Abdullah. Antara mereka ini ada yang menetap selama-lamanya di Kemboja dan ada yang balik ke kampung halaman mereka semula di Kelantan. Antara mereka yang datang belajar di Kelantan itu ada yang
mendapat kelulusan di luar negara seperti di Mesir dan di Arab Saudi. Sekarang
pendidikan Islam mula diadakan di negeri mereka, yang memerlukan banyak sekali
bantuan dari pihak saudara-saudara mereka dari luar. Dalam hubungan dengan kegiatan-kegiatan di Kelantan dalam
hubungan dengan pertukangan yang yang sejenis dengannya - yang mempunyai
kepentingannya yang tersendiri dari segi pembinaan tamadun - tidak disentuh
dalam catitan ini. Negeri Terengganu (23) Dalam hubungan dengan kedatangan Islam ke Terengganu maka
maklumat berkenaan dengan Batu Bersurat Terengganu menjadi bahan perbincangan
yang diminati. Batu Bersurat yangt ditemui di Sungai Tersat, Kuala Berang,
Terengganu itu tercatit padanya tarikh 702 Hijrah, yang bersamaan dengan 1303
Masihi. Ukiran tulisan Jawi pada batu itu menandakan kesan kedatangan Islam ke
Terengganu khasnya dan ke Semenanjung amnya. Padanya terpahat undang-undang
berkenaan dengan beberapa jenayah dan hukuman yang setimpal untuknya. Kerajaan yang terawal dalam perbincangan sejarah yang boleh
dikesan di Terengganu bertarikh pada 1225 Masihi. Dikatakan Terengganu pernah
ditakluki oleh Palembang, Sumatera, sama seperti Kelantan, Pahang dan Langkasuka.
Dalam rekod Cina di abad ke-13 Masihi dinyatakan tentang kewujudan pusat
perdagangan penting di Sungai Terengganu pada waktu itu. Tschau Jou Kua menulis
dalam tahun 1225 Masihi menyebut tentang Tong-yan-nong dan Kilantan
sebagai dua pelabuhan di pantai Semenanjung Tanah Melayu dan meletakkan
kedua-duanya sebagai negeri-negeri yang berada di bawah pengaruh San fo tsi (Sriwijaya,
Palembang). Kemudian Pelliott menulis dalam tahun 1901 (jilid 4, halaman 344)
memberi beberapa versi Cina bagi nama-nama itu; termasuk antaranya Ting ko
nou daripada sumber berjudul Hai kouo wen kien lou; Ting ko lou
dan Ting kia lou daripada sumber yang disebut sebagai Ying honan tche
lio: Ting kia lo daripada sumber lain bernama Hai loh yang
mungkin merujuk kepada Hai lu sui shih yang dihimpunkan oleh Yeh
T’ing Kuei dalam tahun 1149 Masihi. Tidak lama selepas satu abad
daripada Tehan Jou Kua, Wang Tan Yuan menyebut Terengganu dan mencatit dalam
tahun 1349 tentang adanya amalan pengurbanan manusia kepada berhala-berhala
daripada kayu, mungkin Kali, sebagai dewi maut mengikut ajaran Hindu dalam
kawasan itu. (24). Pada tarikh yang tidak mungkin terlewat daripada 1336 (atau
mengikut perkiraan yang satu lagi 1303) Masihi sudah terdapat kerajaan di
Terengganu yang beragama Islam dan menjadikan agama itu sebagai agama negerinya.
