TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jama'ah

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

NILAI-NILAI KEROHANIAN DALAM PEMBANGUNAN TAMADUN DI MALAYSIA

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Mungkin kita bermula dengan memahami apa yang dimaksudkan dengan nilai-nilai kerohanian sebagaimana yang difahamkan dalam Tradisi  Islam sendiri terlebih dahulunya. Sebelum itu kita memahami apa yang dimaksudkan dengan “roh” dan daripadanya terdapat kata “rohani” itu merujuk kepadaq zat bukan benda, atau zat kerohanian yang halus, yang dinisbahkan kepada Tuhan, yang merupakan paksi peribadi manusia itu sendiri, yang datangnya dari alam bukan benda, disebut sebagai “alam al-amr” di Sisi Tuhan.(1)Ianya dipandang abadi, bukan tertakluk kepada apa yang disebut sebagai evolusi dalam pemikiran moden.Kerana adanya roh itulah maka dalam Islam manusia  boleh “mengenal” Tuhan dan “berdamping” denganNya, serta mencari keredhaanNya. Tidak mengapalah apa yang disebutkan dalam pascamodernisme tentang penolakan segala yang bersifat “grand narrative” seperti ini, sebab yang kita hendak bicarakan sekarang ialah apa yang diungkapkan dalam tradisi Islam yang ada dengan kita sekarang ini.Dan bila disebutkan nilai-nilai ialah apa yang merujuk kepada keyakinan yang diperpegangi tentang bernilainya atau berharganya sesuatu itu kerana apa yang disebutkan sebagai nilai itu.Nilai yang menentukan “harga” atau “baik”nya sesuatu adalah nilai.Dan bila disebutkan “nilai-nilai kerohanian” ia merujuk kepada apa-apa yang diyakini yang memberi “harga” kepada roh manusia, yang menyemarakkan kehidupannya, yang membantu penjayaannya, serta realisasinya, termasuklah ke dalam perbincangannya factor-faktor yang membantu dalam menjayakannya dan menjadikannya sejahtera dalam hidup manusia.Dan dalam  Islam, bahkan secara amnya boleh dikatakan dalam semua Tradisi Timur, nilai-nilai kerohanian mengatasi nilai-nilai lainnya.

Kepentingan Nilai-Nilai Kerohanian Dalam Tamadun

·         Dalam Islam nilai kerohanian bertunjang atau berpaksi kepada tauhid yang membawa pengertian tentang keesaan Tuhan, kesepaduan faham alam tentang  alam bukan benda dan yang kebendaan, dunia dan akhirat, hidup ibadat dan hidup ‘adat (istilah Imam al-Ghazali rd dalam “Ihya’”), agama dan sains, hukum dan  moral atau ethika, hidup kekeluargaan dan masyarakat serta umat, metafisika dan aesthetik, kegiataan jasmani dan kontemplasi atau tafakur, wahyu, nubuwwah dan akal manusiawi, agama dan tamadun serta budaya, pancaindera, akal fikiran dan pengelaman rohani.Ini terbayang dalam wacana intelektuil baku Sunni.

·         Dengan itu hidup manusia bersepadu dengan agama dan panduannya, dari metafisika, kerohanian, kepada akhlak, hukum, adat kebiasaan, berfikir dan bertindak.c.f. “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab.”

·         Semua nilai diletakkan pada tempatnya, dengan tauhid mengatasi segala, dan hidup manusia tidak terlepas daripada nilai moral dan kerohanian.

·         Hidup akan sentiasa terkait dengan makna hidup ini, dan makna hidup kebendaan atau yang bukan kebendaan yang diserasikan itu mendapat maknanya bila dikait dengan hubungan dengan Tuhan dan alam yang kekal abadi, bukan terbatas kepada ruang dan waktu yang bersifat siri dalam  sejarah dan geografi.Ia “meta” sejarah dan “meta”geografi.

·         Menerima keharmonian antara agama dan sains, pengelaman saintifik dan pengelaman biasa, serta pengelaman spesialis, dan pengelaman kerohanian (contoh tentang pengamatan pancaindera, pemandangan tentang dunia “terhampar”, pengelaman ulama kerohanian tentang wujud hakiki hanya satu, Tuhan,  yang lain nisbi, semacam tidak ada, pula teori quantum physics tentang benda yang “tidak menentu”, bukan bersifat “solid” atau “determinate”, sekali-sekali seperti particles, sekali-sekali seperti “waves”.

·         Untuk memberi “antidote” kepada pendekatan Islam yang bersifat “haram-halal” sahaja (memang ia ada tempatnya dalam kesepaduan wacana intelektuil Islam yang sepadu);

·         Ia berlainan dengan modernity dan pasca-modernisme dalam erti falsafah.Moderniti dengan pendaulatannya terhadap pemikiran rasional manusia dan fakulti itu, serta keindividualan atau individualisme dan kenisbian atau relativisme yang timbul daripada keindividualan itu.(Bukan setakat kemodenan dikaitkan dengan penggunaan barang-barang “baharu” atau cara berfikir yang “trendy” tanpa melihat paras-paras yang mendasar dalam “modernity” secara falsafah).

·         Pascamodernisme pula yang menolak apa yang disebut sebagai “the grand narratives”  atau wacana-wacana agung dan nilai-nilai yang tetap tentang baik dan buruk dan pengamatan rasional manusia.Dilihat manusia sebagai mainan sejarah dan budaya dan sejarah yang tidak menentu.