Ini berdasarkan Batu Bersurat Terengganu yang merupakan bukti semasa yang
terawal berkenaan dengan pengaruh Islam di Semenanjung. Dalam tulisannya Sheppard menyatakan bahawa, manakala
Orang-Orang Arab dan India singgah dan mendiami kawasan pantai Barat
Semenanjung, maka orang-orang Khmer yang belayar dari Cambodia dan Orang-Orang
Cina pula mungkin merupakan orang-orang yang selalu melawati pantai Timur
Semenanjung buat beberapa abad lamanya sebelum Raja Mandulika memasyhurkan
undang-undang Islamnya; dan kebolehan yang luar biasa yang ada pada Orang
Kelantan dan Terengganu dalam bidang pertukangan tangan mungkin sebahagian
daripadanya datang daripada pengaruh Khmer sebelum dan selepas kerajaan yang
membina Angkor Watt itu dikalahkan oleh Orang Thai tahun 1292. Nampaknya Islam diterima di Terengganu sebelum daripada
Melaka sekurang-kurangnya sesuku abad - kalaupun tidak lebih awal lagi daripada
itu. Mungkin Terengganu yang berada di jalan perniagaan laut itu terdedah kepada
Orang Arab yang datang berniaga dan juga menjalankan kegiatan dakwah di sana;
mereka itulah yang membawa Islam ke negeri Cina dalam abad ke-7 Masihi, yang
datang mendahului Marco Polo ke pantai timur Sumatera pada tahun 1292 Masihi. Tanpa berpanjang kalam berkenaan dengan sejarah awal
Terengganu dengan hubungannya dengan Melaka dan Pahang, dan seterusnya, maka
boleh disebutkan bahawa Sultan Terengganu yang pertama dalam sejarahnya ialah
Tun Zainal Abidin, tetapi mengikut ahli sejarah Terengganu beliau itu diletakkan
atas singgahsana pemerintahan Terengganu melalui pengaruh sahabat baik
Permaisuri Petani yang dilaporkan bernama Nang Cayam, tetapi mengikut ahli
sejarah Bugis pula Raja Tua Bugis dari Riau yang meletakkan baginda atas
singgahsana itu. Mengikut Tuhfatul-Nafis ini berlaku tahun 1723 Masihi. Tanpa berpanjang kalam juga tentang peristiwa-peristiwa
siasah berhubungan dengan pemerintahan Siamnya, keberadaannya di bawah pengaruh
British, sampailah ke zaman kemerdekaan, demikian seterusnya, yang kita hendak
berikan perhatian di sini ialah ciri-ciri Terengganu sebagai negeri Timur Laut
bersekali dengan Kelantan termasuk Petani (walaupun tidak saya bicarakan di
sini), serta juga Campa dan Kemboja yang berada di bahagian pantai itu membina
hidup ketamadunan yang bertunjangkan Islam dan memanifestasikan pegangan dan
kehidupan Islam dan juga yang mempunyai sifat-sifat kemasyarakatan dan akliah
yang memberi potensi kepada perkembangan yang lebih banyak dan baik pada masa
depannya dengan izin Ilahi. Tentang sifat-sifat orang Terengganu dengan kepandaian dan
kemahirannya dalam pertukangan ini dipuji oleh Clifford dalam
catitan-catitannya, sebagaimana kata Sheppard (25) Clifford describes the people of Terengganu as the most ingenious and among the most industrious of Malays in the Peninsula … Ertinya: Clifford memberi gambaran tentang Orang Terengganu
sebagai orang-orang yang paling pandai dan mahir dan juga paling rajin di
kalangan Orang -Orang Melayu Semenanjung … Digambarkan bagaimana dahulunya mereka itu pandai membuat
barangan-barangan seperti sutera, bahan-bahan dari kapas, senjata-senjata,
bahan-bahan daripada besi dan alat-alat daripada kayu; juga bahan-bahan dibuat
daripada tembaga putih dan lain-lainnya yang menunjukkan tahap kemahiran yang
tinggi. Bertenun dilakukan oleh para wanita. Perkembangan agama Islam berjalan dengan baik antaranya
dengan adanya raja-raja Terengganu yang mengambil berat tentang itu, seperti
yang berlaku pada masa pemerintahan Sultan Zain al-‘Abidin dalam awal abad
ke-XX. Dialah yang mengadakan Undang-Undang
Tuboh Negri yang merupakan perlembagaan negeri. Semangat merdeka orang Terengganu boleh dilihat pada
aktiviti Haji ‘Abdul Rahman Limbong dalam menghadapi British, demikian juga
kegiatan To’ Ku Paloh. Ulama Terengganu yang paling termasyhur namanya ialah
tanpa syak dan ragu lagi To’ Pulau Manis atau Syaikh ‘Abdul Malik bin
‘Abdullah yang terkenal dengan kitab Hikamnya
yang diteliti oleh Dr Shafie Abu Bakr di UKM. Kesimpulan: Sebagai kesimpulannya ada beberapa perkara yang hendak
diberi penekanan dalam perbincangan kertas ini, iaitu: ·
Bagaimana
kawasan Timur Laut ini berupa kerajaan-kerajaan awal tempat pembinaan
kegiatan-kegiatan peradaban samada dalam manifestasinya yang berupa akliah dan
bukan benda dan juga yang bersifat kebendaan; ·
Bagaimana
berlakunya kegiatan penghayatan Islam dan dakwahnya yang menimbulkan pengaruhnya
dalam kawasan sekitarnya; ·
Bagaimana
berlakunya perkembangan itu melalui pendidikan dan dakwah serta
kegiatan-kegiatan perdagangan; ·
Bagaimana
ajaran dan pegangan yang berkembang - sebagaimana yang berlaku dalam kawasan
lain di Dunia Melayu ini - ialah ajaran dan amalan Ahlis-Sunnah wal-Jamaah
dengan fiqhnya berdasarkan ajaran Imam Syafi’I dan ajaran kerohaniannya banyak
dipengaruhi oleh Imam al-Ghazali sebagaimana terbukti dengan popularnya
kitab-kitab beliau dalam kawasan ini. ·
Bagaimana
kegiatan bahasa dan persuratan berkembang bernafaskan Islam berserta dengan
penulisan dalam bidang-bidang Islam (kalau zaman sekarang ini melibatkan Majlis
Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan juga Yayasan Islam Terengganu
selain daripada penerbit-penerbit lainnya, kalau di Kelantan seperti Dian Press
dan PAP atau Pustaka Aman Press; kalau di Petani dengan Al-Nahdinya, dan sebelum
ini dengan Sulaiman Mar’I di Singapura dan Pustaka al-Rawi di Pulau Pinang). ·
Timbulnya
majalah-majalah yang banyak seperti di Kelantan dan Terengganu di awal abad ke
20 dengan perbincangannya banyak tentang agama, bahasa, siasah dan budaya. ·
Bagaimana
kawasan ini mempunyai keperibadian yang sama dalam erti kuat iltizamnya dengan
agama serta berpegang kepada adat serta ciri kegigihan dalam hidup yang ingin
berdikari. ·
Bagaimana
banyaknya pengaruh pondok-pondok yang memainkan peranan dalam membentuk
pemikiran dan sikap hidup serta nilai-nilai, ditambah dengan sekolah-sekolah