·         Nilai-nilai kerohanian Islam adalah paksi peradaban segi kerohanian, intelektuil, aesthetik, moral, dan social serta ekonomi, memberi jati-diri, penyelamat daripada terjatuh ke dalam hidup tanpa makna dan kemusnahan (“descent into meaninglessness, intellectual and annihilation”).

·         Rangka intelektuil ini terlihat penjelmaannya dalam wacana hukum Syafi’i, theology al-Asyari, wacana kerohanian dan akhlak serta isyarat falsafah Imam al-Ghazali, wacana metafisika Ibn ‘Arabi dalam “Futuhat”, dan wacana ketamadunan dan budaya Ibn Khaldun dalam “al-Muqaddimah”.Melayu Sunni perlu menguasai wacana ini demi pemerkasaan intelektuil dan rohani mereka untuk menjadi  paksi bagi perkembangan ketamadunan dan intelektuil serta rohani di sini bersama dengan wakil-wakil peradaban lain membina usaha ketamadunan yang utuh.(c.f.. artikel yang menyebut Yahudi bertahan lebih tiga ribu tahun sampai sekarang kerana paksi hidup berdasarkan kepada metafisika, intelektualiti, moral, dan budaya bertunjangkan kepada “Torah” dan “Talmud”).

·         Dan dalam hubungan dengan Tradisi Kristian boleh diberikan perhatian kepada hurain-huraian Meister Eckhart dan yang sepertinya yang boleh memberi perspektif yang “memperdekatkan” hubungan wacana ketamadunan,

 

Mereka yang bukan Muslim diperbantu untuk melihat kemestian kembali kepada Tradisi Kerohanian Timur dan metafisikanya sebagai rakan dalam membina peradaban di   Malaysia untuk menghadapi penghakisan intelektualiti Timur dan spiritualitinya dengan serangan gelombang globalisasi yang boleh dipandang sebagai suatu helah untuk penguasaan atas dunia Timur, yang logikanya dihuraikan oleh Edward Said dalam “Orientalism” lebih dua puluh tahun lalu.Antaranya ini perlu dalam menghadapi modernity dan pascamodernisme dari segi huraian intelektual dan falsafah serta moralnya.Antara wacana yang boleh memban tu dalam soal-soal seperti ini ialah huraian-huraian Rene Guenon dan yang sepertinya.

Antara aspek-aspek nilai spiritual tamadun lain yang perlu diberi perhatian dalam  membina peradaban dan peribadi manusia:

·         Paksi diri manusia yang bersifat bukan benda tetapi zat spiritual  yang perlu dijaga kesejahteraannya;

·         Kepentingan menjaga hubungan harmoni antara alam bumi dan alam langit-“the earth”-“heaven”, alam benda dan bukan benda, “material and spiritual”

·         Kehidupan moral yang berpaksikan hubungan antara yang kebendaan dengan alam spiritual  yang mengatasinya;

·         Kepentingan menjaga keharmonian hidup manusiawi dan alam sekitrar buatan (“the built environment”_ dengan alam sekitar tabi’i atau semula jadi;

·         Kepentingan menjaga institusi keluarga, termasuk keluarga berangkai;

·         Kesedaran tentang hidup yang dipengaruhi oleh simbolisme, bukan semata-mata pengelaman yang bersifat “literal”;

·         Kepentingan keseimbangan atau kedudukan harmoni antara kegiatan fisikal yang cergas dengan kontemplasi yang mendalam.

·         Kepentingan memandang masalah ekologi dari segi prinsip-prinsip intelektuil Timur berdasarkan pada paras paling mendalamnya dengan metafisika;

·         Permbentukan kefahaman harmonis antara sains dan falsafah Timur dan pengelaman spiritual mereka yang ahli;

·         Dialog intelektuil dan spiritual yang beradab antara wakil tamadun Timur, demi untuk membentuk identity budaya dan intelektuil Timur untuk menghadapi globalisasi;

·         Antara wacana-wacana yang berguna ialah, antara lainnya, huraian-huraian Rene Guenon, (antaranya seperti “The Crisis of the Modern World”, dan “The Reign of Quantity and the Signs of the Times”, Oriental Metaphysics,) dan yang sepertinya, Seyyed Hossein Nasr ( misalnya “The Encounter Between man and Nature”), Edward Said antaranya yang terpentingnya “Orientalism”), dan Frithjof Chapra, dengan bukunya “The Tao of Physics”), dan  pada paras yang popular huraian-huraian Harun Yahya tentang hubungan antara  Islam dan Sains.

·         Moga-moga dialog ketamadunan pada paras intelektuil akan membawa kepada terbentuknya usaha yang harmonis dalam membina tamadun di Malaysia dengan berpaksikan kepada Muslimin dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai kerohanian mereka bersema dengan rakan-rakan mereka dari wakil-wakil peradaban Timur lainnya.

Allahumma amin.Wallahu a’lam.

Julai 30, 2002

 

Dikemaskini pada : 29-Oct-02 09:39 PM

Home page for TRADITIONAL ISLAM:

www.oocities.org/traditionalislam/, traditionalislam.freeservers.com/, or traditionalislam.tripod.com