agama yang dibina oleh pihak rakyat dan pihak rasmi yang menguatkan lagi iltizam
dengan pegangan dan kehidupan Islam. ·
Bagaimana
adanya perbezaan faham antara golongan yang berfikiran secara baharu - disebut
sebagai masalah kaum muda-kaum tua - yang
perlu diberi penyelesaian dengan pengembalian kepada keseluruhan sistem dan faham ilmu Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah yang sepadu
dengan kesinambungannya itu demi untuk
mempertahankan Islam dan untuk menghadapi kebencanaan pemikiran moden dan
pascamoden serta globalisasi yang tanpa bimbingan akliah itu kita akan
kehilangan panduan dan arah tuju. ·
Bagaimana
adanya perbezaan faham kerana siasah dan kepentingannya yang juga perlu diberi
penyelesaian dengan pengembalian kepada faham ilmu Sunni yang menyeluruh dan
sepadu - misalnya sebagaimana wujudnya kritikan terhadap setengah pemikiran
almarhum Sayyid Qutb dan almarhum Maududi oleh al-Hudhaibi dan Abul-Hasan ‘Ali
Nadwi yang menggunakan faham ilmu yang sepadu dan menyeluruh itu sebagai neraca
intelektuilnya. ·
Bagaimana perlu
dipergiatkan aktiviti intelektuil dan lain-lain dalam bidang ketamadunan yang
tinggi untuk mengekalkan identiti ini dan memperkasakannya untuk kebaikan
perkembangan budaya dan tamadun rantau ini. ·
Dan bagaimana
perlunya dibentuk sejarah intelektuil Islam rantau ini demi untuk memberi
kefahaman tentang tunjang hidup ketamadunannya berdasarkan kepada fahamnya,
faham ilmu dan faham nilainya, sebagaimana yang terkandung dalam kata-kata
terkenal “hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum dan hukum bersendikan
Kitab”. (26). Wallahu
a’lam. Notahujung: (1)
Lihat Po Dharma, “Peranan Kelantan dalam Pergerakan Islam di Campa
1833-1834” dalam Warisan Kelantan, VIII,
79-88; Abdullah bin Mohamed (Nakula),”Keturunan Melayu di Kemboja dan
Vietnam:Hubungannya dengan Semenenjung dengan Tumpuan Khas kepada Negeri
Kelantan”, sama, hlm 6-41; Abdul Rahman Al-Ahmadi, “Kelantan Dalam
Nagarakertagama dan Sumpah Palapa
Gajah Mada Di pandang Dari Semenanjung Melayu -Segenting Kra dan Campa”, sama,
VII, hlm 1-15; G.E.Marrison, “The Chams of Malacca”, in JMBRAS, jld
XXIV.pt.I, hlm 90-98; Doctor Pierre Yves Manguin,
Charge de Recherches, E.F.E.O, The Introduction of Islam to Champa”,in JMBRAS,
jld 58, pt I, hlm6-20; juga dlm “The Propagation of Islam in the
Indonesian-Malay Archipelago”
edited and annotated by Dr Elijah Gordon, MSRI, Kuala Lumpur, 2001, hlm 287-328;
dan Cambodia”, dalam Encyc.Britannica, jld
III, edisi 1981, hlm 675-689. (2)Dalam The
Propagation of Islam in the Indonesian-Malay Archipelago, ed. Dr Elijah
Gordon, hlm. 305ff. (3)sumber sama. (4)Lihat Po Dharma, sama, hlm. 79
(dengan sumber-sumbernya). (5)Manuscript Cam:CM 32(6), CM 24(5), lihat P Dharma, sama. (6)Manuskrip
Campa, CM 32(6), 113 sq. lihat Po Dharma,
sama. (7)Po Dharma, 1987, 143.Po Dharma, sama (8))Lihat C.C. Brown:”Sejarah Melayu: Malay Annals”,
JMBRAS, jld XXV Oktober, 1952, hlm. 108-111; P.B.Lafont, op.cit. hlm. 77-78.
Disebut oleh Po Dharma, sumber sama hlm. 83. (9)Campa dans la
litterature malais, dalam
Actes du Seminaire sur le Campa, Paris,
1988, hlm. 120.Lihat Po Dharma, sama, hlm. 84. (10)Warisan Kelantan, VIII, hlm 6-41,
Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1989. (11) Lihat berkenaan dengan Kelantan Detik2 Sejarah Kelantan, oleh Sa’ad Shukri bin Haji Muda, dengan
pembaharuan dan tambahan oleh Abdullah al-Qari bin Haji Salleh, dengan sumbangan
Drs Abdul Rahman Al-Ahmadi, PAP, Kota Bharu, Kelantan, 1971; Anker Rentse, History
of Kelantan.I, JMBRAS, vol.XII.pt II, hlm 44-62; W.Linehan, “Coins of
Kelantan”, JMBRAS, vol.XII. pt II, hlm 63-70;Robert L.Winzeler, “Traditional
Islamic Schools in Kelantan”, JMBRAS, vol.48, pt I, hlm 91-103; Chan Su-Ming,
“Kelantan and Terengganu 1909-1939”, JMBRAS, vol 38 pt I, hlm. 159-197 ;Hugh
Clifford,”Expedition to Terengganu and Kelantan”, JMBRAS, 34, pt I, hlm
xi-162; “Kelantan Darul Naim”, dalam Ensiklopedia
Malaysiana, jilid 6, Anzagain Sdn Bhd, 1996, hlm 446-455; Leslie Ratnasingam
Robert, “The Duff Syndicate in Kelantan 1900-1902”, JMBRAS, 45, pt I, hlm
81-110; amnya berkenaan dengan pelbagai aspek negeri Kelantan dalam Warisan
Kelantan, jilid I-XVI, terbitan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, dari
tahun 1982 dan seterusnya; Mohamad Zain bin Musa, “Masyarakat melayu Cam dan
kelantan Dilihat dari Sudut Agama”, Warisan
Kelantan, XIII, 33-47; Ismail Che Daud, “Satu Abad Mufti-Mufti
Kelantan”, Warisan Kelantan, XIII.49-81. (12) Nik Mohamed bin Nik Mohd Salleh, “Penubuhan dan
Perkembangan Ismail English School”, Warisan
Kelantan, VII, hlm 81-100. (13)Dr Ismail Bakar, “Tok Kenali Sebagai Ulama dan Tokoh
Islah”, Warisan Kelantan, XVI. Hlm.
50-65 (14)
hlm. 59 (15) sumber sama hlm. 61-62 (16)Dalam Detik2
Sejarah Kelantan, hlm. 147. (17hlm. 154 ff. (18)Lihat Ismail Che Daud, “Sekolah Pondok di negeri
Kelantan: Satu Tinjauan Umum”, Warisan
Kelantan, X, hlm 1-25 dengan sumber-sumbernya; Abdul Halim Ahmad,
“Pendidikan Islam di Kelantan”, Warisan
Kelantan, 1, hlm 1-28; Rahim bin Abdullah, “Pelajaran Pondok di
Kelantan”, Warisan Kelantan, II, hlm
1-20; Robert L.Winzeler, “Traditional Islamic Schools in Kelantan”, JMBRAS,
48 pt I, hlm 91-103. (19) sumber sama.hlm 21-25. (20) sumber sama. Hlm 10-11. (21) Warisan Kelantan, XIII.37
dst (22) dalam Warisan
Kelantan, XIII.hlm 41-42;. (23) Lihat “The Stone Inscription of Terengganu”, dalam
The Propagation of Islam in the
Indonesian-Malay Archipelago, edited by Dr Elijah Gordon, MSRI, Kuala
Lumpur, 2001, hlm.35-37; “Terengganu” dalam Ensiklopedia
Malaysiana, jld 13, hlm 64—72; Chan Su-Ming, “Kelantan and Terengganu”
dalam JMBRAS, 38 ptI, hlm 150-197; Hugh Clifford, “Expedition to Terengganu
and Kelantan”, JMBRAS, 34pt I, hlm xi-161 dengan mukadimah oleh Prof Khoo Kay
Kim; M.C.ff Sheppard, “A Short History of Terengganu” JMBRAS XXII. pt III
sampai ke halaman 74; J.de Vere Allen, “The Ancient Regime in
Terengganu”, JMBRAS, 41, pt I, hlm 23-54. Barbara Watson Andaya, “An
Examination of Sources Concerning the Reign of Sultan Mansor Shah of Terengganu
(1741-1793) with Special Reference to Tuhfat al-Nafis”, JMBRAS, 49 pt
II, hlm 80-106. (24) M.C.ff Sheppard, “ A Short Historyof Trengganu”,
JMBRAS, XXII, pt III hlm 2. (25) sama
hlm 45. (26) Percubaan dibuat oleh seorang Orientalis bernama Peter Riddell, dengan buku terbarunya Islam and the Malay -Indonesian World, Horizon Books, Singapore, 2001.dari perspektifnya, dan kita memerlukannya dari perspektif kita.
|
|